Tuesday, November 24, 2015

Free Market Seremban - Part 2

Assalamualaikum semua..
Wah, lamanya Patung Beruang tak update blog ni. Maaf lah ye sbb membiarkan blog ni bersarang labah-labah pulak, hehe.. 

Oklah, Patung Beruang tak nak cerita tentang kesibukan yang melanda sejak 2 menjak ni. Rasa macam masa 24 jam sehari tidak cukup pula. Kesana kesini, ada je kerja dan aktivitinya. Takpe, kita tinggalkan lah cerita kesibukan ini buat seketika ye.

Hari Sabtu lepas, 21 November 2015, Patung Beruang dan ibu join Free Market di Masjid Sikamat, Seremban. Free Market bermula pada pukul 10 pagi. Alhamdulillah, dalam pukul 8.45 pagi, kami dah sampai ke pekarangan Masjid Sikamat. Senang juga nak cari lokasi, guna Waze je :) 

Sampai je di Masjid, nampaknya meja-meja dah elok bersusun di perkarangan Dataran Berbumbung. Patung Beruang dan ibu terus memilih meja yang sesuai, luggage-luggage, beg dan kotak-kotak pun diletakkan dan Patung Beruang bergegas mencari Kak Effi, organiser Free Market ini.

Selama ini, Patung Beruang hanya communicate dengan Kak Effi melalui FB dan WhatsApp je. Pada pagi ni lah baru pertama kali bersua muka. Cantik dan peramah orangnya. Buatkan kita rasa selesa bila berurusan dengannya. Alhamdulillah :)

Setelah bersua dengan Kak Effi, dan juga kenalkan ibu dengan Kak Effi, maka, bermulalah aktiviti menyusun barang-barang untuk dipamerkan di gerai kami.

Pada hari tu Patung Beruang bawa buku cerita kanak-kanak, tudung, baju baby, baju kanak-kanak, baju lelaki & wanita dewasa. 

See, inilah gerai Patung Beruang & ibu. Terima kasih pada Kak Effi dan team sebab susah-susah je siapkan tag nama untuk semua pemilik gerai disana. Oh ye, tag nama tu Patung Beruang masih simpan sampai sekarang. Buat kenang-kenangan, hehe.

Pukul 9.10 pagi, pengunjung mula datang. Tapi, para contributor tidak dibenarkan lagi untuk membuat apa-apa transaksi dengan pengunjung. Pengunjung hanya boleh melawat gerai-gerai dan melihat-lihat barang-barang yang dipamerkan. 

Tepat pukul 9.45 pagi, majlis dimulakan dengan bacaan doa. Dan selepas itu, bermulalah Free Market Masjid Sikamat, Seremban dengan rasminya.

Dari pemerhatian Patung Beruang, pengunjung & contributor untuk Free Market kali ini lebih ramai berbanding Free Market Seremban yang diadakan di Ampangan sebelum ini. Keadaannya lebih meriah, barang-barang pun lebih banyak dan yang paling best, ada pemeriksaan kesihatan percuma disediakan.

Ramai juga warga emas yang beratur untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma. Terima kasih kepada pihak hospital dan kakitangan yang berkenaan kerana sudi memeriahkan Free Market kali ini. 

Alhamdulillah, barang-barang yang kami bawa cepat sangat habisnya. Tiada satu pun yang tertinggal. 

Dan plastik beg yang kami sediakan pun sangat berguna dimana ramai juga pengunjung yang datang kepada kami untuk minta plastik beg bagi mengisi barang-barang mereka. 

Lebih kurang pukul 11.45 pagi, Patung Beruang dan ibu pun berkemas untuk pulang semula ke Melaka. Pengalaman yang sangat berharga buat kami berdua. 

Terima kasih ibu sebab sanggup temankan anak dara sorang ni untuk event Free Market untuk sekian kalinya. Walaupun kami kena keluar rumah seawal pukul 7 pagi, tapi ibu tetap sabar melayan kerenah anak daranya yang sorang ni, hehe.. 

Terima kasih juga buat Kak Effi dan team yang bertungkus lumus menganjurkan Free Market ini. Lokasi yang sesuai, kelengkapan yang sesuai, pengunjung yang ramai dan perjalanan event yang sangat memuaskan. 

Terima kasih juga pada jiran-jiran di sebelah kanan dan kiri gerai Patung Beruang, kerana sudi bertukar-tukar cerita, sudi pinjamkan alas meja pada Patung Beruang (kami terlupa nak bawa alas meja, huhu), sudi menjalinkan silaturrahim dalam masa yang singkat. 

Terima kasih juga pada semua pengunjung Free Market kali ini terutama sekali yang sudi untuk memiliki barang-barang yang dipamerkan di gerai Patung Beruang. Semoga barang-barang tersebut memberi manfaat kepada pemilik barunya. 

Dan yang paling penting sekali, Patung Beruang berdoa agar apa yang kita lakukan ini menjadi saham akhirat kita. Aamin.. Moga ada rezeki untuk kami bersua lagi.



p/s: Latest update yang Patung Beruang dapat petang tadi, In shaa Allah, Kak Effi akan organise lagi Free Market di lokasi yang sama pada 21 hb December ini. Tema kali ini adalah Back To School. In Shaa Allah, jika umur panjang dan ada rezeki, kita jumpa lagi disana ye. Patung Beruang dah ada idea barang-barang yang nak dibawa nanti :) 

Monday, November 16, 2015

Book Review: Aci Patmabi


Tajuk: Aci Patmabi


Penulis: Azmi Iskandar Merican

Sinopsis Novel Ini:

Aci Patmabi adalah nama watak utama didalam novel ini. Patmabi adalah anak sulung dan satu-satunya anak gadis Mamak Maidin, seorang ahli perniagaan terkenal di Pulau Pinang.

Dibesarkan didalam keluarga elit, Patmabi membesar sebagai seorang gadis yang bersopan santun, terjaga perilakunya dan tutur katanya, cantik rupa parasnya serta cerdas mindanya.

Minatnya yang gemar membaca disokong kuat oleh Mamak Maidin dimana Mamak Maidin tidak berkira untuk membelikan buku-buku, kitab-kitab dan majalah Al-Imam bagi santapan minda anak gadisnya. 

Pada usia masih remaja, Patmabi dikahwinkan dengan Pakwan, anak sulung Mamak Seeni Rawther, peniaga emas, berlian dan permata terkenal di Pulau Pinang. Mamak Seeni Rawther digambarkan sebagai antara orang terkaya di Pulau Pinang. 

Perkahwinan dengan Pakwan telah mengubah kehidupan Patmabi sedikit demi sedikit. Keluarga Mamak Seeni Rawther ibarat seperti buah mangga. Nampak indah diluar tetapi isi didalam penuh dengan ulat. Kekayaan yang melimpah ruah tidak mampu membuatkan mereka bersyukur kepada Allah swt. Pegangan agama yang longgar, terlalu percaya pada kepercayaan yang karut marut dan perpecahan keluarga memburukkan lagi keadaan. 

Patmabi diuji apabila Pakwan lebih gemar menghabiskan masa dengan aktiviti Club daripada menguruskan perniagaannya. Mula bermain perempuan, dan akhirnya terjerat dengan cinta palsu anak wayang. Pakwan hilang pertimbangan, harta benda habis diberikan semuanya kepada anak wayang, perniagaannya jatuh muflis dan diambil alih oleh pekerjanya sendiri. 

Tidak cukup dengan masalah yang dibawa Pakwan, anak-anak Patmabi juga tidak menjadi. Lebih gemar berfoya-foya, berjudi dan mengisap ganja sehingga akhirnya rumah pusaka Patmabi juga turut tergadai. 

Menariknya Novel Ini:
Novel ini membawa kita mengembara ke Pulau Pinang, pada zaman dahulu ketika British masih memerintah. Kehidupan golongan elit yang terdiri dari ahli perniagaan mamak, kaum cina, orang British dan juga tidak ketinggalan masyakarat melayu dan india yang tertinggal jauh pada masa itu. 

Turut dipaparkan tentang longgarnya institusi keluarga dimana anak-anak terlalu dimanjakan dengan wang ringgit dan kemewahan sehingga mereka jadi tidak berguna. Harta yang dikumpul oleh generasi terdahulu akhirnya tergadai kepada bangsa asing disebabkan kelalaian dan kemalasan mereka sendiri.

Sifat orang Melayu yang tidak suka melihat bangsa sendiri maju, ingin cepat kaya tetapi malas berusaha dan suka berpuak-puak turut dipaparkan. Pada masa itu, orang Melayu berlumba-lumba untuk menjual tanah-tanah mereka kepada tauke-tauke Cina dengan alasan mereka malas untuk menguruskannya. Walaupun harga yang dibayar terlalu murah tetapi mereka merasakan itu satu kebanggaan kerana mereka berjaya menjadi Orang Kaya Baru dalam sekelip mata. 

Bagi Patung Beruang, novel ini lain dari lain kerana ia mencerminkan keadaan sebenar sebenar apa yang berlaku pada masa itu. Malah, cerita yang sama turut boleh kita lihat dalam keadaan sekarang. Situasi seperti kelalaian dan kemalasan orang Melayu, keghairahan mengejar wang segera, tidak mementingkan pendidikan anak-anak, masih lagi kita boleh jumpa dalam keadaan sekarang. Dan yang pasti, ending novel ini adalah sesuatu yang berpijak di bumi nyata dimana jika kita dilahirkan dalam keadaan kaya-raya, belum tentu kita akan mati dalam keadaan kaya-raya juga. Tidak mustahil keadaan terbalik sepenuhnya... 


Sunday, November 15, 2015

Book Review: The Christmas Box

Tajuk: The Christmas Box

Penulis : Richard Paul Evans

Ceritanya Patung Beruang:

Maaf ye, Patung Beruang lama tidak menulis. Recently, Patung Beruang jarang ada kat sini. Asyik fly sahaja, huhu.. Sampai rasa rindu sgt dgn rumah ni.

Walaupun banyak buku-buku yang Patung Beruang berjaya habiskan pembacaannya, tetapi, disebabkan faktor masa dan keadaan yang tidak mengizinkan untuk menulis, Patung Beruang tangguhkan dulu hasrat untuk berkongsi buku-buku tersebut disini.

Dan longgokan buku-buku yang telah habis dibaca tetapi belum ditulis reviewnya semakin lama semakin tinggi. Mana taknya, tunggu ERL baca buku, dalam ERL baca buku, dekat airport baca buku, dalam flight baca buku, nak tido pun baca buku. Jadi, cycle untuk habiskan setiap satu buku tu pendek lah. 

So, pagi ni,  dengan masa singkat yang Patung Beruang ada dan sambil bersarapan baki pizza semalam (dah siap dipanaskan dengan oven ye hehe) , boleh lah Patung Beruang duduk menaip sebentar. 

Menariknya Buku Ini:

The Christmas Box yang pertama kali diterbitkan pada 1993 adalah medium yang digunakan oleh Richard Paul Evans untuk berkongsi dengan pembaca mengenai keadaan beliau dan isterinya, Keri serta anak perempuan mereka, Jenna ketika mereka menetap di Utah. 

Pada masa itu, Richard sedang bergelut untuk menstabilkan perniagaannya. Dan sebagai salah satu langkah penjimatan kewangan keluarga, mereka telah berpindah ke sebuah mansion, yang dimiliki dan dihuni oleh MaryAnne. 

MaryAnne, seorang wanita tua, tinggal bersendirian di mansion tersebut selepas kematian suaminya. Oleh kerana tidak mahu kesunyian dan memastikan rumahnya sentiasa terjaga kemas, MaryAnne telah mengiklankan hasratnya untuk mencari pasangan yang sudi tinggal bersamanya, dan sanggup mematuhi syarat-syarat yang tertentu. 

Kehadiran Richard dan keluarga diterima baik oleh MaryAnne. Malah, MaryAnne sangat tertarik hati dengan Jenna, anak kecil pasangan ini yang berumur 4 tahun. 

MaryAnne gemar bercerita kepada Jenna. Dan cerita kegemarannya adalah kisah-kisah klasik musim Christmas. 

Pada suatu hari, Richard dan Keri terjumpa Christmas Box di dalam salah satu bilik di mansion tersebut. Didalam Christmas Box tersebut mengandungi beberapa dokumen dan surat yang ditulis oleh MaryAnne. Namun, mereka tidak jumpa siapakah nama penerima surat tersebut. Luahan rasa yang ditulis oleh MaryAnne sangat menyayat hati dan ia menimbulkan misteri kepada siapakah surat-surat tersebut ditujukan.

Oleh kerana perniagaan Richard semakin berkembang, maka Richard banyak menghabiskan masa di luar rumah. Rutin kesibukan Richard disedari oleh MaryAnne dan pada suatu hari, MaryAnne mengajukan soalan, "Apakah hadiah Christmas yang pertama?"

Soalan tersebut tidak dapat dijawab oleh Richard dan ia menimbulkan kemarahan MaryAnne. Dan sejak itu, tingkahlaku MaryAnne mula berubah. Beliau kerap keluar dan hanya pulang ketika waktu malam. Pulang dalam keadaan letih dan seperti baru lepas menangis. 

Sehiggalah pada suatu hari, MaryAnne jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Di sana, sedikit demi sedikit, rahsia hidup MaryAnne mula diketahui oleh Richard dan Keri. Dan Richard juga mula mendapat jawapan kepada soalan yang diajukan oleh MaryAnne padanya. 

Buku ini Patung Beruang amik masa lebih kurang sehari saja untuk habiskan pembacaannya. Mungkin dengan gaya bahasa Richard yang santai, dan jalan cerita yang mengisahkan kehidupan sebuah keluarga kecil di tengah bandar. 

MaryAnne digambarkan sebagai seorang wanita tua yang kaya dan bijaksana, yang kehilangan separuh hidupnya tatkala anak tunggalnya meninggal dunia di usia yang sangat muda, dan kehilangan baki separuh hidupnya apabila suaminya pula meninggal. Tetapi MaryAnne terus tabah dan hidupnya sentiasa dikelilingi insan-insan yang baik dan prihatin termasuklah jiran sekeliling. Kehadiran keluarga Richard membuatkan MaryAnne merasa beliau mempunyai keluarga semula. Dan oleh itu, MaryAnne berusaha keras untuk memastikan Richard sentiasa menghargai insan-insan yang ada disekelilingnya.

Membaca The Christmas Box seolah-olah membawa kita kepada kegembiraan hidup dikelilingi keluarga, pentingnya menghargai kasih sayang keluarga yang tidak berbelah bahagi selagi mereka masih ada...  

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...