Sunday, May 24, 2015

Book Review: Lavender Rimba

Tajuk: Lavender Rimba

Penulis: Mohd Fauzi Abdul

Cerita Patung Beruang:

Ini adalah novel yang berjaya Patung Beruang sudahkan pembacaannya pagi semalam. Hajat dihati, selepas Subuh semalam ingat nak bersihkan halaman rumah. Kemas pokok-pokok dan rumput yang sudah mula tumbuh itu. Tapi, bila ternampak sahaja novel ini, terus rasa malas nak buat aktiviti lain. Cuma nak sambung baca dan cepat-cepat habiskan supaya Patung Beruang boleh mula baca buku yang lain pula.. Hai, sabar je lah kan??

Novel Lavender Rimba ini adalah buah tangan dari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung hujung April hingga 1 Mei hari tu. Dalam sakit-sakit tu, sempat juga Patung Beruang gagahkan diri untuk pergi Book Fair tersebut masa hari terakhir ia berlangsung. Sanggup naik ERL dan LRT untuk ke PWTC. Yelah, kalau drive memang Patung Beruang tak sanggup lah. Dengan kesihatan yang sangat tidak mengizinkan, ditambah lagi kesukaran Patung Beruang untuk masuk dan keluar kereta serta duduk memandu dalam jangka masa yang lama. 

Kesudahannya, pagi semalam, Patung Beruang hanya duduk membaca novel ini, sambil bersarapan dengan segelas susu dan sekeping roti. Rumah yang kosong dan senyap sunyi ini benar-benar menjadi syurga membaca buat Patung Beruang. What a happy Saturday morning :) 

Menariknya Novel Ini:

Lavender Rimba mengisahkan Heilynda yang dibesarkan di perkampungan orang asli Kampung Trendap. Heilynda atau nama sebenarnya adalah Sophia Bahadur Salam Khan adalah anak kandung kepada Aurell Richard Lee seorang gadis dari keluarga hartawan dan Bahadur Salam Khan, seorang kuli Bangladesh yang bekerja di syarikat Mr. Lee iaitu ayah Aurell. Percintaan mereka dihalang oleh Mr. Lee tapi Aurell nekad untuk memeluk Islam dan mengahwini Bahadur. 

Keputusan Aurell menyebabkan dia dibuang keluarga. Perkahwinan Aurell dan Bahadur sangat bahagia dan mereka dikurniakan seorang anak iaitu Sophia. Namun, Aurell tidak panjang umur dan beberapa bulan selepas Sophia dilahirkan, Aurell meninggal dunia. Bahadur seperti orang gila dan mula mengabaikan Sophia. Akhirnya, Sophia dijaga oleh Bah Camron dan Wan Midah, iaitu pasangan suami isteri orang asli yang tinggal berjiran dengan mereka. 

Bah Camron dan Wan Midah mempunyai anak perempuan yang seusia dengan Sophia. Namun, suatu hari baby tersebut sakit dan akhirnya meninggal dunia. Lantas Bah Camron dan Wan Midah nekad untuk memerlihara Sophia sebagai ganti kepada anak mereka yang telah meninggal dunia. Sophia ditukarkan nama kepada Heilynda Bah Camron dan mereka sekeluarga berpindah ke Kampung Trendap bagi mengelakkan perbuatan tersebut diketahui oleh orang ramai dan juga risau jika Bahadur tiba-tiba pulang untuk mencari Sophia. 

Sophia atau Heilynda dibesarkan dan ditatang seperti minyak yang penuh. Walaupun rupa parasnya sangat berbeza dari orang asli, dan perbezaan itu sering kali disuarakan oleh orang kampung dan sesiapa sahaja yang melihatnya, juga rakan-rakan dan guru-guru disekolah, tetapi Bah Camron dan Wan Midah tetap bertegas yang Heilynda adalah anak kandung mereka. Apatah lagi Sijil Surat Beranak Heilynda memang terang tertulis nama Bah Camron dan Wan Midah sebagai ibu dan ayah kandungnya. 

Heilynda membesar menjadi seorang gadis yang cantik, baik hati dan berbudi bahasa, serta pintar. Namun, tiba-tiba keluarganya diuji apabila Bah Camron jatuh sakit sehingga menyebabkan Bah Camron tidak mampu untuk bekerja lagi. Kesakitan yang dialami menyebabkan keluarga Heilynda menghadapi masalah kewangan sehingga memaksanya untuk berhenti sekolah. Puas dipujuk, namun Heilynda  tetap nekad untuk berhenti sekolah dan bekerja demi mencari rezeki buat ibu ayah dan adiknya Hardey. Namun, Heilynda tetap belajar untuk diwaktu malam atau lapang demi menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun ini.

Heilynda akhirnya diterima bekerja sebagai penyambut tetamu di Hotel Starry Comfort, sebuah hotel bertaraf 4 bintang di kawasan tempat peranginan pekan Bukit Panjang. Disana, Heilynda duduk sebilik dengan Shoba, seorang gadis India yang baik dan sangat prihatin. 

Pada suatu hari, Hotel Starry Comfort menerima tetamu dikalangan businessmen yang hadir atas urusan seminar. Dan tanpa diduga, salah seorang ahli perniagaan yang hadir dan menginap dihotel tersebut adalah Austin. 

Ternyata kehadiran Austin ke Hotel Starry Comfort itu telah mengubah kehidupan Austin, Heilynda dan keluarga mereka buat selama-lamanya. 

Siapa sebenarnya Austin dan apa hubungannya dengan Heilynda?

Dapatkah Heilynda mengubah nasib keluarga mereka dengan pekerjaannya sebagai penyambut tetamu hotel?

Adakah penyakit Bah Camron akan sembuh?

Perkara menarik yang ada dalam Lavender Rimba ini adalah latar belakang persekitaran tempat tinggal orang asli di Kampung Trendap. Penulis berjaya membayangkan suasana kawasan tanah tinggi yang kaya dengan khazanah alam, tetapi mula rosak sedikit demi sedikit kerana kerakusan manusia. Kawasan tanah tinggi itu mula dicemari dengan aktiviti-aktiviti pertanian dan perladangan yang menyebabkan pencemaran, kerosakan kepada struktur tanah, malah membawa kepada musibah yang besar seperti tanah runtuh dan banjir. 

Juga diselitkan dengan kehidupan masyarakat orang asli yang terpinggir dari pembangunan. Dan ia bukanlah berpunca sepenuhnya dari kerajaan yang lepas tangan, tetapi juga berpunca dari sikap orang asli sendiri yang mudah berpuas hati dan tidak mahu berusaha keras bagi mengubah nasib diri dan keluarga mereka. Juga digambarkan sikap Tok Batin yang mudah gelap mata dengan duit dari tokey-tokey Cina yang kaya-raya. Maka, sanggup menukarkan hak milik tanah menjadi kepunyaan tokey-tokey tersebut walaupun sedar ia adalah salah disisi undang-undang dan bakal memusnahkan masyarakat orang asli sendiri. 

Honestly, Patung Beruang beli novel ini sebab tertarik dengan warna kulit novel tersebut. Cantik warna lavender itu. Dan bila dibaca, karya ini secantik kulitnya. Ketabahan Heilynda  menguruskan keluarga, menghadapi dugaan yang bertimpa-timpa dalam keadaan dia baru sahaja memeluk agama Islam dan dalam masa yang sama kecekalannya mencari asal-usulnya, membuatkan watak Heilynda dikagumi walaupun usianya baru sahaja mencecah 17 tahun. Serta suasana persekitaran tanah tinggi, pencemaran dan kerosakan yang berlaku, adalah cermin kepada apa yang berlaku pada hari ini. Pergi sahajalah ke tanah tinggi di Malaysia ini, pasti kita akan nampak bukti-bukti kerakusan manusia disana. 

Kesimpulannya, novel yang menarik untuk dibaca hasil tulisan seorang penulis baru :) 

Wednesday, May 20, 2015

Anak oh Anak ...

Pada suatu malam, dihadapan sebuah bank yang terkemuka di satu taman perumahan, seorang lelaki tua, berumur lingkungan 70 tahun, sedang duduk bersila diatas lantai kaki lima. Dihadapannya, ada berbungkus-bungkus kerepek yang elok disusun untuk menunggu di jual. 

"Beli kerepek nak.." 

Sapanya kepada siapa sahaja yang lalu-lalang dikaki lima bank tersebut. 

10 orang yang lalu, mungkin hanya seorang atau 2 sahaja yang berhenti. Selebihnya, terus berlalu seolah-olah lelaki tua dan kerepek-kerepeknya itu tidak wujud disitu. 

Raut wajahnya sayu dan nampak kepenatan yang amat. Mungkin penat menunggu bilakah barang dagangannya akan habis dijual.

Me: Berapa sebungkus ni pakcik? 

Pakcik: 3 bungkus RM10 nak. Beli lah, sedap. 

Me: Orang rumah Pakcik ke yang buat kerepek-kerepek ini? 

Pakcik: Tak. Ada tauke yang hantar dari kilang. Pakcik cuma jual aje nak. 

Me: Sampai pukul berapa pakcik meniaga ni? Ni dah hampir pukul 9 malam ni. Lewat dah ni. 

Pakcik: Pukul 11 mlm nanti baru tauke datang. Biasalah nak, hidup kat bandar ni kenalah kerja. Kalau tidak, tak dapat duit. 

Me: Pakcik mula meniaga pukul berapa? 

Pakcik: Biasanya dalam pukul 3 petang pakcik dah ada kat sini. Datang pun, tauke yang hantar.

Me: Pakcik takde anak ke? Kalau pukul 11 baru tauke datang, pukul berapa pakcik sampai rumah nanti.

Pakcik: Biasanya sampai dalam pukul 12 tengah malam. Pakcik duduk jauh. Nak datang sini pun dah lebih kurang 1 jam atau lebih sikit. Anak-anak ada tapi masing-masing dah berkeluarga. Jadi, pakcik pun tak nak lah susahkan diaorang. 

Patung Beruang terkedu. Tangan lantas meraba beg duit. Belilah kerepek-kerepek itu walaupun tiada niat untuk memakannya pada masa itu.

Masuk ke kereta, Patung Beruang terpaku. Pakcik itu sedang menadah tangan, sepertinya sedang berdoa. Mulutnya terkumat-kamit. 

Hati dan perasaan ini mula sayu. Ya Allah, kejam sungguh kota metropolitan ini. Kerana kota yang sangat materialistik ini, seorang lelaki tua terpaksa duduk dihadapan kaki lima kedai selama 8 jam setiap hari demi mencari duit.

Tetapi kejam lagi anak-anak. Sampai hati membiarkan ayah yang sudah tua itu berhempas pulas, menjual hasil dagangan yang tidak seberapa. 

Adakah sudah berkeluarga menjadi alasan untuk kita melupakan ibu ayah? Adakah sudah berkeluarga menjadikan kita kedekut untuk memberi mereka wang belanja bulanan? Dengan alasan tanggungan anak bini kita dah cukup besar. Mana mampu nak beri duit pada ibu ayah lagi? 

Dan dek kerana anak-anak ini kedekut atau terlalu berkira-kira untuk memberi sedikit wang belanja bulanan, ibu ayah gagahkan juga untuk berkerja sendiri demi mencari sesuap nasi. Namun, ibu ayah sentiasa bersangka baik. 

"Tidak apalah. Kami tak nak susahkan anak-anak."

"Kami masih kuat untuk berkerja. Jadi biarlah kami berkerja." 

"Anak-anak pun sering kali tidak cukup. Kesian mereka." 

Percayalah, sampai umur mereka dah 70, 80 hatta 100 tahun sekali pun, ibu ayah tetap akan pujuk hati mereka sendiri dengan ungkapan-ungkapan diatas. 

Dan kita sebagai anak, betapa keringnya hati kita ini membiarkan sahaja ibu ayah duduk berhempas pulas dikala usia mereka meniti senja. Sedangkan umur-umur begini seharusnya dihabiskan dimasjid atau surau untuk beribadah, atau paling tidak, berehat dirumah, melakukan aktiviti yang mereka gemari. 

Pada masa ini, banyak sungguh Parenting Course yang dijalankan. Tujuannya 1, untuk memberi ilmu pengetahuan kepada bakal ibubapa atau ibubapa yang sedia ada. Bagaimana nak jadi the best parents. Or how to success in educating our children.

Tapi, tak pernah lagi Patung Beruang dengar adanya Child-ing Course. Mungkin sudah sampai masanya untuk kita membuat kelas-kelas Child-ing Course. How to be a good son or daughter. How to appreciate our parents. How to bring joy and happiness to our parents. And the most importantly, how to avoid become anak derhaka. 

Perjalanan pulang ke rumah pada malam tu dirasakan sungguh lama walaupun jaraknya dekat. Fikiran mula menerawang memikirkan sampai bila pakcik tu akan berniaga disitu. Bagaimanakah beliau solat sehari-hari? Disitu, tiada surau atau masjid yang berdekatan. Adakah beliau diizinkan untuk solat disurau bank dikala bank sudah tutup? Diri ini tidak sampai hati untuk bertanya soalan-soalan itu. Takut pakcik tersebut serba-salah untuk menjawabnya. 

Ya Allah, bukakan lah pintu rezeki pakcik itu dengan seluas-luasnya. Dia hanya berusaha untuk mencari rezeki yang halal tanpa meminta-minta. Dan bukakan lah pintu hati anak-anak untuk membantunya. Aamin..

Sunday, May 17, 2015

Kisahnya 1 Litre of Tears

Malam semalam Patung Beruang habiskan menonton 1 Litre of Tears. Secara puratanya, jangka masa menonton siri 1 Litre of Tears ini tidaklah selama menonton My Love from The Stars hari tu, hehe.. Less than 24 hours dah boleh habis keseluruhan siri ini.

1 Litre of Tears atau dalam bahasa asalnya 1 Litre no Namida adalah antara salah satu TV series yang terkenal dan terbaik di Jepun. Ditayangkan pada tahun 2005 ini mengisahkan seorang gadis bernama Ikeuchi Aya, berumur 15 tahun disahkan mengidap penyakit Spinocerebellar Degeneration. Spinocerebellar Degeneration adalah satu penyakit yang jarang-jarang dijumpai dimana ia menyebabkan otak si pesakit tidak  mampu menghantar isyarat ke keseluruhan anggota badan sipesakit. Lama-kelamaan, ia akan menyebabkan pesakit tidak boleh berjalan, bercakap, makan dan menulis. Punca penyakit ini masih tidak dapat dikenalpasti dan penyakit ini tiada penawar. Pesakit hanya menunggu masa untuk melihat fungsi anggota mereka merosot dan akhirnya meninggal dunia. 

Aya dilahirkan didalam keluarga sederhana. Ayahnya seorang pembuat dan peniaga tofu, ibunya pula adalah seorang Health Consultant. Aya adalah anak sulung dan mempunyai 2 orang adik perempuan dan seorang adik lelaki.

Aya digambarkan sebagai seorang pelajar yang cemerlang, bukan sahaja didalam pelajaran juga didalam sukan. Seorang yang periang, sentiasa menjaga hati orang lain dan sentiasa positif. 

Keputusan pemeriksaan doktor yang mengesahkan Aya mengidap Spinocerebellar Degeneration telah mengubah kehidupan Aya. Ibu dan ayahnya terpaksa memberi perhatian yang lebih kepada Aya, perbelanjaan keluarga meningkat sehingga memerlukan ayahnya melakukan pelbagai pekerjaan dalam 1 masa, adik-adik yang masih belum mengerti tentang kesihatan Aya dan adakalanya merasa malu apabila Aya tidak seperti insan normal lain, rakan-rakan disekolah turut bersimpati tetapi mereka mula penat apabila pelajaran dikelas mereka seringkali terganggu disebabkan keadaan kesihatan Aya. Dan akhirnya, Aya nekad untuk bertukar ke sekolah orang-orang cacat bagi meneruskan kehidupan pembelajarannya. 

Selain keluarga terdekat, Aya sentiasa mendapat sokongan dari Doctor Mizuno yang merawatnya. Kesungguhan Aya melawan penyakit dan tekad yang kuat untuk meneruskan hidup menyebabkan Doctor Mizuno berusaha keras melakukan kajian untuk mencari penawar atau paling tidak, memperlahankan progress penyakit Aya. 

Ketika disekolah, Aya berkenalan dengan Haruto Aso, rakan sekelasnya. Haruto Aso dilahirkan dalam keluarga berpendidikan tinggi dan kaya. Ayahnya, Doctor Aso adalah salah seorang professor di Hospital tempat Aya dirawat. Haruto merasakan kehidupannya telah tamat apabila abangnya meninggal dunia kerana lemas ketika mereka memancing bersama. Selepas inciden itu, Haruto berubah menjadi seorang yang pendiam, tidak menghiraukan orang disekeliling termasuklah ibu ayahnya sendiri. Doctor Aso mengharapkan Haruto mengikut jejak langkahnya untuk belajar didalam bidang perubatan dan menjadi seorang doctor. Tetapi, hasrat tersebut ditentang oleh Haruto kerana merasakan hidupnya sudah tiada apa-apa yang perlu dikejar. 

Persahabatan Aya dan Haruto dan melihat betapa optimisnya Aya dalam menghadapi penyakitnya telah mengubah Haruto. Haruto mula nekad untuk belajar bersungguh-sungguh, melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan menjadi doctor demi menyembuhkan penyakit Aya. Kehadiran Haruto diterima baik oleh keluarga Aya dan Haruto mula merasa kasih sayang keluarga yang tidak pernah diterimanya lagi selepas kematian abangnya dahulu. 

Dapatkah Aya disembuhkan? Atau nasib Aya sama sahaja seperti pesakit-pesakit Spinocerebellar Degeneration yang lain?  

Honestly, cerita ni sangat sedap dan sangat sedih. Hampir setiap episod pasti Patung Beruang akan menangis. Kalau dibandingkan dengan Hachiko, 1 Litre of Tears berkali-kali ganda lebih sedih dari Hachiko

Patung Beruang kagum dengan ketabahan Aya dan keluarganya dalam menghadapi kesukaran. Walaupun Aya tahu yang dia pasti akan mati, tetapi dia tetap optimis dan cuba untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Aya sedar, jika dia nampak lemah, kelemahannya itu akan menjejaskan psikologi ahli keluarganya, Doctor Mizuno dan juga Haruto. 

Dan dalam meniti hari-hari dihospital, Aya menulis segala perasaan dan impiannya didalam diary. Tulisannya itu disiarkan didalam majalah dan tanpa diduga, ia memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang membacanya termasuklah mereka yang mengidap penyakit sama sepertinya. 

Selain watak Aya, watak Haruto juga Patung Beruang suka. Ikatan persahabatan yang kuat diantara Aya dan Haruto menyebabkan Haruto sentiasa berada disisi Aya walau dalam apa keadaan sekalipun. Haruto sedar, Aya adalah sumber kekuatannya untuk terus belajar dan berusaha mencari penawar penyakit Spinocerebellar Degeneration. Dan Aya pula sedar yang Haruto adalah sumber kekuatannya untuk terus hidup sehari-hari walaupun keadaan fizikalnya semakin merosot. 

Dalam kehidupan seharian kita, pasti kita ada paling tidak pun seorang sahabat yang setia seperti Haruto. Disaat semua orang lari dari kita, dia tetap setia bersama kita walau apapun keadaan kita. Dia tak pernah malu dengan kekurangan kita. Disaat orang mencemuh kita, dia sentiasa bangun untuk mempertahankan kita. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk kebahagiaan dan kesenangan kita tanpa meminta balasan. Dalam diam, dia sentiasa mendoakan kita walau betapa jauhnya jarak lokasi yang memisahkan kita dan dia. Apapun yang kita lakukan untuk membuang dia dari sisi kita, tidak akan berjaya kerana suatu hari nanti, dia tetap akan datang semula kepada kita. Datang bukan untuk membalas dendam atau menuntut balasan, tetapi datang untuk kembali menjaga dan berdiri disisi kita tanpa jemu. Atau mungkin kita yang mengutipnya kembali. Kerana kita sedar, tiada orang yang lebih kita selesa dan serasi untuk berkongsi semua cerita sedih kita selain dari dia. 

Dan dalam kehidupan kita juga, pasti kita akan berjumpa dengan seseorang yang kita rasa sangat tabah seperti Aya. Hidupnya nampak sempurna sehinggalah tiba-tiba dia diuji dengan perkara-perkara yang tidak pernah diduga. Namun, ujian itu tidak mematahkan semangatnya. Disebalik keperitan dan kesakitannya, dia sentiasa tersenyum dan menggembirakan kita serta orang lain disekeliling. Tutur katanya sentiasa positif dan menyenangkan kita yang mendengar. Kita mula serasi dan selesa untuk berkongsi cerita dengannya kerana kita tahu dia sentiasa sudi mendengar. Kita mula mendapat inspirasi atas ketabahannya. Kita nekad untuk menjadi setabah dan sekuat dia. Tetapi, tanpa kita sedari, tatkala dia bersendirian, air matanya mengalir. Menangis bukan kerana lemah tetapi untuk melepaskan bebanan perasaan yang ditanggungnya selama ini. Dia tidak mampu meluahkan perasaannya kerana tidak mahu mengecewakan kita dan orang lain disekeliling. 

Dan dalam kehidupan kita juga, pasti kita akan berjumpa dengan manusia-manusia yang hanya sudi dan selesa bersama kita tatkala kita senang dan gembira. Mereka sangat seronok untuk berkongsi kegembiraan kita. Tetapi, tatkala kita terjatuh atau tersungkur, mereka hanya mampu memandang dengan pandangan yang simpati. Dan seterusnya, melangkah pergi meninggalkan kita seolah-olah kita ini tidak ada makna langsung dalam kehidupan mereka.

Dan akhirnya, tinggallah kita bersendirian. Ditemani keluarga yang sentiasa setia menyokong kita walau apapun keadaan kita. Ibu ayah yang sedari dulu sentiasa berkorban untuk kita, kini, masih lagi tanpa jemu tetap berkorban untuk kita. Masa, tenaga, wang ringgit, perhatian, harapan dan doa. Jika kita tidak sanggup menitiskan air mata dihadapan mereka, mereka juga tidak sanggup menitiskan air mata mereka dihadapan kita. Saling memberi kekuatan dan semangat antara satu sama lain. 

Begitulah kehidupan kita ini. Seperti roda. Hari ini kita di puncak dunia. Esok kita di lembah yang dalam. Tetapi, kita tidak boleh terus mengalah. Jika kita rasa kita lah yang paling malang, masih ramai lagi insan diluar sana yang lebih malang keadaannya dari kita. Bertuah atau malang, adalah permainan psikologi kita...


p/s: Patung Beruang penat menangis menonton 1 Litre of Tears ini. Habis basah lencun Bibi jadinya. Tapi, lepas habis menonton, rasa lega sangat. Mcm tiba-tiba je segala apa yang terbuku dihati dan fikiran, segala perasaan yang tidak enak, terbang begitu sahaja. Betul lah teori psikologi, menangis adalah 1 terapi. Dan adakalanya kita perlu menangis untuk melepaskan segala-galanya yang tidak mampu kita ungkapkan. 

Book Review: Quran Saintifik

Tajuk: Quran Saintifik 

Penulis: Dr. Danial Zainal Abidin

Menariknya Buku Ini:
Buku ini sebenarnya kepunyaan adik Patung Beruang yang dibeli beberapa tahun lepas. Dan lama Patung Beruang nak pinjam buku ini untuk dibaca, cuma tidak berkesempatan.

Alhamdulillah, seminggu selepas accident hari itu, Patung Beruang ternampak buku ini di rak buku di rumah. So, bermulalah pengembaraan Patung Beruang menyelusuri isi kandungan buku ini.

Pengisian Quran Saintifik terbahagi kepada 5 bahagian iaitu:

  • Bahagian 1: Cemerlang Dengan Menguasai 2 Ayat
  • Bahagian 2: Permulaan Alam Semesta Permulaan Segala-galanya
  • Bahagian 3: Manusia dan Asal Usulnya
  • Bahagian 4: Tujuan dan Matlamat Hidup Manusia
  • Bahagian 5: Epilog
Bahagian 1: Cemerlang Dengan Menguasai 2 Ayat membuka penceritaan naskah ini dengan memperihalkan berkenaan apa itu Al-Quran dan rahsia-rahsia yang terkandung didalamnya. Rahsia-rahsia ini telah dibuktikan melalui kajian saintifik dan secara tidak langsung sains juga membuktikan mukjizat Al-Quran. Dr. Danial juga menekankan bagaimana Islam menjadi pemangkin sains dimana Al-Quran membuatkan pembacanya mempunyai minda yang progresif dan saintifik. Ia melahirkan generasi manusia yang kuat berfikir, kritikal, mampu menganalisis data dan fakta serta mampu membuat andaian dan rumusan berdasarkan pemerhatian. 

Bahagian 2: Permulaan Alam Semesta Permulaan Segala-galanya pula membawa pembaca kepada teori dan pembuktian kejadian alam semesta ini. Turut diceritakan adalah Big Bang Theory yang menjadi pegangan umum oleh para saintis. Mengikut Big Bang Theory, alam ini pada asalnya bercantum padu, kemudia berlaku suatu letupan yang kuat, sekitar 12 hingga 14 bilion tahun dahulu. Selepas itu berlakulah pengembangan dan penyejukan sehingga akhirnya lahir bintang-bintang, planet-planet, galaksi dan yang seumpamanya. 

Didalam Al-Quran, surah al-Anbiyak ayat 30, Allah SWT ada berkata, 
"Apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup."

Adakah alam semesta ini, apabila ia wujud, terus menjadi seperti sebegini rupa? Seperti keadaan pada hari ini? Dalam surah Fussilat, ayat 11 ada menyatakan yang bermaksud, 
"Kemudian dia menuju ke langit dan langit pada masa itu berbentuk asap lalu dia berkata kepadanya dan bumi, 'Datanglah kamu berdua dengan tunduk atau terpaksa'. Keduanya menjawab, 'Kami datang dengan tunduk.'"

Ayat diatas menunjukkan beberapa konsep kosmologi yang menarik iaitu, pertama, ini menunjukkan Allah menuju ke langit dan langit pada masa itu berbentuk asap. Langit melambangkan kosmos yang luas. Kedua, Allah mengarahkan langit dan bumi supaya keluar menjelma daripada asap yang memenuhi kosmos di peringkat awal kejadian alam. 

Para saintis melaporkan pada tahun 1999, satu penemuan dimana mereka mendapati awan-awan raksasa yang dipenuhi gas memainkan peranan penting dalam melahirkan bintang-bintang dan juga galaksi-galaksi di langit sebelum ini. Disamping itu, sebahagian daripada awan ini menentukan komposisi kimia di galaksi-galaksi dengan menghujaninya dengan gas-gas tertentu dari masa ke semasa. 

Selain itu, NASA pula melaporkan pada tahun 2005 dimana mereka menemui 2 gumpalan awan raksasa yang dipenuhi gas-gas bersuhu tinggi. Kajian pakar-pakar menunjukkan gas-gas seumpama awan ini mampu melahirkan galaksi-galaksi yang mengandungi berbilion bintang.

Berapakah jumlah semua bintang yang berada dalam 1 kosmos? Jawapannya adalah 70 sextilion (iaitu 7 diikuti dengan 22 kosong) bintang-bintang. Allahu Akbar, banyaknya. Dan yang lebih menakjubkan lagi 70 sextilion ini menyamai 10 kali ganda jumlah pasir yang terdapat di semua pantai dan gurun di dunia ini. Malah, sebahagian daripada bintang-bintang ini adalah lebih besar dari matahari, contohnya KW Sagitarii dan KY Cygni yang berukuran 1,500 kali lebih besar dari matahari. 

Jika diteliti, Al-Quran telah menyatakan fenomena kejadian alam ini dengan jelas. Penciptaan galaksi, kosmos, matahari, bumi, Nebula Rose, malah Black Holes sekali pun turut terkandung didalam kitab suci umat Islam ini. Dan segala-galanya dapat dibuktikan melalui sains, melalui teknologi canggih yang dicipta manusia pada masa kini. Masih ragukah kita dengan Al-Quran? 

Bahagian 3: Manusia Dan Asal-Usulnya dimulakan dengan persoalan adakah hidupan berasal daripada air dan bagaimana air menjadi asas kepada kejadian manusia. Dan seterusnya, pembaca dibawa kepada penciptaan Nabi Adam a.s. dan juga Hawa. Dr. Danial turut mengupas Teori Evolusi Darwin yang menyatakan kesemua manusia yang hidup, sama ada manusia ataupun haiwan, berasal daripada keturunan yang sama atau common ancestor. Adakah logik teori ini? Dan bagaimana para saintis yang lain menyanggah teori ini.

Kejadian manusia adalah satu proses yang sangat menarik untuk dibincangkan oleh para saintis. Cabang ilmu ini dinamakan Embriologi iaitu ilmu yang membincangkan mengenai proses kejadian embrio dalam rahim. Secara logiknya, fasa-fasa perubahan embrio dalam rahim tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan tanpa alat-alat yang canggih, manusia tidak dapat mengetahui proses perkembangan bayi dalam rahim secara terperinci. 

Dalam surah al-Haj, ayat 5 Allah ada menjelaskan, 
"Wahai manusia jika kamu meragui hari kebangkitan (maka ingatlah) kami menciptamu daripada tanah, kemudian daripada nuthfah."

Perkataan nuthfah itu dikaitkan dengan proses persenyawaan yang bermaksud percantuman antara benih lelaki iaitu sperma dan benih perempuan iaitu ovum. Dan kenyataan ini dibuktikan oleh sains. 

Selepas percantuman benih atau persenyawaan (fertilisation) berlaku, bermulalah fasa-fasa kejadian bayi daripada satu tahap ke tahap yang lain. Dan ia selari dengan ayat 14 dari surah Nuh iaitu, 
"Padahal dia menciptakan kamu dalam beberapa tingkatan kejadian."

Pada peringkat awal, bayi dikenali sebagai embrio. Selepas benih lelaki dan wanita bercantum, embrio berubah menjadi alaqah yang bermaksud segumpal darah, suatu yang melekat atau lintah. Dan didalam sains, memang terbukti semasa embrio berumur lebih kurang 2 minggu, ia menyamai rupa seekor lintah berukuran lebih kurang 0.6mm yang tergantung di rahim ibunya yang dikenali sebagai endometrium

Selepas embrio menjadi alaqah, ia akan bertukar menjadi mudghah yang bermaksud daging yang sedikit yang sebahagian daripadanya telah dikunyah. Proses ini dinyatakan didalam surah al-Mukminun ayat 14, 
"Kemudian daripada alaqah kami jadikan mudghah."

Seperti yang dibuktikan oleh sains, embrio ketika berumur lebih kurang 4 minggu, berbentuk seperti mudghah. Keadaan ini berpunca daripada sel-sel yang dikenali sebagai somites yang terdapat di atas embrio. Somites akhirnya bertukar menjadi tulang belakang atau vertebrae. Dan selepas itu, embrio ditutupi tulang dan daging dan seterusnya berubah kepada rupa bentuk manusia. Perubahan ini berlaku semasa embrio memasuki tahap umur 6 minggu dan pada masa itu embrio mempunyai sel-sel asas bagi pembentukan organ-organ. Dan pada masa ini, embrio tidak lagi dikenali sebagai embrio, sebaliknya sebagai janin atau human foetus

Dan dalam Bahagian ini, pembaca seterusnya dibawa kepada bagaimana Allah menyempurnakan kejadian manusia dengan memberinya pendengaran, penglihatan, akal dan seterusnya ditiupkan roh. Bahagian ini juga turut menyentuh berkenaan dengan penentuan jantina dan ajaibnya susu ibu seperti yang terkandung didalam al-Quran dan yang dibuktikan oleh sains.  

Bahagian 4: Tujuan Dan Matlamat Hidup Manusia menyentuh berkenaan dengan tujuan sebenar kita hidup ini adalah untuk beribadah kepada Yang Maha Pencipta. Ibadah mempunyai rahsia dan hikmatnya. Sebahagian hikmat itu dapat difahami oleh manusia seperti membersihkan jiwa, menjadikan kita peka dengan waktu, meningkatkan kesihatan dan sebagainya. Tetapi, sebahagian hikmat yang lain, tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali Allah SWT. Namun, yang pasti, ibadah itu tidak membebankan manusia sebaliknya ia menguntungkan manusia di segenap penjuru kehidupan. 

Dalam bahagian ini, turut disentuh hikmat larangan-larangan yang Allah SWT perintahkan seperti maksiat, seks bebas, pengharaman seks semasa haid, pengharaman arak, daging haiwan liar dan babi. 

"Solat itu ringan tetapi berat." 

Itulah ungkapan yang sering kedengaran. Solat itu ringan kerana ia hanya memakan masa beberapa minit sahaja. Pergerakan yang teratur dan tidak menyakitkan. Boleh dilakukan dimana sahaja asalkan kawasan itu bersih dari najis. Tetapi, solat itu berat kerana masih ramai yang memandang remeh akannya, masih ramai yang culas didalam menjaga solat 5 waktu mereka dan masih ramai yang memberi 1001 alasan untuk tidak bersolat. 

Sedarkah kita solat itu banyak hikmatnya? Solat itu membina jati diri seseorang, menguatkan jiwanya, membentuk disiplin dan mendidik kita menjadi pengurus masa yang baik. 

Dari aspek kesihatan pula, solat baik untuk kecergasan otak, dimana otak akan mendapat oksigen ketika kita sujud. Jangan lupa, walaupun otak ini beratnya hanya 3% daripada keseluruhan berat badan kita, tetapi ia menggunakan 25% oksigen yang terdapat didalam badan kita. Jadi, dalam keadaan biasa, sebahagian sel-sel otak tidak mendapat keperluan oksigen yang diperlukan kerana jantung terpaksa mengepam darah ke atas sekaligus ia melawan tekanan graviti. 

Solat juga membantu mengelok dan memantapkan sendi terutamanya bagi mereka yang mengidap penyakit radang sendi seperti osteoarthritis. Kajian pakar membuktikan senaman secara berterusan adalah penting bagi kesihatan sendi disamping mampu mengurangkan sakit. Hal ini disebabkan senaman merangsang pengeluaran hormon endorphin yang berfungsi mengurangkan deria sakit. Maka, aktiviti pergerakan tangan dan kaki secara sederhana ketika solat sangat bermanfaat pada sendi-sendi badan. 

Kesimpulannya, pada pandangan Patung Beruang, naskah Quran Saintifik ini adalah satu naskah yang sangat hebat. Dr. Danial mengupas banyak isu-isu saintifik dengan berpaksikan ayat-ayat Al-Quran serta kajian-kajian sains yang telah dilakukan oleh pakar-pakar yang berkenaan. Naskah ini padat dengan ilmu pengetahuan, disusun dengan teratur dan dijelaskan dengan pendekatan yang mudah difahami. Banyak ilmu pengetahuan baru yang Patung Beruang perolehi dari buku ini. 

Dan sudah semestinyalah bahagian kegemaran Patung Beruang adalah Bahagian ke-2 iaitu berkenaan penciptaan Alam Semesta. Tiba-tiba teringat yang masa sekolah rendah dulu, pernah bercita-cita untuk belajar dalam bidang Astronomy dan menjadi seorang astrophysicist sebab masa tu Patung Beruang sangat taksub dan kagum dengan Dr. Mazlan Othman. I wish I can turn back time, hm... 

Saturday, May 2, 2015

Tatkala Ajal Hampir Menyapa

Pada suatu petang setelah azan Asar, hujan renyai-renyai turun membasahi bumi Allah, sebuah kenderaan sedang meluncur laju di lebuhraya untuk pulang ke KL. Perjalanan yang bermula pada pukul 2.30 petang tadi agak lancar dan tidak sabar rasanya hati ini untuk sampai ke rumah, bertemu ahli keluarga dan melepaskan lelah yang terpendam.

Sedang asyik memandu dilorong kanan, tiba-tiba terasa seperti kenderaan yang dipandu ini terbabas dan meluncur laju menuju ke divider kanan. Dan mata ini pantas menangkap sebiji bas ekspress yang sedang melunjur laju dari arah bertentangan. Allahu Akbar!!! 

Hati ini ini berdegup kencang dan tangan ini dengan segera memusing stereng kereta untuk mengelakkan divider tersebut. 

Dalam sekelip mata, kenderaan bertukar arah dan mula menghala laju kearah divider kiri pula. Degupan jantung semakin laju tatkala terlihat gaung yang luas dan curam terletak betul-betul disebelah divider kiri. Kaki pantas menekan brek sambil tangan ligat mengawal stereng kereta. Dan tiba-tiba... 

Dum!!!!

Kereta yang dipandu menghentam divider kiri tersebut. Hentaman yang kuat itu cukup membuatkan kereta tersebut hilang kawalan, berpusing dan menghentam divider kiri sekali lagi. Akal fikiran mula terbayang wajah ibu dan ayah dirumah. Hati mula berbisik, 

   "Ya Allah, adakah ajalku sudah tiba? Ya Allah, ya Allah, ya Allah......."

Terasa kereta yang dipandu ini sudah tidak terkawal, badan dan kepala ini pula menghentam kuat bertalu-talu ke badan kereta. Dan tiba-tiba, kereta berhenti dengan sendiri. 

Diri terpinga-pinga, apakah yang baru berlaku sebentar tadi???

Selepas beberapa saat, baru lah diri ini tersedar. 
   "Ya Allah, aku masih bernyawa lagi. Terima kasih ya Allah.."

Tiba-tiba telinga ini pantas menangkap bunyi ketukan di tingkap sebelah kanan. Terlihat kelibat seorang lelaki Serani sedang berdiri di tepi tingkap dengan wajah yang pucat. 

   "Are you ok?" 

Soalan itu lantas menyedarkan Patung Beruang yang diri ini baru sahaja terlibat dalam kemalangan jalan raya yang tidak diduga. 

Inilah divider kiri yang dilanggar berulang kali ketika detik kemalangan tersebut. 

Patung Beruang terus keluar dari kereta, melihat keadaan kereta dan melihat kearah divider kiri tersebut.

Allahu Akbar. Divider tersebut telah bengkok dan salah satu besi dari divider tersebut telah tercabut akibat hentaman yang kuat sebentar tadi.

Tidak dapat Patung Beruang bayangkan apa yang akan berlaku jika divider tersebut tercabut dan kereta ini terjunam kedalam gaung. Mohon dijauhkan, Nauzubillah minzalik.. 

Lelaki Serani itu, masih setia berdiri melihat keadaan Patung Beruang yang seperti bingung dan beliau berulang kali bertanya adakah Patung Beruang ok. 

Ya, ini lah pengalaman pertama Patung Beruang terlibat dengan accident yang serius seperti ini. Otak panik dan tak tau nak buat apa. Emosi pula bercampur-baur. Rasa nak menangis, takut, terperanjat, semua ada. 

Setelah membuat beberapa panggilan telefon untuk meminta pertolongan, Patung Beruang mula bertenang. Patung Beruang berterima kasih pada lelaki Serani tersebut kerana sudi berhenti dan bertanya keadaan diri ini. Dan selepas itu, beliau beredar dari lokasi kemalangan dan meneruskan perjalanan beliau. 

Itulah yang berlaku pada Patung Beruang pada minggu lepas. Pengalaman yang tidak pernah Patung Beruang terduga. Dan sampai ke hari ini, Patung Beruang masih terbayang detik-detik kemalangan tersebut. Memang rasa seperti ajal ini dah sampai. Dan takutnya hati ini, Allah SWT sahaja yang tahu.

Bagaimana keadaan Patung Beruang selepas kemalangan tersebut?? 

Of course, sangat sakit. Hari pertama selepas kemalangan itu, setiap kali bergerak walau sedikit pun, Patung Beruang akan menangis sebab terlalu sakit. Masa tu, tak rasa malu pun kalau orang nampak Patung Beruang menangis. Biarlah, bukan orang tahu pun sakit kita kan? huhu.. 

Dan selang beberapa hari selepas kemalangan tersebut, Patung Beruang mengalami pendarahan yang serius dibahagian bawah. Cukup serius sehingga dirujuk ke KPJ pula. Pendarahan tersebut menyebabkan kuantiti darah dalam badan ini berkurangan. Dan ia sangatlah menakutkan.... 

Akibat hentakan yang kuat, bahagian bawah tulang belakang Patung Beruang ini masih lagi sakit sampai ke saat catatan ini ditulis. Kesakitan itu menyebabkan Patung Beruang mengalami kesukaran untuk bangun dari tempat duduk dan tidak boleh berdiri lama. 

Trauma? Yup, of course trauma untuk memandu. Tetapi, hidup kena diteruskan. Patung Beruang kena gagahkan diri untuk memandu semula. Dan agak sakit setiap kali nak masuk dan keluar dari kereta terutama dibahagian tulang belakang. 

Apapun, syukur Alhamdulillah sebab Allah masih panjangkan umur Patung Beruang. Terima kasih pada semua yang tahu tentang kemalangan ini dan sudi bertanya khabar Patung Beruang. Dan pada yang tidak tahu, Patung Beruang minta maaf kerana tidak sempat untuk memberitahu musibah yang melanda ini. 

Setiap yang berlaku pasti ada hikmah-Nya. Dan Patung Beruang yakin, kemalangan ini juga ada hikmah-Nya yang tersendiri. Doakan agar Patung Beruang cepat sembuh ye. Aamin...

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...