Sunday, October 26, 2014

Book Review: Bahagianya Menjadi Gadis Pilihan (Pesan Allah dan Rasul untuk dirimu)

Tajuk: Bahagianya Menjadi Gadis Pilihan (Pesan Allah dan Rasul untuk dirimu)


Penulis: 
1. Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh 
2. Mohd Hariri Hj Mohamad Daud



Menariknya Buku Ini:

Buku ini menghimpunkan 25 kisah menarik untuk tatapan para gadis diluar sana bagi membentuk keperibadian dan akhlak mulia selari dengan syariat Islam

Buku ini dimulakan dengan Bab 1 yang menceritakan perihal Islam adalah satu agama yang indah dimana Islam membela wanita kerana sebelum ini wanita dianggap sebagai hamba seks sahaja. Bab yang bertajuk Gadis Dimuliakan oleh Allah s.w.t. ini dimulai dengan pertanyaan seorang gadis sunti yang bernama Asma' kepada ustazahnya berkenaan kebanyakkan hadith mahupun ayat Al-Quran lebih tertumpu kepada kaum lelaki. Maka, adakah itu menunjukkan Islam lebih mementingkan lelaki berbanding wanita? 

Namun, jawapannya ada didalam ayat 35, surah Al-Ahzab dimana Allah s.w.t menjelaskan "Sesungguhnya, lelaki Islam serta perempuan Islam, dan lelaki beriman serta perempuan beriman, dan lelaki yang taat serta perempuan yang taat, dan lelaki yang benar serta perempuan yang benar, dan lelaki yang sabar serta perempuan yang sabar, dan lelaki yang merendah diri kepada Allah serta perempuan yang merendah diri kepada Allah, dan lelaki yang bersedekah serta perempuan yang bersedekah, dan lelaki yang berpuasa serta perempuan yang berpuasa, dan lelaki yang memelihara kehormatannya serta perempuan yang memelihara kehormatannya, dan lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah sudah menyediakan untuk mereka semua keampunan dan pahala yang besar."  Ternyata ayat yang Allah turunkan ini telah menenangkan jiwa wanita-wanita beriman dimana ia menjadi bukti Islam mengangkat darjat dan martabat wanita serta meletakkan mereka setaraf dengan kaum lelaki dari sudut hak dan tanggungjawab. Ia menjelaskan yang lelaki dan perempuan beriman mendapat keampunan dan tempat disisi Allah s.w.t tanpa ada diskriminasi. 

Seterusnya pembaca dibawa menelusuri Bab 2: Sebaik-baik Perhiasan Dunia dimana Allah memerintahkan wanita menutup aurat, menjaga itu dan ini kerana ia adalah bagi menjaga keistimewaan wanita tersebut sebagai perhiasan yang berseri-seri di dunia ini. Wanita ini digambarkan sebagai bidadari dunia yang menyerikan kehidupan manusia. Wanita terkenal dengan sifat kelembutan, sopan santun secara fitrahnya, kudratnya terbatas namun tidak menjadikan mereka lemah atau tertindas. Allah mengangkat darjat mereka dan terdapat beberapa surah didalam Al-Quran yang diambil dari nama-nama wanita seperti An-Nisaak dan Maryam. Selain itu, wanita juga dikaitkan dengan keindahan dan kesenangan di syurga untuk mereka yang beriman dan soleh seperti yang dicatat pada ayat 56, surah Ar-Rahman dimana Allah s.w.t menjelaskan, "Dalam syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu kepada mereka semata-mata. Yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin. Maka, yang manakah satu antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?" Bab ini memberi pengajaran kepada para gadis diluar supaya menginsafi kejadian wanita sesudah Allah s.w.t mengangkat darjat mereka, jangan pula mereka merendah-rendahkan darjat kerana kejahilan mereka sendiri, jangan menderhaka dan mendustakan nikmat yang Allah s.w.t berikan. 

Patung Beruang tertarik dengan kupasan berkenaan haid di Bab 4: Hikmah Haid Kepada Wanita. Haid itu daripada segi bahasa adalah mengalir. Ulama kontemporari, Dr. Wahbah Az-Zuhaily dalam kitab Fiqh Adillah mengatakan, maksud haid adalah darah yang mengalir keluar dari kemaluan wanita. Darah itu melalui rahim secara semula jadi dan bukan kerana penyakit ataupun kerana selepas melahirkan anak. Wanita yang didatangi haid boleh melakukan apa saja aktiviti seperti bersukan, menuntut ilmu, bekerja dan sebagainya kecuali hukum-hukum yang berkaitan saja. Sebenarnya haid memberi hikmah kepada kaum wanita antaranya: 
  1. Haid melatih wanita supaya sentiasa membersihkan kotoran dan pelbagai najis sehingga tidak berasa jijik sekiranya membersihkan najis anak ataupun suami yang uzur. 
  2. Sebagai tanda wanita itu sudah baligh, dia perlu membataskan pergaulannya bersama-sama lelaki ajnabi.
Dewasa ini gejala sosial yang melanda masyarakat kita semakin parah. Perzinaan, hubungan sejenis, hamil diluar nikah semakin menjadi-jadi dan seolah-olah ia adalah perkara biasa. Bab 7: Cinta Itu Buta? membicarakan masalah-masalah ini. Budaya songsang dan keberanian mereka menonjolkan secara terang-terangan seolah-olah mencabar hukum-hukum Allah s.w.t. Ia bukannya petanda kemodenan yang mesti dibanggakan tetapi adalah sifat keji manusia pada zaman jahiliyah. Sedangkan Allah s.w.t telah memberikan amaran keras lagi dasyat kepada mereka-mereka yang terlibat dengan zina ini. Dan disinilah pentingnya seseorang itu menjaga aurat dan tingkah laku walaunpun sesama jantina. Ingatlah, syaitan dan iblis itu tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan anak-anak Adam a.s. 

Urusan jodoh dan pernikahan seorang gadis itu juga ada diceritakan didalam buku ini seperti didalam Bab 9: Usah Lewat-Lewat!, Bab 10: Gadis Berhak Memilih Jodoh, Bab 11: Majlis Pernikahan Biar Berpada dan Bab 12: Wanita Baik Untuk Lelaki Baik?. Sememanganya semua gadis mengimpikan perkahwinan yang membahagiakan. Namun apakah definisi bahagia? Adakah bahagia bermaksud apabila dapat mengahwini boyfriend yang dicintai bertahun-tahun? Atau bahagia itu bermaksud wang ringgit dan kemewahan yang melimpah-ruah? Perkahwinan yang hebat dan menelan belanja ratusan ribu ringgit? Bagaimana pula dengan pengisian rohani sebelum dan selepas pernikahan? Adakah kita yakin percintaan yang terjalin bertahun-tahun sebelum pernikahan mendapat keredhaan Allah? Atau mungkinkah percintaan atau perhubungan itu sendiri mencetuskan bibit-bibit perzinaan? Selepas pernikahan pula, adakah rumahtangga yang dibina menjadi syurga dunia tetapi neraka akhirat atau menjadi syurga dunia dan akhirat? 

Antara perkara yang menarik perhatian Patung Beruang pada buku ini adalah setiap bab akan dimulai dengan dialog Asma' dan ustazahnya berkenaan isu yang akan dikupaskan. Selain itu, setiap bab juga ada kata-kata hikmah yang bersesuaian, rumusan dari pandangan pihak-pihak yang pakar seperti Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Pihak Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dan tokoh-tokoh ulama' seperti Imam Al-Ghazali dan sebagainya. Malah, diselitkan juga kisah-kisah menarik yang menjadi tauladan, sama ada yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w., sebelumnya atau selepasnya. 

Dizaman sekarang ini dimana pergaulan bebas menjadi kebiasaan, hiburan yang melalaikan dijadikan santapan harian, kurangnya pemantauan dari ibu bapa dan masyarakat telah memberikan 1001 cabaran yang hebat untuk ditempuh oleh para gadis diluar. Jika kuat asasnya, maka bertahanlah dengan nilai-nilai Islam. Jika lemah asasnya, maka terjerumus lah mereka ke arah kebinasaan. Wahai para gadis diluar, buku ini ditulis dengan gaya bahasa yang santai tetapi penuh dengan nasihat dan panduan. Tidak seharusnya buku ini diketepikan begitu saja...

Saturday, October 25, 2014

Wahai Kaki, Teruslah Melangkah...

Dewasa ini pekerjaan seseorang itu menjadi salah satu kayu pengukur status sosial dalam kehidupan bermasyarakat. Jika menjawat jawatan hebat dan professional, hebatlah seseorang itu di mata masyarakat. Jika hanya bekerja biasa-biasa saja, di syarikat yang kurang ternama, tiada siapa pun yang ambil peduli.
Mengapa kita memilih kerjaya tersebut? Dan mengapa kita memilih organisasi tersebut? Mengapa ada orang kerap bertukar kerjaya atau bertukar organisasi dialam pekerjaannya? Dan mengapa pula ada orang yang setia dengan kerjaya yang sama atau organisasi yang sama selama berbelas or berpuluh tahun sehingga merasakan hanya umur persaraan ataupun ajal yang tiba sebelum bersara sahaja yang akan memisahkan mereka?
Patung Beruang mula bekerja pada tahun 2007. Pekerjaan pertama Patung Beruang sangat menarik dan penuh warna-warni. Mengajar subjek cost accounting di sebuah kolej swasta. Setiap hari Patung Beruang akan berdepan dengan berbagai kerenah pelajar-pelajar. Ada yang hadir ke kelas dengan tujuan untuk mendapatkan ilmu, ada yang hadir hanya kerana ingin berjumpa kawan-kawan dan ada juga yang hadir kerana dipaksa belajar oleh keluarga. Kebanyakkan mereka datang dari latar belakang keluarga yang senang. Duit bukannya satu masalah buat mereka. Tapi mereka hanya perlukan sehelai kertas yang dipanggil sijil atau diploma untuk dibuktikan kepada keluarga. Mungkin disebabkan jarak umur yang tidak jauh berbeza, kami mudah serasi seperti kakak dan adik, tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan nilai-nilai professional seorang pendidik. Patung Beruang hanya berkhidmat disana selama 1 tahun 2 bulan sebelum dipanggil untuk berkhidmat di TNB.
Tanggal 25 February 2008, adalah hari pertama Patung Beruang berkhidmat di sebuah syarikat utility yang terbesar di Malaysia, Tenaga Nasional Berhad. Alhamdulillah, Patung Beruang ditempatkan di Group Internal Audit Department. Disinilah bermulanya karier Patung Beruang sebagai seorang internal auditor. Jika difikirkan, menjadi auditor adalah salah satu dari impian Patung Beruang selain menjadi seorang lecturer dan pakar psikologi. Amboi, banyaknya cita-cita, heheh.. Alhamdulillah, Allah makbulkan 2 impian Patung Beruang :)

Menjadi internal auditor sangat menarik sebenarnya walaupun boleh dikategorikan sebagai pekerjaan yang agak stressful. Yang seronoknya, kita berpeluang untuk belajar banyak benda dalam masa yang singkat. Yup, di universiti, Patung Beruang hanya belajar tentang accounting. Tetapi bila menjadi auditor, Patung Beruang kena buat audit berkenaan human resource, procurement, inventory management, media, customer management, projects, logistic etc... Dan setiap kali buat audit, pasti akan ada ilmu pengetahuan dan pengalaman baru yang akan diperolehi. Alhamdulillah, Patung Beruang sempat berkhidmat di TNB sehingga Ogos 2012 sebelum berhijrah ke tempat baru pula.

September 2012, Patung Beruang menyertai Pos Malaysia dan masih lagi di Internal Audit. Persekitaran di Pos Msia & TNB agak jauh berbeza. Yang pasti, Patung Beruang jatuh hati dengan persekitaran kekeluargaan di sini. Mungkin disebabkan staff yang tidak sampai 30 orang, buatkan kami saling mengenal antara satu sama lain. Disini, banyak perkara baru yang Patung Beruang belajar. Dan banyak juga audit baru yang Patung Beruang buat. Audit berkenaan postal industry, marketing industry, projects, logistic, sea freight, insurance industry etc. 

Setiap hari yang berlalu disini memberikan kepuasan yang tidak terhingga. Disini, Patung Beruang diberi kebebasan untuk buat audit dengan cara Patung Beruang sendiri, berfikir diluar kotak, mencari idea untuk membantu syarikat supaya lebih berdaya saing, memberi idea-idea baru kepada management dan yang penting, Patung Beruang bukanlah seorang policeman (tipikal auditor, huhu).. 

Namun, nampaknya jodoh kami tidak panjang. 30 June 2014 adalah tarikh akhir Patung Beruang berkhidmat disini. Mengapa mesti berpisah? Tidak gembirakah? Ada masalahkah? Atau sudah bosan dengan dunia internal audit? 

Tidak, Patung Beruang tidak pernah bosan dengan dunia internal audit. Dunia internal audit penuh dengan kejutan, penuh warna-warni. Disinilah cinta Patung Beruang. Tapi.. adat pertemuan, pasti ada perpisahan. Bukan kerana tidak gembira dan bukan juga kerana ada masalah.. segala-galanya ok. 

Walau jauh disudut hati ini, menyesali keputusan yang telah dibuat, tapi Patung Beruang harus terus melangkah kehadapan. Allah sedang menguji Patung Beruang. Disebabkan sifat tamak, Patung Beruang ketepikan kepuasan kerja. Disebabkan tergoda dengan hijaunya padang diluar, Patung Beruang tinggalkan padang yang sedia ada walaupun ia tiada cacat celanya. Ye, ia tidak sempurna tetapi masih sesuai untuk dinikmati kehijauannya. Ia masih lagi mampu memberi ketenangan kepada setiap mata yang melihat. Dan juga masih mampu memberi bau yang menyegarkan disetiap pagi. 

Hidup ini pentas peperiksaan untuk kita. Cuma terpulang pada kita bagaimana untuk menjawabnya. Tiada jawapan betul atau salah. Tiada lulus atau gagal. Hari ini kita melangkah dengan hebat. Esok pula mungkin kita tersilap langkah. Hari ini kita menemui ketenangan yang kita cari selama ini. Esok pula mungkin sibuk dan hiruk-pikuk yang menyelubungi kita. Apapun yang berlaku, kita mesti terus melangkah. Bersedih dengan keputusan yang dibuat? Boleh.. Tapi jangan untuk selama-lamanya. 

Bumi Allah ini luas. Rezeki kita, Allah yang bagi. Yang penting, kita usaha dan mohon pada-Nya agar diberikan yang terbaik untuk kita. Apa kah yang terbaik itu? Patung Beruang pun tidak tahu. Hanya Dia saja yang tahu. Sesungguhnya, Dia adalah Perancang yang paling hebat....Jadi, wahai kaki, teruslah melangkah. Usah lagi ditoleh kebelakang, kerana perjalananmu akan terus kehadapan. Kuatkan hati dan mohonlah pada Yang Esa... 

Saturday, October 18, 2014

Book Review: Selembut Hati Rasulullah

 

Tajuk Buku: Selembut Hati Rasulullah
 
Penulis: Miftahul Asror Malik
 
Kisahnya:
 
Minggu lepas Patung Beruang pulang ke Melaka. Tujuan asal adalah untuk ambil Road Tax Satria Neo yang ayah dah tolong renew kan. Dalam masa yang sama, boleh juga Patung Beruang menenangkan fikiran sebentar. Semenjak 2 menjak ini, Patung Beruang akui fikiran ini agak serabut. Memikirkan progress audit yang sedang berjalan di GMB, dengan kerenah client yang kadang-kadang mencabar kesabaran diri ini dan dengan staff yang berbagai ragam lagi.
 
Sepanjang perjalanan pulang ke Melaka, hati ini bagai ditarik-tarik untuk pergi ke kedai buku. Ye, kedai buku adalah tempat kegemaran Patung Beruang untuk menenangkan fikiran sekaligus sebagai terapi diri. Dan, ada beberapa buah kedai buku yang telah termasuk dalam senarai favourite Patung Beruang seperti Popular (Aeon Ayer Keroh, Aeon Melaka Bandaraya & Aeon Taman Equine) dan Bookxcess (Amcorp Mall).
 
Sampai dirumah, jam menunjukkan tepat pukul 8 malam. Selepas duduk sebentar dan bertanya khabar kepada ibu & ayah, Patung Beruang terus mengajak ibu untuk temankan Patung Beruang ke Popular Aeon Melaka Bandaraya. Pelawaan Patung Beruang disambut ibu dengan senang hati. Alhamdulillah, moh lah kita ke sana, heheh..
 
Dan seperti kebiasaanya, apabila menjejakkan kaki ke kedai buku, amat jarang sekali Patung Beruang keluar tanpa membeli walau senaskah buku. Malam itu, Alhamdulillah, buku ini adalah antara buku2 yg mendapat perhatian Patung Beruang untuk dimiliki :)
 
Menariknya Buku Ini:
Buku Selembut Hati Rasulullah karangan Miftahul Asror Malik ini menghimpunkan 102 kisah keagungan peribadi Rasulullah s.a.w yang dapat dijadikan teladan dan panduan sepanjang zaman.
 
Buku ini membawa pembaca menyelami dan merasai betapa lemah lembutnya dan sopannya peribadi, tutur kata dan tingkah laku Rasul yang kita cintai ini. Malah Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada Saidatina Aisyah, "Sesungguhnya Allah itu maha lembut, Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah memberikan kepada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan kepada sikap yang keras dan sikap lainnya." (Hadith direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim).
 
Bab pertama buku ini yang bertajuk "Hamba dan Raja ataupun Hamba dan Nabi" mengisahkan betapa Rasulullah tidah mencintai harta dunia walaupun Malaikat Israfil a.s. telah turun ke Bumi kerana diutus oleh Allah s.w.t untuk membawa kunci harta simpanan bumi. Allah s.w.t. juga telah memerintahkan Malaikat Israfil a.s. untuk memperlihatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan zamrud, yakut, emas dan gunung perak. Malah Rasulullah juga diberi pilihan samaada untuk menjadi nabi dan raja, atau nabi dan hamba. Namun, Rasulullah s.a.w. tidak gelap mata dengan kemewahan, kekayaan dan kekuasaan yang ditawarkan. Mulianya dan rendah dirinya peribadi Rasulullah s.a.w. sehingga Baginda nekad untuk memilih menolak kemewahan yang ditawarkan dengan menjadi nabi dan hamba.

Bab 31, "Kisah Unta Gemuk dan Unta Kurus" pula memperlihatkan sisi keadilan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang suami yang mempunyai isteri lebih dari seorang. Kisah ini bermula apabila Rasulullah berhasrat untuk keluar dan mengajak dua orang isteri Baginda iaitu Safiyyah binti Huyay dan Zainab binti Jahsyi. Baginda telah memerintahkan agar diberikan unta kepada kedua-dua isterinya. Namun, seorang isteri Baginda telah mendapat unta yang gemuk dan kuat, dan seorang lagi isteri pula mendapat unta yang kurus dan cacat. Kejadian ini telah menimbulkan kemarahan Baginda lantas membatalkan perjalanan yang telah dirancang itu. Ternyata kisah ini membuktikan betapa Baginda sangat mementingkan keadilan terutama apabila beristeri lebih seorang. Hal ini patut dijadikan contoh kepada pada suami diluar sana yang sedang berpoligami atau ingin berpoligami agar jangan sekali-kali ada kecenderungan pada salah seorang daripada isteri-isteri yang ada.

Sentiasa menjaga hubungan baik sesama jiran tetangga adalah dituntut didalam Islam. Malah terdapat dialog diantara Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dimana Rasulullah ada menyatakan jika seorang wanita itu rajin bersolat pada waktu malam dan berpuasa di siang hari tetapi mulutnya sering menyakiti hati jiran, tidak ada kebaikan pada diri wanita tersebut dan dia akan dimasukkan ke neraka. Kisah memelihara hubungan baik sesama jiran ini dilampirkan didalam Bab 98, "Larangan Menyakiti Jiran Tetangga."

Walaupun buku ini ditulis dengan gaya bahasa yang santai, namun ia tidak menghalang para pembaca untuk memahami intipati yang ingin disampaikan oleh penulis. Malah, sesudah pembacaan, para pembaca akan terpesona dengan keindahan watak dan keperibadian Rasulullah s.a.w. seperti yang digambarkan didalam buku ini. Tidak hairanlah, sesiapa sahaja yang berbicara dengan Baginda, sama ada kanak-kanak, remaja, orang dewasa hatta orang tua sekalipun akan rasa dihargai, disayangi dan diberi perhatian. Semoga kita juga mampu untuk berlemah lembut dan mengikut keperibadian mulia yang Baginda tunjukkan, Amin..  

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...