Monday, November 17, 2014

Book Review: Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia

Tajuk: 
Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia - Koleksi Kisah Ulama Silam Yang Kaya Dengan Pendidikan Akhlak.

Penulis: Umar Muhammad Noor

Cerita Patung Beruang:
Malam ini tiba-tiba Patung Beruang rasa seperti nak mengemas buku-buku yang ada didalam bilik ini. Ikutkan perancangan, Patung Beruang hendak memilih buku-buku yang telah dibaca untuk dibawa pulang ke kampung. Simpan saja di perpustakaan mini dirumah ayah. Boleh dibaca oleh ahli keluarga yang lain ataupun tetamu yang datang. Lagipun, minggu ini kan ada Pesta Buku in KLCC. So, Patung Beruang kenalah sediakan ruang untuk buku-buku baru yang bakal dibeli pula, cewahhhh, heheh.. 

Sedang leka mengemas, tiba-tiba Patung Beruang terjumpa buku ini. Ya Allah, inilah antara buku kegemaran Patung Beruang yang rasanya sangatlah rugi jika Patung Beruang tidak kongsikan pada semua betapa menariknya buku ini.

Menariknya Buku Ini:
Buku ini menghimpunkan kisah-kisah para ulama yang sangat kaya dengan akhlak yang terpuji, penuh ilmu dan hikmah untuk diambil pengajaran. Semuanya disusun dengan kemas didalam 30 bab. 

Bab 1: Akhlak Mulia Cerminan Islam membuka kisah dimana betapa pentingnya umat Islam sentiasa mengamalkan akhlak yang mulia kerana ia memberi gambaran yang jelas kepada umat Islam yang lain dan juga mereka yang bukan beragama Islam. Ia mengisahkan mulianya akhlak Rasulullah SAW apabila didatangi oleh wanita Yahudi dari Bani al-Mustoliq iaitu Juwairiyah binti al-Harits. Beliau merupakan puteri kepada seoarang pemimpin suku Bani al-Mustoliq tetapi kini beliau menjadi tawanan tentera Islam dan beliau diminta sejumlah wang tertentu jika hendak menebus dirinya. Bagi penyelesaikan urusan pembebasan dirinya, Rasulullah telah menikahi beliau dan ini juga bermakna semua tawanan Bani al-Mustoliq adalah besan Baginda SAW. Dan akhirnya kaum Muslimin segera memerdekakan setiap tawanan yang berada di tangan mereka tanpa perintah Rasulullah SAW. Sikap mulia para sahabat ini telah menyentuh hati tawanan-tawanan yang dibebaskan sehingga mereka dengan sukarela menyatakan keislaman mereka. Ya Allah, betapa akhlak yang mulia itu berjaya memikat orang lain untuk sama-sama berdamping dengan agama Islam. 

Bagaimanakah kita apabila berdepan dengan situasi dimana orang lain mencela kita? Adakah kita akan berdiam diri dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan kita agar kita tidak dicela lagi di kemudian hari? Atau, kita akan menjadi sangat marah dan bertikam lidah atau membalas celaan dengan orang yang mencela kita itu? Bab 2: Celaan Membakar Semangat boleh dijadikan panduan untuk kita apabila berdepan dengan celaan manusia lain. Didalam bab ini turut diceritakan mengenai seseorang yang mencela Ibnu Sina, ahli falsafah Islam yang sangat pandai dan genius. Orang tersebut mencela Ibnu Sina kerana beliau tidak hafaz al-Quran. Setelah mendengar celaan itu, Ibnu Sina menjadi sangat malu dan marah sehingga mendorong beliau untuk menghafaz seluruh al-Quran dalam hanya SATU malam sahaja. Ya Allah, betapa hebatnya ahli falsafah Islam ini. Beliau membalas celaan itu dengan cara yang sangat hebat. 

Seringkali manusia gemar merungut apabila dilanda musibah. Tanpa disedari, musibah yang ditimpakan oleh Allah SWT itu boleh membawa tuah jika kena cara untuk menguruskannya. Bab 5: Musibah Membawa Tuah menceritakan pasangan bahagia iaitu Abu Salamah dan Umi Salamah yang diuji dengan perpisahan ketika mereka hendak berhijrah ke Madinah. Dan seterusnya, Abu Salamah meninggal dunia akibat luka parah ketika Perang Uhud. Musibah yang menimpa Umi Salamah benar-benar menguji kesabarannya kerana beranggapan tiada lelaki yang lebih baik dari Abu Salamah. Dan akhirnya, selepas tempoh 'iddah, beliau dipinang  oleh Rasulullah SAW, iaitu manusia terbaik yang Allah SWT ciptakan. Maka ingatlah, apabila musibah itu datang, walau betapa sedihnya kita, Allah SWT telah mengaturkan perjalanan yang terbaik untuk kita. Mudah-mudahan kita akan sentiasa bersabar dan bersangka baik dengan Dia Yang Maha Kuasa.

Bab 20: Berikan Makanan Halal Untuk Anak pula menceritakan betapa pentingnya makanan halal diberikan kepada anak-anak. Jika dilihat, para ulama terdahulu sangat menjaga pemakanan mereka dan anak-anak mereka. Sehinggalah ke urusan susu ibu yang diminum oleh si kecil tersebut. Mereka tidak pernah mengizinkan orang lain menyusui anak kecil mereka selain dari isteri mereka. Ini bagi memastikan tubuh anak itu tidak bercampur sesuatu yang tidak dapat dipastikan kehalalannya. Didalam bab ini turut diterangkan berkenan konsep halal,  haram dan juga syubhat. Syubhat iaitu perkara-perkara yang samar dan ia terletak diantara halal dan haram. "Sesiapa yang meninggalkan perkara-perkara yang syubhat, maka ia telah membersihkan kehormatan diri dan agamanya. Sesiapa yang jatuh ke dalam syubhat, maka ia terjatuh ke dalam haram." Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada an-Nu'man bin Basyir. 

Sebenarnya, jujur Patung Beruang katakan semua bab yang ada didalam buku ini sangat menarik dan penuh dengan pengajaran. Banyak kisah-kisah yang pertama kali Patung Beruang dengar atau baca, dan ini menambahkan lagi rasa excited untuk menghabiskan pembacaan buku ini. Semua kisah tersebut sebenarnya berkait dengan realiti kehidupan kita pada masa kini seperti pentingnya menjaga soal halal dan haram dari semua aspek lebih-lebih lagi pemakanan kita, pentingnya kita menuntut ilmu kerana semua ilmu adalah sangat berharga, kita juga dituntut untuk berfikir sebelum berkata-kata kerana jika salah percakapan, buruk padahnya, adab bersosial sesama manusia, buruknya sifat mengumpat dan berprasangka dan lain-lain. Moga semua pembaca mendapat manfaat dari buku ini, Amin.. 

Thursday, November 13, 2014

Book Review: 7 Peristiwa Yang Mengejutkan Manusia

Tajuk: 7 Peristiwa Yang Mengejutkan Manusia

Penulis: Dr. Adil Alhyar LL.M

Kisahnya Patung Beruang: 

Buku ini Patung Beruang habiskan pembacaannya pada awal tahun hari itu, iaitu ketika Patung Beruang masih lagi berkhidmat di Internal Audit Department, Pos Malaysia Berhad. Dan usai pembacaan, Patung Beruang terus menyimpannya didalam storage box sehingga Patung Beruang terlupa yang buku ini belum didokumenkan dalam blog ini. 

Namun, di awal Oktober hari itu, ketika shopping buku di Popular, Patung Beruang ternampak buku ini. Dan minda ini mula berputar ligat memikirkan adakah buku ini sudah Patung Beruang miliki? Jika ya, adakah Patung Beruang sudah selesai membacanya? Nasib baik tangan ini tidak terus membuat keputusan untuk mencapai dan membeli buku ini untuk kali yang ke-2 kerana apabila pulang ke rumah, ye betul lah sangkaan Patung Beruang. Buku ini terletak elok didalam storage box didalam bilik, huhu.. Sabar je lah...

Menariknya Buku Ini:
Buku ini ditulis selari dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Segeralah kamu beramal sebelum datang 7 perkara; apakah kamu akan menanti hingga datang kemiskinan yang membuat kamu lupa, ataupun kaya yang membuat kamu sombong, ataupun sakit yang merosakkan kehidupan kamu, ataupun tua yang melemahkan kekuatan, ataupun kematian yang datang secara tiba-tiba, ataupun datangnya dajal, iaitu makhluk ghaib yang paling buruk, ataupun datangnya hari kiamat, iaitu hari yang sangat dasyat dan mengerikan?" (Hadis riwayat Tirmidzi)

Buku ini terbahagi kepada 7 bab iaitu:

1. Peristiwa Kemiskinan Yang Melalaikan. 
  • Bab ini menceritakan dimana orang miskin sebenarnya mempunyai peluang yang besar untuk merasakan nikmat kasih sayang Allah SWT. Tetapi, ramai orang miskin yang memilih untuk hidup didalam kekufuran. 
  • Punca-punca kemiskinan terbahagi kepada 3 iaitu alamiah ataupun disebabkan oleh keadaan semula jadi seseorang, budaya iaitu rendahnya kualiti manusia akibat budaya masyarakat tertentu seperti sikap malas dan akhir sekali struktur. Struktur lebih kepada kemiskinan yang disebabkan oleh kelemahan sistem yang digunakan oleh suatu negara dalam mengatur urusan rakyat.
  • Turut disentuh juga peranan negara untuk meminimumkan masalah kemiskinan yang membelenggu masyarakat. Jika negara tersebut lebih berpaksikan kepada kapitalis dimana peranan negara dalam bidang sosial dan ekonomi secara langsung sepatutnya diuruskan seminimum yang boleh, maka bersiap sedia lah untuk melihat masalah kemiskinan yang membuak-buak didalam negara tersebut. 
2. Peristiwa Kekayaan Yang Melahirkan Penderhaka 
  • Apakah erti kekayaan yang sebenar? Adakah wang simpanan yang berjuta-juta ringgit atau deretan kereta mewah di puluhan banglo mewah itu dianggap kekayaan? Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda, "Kekayaan bukanlah banyak harta benda, tetapi kekayaan ialah kekayaan hati" (Hadis riwayat Bukhari Muslim). 
  • Jadi, bagaimanakah untuk kita memperoleh kekayaan yang sebenar???
  • Dipaparkan juga kisah si kaya yang menderhaka seperti Qarun dan kisah si kaya yang soleh seperti Abdul Rahman bin Auf r.a. 
3. Peristiwa Sakit Yang Merosakkan Kehidupan
  • Manusia tidak akan terlepas dari sakit. Tetapi, benarkah sakit itu adalah tanda Allah SWT sayang pada kita? Dan benarkah kebanyakkan manusia ingin bertaubat dan berjanji untuk tidak mengulangi dosa-dosa silam mereka apabila mereka diberikan kesakitan? 
  • Bagaimana pula sakit menurut pandangan Al-Quran? Surah al-Anbiya, ayat 83-84 dalam Al-Quran menyebut tentang kisah Nabi Ayub A.S yang ditimpa penyakit, kehilangan harta dan anak-anaknya. Namun, semua itu tidak melemahkan semangat Nabi Ayub A.S. malah beliau tetap bersabar dan teguh keimanannya pada Allah SWT. Berkat kesabarannya, Allah SWT telah memberi kesembuhan kepada Nabi Ayub A.S. 
  • Didalam Bab ini turut dicatatkan kisah yang menarik mengenai 3 orang Bani Israil yang menderita akibat penyakit belang, botak dan buta. Apabila diberi kesembuhan oleh Allah SWT, ada antara mereka menjadi kufur tetapi ada juga yang menjadi soleh. Dan akhirnya, setiap mereka mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatan masing-masing. 
4. Peristiwa Tua Yang Melemahkan 
  • Islam meletakkan garis panduan umur seseorang mengikut tahap-tahap berikut: Mumaiyiz, Pemuda ataupun Pemudi dan Orang Tua. Jadi, bagaimanakah yang sepatutnya kita mengisi umur yang kita lalui sehari-hari ini demi mendapat keredhaan Allah SWT? 
  • Umur 40 tahun sering diungkapkan oleh ramai orang. Mengapa pentingnya umur 40 tahun itu? Adakah ia juga turut disebutkan didalam Al-Quran? Terdapat pelbagai tanda orang yang berusia 40 tahun seperti pencapaian yang sempurna dari segi material, kerjaya yang mantap, cenderung untuk melakukan amalan-amalan yang baik, rumah tangga yang semakin harmoni, cenderung untuk bertaubat dan kembali pada Allah SWT dan sebagainya. 
  • Bagaimana dengan tahap umur 60 tahun pula? Apakah hikmahnya jika Allah memberikan kita kesempatan untuk menikmati umur 60 tahun? 
  • Turut diceritakan perihal sahabat Nabi Muhammad SAW yang panjang umur iaitu Anas bin Malik. 
5. Peristiwa Kematian Yang Mengejutkan
  • Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Cuma, bila, bagaimana dan dimana menjadi rahsia Allah SWT. Adakah kematian itu bermakna pengakhiran kepada perjalanan kita? Tidak.. Bagi umat Islam, kita percaya bahawa kematian itu hanyalah satu daripada perjalanan kita untuk menuju ke alam yg kekal iaitu alam Akhirat. 
  • Mengapa manusia takut mati? Adakah ia datang secara tiba-tiba? Atau ia datang dengan perlahan-lahan? Apakah tanda-tandanya? Adakah kita menyedari tanda-tanda tersebut? 100 hari sebelum kematian? 40 hari sebelum kematian? 7 hari sebelum kematian? 3 hari sebelum kematian? 1 hari sebelum kematian? dan pada hari kematian?
  • Turut dicoretkan kisah Nabi Ibrahim A.S dimana beliau ingin melihat bentuk wajah malaikat Izrail ketika mencabut nyawa orang yang diredhai dan orang yang dilaknat oleh Allah SWT.
6. Peristiwa Dajal Si Penjahat
  • Dajal merupakan seorang kafir yang jahat. Ia akan muncul menjelang Hari Kiamat dengan membawa fitnah. Seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, "Sejak Allah SWT menciptakan Nabi Adam AS hingga ke Hari Kiamat nanti, tidak ada satu ujian pun yang lebih dasyat daripada dajal." (Hadis riwayat Muslim)
  • Dalam bab ini diceritakan perihal dajal membawa air dan api ketika musim kemarau, dan dajal akan bertanya adakah manusia itu menginginkan api ataupun air? Jika dia menjawab air, hal itu bermakna api yang akan diberikannya. Jika jawapannya api, dia akan memberikan air. 
  • Turut dicoretkan bagaimana untuk kita manusia berlindung daripada dajal. Seperti yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW agar kita umat Islam membaca dan menghafal 10 ayat pertama daripada surah al-Kahfi sebagai perlindungan daripada dajal. 
  • Selain itu, identiti dajal seperti dimana tempatnya, saiz badannya, 2 tandanya, jangka masa dajal hidup, tanda khusus dajal dan fitnah yang akan dibawa oleh dajal turut dikongsikan oleh penulis didalam buku ini. 
7. Peristiwa Hari Kiamat Yang Dasyat
  • Beriman kepada Hari Kiamat termasuk dalam salah satu Rukun Iman yang wajib dipegang oleh semua umat Islam. Tetapi adakah kita telah bersedia dengan kedatangan Hari Kiamat itu walaupun kita tahu ia pasti akan datang? 
  • Apakah tanda-tanda Hari Kiamat itu? Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menjelaskan tanda-tanda Hari Kiamat dalam beberapa buat hadisnya. Antaranya adalah, "Sesungguhnya Kiamat itu tidak akan terjadi sebelum adanya 10 tanda-tanda Kiamat, iaitu tenggelam di Timur, tenggelam di Barat, tenggelam di Jazirah Arab, adanya asap, datangnya dajal, dabbah (binatang merayap yang besar), Yakjuj dan Makjuj, terbit matahari dari sebelah barat, keluar api dari hujung Aden yang membawa manusia, dan turunnya Nabi Isa AS." (Hadis riwayat Muslim)
  • Peristiwa Hari Kiamat turut diceritakan didalam bab ini dimana ia merangkumi dasyatnya Hari Kiamat tersebut, terjadinya kematian secara serentak bagi segala makhluk hidup, kebangkitan seluruh manusia daripada kematiannya, berkumpulnya manusia di Padang Mahsyar, detik perhitungan untuk segala amalan seseorang di dunia, Mizan iaitu alat untuk mengukur atau menimbang amalan manusia setelah dihisab, Siratulmustakim (jambatan) yang terbentang dia atas neraka jahanam. Semua manusia akan melaluinya termasuklah para Nabi dan Rasul. Dan akhir sekali Syurga dan Neraka. 
Secara keseluruhannya, buku ini penuh dengan petikan-petikan ayat Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW yang bersesuaian dengan topik yang diketengahkan. Topik yang berat tetapi disampaikan dengan cara penulisan yang santai sedikit tanpa menjejaskan objektif topik tersebut. Moga-moga semua pembaca mendapat manfaat dari penulisan buku ini, Amin.. 

Wednesday, November 5, 2014

Rapuhkah Rumahtangga Yang Dibina???

Hari Khamis lepas, 30 October 2014, Patung Beruang hadir ke Mahkamah Syariah di Negeri Sembilan. Walaupun kes ini tidak melibatkan ahli keluarga terdekat Patung Beruang, tapi kehadiran diri ini lebih kepada untuk memberi sokongan moral pada insan-insan yang terlibat. 

Ketika Patung Beruang menunggu di Mahkamah Syariah tersebut, Patung Beruang terbaca senarai pasangan yang hadir untuk sebutan atau perbicaraan kes rumahtangga pada hari tersebut. Lebih dari 10 pasangan. Tetapi yang paling Patung Beruang sedih, pasangan yang termuda adalah suami yang berumur 24 tahun dan si isteri pula baru 22 tahun. Ya Allah, mudanya kalian, pasti rumahtangga yang dibina juga masih hijau. Tetapi, mengapa kalian berada disini? Apakah sudah hilang rasa cinta sesama kalian? Atau kalian mula merasakan bahawa tanggungjawab berumahtangga ini terlalu berat sehingga tidak mampu untuk kalian pikul? Tidak ada lagikah jalan penyelesaian yang boleh diambil sehingga kalian nekad untuk membawanya ke mahkamah? 

Seingat Patung Beruang, sejak diri ini berumur 20-an lagi, Patung Beruang sudah disogokkan dengan cerita-cerita rumahtangga yang bermasalah. Suami atau isteri yang tidak bertanggungjawab, isteri yang memendam rasa, campur tangan mertua atau ipar duai yang tidak berkesudahan, masalah kewangan yang membelenggu, zuriat yang tidak kunjung tiba, pasangan yang curang dan bermacam lagi alasan.  

Ye, Patung Beruang akui tiada rumahtangga yang sempurna, tiada pasangan yang sempurna. Namun, kekurangan itulah yang sepatutnya saling melengkapi antara satu sama lain. Bukankah ketika bernikah, kita sudah berjanji untuk membina rumahtangga yang diredhai dan diberkati, syurga dunia dan akhirat dengan bersaksikan Yang Maha Esa? Mengapa janji yang diikat mudah untuk dilepaskan? 

Walaupun Patung Beruang ini belum berkahwin, tetapi dari pemerhatian insan kerdil ini, dapat Patung Beruang simpulkan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh semua pasangan yang berumahtangga:

1.  Kembali Pada Islam
  • Rumahtangga yang dibina mestilah berlandaskan Islam. Lihatlah kembali perjalanan seharian rumahtangga kita. Bilakah kali terakhir kita solat berjemaah dengan diimamkan oleh si suami? Atau, berapa kerapkah kita sekeluarga menuju ke Masjid/Surau untuk solat berjemaah? Bagaimana pula dengan sesi mengaji Al-Quran? Atau paling tidak pun, bacaan Yasin bersama-sama pada hari Khamis malam Jumaat.
  • Tapi, bagaimana jika kita dan/atau pasangan kita tidak arif tentang soal Islam? Tidak arif tentang solat dan membaca Al-Quran, serta ibadah-ibadah yang lain? Usah malu... Tiada manusia didunia ini yang tahu segala-galanya. Bukakan hati dan minda untuk menimba ilmu. Hadirkan diri ke kelas-kelas agama, bacalah buku-buku, rajin-rajinlah bertanya untuk menimba ilmu. Bukankah kita dituntut untuk mencari ilmu selagi hayat dikandung badan?

2.  Komunikasi, Komunikasi & Komunikasi.
  • Pasangan kita bukanlah mind-reader. Oleh itu, tidak adil apabila mengharapkan pasangan kita mengetahui atau memahami segala apa yang ada dalam fikiran atau hati kita ini. Adilkah kita mengharapkan pasangan bersama-sama kita untuk merealisasikan impian yang kita bina sedangkan tidak sekali pun kita pernah bercerita padanya tentang impian tersebut? Berkomunikasi lah, maka segala-galanya akan terungkai. 
  • Tetapi, jangan kita lupa, berkomunikasi juga ada caranya dan kaedahnya. Bercakap meninggi suara dan mengherdik itu adalah komunikasi, memaki hamun juga berkomunikasi, bercakap dengan penuh sindiran dan muka yang masam juga dipanggil komunikasi. Bukankah Rasulullah SAW adalah seorang yang sentiasa berlemah lembut baik tutur kata dan perbuatan? Maka, mengapa kita tidak mencontohi keperibadian Baginda sedangkan ia juga salah satu sunnah Rasulullah SAW? Ingat lah, jika kita tidak suka diperlakukan sedemikian, percaya lah yang orang lain juga tidak suka jika mereka diperlakukan dengan cara yang sama. 
3.  Jujurlah...
  • Pepatah lama ada mengatakan, "Siakap senohong ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri."  Pembohongan jika sering diamalkan, lama-kelamaan akan memakan diri sendiri, menyebabkan hilangnya rasa percaya dan hormat, malah boleh merosakkan rumahtangga yang dibina. Sebenarnya, tiada istilah bohong sunat atau tipu sunat. Berlaku jujurlah dengan diri sendiri, pasangan dan juga orang disekeliling. Kebenaran itu adakalanya sangat pahit, tetapi pembohongan itu beribu kali lebih menyakitkan terutama apabila ia terbongkar. 
  • Mengapa perlu berbohong mengatakan diri ini single ketika sedang berdepan dengan jejaka atau gadis pujaan sedangkan akad nikah sudah berjalan terlebih dahulu dengan insan lain?  Mengapa perlu berpura-pura menjadi hartawan sedangkan anak dan isteri sering kebuluran?  Mengapa menempah perabot mahal sedangkan sedar gaji suami tidak seberapa? 
4. Bersyukurlah Dengan Segala Yang Kita Ada.
  • Kita mungkin kurang bersyukur sehingga merasakan pasangan yang telah bersama berbelas-belas tahun ini tidak mampu membahagiakan kita. Kita mungkin kurang bersyukur apabila merasakan sang kekasih diluar sana lebih baik, lebih sempurna, lebih hebat dan lebih segala-galanya dari pasangan yang kita nikahi sekian lama. Kita mungkin kurang bersyukur apabila merasakan suami kita terlalu kedekut untuk berbelanja mewah seperti jiran tetangga yang saban minggu berkunjung ke Pavilion dan saban tahun melancong ke Eropah. Kita mungkin kurang bersyukur sehingga apabila si anak hanya mampu membawa 4A dan 1B untuk UPSR, kita leteri berhari-hari dan berminggu-minggu seperti dia gagal untuk masuk ke Tingkatan 1.  
  • Cukup-cukuplah hidup yang penuh dengan perbandingan. Disaat kita menghitung kelemahan dan kekurangan pasangan kita, diluar sana masih ramai insan yang tidak berpeluang untuk mempunyai pasangan. Disaat kita berlawan material dengan jiran tetangga, masih ada mereka yang membanting tulang 4 kerat untuk mencari sesuap rezeki yang halal demi meneruskan kelansungan hidup ini. Disaat kita meleteri si anak yang dirasakan sudah puas berusaha, ada ibu bapa diluar sana yang redha dengan segala kekurangan fizikal dan mental anak mereka. Bukankah setiap anak yang lahir ke dunia ini adalah hadiah dari Yang Maha Esa? Mengapa hendak kita sia-siakan hadiah yang sudah ada ditangan kita disaat ramai lagi pasangan lain yang mendambakannya? Jadi, bersyukurlah.. 
Hm.. apa yang dicoretkan diatas itu adalah pendapat yang lahir dari pemerhatian Patung Beruang sendiri. Takutkah untuk berumahtangga? Ye, memang takut. Tapi itu bukan alasannya mengapa sampai sekarang Patung Beruang belum berpunya. Allah lebih tahu bilakah masa yang sesuai untuk Patung Beruang bertemu jodoh. Jika tidak didunia, pasti diakhirat kelak.. Amin.. 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...