Tuesday, May 20, 2014

20 May 2014 - Counting Days

Hari ini 20 hb. May 2014. Maknanya, hanya tinggal 18 hari saja Patung Beruang berkhidmat di Pos Malaysia ini. Perasaan Patung Beruang?? Hm..Bercampur-baur. Tak sabar untuk ke tempat baru, risau dgn keadaan di tempat baru, sedih untuk tinggalkan Pos, macam-macamlah.
Recently, my CIA masih lagi bagi kerja-kerja pada Patung Beruang macam biasa. Masih lagi berkongsi cerita apa yang berlaku di dalam Board Room, masa meeting dengan CEO, meeting dengan BAC etc.
Patung Beruang sedar tempat sekarang ini banyak masalah. Bukan banyak tapi sangat banyak. Ibarat kata CIA lama, banyak sampah. Selama 1 tahun 10 bulan, Patung Beruang berusaha sehabis daya untuk membersihkan sampah-sampah tersebut. Tapi, masih banyak lagi yang belum sempat Patung Beruang sentuh.
Itu belum campur dengan keadaan Department Patung Beruang sendiri. Jujurnya, Patung Beruang rindu dengan tempat lama. Rindukan ketegasan pihak atasan, attitude yang positif, disiplin yang tip-top, staff berlumba-lumba untuk menyiapkan assignment dalam waktu yang pantas tapi berkualiti tinggi, suasana pejabat yang senyap dan mendamaikan, semua orang focus buat kerja etc.
Sayangnya semua perkara yang Patung Beruang rindukan itu, tiada di tempat Patung Beruang sekarang. Ini antara perkara yang agak mengecewakan Patung Beruang sendiri. Dan ini juga lah antara penyebab mengapa Patung Beruang rela untuk keluar juga dari Pos ini walaupun Patung Beruang sudah berada dalam comfort zone sekarang. Ye, duit memang factor utama. Apatah lagi tempat baru menawarkan pendapatan yang jauh berbeza dengan apa yang Patung Beruang dapat di Pos ini. Tetapi, duit bukan segala-galanya. Patung Beruang mempunyai pendirian dimana rezeki bukanlah duit semata-mata, tetapi kesihatan yang baik, hati dan fikiran yang tenang, kehidupan yang lapang, keluarga yang bahagia, rakan-rakan yang baik, itu semua rezeki.
Semakin hampir tamat tempoh Patung Beruang berkhidmat di Pos ini, semakin besar ujian yang Allah bagi pada Patung Beruang. Adakalanya, Patung Beruang goyah. Beberapa kali Patung Beruang terfikir untuk menarik kembali surat perletakan jawatan dan berkhidmat di Pos seperti biasa. Namun, apabila difikirkan semula, Patung Beruang kena kuat semangat. Keputusan sudah pun dibuat. Jadi, baik atau buruk, pahit atau manis, suka atau tidak, Patung Beruang kena tempuh juga.
Orang disana pasti tidak sabar-sabar untuk menemui Patung Beruang. Pasti banyak benda yang telah mereka rancangkan untuk tugasan Patung Beruang. Maka, adalah tidak adil apabila Patung Beruang mungkir janji pada mereka dalam keadaan mereka mempunyai harapan yang tinggi.
Ya Allah, seandainya disana adalah yang terbaik untukku, maka Engkau kuatkanlah semangat ku, kuatkan tekad ku untuk melangkah keluar dari sini, permudahkan segala urusan pekerjaanku dan Engkau berilah kesudahan yang terbaik untuk semua orang. Sesungguhnya, hanya Engkau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buatku. Amin...

Sunday, May 18, 2014

Book Review: Art of Deception

Tajuk: Art of Deception, Amerika, Freemason, Zionis Mereka Menipu Dunia

Penulis: Jerry D. Gray

Sinopsis dan Menariknya Buku Ini:
Jerry D. Gray adalah seorang bekas perajurit Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF), kini telah memeluk Islam dan aktif menjalankan kegiatan dakwah.
 
Buku ini ditulis dengan tujuan memberi kesedaran kepada umat Islam mengenai tipu daya Yahudi dan Amerika Syarikat.
 
Buku ini mempunyai 15 bab dimana Bab 1 berkisar kepada Misteri 911. Banyak penganalisis telah membuat kesimpulan bahawa Tragedi 11 September 2001 bukanlah satu peperangan biasa. Tetapi, ia adalah kejahatan kemanusiaan.
 
Penulis mula memberikan beberapa fakta yang aneh mengenai kejadiaan 11 September dimana tepat jam 7.59 pagi dan 8.10 pagi, kapal terbang yang "dilaporkan" dirampas, melanggar bangunan World Trade Center (WTC) dan Pentagon. Tetapi, Presiden Bush amat tenang pada ketika itu apabila beliau dimaklumkan mengenai serangan tersebut. Malah, Presiden masih boleh meneruskan aktiviti beliau bersama kanak-kanak didalam kelas selama setengah jam seolah-olah tiada apa yang berlaku. Begitu juga dengan terdapatnya laporan bahawa pengawal udara sudah mengetahui yang kapal terbang tersebut bermasalah, tetapi tiada tindakan yang diambil untuk mengatasinya.
 
Kisah 11 September telah dikupas dengan lebih mendalam didalam bab-bab seterusnya sehingga Bab ke-6. Penulis mempersoalkan apakah sebenarnya objek yang telah melanggar WTC kerana berdasarkan bukti bergambar, kapal terbang yang terlibat bukannya kapal terbang United Airlines seperti yang dilaporkan oleh pihak media. Penulis juga turut membangkitkan mengapa alat perakam penerbangan dalam kapal terbang tersebut kosong seolah-olah seperti tiada langsung komunikasi yang berlaku didalam kapal terbang. Pada kebiasaannya, ia hanya boleh dilakukan jika kapal terbang tersebut dikawal secara automatik.
 
Untuk Bab ke-7 hingga ke-10, penulis membincangkan mengenai Organisasi Rahsia, New World Order dan Freemason. Penulis merakamkan yang Pemerintahan Dunia Baru (New World Order, NWO) adalah sebuah organisasi yang sudah wujud selama beratus tahun. Misi mereka hanya ingin menyambut kedatangan Dajjal. NWO ini dipimpin oleh Iluminati dan dibantu oleh Freemason. Simbol-simbol dan tanda-tanda NWO turut ditunjukkan dan bagaimana ia telah ada disekeliling kita, dalam kehidupan seharian tanpa kita sedari. Penulis juga membincangkan asal-usul Freemason, siapa anggotanya dan bagaimana mereka menyebarkan dakyah mereka kepada masyarakat melalui media dan hiburan.

Bab ke 11 hingga 15 iaitu berkisarkan penguasaan penduduk dimana mengapa peperangan dan pembunuhan beramai-ramai amat digemari oleh Amerika dalam menjayakan misi mereka. Turut dinukilkan mengenai kesan penggunaan senjata uranium yang digunakan oleh Amerika kepada masyarakat.

Masihkah kita ingat kepada filem 2012? Patung Beruang berpeluang untuk menonton filem tersebut dipawagam. Tetapi rupa-rupanya filem 2012 adalah propaganda psikologi yang dirancang. Ia bertujuan untuk menakutkan-nakutkan masyarakat untuk mempercayai bahawa bencana maha besar diramalkan akan berlaku pada 2012. Tetapi pada hakikatnya, NWO merancang memerangi 93% daripada populasi dunia pada Disember 2012. Perkara ini sesuai dengan kalendar Iluminati dan disokong oleh PBB melalui 21 polisi agenda pengawalan populasi mereka. Bencana alam termasuk pemanasan global mula menjadi permainan NWO dalam memusnahkan populasi manusia di muka bumi ini.

Kesimpulannya, Patung Beruang merasakan yang buku ini dapat membuka minda pembaca mengenai betapa bahayanya musuh-musuh Islam yang telah lama bertapak disekeliling kita tanpa kita sedari. Penipuan, konspirasi dan doktrin mereka telah sebati dengan kehidupan kita. Kembalilah kita kepada Allah dan mohonlah perlindungan-Nya agar kita tidak menjadi mangsa kejahatan musuh-musuh ini. Sesungguhnya Allah jua lah  penguasa terbesar alam semesta ini.   

Saturday, May 17, 2014

Book Review: Travelog Minda Tajdid - Catatan Perjalanan Dari Tanah Barat

Tajuk: Travelog Minda Tajdid : Catatan Perjalanan Dari Tanah Barat
 
Penulis: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
 
Sinopsis & Menariknya Buku Ini:
Buku Travelog Minda Tajdid: Catatan Perjalanan Dari Tanah Barat (TMT) ini baru sahaja Patung Beruang selesai pembacaan pagi tadi, ketika menunggu waktu kerja bermula.
 
Patung Beruang mula membaca TMT ketika awal Ramadhan tetapi kekangan masa dan tuntutan kerja menyebabkan Patung Beruang tidak mampu untuk menghabiskan pembacaan TMT secepat mungkin.

Membaca TMT membawa Patung Beruang menyulusuri idea dan pemikiran Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. Asri) dengan lebih dekat lagi. TMT sarat dengan idea dan kritikan sinis terhadap isu-isu semasa tetapi masih berpaksikan Al-Quran dan Hadis, dan tanpa bias terhadap mana-mana parti politik.

Ada beberapa bab yang sangat menarik perhatian Patung Beruang seperti Jumud Mengundang Kebangkitan Liar. Bab ini mengkritik sikap jumud atau tidak membenarkan perbezaan pendapat dimana akhirnya sikap ini memakan sesuatu bangsa, kaum atau penganut itu sendiri. Didalam bab ini, Dr. Asri memberi contoh apa yg berlaku di Eropah dimana sikap jumud ahli agama mereka telah mengakibatkan penentangan masyarakat Eropah terhadap kuasa agama yang akhirnya mencetuskan Revolusi Industri atau Revolusi Perancis. Pengaruh agama dibataskan agar ia tidak merangkumi kehidupan seharian baik individu, keluarga, masyarakat atau negara. Akhirnya, lahirlah manusia-manusia yang bertindak sewenang-wenangnya tanpa ada sekelumit rasa malu atau segan terhadap agama atau Tuhan serta bebas dan sanggup mempersendakan agama itu sendiri.

Bab Wanita, Pastikan Arah Perjuanganmu! pula membahaskan tentang betapa pentingnya wanita jelas dengan perjuangan mereka. Mereka mestilah memahami hak-hak sebenar wanita dalam Islam. Bukannya mengikut perjuangan barat membuta-tuli yang hanya nampak cantik dari luaran saja. Contoh paling mudah adalah dalam soal poligami. Wanita mestilah mengkaji sebab-sebab Islam membenarkan poligami, bagaimanakah pelaksanaan yang sepatutnya dan bukannya memandang poligami itu dari konsep yang sempit seperti ia menganiayai wanita itu sendiri.

Dr. Asri juga ada membahaskan konsep Hudud didalam bab Jangan Bantu Syaitan Rosakkan Saudaramu yang bermula di mukasurat 185. Didalam bab ini, ia menekankan betapa pentingnya masyarakat mendapatkan maklumat yang tepat dan memahami sejelas-jelasnya konsep Hudud sebelum memberikan pendapat. Malah, adalah tidak bijak apabila konsep Hudud disensasikan mengikut paksi politik sehingga menimbulkan banyak salah faham bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga yang bukan Islam.

Bagi Patung Beruang, buku yang bagus ini wajar dibaca dan diperhalusi oleh masyarakat kerana banyak nukilan didalamnya lebih kepada teguran yang berhemah diatas kekhilafan kita, sama ada disengajakan atau tidak. Semoga pembaca mendapat manfaat dan lebih terbuka dalam menerima kritikan dan teguran Dr. Asri demi kelansungan umat Islam pada masa kini.

Book Review: Himpunan Kisah Benar Tapi Pelik


Tajuk: Himpunan Kisah Benar Tapi Pelik

Penulis: Dr. Hj. Zahazan Mohamed

Sinopsis:

Buku ini memuatkan 38 kisah yang menarik dan disusun berdasarkan kitab-kitab sejarah yang muktabar, yang merekodkan peristiwa-peristiwa luar biasa yang dapat menggagumkan dan memberi keinsafan kepada pembaca.
 
Mengapa Buku Ini Menarik:
Jujurnya, Ustaz Dr. Hj. Zahazan Mohamed adalah salah seorang penceramah dan penulis yang amat Patung Beruang gemari. Suatu waktu dahulu, boleh dikatakan hampir setiap pagi Patung Beruang akan mendengar rancangan tafsir Al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Zahazan di radio Ikim FM, pada pukul 6.30 - 6.45 pagi. Cuma, apabila Patung Beruang mula lewat untuk ke tempat kerja, kesempatan untuk mendengar rancangan tersebut sudah hilang.
 
Sebelum mula membaca buku ini, Patung Beruang mempunyai expectation yang tinggi memandangkan Ustaz Zahazan adalah seorang tokoh agama yang mempunyai ilmu tinggi dan memiliki gaya penyampaian yang mampu menarik perhatian pendengar dan pembaca.
 
Antara kisah yang menarik perhatian Patung Beruang adalah Kisah ke-3 iaitu, Jenazahnya Dilindungi Lebah Berbisa. Ia mengisahkan 'Asim bin Tsabit, seorang sahabat Rasulullah SAW yang gagah dan mempunyai keazaman tinggi dan telah berjanji untuk berjuang berhabis-habisan ketika Perang Uhud. Namun, ditakdirkan beliau gugur sebagai syahid. Kematian beliau amat dinanti-nantikan oleh golongan Quraisy dari Makkah akibat dendam mereka kepada 'Asim kerana telah membunuh orang-orang Musyrik. Namun, Allah telah memelihara jasad hamba-Nya dari disakiti dengan mengutuskan ribuan lebah dan tebuan padang pasir untuk menghurung jasad 'Asim seolah-olah mempertahankan sarang mereka dari diceroboh oleh penceroboh.
 
Kisah ke-16 pula menceritakan tentang Pokok Kurma Menangis Ditinggalkan Nabi SAW. Pada suatu waktu, Rasulullah SAW biasanya menyampaikan khutbah dengan meletakkan dibelakangnya batang pokok kurma. Pada suatu hari, seorang wanita dalam kalangan Ansar telah meminta izin daripada Nabi SAW untuk membuatkan mimbar untuk Baginda. Setelah dipersetujui, mimbar tersebut pun dibuat. Maka, pada hari Jumaat berikutnya Rasulullah SAW mulalah menggunakan mimbar baru itu dan meninggalkan batang pokok kurma yang biasanya menjadi tempat Baginda bersandar semasa khutbah sebelum itu. Namun pokok kurma itu menangis bagaikan bayi dan Nabi SAW memberitahu para sahabat yang pokok kurma itu kesedihan kerana ditinggalkan. Maka, Nabi SAW kembali kepada pokok kurma tersebut dan mengusapnya sehingga pokok itu tenang kembali. Setelah itu, Nabi SAW kembali semula menaiki mimbar Baginda. Kisah ini menunjukkan betapa dalamnya cinta pokok kurma tersebut kepada Rasulullah SAW. Ia memberi keinsafan kepada Patung Beruang dimana adakah kita sebagai umat Baginda, mempunyai rasa cinta yang sedalam itu kepada Baginda? Ya Allah, Engkau suburkan rasa cinta kami kepada Engkau dan Rasulullah SAW didalam jiwa kami sebagaimana Baginda mencintai Engkau dan kami umatnya, Amin.
 
Tanda Putih Di Telapak Tangan Uwais yang dipaparkan didalam kisah ke-34 mengisahkan Uwais al-Qarni, seorang pemuda yang berasal dari daerah Qaran di Yaman. Beliau telah memeluk Islam semasa hayat Nabi SAW tetapi tidak berkesempatan untuk bersua muka dengan Baginda. Uwais seorang anak yang taat yang menjaga ibunya yang telah tua dan lumpuh. Uwais sangat mencintai Baginda dan berhajat untuk bertemu dengannya. Namun, dek tanggungjawabnya terhadap ibu yang telah uzur, Uwais pendamkan sahaja hasratnya untuk bertemu Baginda. Sehinggalah pada suatu hari, ibunya mengizinkan beliau untuk bertemu Nabi SAW. Namun apabila sampai di Madinah, hajatnya tidak kesampaian kerana Baginda tiada pada masa itu. Sehingga kewafatan Nabi SAW, Uwais masih tidak berkesempatan untuk bertemu dengan kekasih Allah ini. Namun, Nabi SAW mengetahui kerinduan umatnya ini dan pernah berpesan kepada Sayidina Ali r.a. dan Saiyidina Umar r.a. bahawa "Uwais adalah seorang yang mempunya tanda putih ditengah-tengah telapak tangannya. Dan apabila berjumpa dengannya, mohonlah  doa dan istighfarnya kerana doanya dimustajabkan Allah SWT". Kisah ini menunjukkan betapa anak bertanggungjawab menjaga ibu dan ayahnya yang sudah tua dan Allah SWT telah menyediakan ganjaran yang besar kepada anak-anak yang menjalankan tanggungjawab ini dengan bersungguh-sungguh.
 
Kesimpulannya, buku ini amat sesuai untuk dijadikan bacaan seisi keluarga kerana ia mengajak pembaca untuk berfikir mengenai kebesaran Allah SWT, memberi motivasi agar kita berusaha sehabis baik untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar ini.
 
 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...