Sunday, February 4, 2024

Book Review: Penulis Yang Disayangi Tuhan


 Tajuk: Penulis Yang Disayangi Tuhan

Penulis: Bahruddin Bekri

Menariknya Naskah Ini: 

Masih panas, baru keluar dari oven, naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaanya kurang sejam yang lepas. 

Penulis Yang Disayangi Tuhan membawa pembaca mengenali Usamah, seorang lelaki bujang yang merupakan penulis sepenuh masa. 

Bagi Usamah, menulis itu ertinya mencipta sesuatu daripada kosong kepada sesuatu yang punyai rasa yang mengusap-usap hati. Rasa yang kita kenali sebagai emosi. 


Usamah telah menulis 3 buah novel. Novel pertamanya sangat laris sehingga dia menjadi kaya-raya. Usamah nekad untuk menjadi penulis sepenuh masa. Novel kedua Usamah ibarat teguran dari Tuhan. Novel keduanya menerima kritikan keras dari pengkritik novel termasyur tanah air iaitu Joe Penapi. Kritikan itu memberi kesan kepada jualan novel keduanya. 

Tanpa berputus asa, Usamah menulis novel ketiga. Rupanya novel ketiga ini juga menjadi sasaran kritikan Joe Penapi. Kemuncaknya, syarikat penerbitan yang menerbitkan kesemua novelnya mengalami kerugian ratusan ribu ringgit dan syarikat terus gulung tikar. 


Wang simpanan Usamah semakin menipis sehingga dia terpaksa berpindah menyewa di kawasan setinggan. Kawasan penempatan yang daif dan banyak dihuni oleh warga asing. Semangat dan minat menulis Usamah juga sama menipis. Dirinya buntu memikirkan apa lagi cara untuk mencari wang saku. 


Usamah bertemu dengan Johari Salim, seorang penulis legenda untuk membantunya bangkit semula. Johari Salim menetapkan syarat pada Usamah untuk bertemu dengan 5 orang bekas penulis hebat bagi mengetahui rahsia mereka. Di sepanjang pertemuan, Usamah dibenarkan untuk bertanya hanya 1 soalan iaitu: 

"Mengapa kamu lakukan apa yang kamu lakukan sekarang?" 


Insan pertama yang Usamah perlu bertemu adalah Dato' Zulkifli bin Rashid. Namun, Usamah telah melanggar syarat Johari Salim dimana beliau telah bertanya lebih dari 1 soalan kepada Dato' Zulkifli. 

Dato' Zulkifli mengupah Usamah untuk mengajar anak perempuannya, Dinie Nurul Iman untuk menjadi seorang penulis kerana merasakan ada bakat yang terpendam dalam diri gadis tersebut. Hakikatnya, ada rahsia besar yang melingkari keluarga ini yang terhasil dari kasih sayang yang tidak berbelah bahagi sesama ahli keluarga.


Rohayat Syah adalah insan kedua yang ditemui Usamah. Seorang bekas penulis buku komedi yang secara tidak langsung mempersendakan ibu bapa orang lain. Bagi menebus dosa-dosanya, Rohayat Syah kini tinggal di kampung, menjaga ibunya yang uzur. 


Insan ketiga pula adalah Ramudin,  bekas penulis untuk sebuah majalah keluarga. Ramudin ditugaskan untuk menulis di ruangan kauseling perhubungan. Bagi Ramudin, apabila sesuatu perhubungan itu ditimpa badai bermakna sudah tiada lagi kesefahaman. Makanya, jalan terbaik adalah berpisah saja. Tanpa disedari, nasihatnya ini sebenarnya menyebabkan banyak silaturrahim yang putus, banyak perkahwinan yang musnah. 


Lokman Aziz adalah insan keempat yang perlu Usamah lawati. Lokman Aziz terkenal sebagai penulis yang hebat dalam dunia perniagaan dan pelaburan. Mempunyai sentuhan magis untuk menarik kekayaan sehingga terlupa Yang Maha Kaya untuk segenap alam ini. Lokman Aziz tersentak apabila ditanyakan soalan apakah mata wang yang akan digunakan di akhirat nanti? 


Penulis gosip di majalah hiburan, Fatimah Jaafar adalah insan kelima yang dinamakan oleh Johari Salim untuk Usamah lawati. Wanita ini dulunya sangat gemar dengan gosip kerana baginya artis adalah milik masyarakat. Segenap inci yang berlaku dalam kehidupan artis itu harus diwar-warkan kepada orang awam. Jika tiada gosip, Fatimah sendiri yang akan mencipta gosip tersebut. 

Artis bertelagah sesama sendiri? Pedulikan. 

Rumahtangga artis runtuh? Bukan urusannya. 


Benarlah, hidayah itu milik Allah. Dia berhak untuk memberi hidayah pada sesiapa saja hamba-Nya, tanpa mengira masa dan tempat. Dan tatkala hidayah menjelma, mereka mula rasa takut dengan tulisan-tulisan lampau dan mula terbayang kerosakan yang telah berlaku kesan dari tulisan mereka itu...



Di kawasan setinggan tempat Usamah tinggal, jiran-jiran yang terdiri dari pendatang asing tanpa izin warga Indonesia berminat untuk mengenali Usamah dengan lebih rapat. Tujuannya adalah agar Usamah boleh melindungi mereka daripada terus menjadi mangsa peras ugut. 

Pelbagai cara dilakukan oleh jiran-jiran Usamah yang diketuai oleh Ahamad Rani, untuk mengambil hatinya. Jemputan makan bersama, program abang & kakak angkat serta yang paling menarik sekali adalah meminta Usamah untuk mengajar Adinda Aisyah, Suparno dan John Stalone menjadi penulis. 



Pada Patung Beruang, novel Penulis Yang Disayangi Tuhan ini sangat berbeza dengan novel-novel yang ada di pasaran. Selain mengangkat kisah Usamah untuk bangkit semula selepas 2 novelnya dikritik teruk, naskah ini juga berkongsi ilmu dengan pembaca berkenaan teknik-teknik menulis. Tidak kira lah untuk menulis cerpen, novel atau puisi. 

Penulis berkongsi tentang apa itu plot, bagaimana untuk menyusun dan mengembangkan plot, jenis-jenis watak, istilah - istilah penting dalam teknik menulis seperti cliffhanger, konflik, foreshadowing, teknik "show don't tell" dan macam-macam lagi. 


Jujurnya, ayat-ayat dalam naskah ini juga sedap-sedap belaka. Antara ayat kegemaran Patung Beruang adalah: 

1. Penulis ialah manusia yang lihai berpura-pura. Penulis mampu menuliskan bahagia pada saat hatinya derita. Penulis tega mengukirkan cinta pada ketika hatinya benci.   (Nota: Lihai bermaksud pandai)

2. Penulis juga ialah manusia yang dekat dengan neraka. Mereka sudah melangkahkan sebelah kaki ke neraka saat menuliskan sesuatu yang jelik dan menghitamkan hati pembaca, ataupun menuliskan benci yang memusnahkan bahagia. (Nota: Ya Allah, ayat ini betul-betul buat Patung Beruang tersentak. Patung Beruang tidak pernah terfikir sampai begini sekali, huhuhu...) 

3. Menulis tanpa motivasi seperti minum air kosong semasa tidak haus. 

4. Apa sahaja yang kita susun dan bina sekarang, tetap akan runtuh nanti. Namun apa yang membuatkan kita tetap menyusun dan membinanya, bukan kerana mahu melihat ia runtuh, tetapi kerana ia harapan untuk melihat sesuatu yang indah walaupun sebentar. 

5. Rasa sedih, kecewa dan marah kepada kritikan itu perkara biasa kerana itu fitrah manusia. Malah, semua rasa itu perlu ada dalam diri manusia, sebelum dia mampu meletakkan diri dalam situasi sabar. Sabar tidak wujud sebelum wujudnya rasa marah, kecewa dan sedih, tetapi ia wujud sesaat selepas wujudnya perasaan marah, kecewa dan sedih. 


Akhir sekali, perkara yang buat Patung Beruang tersentuh dengan novel ini adalah penulis mengajak pembaca untuk berfikir sebentar apakah nilai pekerjaan yang kita lakukan sekarang ini disisi Tuhan? 

Adakah pekerjaan kita hanya menghasilkan nilai ekonomi semata-mata? 

Atau ia juga memberi nilai tambah kepada manusia / makhluk lain di muka bumi ini? 


Oleh itu, apa kata kita duduk sejenak dan berfikir jawapan kepada soalan keramat Johari Salim:

"Mengapa kamu lakukan apa yang kamu lakukan sekarang?" 

Jawablah soalan ini seolah-olah: 

  • Soalan ini bertindak sebagai plot. 
  • Soalan ini untuk sebab. 
  • Soalan ini untuk akibat.


Terima kasih penulis untuk naskah yang penuh dengan ilmu dan mesej kesedaran, tetapi tetap menarik di mata pembaca. Alhamdulillah... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...