Saturday, December 27, 2014

Book Review: The Top 10 Distinctions Between Entrepreneurs and Employees

Tajuk: The Top 10 Distinctions Between Entrepreneurs and Employees

Penulis: Keith Cameron Smith

Menariknya Buku Ini: 
Buku motivasi ini adalah buah tangan dari Big Bad Wolf yang berlangsung 2 minggu lepas. Buku yang comel dan gaya penulisan yang santai, membuatkan Patung Beruang tertarik untuk membacanya ketika di dalam Hall lagi. 

Buku ini menggariskan 10 perbezaan utama antara mentaliti atau sikap seorang usahawan dan seorang pekerja. Dan isi-isi penting yang dapat Patung Beruang kongsikan disini adalah seperti berikut:


Perbezaan ke-10: Usahawan mendidik diri mereka lebih dari berhibur. Pekerja berhibur lebih dari mendidik diri mereka sendiri. 
  • Seorang usahawan akan memperuntukkan lebih banyak masa untuk mereka mencari ilmu pengetahuan, meningkatkan kualiti diri dan mencari ilmu atau pengalaman baru. 
  • Usahawan kurang memikirkan bagaiman untuk menghiburkan diri mereka atau orang disekeliling. 
  • Kehidupan yang padat tidak pernah menghalang mereka untuk berusaha memperbaiki diri. 
  • Seorang pekerja pula lebih mementingkan hiburan dari memperbaiki diri mereka sendiri. Pekerja menganggap yang hiburan itu adalah satu acara wajib untuk mereka berehat setelah penat bekerja. 
Perbezaan ke-9: Usahawan melihat kegagalan itu sebagai peluang tetapi pekerja melihat kegagalan itu sebagai kelemahan. 
  • Apabila seseorang usahawan itu gagal, mereka akan berusaha untuk mencari punca kepada kegagalan itu dan bagaimana cara untuk mengatasinya supaya ia tidak berulang. 
  • Bagi usahawan, kegagalan itu adalah peluang untuk mereka menimba ilmu dan pengalaman baru. Melihat kepada apa yang perlu dibuat, tetapi tidak dibuat. Dan apa yang sepatutnya ditinggalkan, tetapi dibuat pula. 
  • Tetapi, bagi pekerja, kegagalan adalah satu kelemahan yang tidak sepatutnya berlaku. Dan disinilah bermulanya adegan tunding menunding jari antara satu sama lain. 
  • Harus diingat, menyalahkan dan berbalah antara satu sama lain tidak akan menyelesaikan masalah, malah akan menambahkan masalah yang lain pula. Dan, tidak mustahil ia akan membawa kepada kesilapan yang sama atau mungkin lebih teruk dimasa hadapan. 
  • Bagi usahawan, kegagalan itu adalah sahabat dan bukannya musuh. Jadi, jangan sekali-kali takut untuk gagal. 
Perbezaan ke-8: Usahawan mencari jalan penyelesaian jangka panjang, pekerja pula hanya menyelesaikan masalah pada ketika itu. 
  • Ada perbezaan ke antara penyelesaian jangka panjang dan menyelesaikan masalah pada ketika itu juga? Ye, sudah semestinya ada. Seorang usahawan akan cuba untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi agar dia tidak perlu berdepan dengan masalah yang sama di masa hadapan. Tetapi, pekerja biasanya hanya akan menyelesaikan masalah pada masa itu. Jika ia berulang keesokkan harinya, mereka akan selesaikan lagi dan lagi dan lagi.. dan begitu lah seterusnya. Jadi, tidak hairanlah jika masalah yang sama telah wujud bertahun-tahun tanpa ada sebarang inisiatif untuk menghentikannya terus buat selama-lamanya. 
  • Usahawan tidak takut untuk bekerja keras sekarang demi kesenangan di masa hadapan. 
  • Ibarat begini lah, manusia malas untuk naik tangga untuk pergi ke tingkat atas. Jadi, mereka juga lah yang mencipta lif dan eskelator agar mereka tidak perlu bersusah payah lagi untuk memanjat tangga. 
Perbezaan ke-7: Usahawan tahu sedikit mengenai banyak perkara. Pekerja tahu banyak mengenai sedikit perkara. 
  • Pening ke? Hehehe.. begini kiasannya. Seorang CEO sebuah syarikat ternama tahu banyak tentang syarikat nya, dari segi produk, business development, operation, planning, finance, strategic, marketing, risk, logistics, customers dan sebagainya. Tetapi, pekerja di Finance Department, hanya tau berkenaan kedudukan kewangan syarikat tetapi dengan mendalam. Begitu juga pekerja di Risk Management Department, beliau pastinya arif dengan risiko yang dihadapi oleh syarikat pada masa ini. Tetapi, mungkin kurang arif bagaimana kelemahan di logistic sekarang boleh memburukkan lagi risiko yang dihadapi oleh syarikat. 
  • Ye, memang kita kena tahu banyak perkara. Dan, dengan pengetahuan yang luas itulah yang akan membantu seseorang usahawan itu untuk membuat keputusan yang tepat dalam perniagaannya. Cuma, kita mungkin tidak pakar dalam semua benda. Tidak mengapa, itulah gunanya teamwork. Berkongsi kepakaran dengan pihak lain didalam syarikat yang sama, bakal mewujudkan satu sinergi yang hebat untuk syarikat tersebut. 
Perbezaan ke-6: Usahawan memberi dan menerima pujian serta teguran. Pekerja tidak memuji dan mengelak pembetulan. 
  • Kita bekerja tiap-tiap hari dengan manusia, bukannya robot. Jadi, kemahiran komunikasi dan psikologi adalah penting bagi menjaga keharmonian. 
  • Seseorang usahawan, tidak lokek untuk memberi pujian baik kepada pekerja bawahan, pelanggan hatta pesaing sekalipun.
  • Dan mereka juga tidak kisah untuk menerima teguran, baik dari pekerja, pelangga dan juga pesaing. 
  • Mengapa? Sebab ini adalah salah satu platform bagi mereka untuk meningkatkan kepuasan pihak disekeliling, sekaligus mewujudkan hubungan yang harmoni. Jgn lupa, mereka juga manusia seperti kita. 
Perbezaan ke-5: Usahawan berkata, "Duit terhenti disini." Pekerja pula berkata, "Ini bukan salah saya."
  • Usahawan akan mengambil tanggungjawab atas kesilapan atau kelemahan yang berlaku. Walau bagaimana teruk pun keadaannya, mereka akan merasakan bahawa tanggungjawab mereka untuk mencari jalan penyelesaian. Ini kerana bagi mereka, kesilapan dan kelemahan itu menyebabkan jentera operasi tidak berjalan, bermakna duit mereka juga statik disitu. 
  • Bagaimana pula dengan mereka yang mempunyai mentaliti seorang pekerja? "Ah, ini bukan salah saya."           "Saya tidak ada kena mengena dengan kejadian itu."          "Saya tidak tahu yang mesin itu rosak."                         "Salah mereka kerana tidak ikut jadual pengeluaran yang sepatutnya." 
  • See, tanggungjawab itu ditolak kepada pihak lain. Pekerja merasakan mereka tidak bertanggangjawab dan tidak bersalah kerana orang lain yang sepatutnya memikul tanggungjawab itu. 
Perbezaan ke-4: Usahawan membina kekayaan. Pekerja membuat duit. 
  • Pekerja berkerja berhempas pulas bagi memastikan adanya gaji dihujung bulan. Dapat gaji, hutang dah bersusun menunggu untuk dilangsaikan. Akhirnya, habis bulan, habislah duit. Tidak bersisa pun. Tabungan atau simpanan? Sangat minimum. Dan jika berlakunya kes-kes kecemasan, ia pasti habis digunakan.
  • Tetapi, usahawan berkerja berhempas pulas bagi memastikan mereka mendapat kebebasan kewangan di masa hadapan. Tidak perlu menunggu hujung bulan untuk mendapatkan income.  Hari-hari pun boleh dapat. Hutang? Hanya untuk menambahkan aset atau menambahkan duit. Bukannya sebagai liability. 
Perbezaan ke-3: Usahawan terbang bersama-sama helang. Pekerja bersiar-siar bersama-sama ayam. 
  • Pernah kah kita mendengar satu pepatah, "Jika kita hendak kenal siapa diri kita, lihatlah siapa kawan-kawan kita." 
  • Ada juga pepatah yang menyebut,  "Berkawan dengan penjual minyak wangi, kita pun akan sentiasa berbau harum."
  • Ye, orang disekeliling kita adalah cermin kepada diri kita. 
  • Hendak kaya, berkawanlah dengan orang-orang yang kaya dan berjaya. Hendak main saham, berkawan lah dengan mereka yang telah kaya kerana bermain saham. Hendak menjadi seorang penulis yang hebat, berkawanlah dengan mereka yang telah menghasilkan karya-karya yang hebat. Hendak menjadi seorang yang taat agama, berkawanlah dengan mereka yang alim. In shaa Allah, sedikit sebanyak tabiat dan ilmu mereka akan kita dapat tempiasnya. 
  • Jadi, mulai sekarang, audit lah diri kita. Lihatlah, siapakah kawan-kawan disekeliling kita. Adakah ia kawan-kawan yang akan membantu kita untuk jadi lebih hebat atau mereka hanyalah kawan-kawan yang membuatkan kita jadi lebih negatif. 
Perbezaan ke-2: Usahawan melihat kepada masa hadapan, pekerja pula melihat kepada masa silam. 
  • Ramai orang sering membangga diri dengan kejayaan yang telah atau pernah mereka kecapi. Tetapi, apa yang mereka buat untuk memastikan kejayaan yang sama atau lebih hebat, berulang di masa hadapan? 
  • Apabila kita hanya melihat kepada masa silam, ia akan membuatkan kita terbuai dengan kejayaan yang lepas. Lantas, kita akan lupa untuk berusaha lebih gigih dengan alasan kita PERNAH berjaya pada satu masa dahulu. 
  • Tetapi, jika kita sering melihat ke masa depan, kita akan mula berfikir, merancang dan berusaha untuk mencipta kejayaan yang lebih hebat dimasa hadapan. Kita percaya, kita mampu mencipta sejarah dikemudian hari.
  • Maka, tinggalkan masa lepas dan teruslah melangkah untuk hari esok. 
Perbezaan no. 1: Usahawan mengambil risiko sebab takdir. Pekerja mengambil jalan selamat sebab takut. 
  • Ada pepatah mengatakan, "Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga." Ia adalah pepatah yang bagus dimana, ia mengajar kita supaya mengambil langkah yang sepatutnya sebelum membuat apa-apa keputusan yang berisiko. Mengapa? Sebab untuk meminimakan risiko yang bakal terjadi. Dalam istilah Risk Management, what are your mitigation actions
  • Seseorang usahawan tidak takut mengambil risiko. Bagi mereka, risiko itu boleh mendatangakan keuntungan atau pun mengakibatkan kerugian kepada mereka. Tetapi, tidak salah untuk mereka mencuba dengan alasan mereka telah menyiapkan mitigation action yang sepatutnya.
  • Tetapi, bagi seorang pekerja, mengapa hendak bersusah payah mengambil risiko? Buat saja seperti apa yang orang lain biasa buat. Ye, ambil lah jalan selamat kerana dengan jalan selamat itu, mereka telah tahu apa outcome nya. Bukankah itu pengecut namanya?
Kesimpulannya, Patung Beruang merasakan yang buku ini sangat menarik untuk dibaca. Buku motivasi yang sangat santai tetapi menyindir keperibadian atau pemikiran kita sendiri :)

Friday, December 26, 2014

Book Review: My Favourite Wife

Tajuk: My Favourite Wife

Penulis: Tony Parsons

Ceritanya Patung Beruang:
Ini adalah novel ke-2 karya Tony Parsons yang Patung Beruang miliki. Buah tangan Tony Parsons yang pertama Patung Beruang miliki adalah novel bertajuk Man and Boy, yang dibeli pada tahun 2010. Sebuah novel yang menarik dimana ia berkisar tentang kehidupan seharian seorang bapa tunggal yang membesarkan anak lelakinya. 

My Favourite Wife adalah buah tangan dari Big Bad Wolf tahun 2011. Hm.. baru sekarang Patung Beruang dapat baca kan? Malunya, huhu.. kesian novel ini hanya terperap di rak buku selama 3 tahun. 

Seperti Man and Boy, Tony Parsons tidak pernah mengecewakan Patung Beruang. My Favourite Wife hanya mengambil masa selama 3 hari saja untuk Patung Beruang habiskan pembacaan. Sangat menarik, penuh dengan kejutan tetapi sangat realistik.

Synopsis Novel: 
My Favourite Wife berkisarkan kepada beberapa watak utama iaitu Bill Holden, Becca dan Jin Jin Li.  Bill Holden adalah seorang peguam di kota London. Berkahwin di usia muda dengan Becca, seorang bekas wartawan dan keluarga bahagia ini diserikan dengan seorang anak comel, Holly. 

Bill dan Becca mengambil keputusan untuk berhijrah ke Shanghai dimana Bill mendapat tawaran kerja dari firma guaman asing yang terkenal di sana. Perpindahan ke Shanghai membawa 1001 impian buat keluarga ini. Impian Bill untuk menjadi rakan kongsi firma guaman, impiannya untuk menyediakan kehidupan yang mewah dan terbaik buat Becca dan Holly. 

Di Shanghai, mereka menetap di Paradise Mansions. Kawasan kediaman elit tetapi juga merupakan syurga untuk lelaki-lelaki China menempatkan isteri kedua atau wanita simpanan mereka. Dan di Paradise Mansions juga lah, Bill berkenalan dengan Jin Jin Li, salah seorang penghuni di blok sebelah. 

Jin Jin Li adalah teman wanita kepada seorang lelaki kaya China. Pernah bekerja sebagai guru, tetapi desakan hidup untuk menyara keluarganya dan demi kemewahan membuatkan Jin Jin Li nekad meninggalkan pekerjaan guru dan menjadi wanita simpanan.

Baru beberapa ketika mereka di Shanghai, Becca terpaksa pulang ke London bersama Holly, demi menjaga ayahnya yang sakit. Tekanan di tempat kerja dan ditambah dengan ketiadaan Becca dan Holly, membuatkan Bill merasakan hidupnya kosong. Bill mula rapat dengan Jin Jin Li sehingga membibitkan rasa cinta antara mereka. 

Sekembalinya Becca dan Holly dari London, Bill cuba untuk merenggangkan hubungannya dengan Jin Jin Li. Namun, perhubungan antara Bill dan Jin Jin Li berjaya dihidu oleh Tess Devlin iaitu isteri kepada majikan Bill. Dan dalam satu pertengkaran ketika makan malam di restoran, Tess Devlin tanpa sengaja telah membangkitkan isu perhubungan ini dan ia didengari oleh Becca. 

Becca begitu kecewa dengan apa yang telah Bill lakukan dan merasakan diri dikhianati. Dapatkan Bill mempertahankan rumahtangga mereka? Atau Bill nekad untuk bersama Jin Jin Li yang dilihatnya sebagai cinta sejati? Adakah perhubungan Bill dan Jin Jin Li akan memberi impak kepada kerjaya Bill? Adakah Bill berjaya menjadi rakan kongsi firma guaman tersebut memandangkan beliau adalah top performer disana? 

Menariknya Novel Ini:
Novel ini berlatar belakangkan Shanghai dimana pada masa ini, ekonomi China sedang memuncak. Banyak pelabur asing yang datang untuk melabur. Tarikan wang telah mengubah wajah sosial China dimana ramai rakyat yang bergelut dengan bekerja di kilang-kilang, selama 24 jam tanpa henti tetapi dengan bayaran yang sangat minima. Pencemaran yang berleluasa, kemusnahan alam sekita yang tidak terkawal dan rasuah yang bermaharajalela telah menampakkan wajah sebenar China pada masa itu.

Bagi kaum wanita dan para gadis pula, mereka memasang impian untuk memiliki lelaki-lelaki hartawan, sama ada orang tempatan ataupun orang asing demi menjamin kehidupan yang mewah. Ataupun, sanggup menjadi pelacur. Tinggal di apartment mewah, memakai barang berjenama palsu dan memandu kereta mewah menjadi kebanggaan mereka. 

Penyakit sosial yang parah di Shanghai benar-benar mencabar orang asing yang datang kesana atas tujuan kerja seperti Bill. Walaupun Bill terlalu mencintai Becca, tetapi kekosongan jiwa yang ditinggalkan walaupun hanya sebentar cuma telah membuatkan Bill beralih kepada Jin Jin Li. 

Membaca novel ini membuatkan Patung Beruang dapat menyelami deritanya Becca apabila mengetahui dia dikhianati, terseksanya Bill apabila tersepit antara rumahtangga yang disayangi dan teman sejiwanya, Jin Jin Li dan juga warna sebenar masyarakat di Shanghai. Kesimpulannya, this is my favourite novel :)

Tuesday, December 23, 2014

Book Review: Lorong

Tajuk : Lorong

Penulis: Othman Hj. Zainudin

Cerita Patung Beruang:
Novel terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) ini Patung Beruang beli ketika menghadiri Pesta Buku di KLCC pada bulan November lepas. 

Niat asal ke Booth DBP adalah untuk mencari majalah Dewan Masyarakat. Dan, sambil tu, Patung Beruang membelek beberapa buah novel yang ada di rak pameran. Seorang petugas DBP telah mencadangkan novel ini kepada Patung Beruang dengan alasan ini adalah novel terbaru dari cetakan DBP. Baru beberapa hari dicetak. Ibarat baru keluar dari oven dan masih panas lagi, heheh..


Sinopsis Novel Ini: 
Novel Lorong ini mengisahkan Zakir atau nama sebenarnya Zakaria, seorang pemuda berumur 20-an yang membesar di lorong belakang di sebuah kota metropolitan. Zakir tiada pengenalan diri, seorang yang buta huruf kerana tidak pernah bersekolah dan boleh diibaratkan sebatang kara. Zakir sering mengatakan beliau telah berada lorong tersebut semenjak berumur 5 atau 6 tahun lagi. Hidupnya hanya dengan bersiar-siar, berkawan bersama anak-anak lorong yang terbiar, berebut makanan dengan anjing-anjing liar demi meneruskan kelangsungan hidup, dan berteduh didalam rumah/pondok yang hanya diperbuat dari kadbod. 

Pertemuan dengan Fatimah, seorang peniaga gerai yang menjual makanan telah membibitkan rasa sayang dalam diri Zakir. Fatimah yang sering dipanggil Mak oleh para pelanggannya, melayan Zakir seperti anak sendiri. Zakir mula berubah menjadi pemuda yang lebih bertanggungjawab apabila mula bekerja tetap di gerai Fatimah. Dalam masa yang sama, Zakir mula belajar agama dari Pak Syeikh di sebuah masjid tinggal berdekatan lorong tersebut. 

Perubahan Zakir dari seorang pemuda gelandangan kepada seorang pemuda yang mula pandai berfikir, petah berkata-kata dengan penampilan yang bersih dan terjaga, mula membibitkan rasa cinta kepada Fatimah. Fatimah mula merasakan jiwanya hidup kembali setelah berpuluh tahun ditinggalkan dan diceraikan oleh Idrus yang pergi ke Mesir dengan alasan untuk belajar agama. Malah, kehadiran Musa, seorang lelaki kasanova hanya memburukkan keadaan. Fatimah dipaksa oleh Musa untuk menyerahkan satu-satunya anaknya bersama Idrus kepada sepasang suami isteri dengan alasan anak itu hanya akan membuatkan Fatimah tidak mampu untuk memberi perhatian 100% kepada Musa. 

Dalam masa yang sama, Idrus, seorang lelaki yang lahir dari keluarga yang alim dan bakal menjadi pendakwah, berasa terlalu kecewa apabila mengetahui pemergiannya ke Mesir hanyalah sebagai alasan untuk keluarganya memisahkan Idrus dan Fatimah. Lantas, Idrus nekad untuk menjadi anak wayang dan meninggalkan pengajian agamanya. 

Kepulangan Idrus ke Malaysia adalah untuk mencari Fatimah dan anaknya. Namun, pencarian itu terlalu sukar kerana Fatimah hilang tanpa khabar berita, apatah lagi Fatimah juga turut dibuang oleh keluarganya sendiri. Usia Idrus yang kian meningkat ibarat bom jangka yang hanya akan menunggu untuk meletup.

Dapatkan Idrus bersatu semula dengan Fatimah dan anaknya? Sedangkan masa sangat mencemburui mereka. Bagaimana pula dengan percintaan Fatimah dan Zakir? Adakah akan berakhir ke alam perkahwinan ataupun sebaliknya?

Menariknya Novel Ini:
Othman Hj. Zainudin adalah seorang penulis, pelukis, pengarah dan penerbit yang tersohor. Banyak karya-karya beliau yang mendapat perhatian masyarakat. Novel Lorong ini boleh diibaratkan sebagai suatu sindiran dan gambaran kepada apa yang berlaku pada masyarkat sekarang. 

Watak Fatimah, digambarkan sebagai seorang gadis dari keluarga ternama, tetapi telah dibuang keluarga hanya kerana ingin berkahwin dengan Idrus, seorang lelaki biasa. Setelah itu, Fatimah sanggup pula berpisah dengan satu-satunya anak mereka, demi mengikut Musa, seorang lelaki yang dirasakan boleh membahagiakannya dan menjadi tempat untuk dia berpaut. 

Watak ayah Idrus pula digambarkan sebagai seorang alim, sangat dihormati di kampung dek kerana ilmu agama yang dimilikinya. Beliau mengamalkan poligami, dengan alasan untuk mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. tetapi beliau gagal untuk memberi kebahagiaan kepada semua isteri-isterinya. Malah, beliau juga gagal untuk mendidik anak sendiri sehingga berlakunya sumbang mahram didalam keluarga tersebut. Dalam masa yang sama, beliau juga sangat membenci Fatimah, menantunya sendiri sehingga tergamak menyeksa Fatimah yang sedang mengandung. 

Watak Zakir sebagai anak gelandangan sangat dekat dengan apa yang berlaku pada sekarang. Pergilah ke belakang-belakang lorong di KL itu. Lihatlah gelagat anak-anak suci dan tidak berdosa itu tetapi menjadi mangsa kerakusan ibu bapa mereka. Percayalah bahawa di zaman serba moden ini (seperti yang sering dilaung-laungkan oleh kita), masih ada lagi anak-anak yang tercicir dan kabur masa depannya. Bagaimana keadaan mereka lagi 10, 20 atau 30 tahun akan datang? Adakah mereka akan jadi manusia yang berguna ataupun bakal mengikut jejak langkah ibu bapa mereka? Fikir-fikirkan lah...

Monday, December 22, 2014

Book Review: This Is How

Tajuk: This Is How 

Penulis: M.J. Hyland

Ceritanya Patung Beruang:
Novel ini sebenarnya Patung Beruang beli ketika berkunjung ke Big Bad Wolf tahun 2012. Dan selepas itu, novel ini hanya elok terletak di rak buku. Sehinggalah Patung Beruang ke Big Bad Wolf, 2 minggu lepas (2014), baru Patung Beruang tersedar, alamak, banyak lagi buku yang dah dibeli tapi masih belum dibaca, huhu. 

Jadi, buku-buku yang dibeli ketika Big Bad Wolf tahun ini, terpaksalah Patung Beruang simpan dulu. Masa untuk membaca buku-buku yang lama, heheh. 

Sinopsis: 
Watak utama novel ini adalah Patrick Oxtoby. Seorang lelaki muda, dalam lingkungan umur 20-an. Bekas penuntut university, tetapi hanya bertahan selama setahun saja. Kemudian, beliau bekerja sebagai seorang mekanik. Pekerjaan yang diidam-idamkannya. 

Pada suatu hari, Sarah (tunang Patrick) datang berjumpa dan menyatakan hasrat untuk memutuskan pertunangan mereka. Patrick tergamam dan menerima sahaja keputusan Sarah. Mulai saat itu, Patrick merasakan hidupnya kosong. Ditambah dengan keluarga yang kurang memahami, Patrick nekad untuk merantau ke tempat lain demi mengubati lukanya. 

Patrick berpindah ke Vauxhall Street, dimana beliau menyewa di rumah Bridget, seorang janda muda. Perpindahan ke Vauxhall Street, membuka lembaran baru buat Patrick. Patrick berkenalan dengan 2 lelaki penyewa yang lain iaitu Shaun Findall and Ian Welkin. Patrick juga mendapat pekerjaan di sebuah bengkel kereta yang berdekatan. Hari-hari awal Patrick di Vauxhall Street telah membawa beliau ke sebuah cafe' dimana Patrick berkenalan dan seterusnya jatuh cinta dengan Georgia, iaitu anak kepada pemilik cafe' tersebut. 

Patrick digambarkan sebagai seorang lelaki yang pendiam, penuh misteri dan adakalanya tidak matang. Sikap Findall and Welkin yang suka bergurau secara lelaki dewasa membuatkan Patrick rasa tidak selesa. 

Segala-galanya nampak seperti biasa sehinggalah pada suatu hari Welkin telah menceroboh ke bilik Patrick ketika beliau tiada di rumah. Welkin masuk ke bilik tersebut dengan bantuan Bridget dan tujuannya adalah untuk mengambil jam loceng Patrick yang tidak henti-henti berbunyi hingga mengganggu tidurnya. Insiden ini telah menimbulkan kemarahan Patrick terhadap Welkin dan Bridget. 

Beberapa hari selepas itu, Welkin berhasrat untuk berjumpa Bridget dan Patrick bagi menyatakan kekesalannya kerana menceroboh bilik Patrick dan mengambil jam loceng tersebut. Namun, selepas perjumpaan itu, pada malam itu, Patrick telah masuk ke bilik Welkin dan mengetuk kepalanya dengan salah satu dari peralatan mekanik beliau. Dan tanpa diduga, ia mengakibatkan kematian Welkin. 

Patrick telah ditangkap dan disabitkan dengan kesalahan membunuh. Kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan itu benar-benar membuatkan Patrick menyesal, ditambah dengan sikap keluarga Patrick yang terus membuangnya. 

Kehidupan didalam penjara membuatkan Patrick lebih mengenal manusia disekelilingnya. Berhadapan dengan kaki buli, pegawai penjara yang baik, teman sel yang nekad untuk membunuh diri dan keadaan kesihatan Patrick yang tidak bagus, membuatkan beliau merasakan inilah pengakhiran kepada jalan kehidupannya. 

Menariknya Buku Ini:
Patung Beruang hanya mengambil masa lebih kurang 3 - 4 hari saja untuk menghabiskan novel ini. Gaya bahasa yang simple tetapi menarik, watak yang sangat terhad dan gambaran kehidupan sebenar seorang anak muda yang terbuang. Novel ini juga menonjolkan sikap sebenar manusia diluar sana seperti sikap pilih kasih ibu bapa dimana hanya anak yang cemerlang didalam pelajaran saja, yang akan dilayan dengan istimewa. 

Orang selalu berkata, hubungan kekeluargaan itu tidak akan putus, ibarat air yang dicincang. Tetapi, hakikatnya tidak begitu. Berapa ramai anak-anak yang dibuang oleh ibu bapa dan juga ahli keluarga yang lain hanya kerana mereka melakukan SATU kesilapan. Sedangkan anak-anak itu telah atau sedang dihukum oleh kesilapan mereka. 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...