Sunday, November 20, 2011

Book Review: I, Too, Am Malay




Tajuk: I, Too, Am Malay

Penulis: Zaid Ibrahim

Sinopsis:
Zaid Ibrahim adalah seorang peguam yang terkemuka di Malaysia merangkap ahli politik. Buku ini mengisahkan susur galur hidup beliau dan pandangan peribadi beliau terhadap segala apa yang berlaku dihadapan mata.

Buku ini terbahagi kepada 3 bahagian dimana Bahagian 1 banyak berkisar tentang perletakan jawatannya sebagai menteri dan cerita berkenaan dengan konsep Ketuanan Melayu.


Bahagian 2 berkisar kepada kehidupan beliau sedari kecil, zaman persekolahannya sehingga beliau menjadi peguam dan seterusnya menceburkan diri didalam bidang politik.


Bahagian ke-3, banyak berkisar kepada isu-isu politik semasa (semasa dalam konteks ketika buku ini ditulis), dimana beliau ada menyentuh mengenai zaman Pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, politik Pakatan Rakyat, tokoh-tokoh pemimpin yang beliau segani dan juga masa depan orang Melayu.

Kekuatan Karya Ini:
Walaupun buku ini ditulis didalam Bahasa Inggeris, bahasa yang digunakan adalah ringkas dan memudahkan pembaca untuk memahami maksud yang hendak disampaikan oleh penulis. Maka, tidak timbul isu mengapa buku ini tulis didalam Bahasa Inggeris walaupun isi kandungannya berkenaan dengan orang Melayu. Namun begitu, pembaca masih boleh mendapatkan edisi Bahasa Melayu kerana ia diterbitkan dengan dua bahasa.

Sejujurnya, Patung Beruang merasakan buku ini wajar dibaca oleh orang Melayu terutamanya generasi muda kerana banyak pandangan beliau yang boleh diterima pakai dan dibincangkan dengan lebih lanjut.


Namun, harus diingat bahawa individu yang berhasrat untuk membaca buku ini mestilah membacanya dengan fikiran dan perasaan yang terbuka kerana buku ini adalah pandangan bebas beliau dimana beliau sedaya upaya untuk tidak memihak kepada mana-mana parti politik yang ada. Apa saja kelemahan dan kekurangan yang dicoretkan didalam buku ini adalah pandangan dari kaca mata beliau sendiri.

Tidak dinafikan masih ramai yang sayangkan masyarakat Melayu dan sentiasa berharap agar Melayu dapat bangkit dan maju sehingga mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di Malaysia.


Namun, keghairahan segelintir orang Melayu yang menyertai politik demi kepentingan diri masing-masing telah sedikit sebanyak memberi kesan yang negatif atas kemajuan masyarakat Melayu sendiri dan ditambah pula dengan perpecahan masyarakat Melayu dek kerana perbezaan ideologi politik.


Buku ini mencatatkan serba sedikit panduan bagaimana masyarakat Melayu boleh bangkit asalkan mereka sanggup mengorbankan sedikit ego dan juga berfikiran dengan lebih matang dan terbuka demi masa depan generasi Melayu sendiri.

Book Review: The One I Love



Tajuk: The One I Love

Penulis: Anna McPartlin

Sinopsis:
Jane Moore, seorang ibu tunggal tinggal bersama Kurt, anak lelakinya yang meningkat dewasa, Elle, adik perempuannya yang sangat berbakat dalam lukisan tetapi hidup terambing-ambing dan Rose, ibunya yang kaki arak tetapi sangat menyayangi keluarga.

Setelah berbelas tahun terpisah, Jane dikejutkan dengan kehilangan sahabat baiknya ketika sekolah, Alexandra Walsh. Alexandra hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat dan tiada pentunjuk yang ditemui oleh pihak berkuasa ketika operasi mencari dijalankan. Kehilangan Alexandra benar-benar memberi tamparan buat suaminya, Tom dan seluruh keluarga Walsh.

Leslie, teman baik Jane dan Elle, mengalami trauma apabila terpaksa melalui detik-detik kehilangan satu persatu ahli keluarga akibat kanser rahim dan payudara. Trauma tersebut membuatkan Leslie membuat keputusan untuk membuang rahim dan payudaranya sebagai langkah berjaga-jaga. Leslie mengalami gangguan perasaan akibat dari trauma dan juga pembedahan yang dijalankan. Namun, sokongan yang tidak berbelah bagi dari teman-teman rapat seperti Jane, Elle, Tom dan Jim, bekas abang iparnya membuatkan Leslie nekad untuk bangkit semula demi meneruskan kehidupannya.

Pencarian Alexandra selama lebih setahun tetap diteruskan oleh Tom dengan dibantu oleh Jane, Elle dan Leslie. Walaupun tiada petunjuk yang dapat membantu, mereka tetap berharap agar Alexandra masih hidup.

Kekuatan Karya Ini:
Penulis The One I Love (THIL) berjaya menonjolkan kekuatan nilai kekeluargaan dan persahabatan yang kukuh didalam novel ini. Elemen kekeluargaan ditonjolkan lewat watak Jane Moore, yang banyak berkorban termasuk masa depannya sendiri demi menjamin kelangsungan hidup keluarganya. Jane bertindak sebagai ketua keluarga dan bertanggungjawab untuk memastikan anaknya Kurt, mendapat pendidikan yang terbaik, Elle belajar menguruskan hidupnya sendiri dan Rose berhenti dari menyalahkan dirinya atas segala tragedi yang menimpa keluarga Moore. Namun, kekuatan Jane mula goyah apabila diberitahu yang ayahnya bukan meninggal dunia akibat sakit jantung tetapi membunuh diri. Dan setelah itu, Jane mula melihat simptom-simptom kemurungan dan tekanan yang dialami oleh Elle dan dia nekad untuk mendapatkan bantuan demi satu-satunya adik perempuan yang dia miliki walaupun dihalang oleh Rose.

Nilai kekeluargaan yang kukuh juga dapat dilihat dari watak-watak keluarga Walsh seperti Ben, Breda, Eamonn dan Kate. Dihimpit dengan kesedihan akibat kehilangan Alexandra, Breda pula disahkan mengidap Colon Cancer tahap ke-4. Berita ini menambahkan lagi beban kesedihan buat keluarga Walsh namun mereka nekad untuk bersatu memberi harapan kepada Breda yang keadaan akan pulih seperti sediakala.

Selain itu, elemen persahabatan yang kukuh ditonjolkan apabila setiap musibah atau kesusahan yang menimpa salah satu watak utama, pasti sahabat yang lain akan sentiasa memberi bantuan semampunya dan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi walaupun masing-masing mempunyai masalah yang tersendiri.

THIL adalah novel yang penuh dengan cerita suka dan duka dalam kehidupan ini. Apa yang digambarkan didalam THIL, adalah situasi sebenar yang boleh dialami oleh sesiapa sahaja dialam nyata. Hidup ini tidak selalunya indah dan segala apa yang diimpikan tidak selalunya menjadi kenyataan. Masalah, kelemahan, kekurangan, musibah dan kejutan adalah perkara-perkara yang memantangkan manusia agar sentiasa menikmati hidup ini seadanya kerana disaat-saat kita jatuh, hanya keluarga dan sahabat sejati yang akan sentiasa setia bersama kita.














About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...