Saturday, May 21, 2016

Minggu Yang Penuh Dengan Kejutan

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah, Patung Beruang masih lagi dikurniakan kesempatan untuk menulis disini. Sedar tak sedar, dah masuk bulan May. Lagi beberapa hari sahaja lagi, kita akan mula berpuasa di bulan Ramadhan. Allahuakbar.. cepat sungguh masa berlalu..

Minggu yang baru berlalu ini penuh dengan kejutan untuk Patung Beruang.

Kejutan pertama, Patung Beruang menerima dua hadiah dari 2 insan yang berbeza. Bestkan??? Hadiah-hadiah tersebut dihantar direct terus ke ofis.. 

Hadiah pertama yang Patung Beruang dapat adalah jambangan coklat. Special delivery by online seller. Jambangan ini dihadiahkan oleh staff Patung Beruang, sempena Teacher's Day.

Pelik juga sebenarnya sebab Patung Beruang bukannya pendidik pun. Setelah ditanya, staff tersebut menyatakan yang beliau rasa terhutang budi kerana Patung Beruang banyak guide dia sepanjang dia bekerja disini. So, this coklat bouquet as a token of appreciation to say thank you. 

Tak kisah lah, hehe..

Yang pasti, bertahun-tahun Patung Beruang kerja, inilah pertama kali Patung Beruang terima hadiah dari staff. Layan je lah.. Apapun, Patung Beruang hargai niat baik dia. Seronoknya Patung Beruang ada stock coklat untuk beberapa bulan. 

Di pejabat, ramai yang tertanya-tanya, kenapa Patung Beruang je yang dapat? Hm.. maaflah ye.. Tak dapat Patung Beruang nak jawab soalan itu, hehe.. 



Ini pula adalah hadiah ke-2 yang Patung Beruang dapat dalam minggu ini. Hadiah istimewa dari seorang sahabat yang jauh merentasi Laut China Selatan. 

Beliau menyatakan yang ini adalah persediaan untuk Ramadhan yang bakal menjelang.

Sinopsis 114 Surah.. Itulah tajuknya.. 

Bila diteliti buku ini, Patung Beruang tertarik kerana sinopsis yang dilampirkan adalah padat tetapi dalam gaya yang santai dan mudah difahami. Dibuat dalam bentuk mind mapping. 

Tak sabar rasanya Patung Beruang nak gunakan buku ini. Sekurang-kurangnya selepas ini, bila nak baca Surah atau ayat yang spesifik temanya, Patung Beruang boleh refer pada Sinopsis ini terlebih dahulu untuk melihat Surah apa dan ayat keberapa. 

Terima kasih Cik Wan atas hadiah yang lain dari lain ini. Hanya ada beberapa sahabat sahaja yang akan memberikan hadiah buku pada Patung Beruang. Dan Cik Wan adalah salah seorang darinya. Berkongsi minat yang sama iaitu suka membaca, membuatkan kami suka bertukar-tukar hadiah buku atau paling tidak pun berkongsi cerita berkenaan buku-buku yang kami baca. 

Cik Wan, seperti perbualan kita petang tadi, in shaa Allah, satu masa nanti Patung Beruang akan ke sana semata-mata untuk melawat Cik Wan. Sabar lah ye :)


Hm...Urusan kerja Patung Beruang macam biasalah, ada turun dan naiknya. 

Hari ini 21 May, esok pula dah 22 May. Maknanya tinggal 9 hari sahaja lagi Patung Beruang di sini. Selepas ini, Patung Beruang akan berhijrah ke organisasi lain pula. 

Industry berbeza, organisasi lain, bidang kerja berubah, cabaran baru.. Nasib baik gaji pun baru, hehehe.. 

Jujurnya, Patung Beruang rasa sedih nak tinggalkan tempat sekarang. Nak tinggalkan staff - staff dan bos disini. Rasanya belum puas Patung Beruang bantu mereka disini. 

Tapi, apakan daya.. Ada organisasi lain yang lebih memerlukan khidmat Patung Beruang. Patung Beruang bukanlah seorang yang pakar.. Hanya seorang gadis biasa, yang suka berfikir, suka cabaran dan suka membantu syarikat. Jadi, dimana pun tercampak, Patung Beruang akan cuba buat yang terbaik. Doakan Patung Beruang ye.. 

Patung Beruang tak nak fikir sangat apa yang bakal Patung Beruang hadapi di tempat baru.. Misi Patung Beruang sekarang cuma nak selesaikan semua kerja-kerja di sini dalam masa 9 hari ini. Sempat tak sempat, kenalah sempat kan juga. Kalau sampai Patung Beruang kena buat kerja dirumah atau datang pejabat pada Sabtu Ahad, layan kan je lah.. Tak pelah.. Bukannya sepanjang tahun pun Patung Beruang berkeadaan macam ini.. 

Oklah.. Mata ini pun dah ngantuk sangat. Esok Patung Beruang kena bangun awal sebab ada event Free Market. Habis je Free Market, Patung Beruang kena sambung buat kerja semula. Jika tak larat, mungkin Patung Beruang akan duduk membaca sekejap dan baru sambung semula kerja. 

In Shaa Allah jika berkesempatan, Patung Beruang akan menulis lagi ye..

Selamat malam dan adios.... :) 

Book Review: Keajaiban Firasat 63 Kisah Pengubat Jiwa



Tajuk: Keajaiban Firasat 63 Kisah Pengubat Jiwa 


Penulis: Muhadir Haji Joll

Menariknya Buku Ini:

Buku ini adalah buah tangan dari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di MAEPS beberapa minggu lepas. 

Alhamdulillah, oleh kerana lokasi Pesta Buku sangat dekat dengan rumah Patung Beruang, jadi keinginan untuk menghadirinya sangat membuak-buak. 

Mengandungi 63 buah kisah yang sangat menarik, penulis membuka catatan buku ini dengan Kisah 1: Keadilan Tuhan. Kisah bermula apabila Nabi Musa a.s. memohon agar Allah swt menunjukkan keadilan kepadanya. Allah swt memperkenankan permohonan Nabi Musa a.s. dimana Beliau memerintahkan agar Nabi Musa a.s. pergi ke tempat yang ada mata air. Bersembunyi di tempat tersebut dan menyaksikan segala apa yang bakal berlaku. Namun, apa yang terlihat di pandangan mata Nabi Musa a.s. benar-benar menguji kesabarannya. Ini adalah kerana Nabi Musa a.s. diperlihatkan bagaimana seorang kanak-kanak telah mengambil harta kepunyaan seorang penunggang kuda, namun, seorang lelaki lain yang buta pula yang dipersalahkan dan akhirnya dibunuh oleh penunggang kuda itu. Setelah itu, Jibrail a.s. datang dan menerangkan kepada Nabi Musa a.s. apakah sebenarnya yang berlaku dan mengapa manusia-manusia itu berperlakuan sedemikian. 

Kisah 12: Roti dan Anjing membawa kita kepada kisah dermawannya seorang budak lelaki yang ditugaskan menjaga kebun kurma. Dalam sehari, kanak-kanak ini hanya memakan 3 potong roti sahaja. Namun, pada suatu hari seekor anjing telah datang dan memasuki kebun kurma tersebut. Budak lelaki ini melemparkan sepotong roti kepada anjing tersebut lalu anjing itu pun memakannya dengan lahap sekali. Melihatkan keadaan itu, budak lelaki itu melemparkan lagi potongan roti miliknya kepada anjing tersebut sehinggalah potongan yang terakhir. Peristiwa itu dilihat oleh Abdullah bin Ja'afar, keluarga Bani Hasyim yang paling akhir melihat Rasulullah s.a.w. Lantas Abdullah bin Ja'afar bertanya apakah yang akan dimakan oleh budak itu memandangkan makanannya telah habis dimakan oleh anjing tadi. Budak lelaki itu menyatakan yang dia akan berpuasa sahaja pada hari itu. Sifat dermawan budak lelaki itu benar-benar menyentuh hati Abdullah bin Ja'afar lantas beliau pun membeli kebun tersebut dengan budak lelaki itu. Dia kemudiannya memerdekakannya lalu menghadiahkan kebun tersebut kepadanya. 

Kisah yang paling menyentuh hati Patung Beruang adalah Kisah 63: Ya Rasulullah.. Kami Merinduimu... Kisah ini menceritakan detik-detik terakhir kehidupan Rasulullah s.a.w. Bermula dari peringkat awal Baginda s.a.w. sakit dan mengunjungi para syuhada Perang Uhud. Di atas kubur mereka, Rasulullah s.a.w. memberi salam dan menyatakan yang Baginda s.a.w. akan mengikuti mereka. Kemudian, diceritakan bagaimana situasi pada 3 hari sebelum kawafatan Baginda s.a.w. dimana pada masa itu, sakit Baginda s.a.w. semakin meruncing. Sehingga akhirnya Baginda dipindahkan ke rumah Sayidatina Aisyah r.a., memberi khutbah terakhir kepada umat Islam pada masa itu, kedatangan Fatimah untuk melawatnya dan sehinggalah Rasulullah s.a.w. menghembuskan nafas terakhir Baginda di dada Sayidatina Aisyah r.a. Turut diceritakan bagaimana keadaan para sahabat apabila Sayidatina Aisyah r.a. memaklumkan kewafatan Baginda s.a.w. 

Kisah terakhir ini sangat menyentuh perasaan Patung Beruang. Penulis berjaya menulis kisah ini dengan gambaran yang detail sehingga seolah-olah peristiwa itu berlaku di hadapan mata Patung Beruang. Air mata mengalir tatkala menatap kisah terakhir ini. Ya Rasulullah, benar.. kami amat merinduimu... 


Kesimpulannya, buku Keajaiban Firasat 63 Kisah Pengubat Jiwa ini sangat menarik dan padat dengan kisah-kisah yang menyentuh hati. Ada antara kisah-kisah ini pernah Patung Beruang baca dibuku-buku lain. Tetapi, ada antaranya baru pertama kali membacanya. Selain dari kisah-kisah yang menarik, buku ini turut meletakkan nota kaki di setiap kisah mengenai tokoh-tokoh atau insan-insan yang diceritakan didalam kisah tersebut. Maklumat seperti latar belakang, kelahiran dan kematian mereka, serta pencapaian dan kehebatan mereka turut diselitkan didalam nota kaki tersebut. Buku yang menarik untuk dikongsi dengan semua..  :) 

Monday, May 16, 2016

Membuang Atau Dibuang, Yang Manakah Kita?

Assalamualaikum wbt...


Khamis lepas, Patung Beruang menonton Ada Apa Dengan Cinta 2? di IOI City Mall seorang diri. Sesekali merehatkan otak dari isu-isu dipejabat. Walaupun tayangan waktu siang, tapi panggung separuh penuh juga. Ramai juga rupanya peminat cerita ini..

Nak kata Patung Beruang minat sangat cerita ini, tidaklah.. Cuma, lebih kepada nak tahu, apa kesudahan kisah Cinta dan Rangga, serta menikmati puisi-puisi yang ada didalam filem tersebut.

Komen Patung Beruang mengenai filem tersebut? Hm... I reserved my comment, can I say that? hehe.. 

Setiap orang ada pendapat tersendiri mengenai filem ini. Jujurnya, Patung Beruang enjoy dengan puisi-puisi yang dilontarkan didalam filem ini. Ada adegan yang membosankan, tetapi ada juga adegan yang menyentuh hati ini.

Selepas menonton, Patung Beruang terfikir...

Betullah.. Adakalanya kita terpaksa membuang orang yang kita sayang. Bukan sebab kita benci dia atau sebab sudah pudar rasa sayang itu. Tapi... untuk kebaikkan bersama.

Tetapi...

Adakalanya, kita pula yang dibuang oleh orang yang kita sayang. Kita dibuang tanpa isyarat, dibuang tanpa ada penjelasan yang jelas. 

Ibarat membuang anak kucing. Kita tinggalkan dia di pasar, dan kita terus melangkah pergi. Walaupun anak kucing itu mengejar kita, mengiau memanggil kita, kita tetap pekakkan telinga, butakan mata dan keraskan hati untuk melangkah dan terus melangkah. Akhirnya, anak kucing itu bosan dan penat mengejar, lalu dia berhenti dan tinggallah dia di pasar itu. Takut diserang haiwan lain, bimbang tiada makanan, bimbang tiada yang mengasihi, kesunyian seorang diri, semuanya ditelan sendiri oleh anak kucing tersebut.  

Begitulah dalam kehidupan kita ini..

Insan datang silih berganti..

Adakalanya datang sebagai seorang kawan..

Adakalanya datang sebagai seorang sahabat..

Adakalanya datang sebagai seorang yang istimewa, yang berjaya menghuni hati ini..

Tetapi, perancangan Allah adalah yang terbaik..

Tidak semua yang hadir dalam hidup kita, akan sentiasa kekal bersama dengan kita..

Hari ini, kita berbicara seperti biasa.. Tetapi, esok, kita membuangnya.. atau mungkin, esok kita yang dibuangnya.. 

Tipulah jika kita dapat melupakan dia sepenuhnya dalam waktu yang singkat.. Ibarat menekan butang "delete" di keyboard laptop.. Sekali tekan, terus terpadam dari skrin hati dan fikiran.. Mengarut, bukan?

Mungkin proses "delete" tersebut memakan masa berminggu, berbulan atau mungkin bertahun.. Percayalah, kesembuhan itu akan datang seiring dengan masa.. Time will heal a broken heart..

Namun, sesekali dia hadir dalam ingatan kita. Sesekali, dia hadir dalam mimpi kita. Sesekali, dia hadir didalam doa kita. 

Jika terlintas, doakan sahaja agar dia berjaya dan bahagia dunia dan akhirat. Jika sudah tidak bernafas, hadiahkan sahaja ayat suci Al-Fatihah buat menemaninya disana..

Jangan diusir kenangan itu.. Kerana ia antara kenangan terindah dalam hidup kita.. 

Membuang atau dibuang, setiap satunya pasti ada penjelasan..

Kita mungkin berhutang penjelasan dengannya.. Atau mungkin, kita yang masih menagih penjelasan darinya.. 

Ada perkara perlu dijelaskan sebaiknya.. Tetapi, ada kalanya lebih baik saja penjelasan itu disimpan kemas di sudut hati. Meluahkannya hanya akan menambah luka yang sedia ada. Tidak membawa kebaikkan tetapi menyesakkan lagi keadaan..

Membuang atau dibuang, usah lagi menyimpan dendam.. 

Maafkan sahaja diri sendiri dan pihak disebelah sana.. 

Kini, masing-masing ada haluan dan destinasi tersendiri..  

Andai terjumpa di pertengahan jalan, sapalah.. In shaa Allah, pasti akan dijawab dengan seikhlas hati.. Tetapi, jika tidak punya kekuatan, palingkan sahaja pandangan mata. Anggaplah seperti dia tidak wujud dialam nyata.. 

Membuang atau dibuang, menghadirkan rasa kosong dalam ruang diri ini.. 

Kosong, kering dan menyeramkan.. 

Jangan dilayan rasa kosong itu.. 

Jangan dilayan hati yang kering dan menyeramkan itu..

Bukalah mata hati dengan seluasnya..

Disekeliling, masih ramai lagi yang lebih malang dari kita..

Disekeliling, masih ramai lagi yang lebih merana dari kita..

Mengapa tidak kita hulurkan tangan, pinjamkan bahu untuk bersandar, dan pinjamkan telinga untuk mendengar? 

Isi lah kekosongan itu dengan membantu insan-insan lain yang lebih memerlukan.. Nescaya, kekosongan itu akan hilang sedikit demi sedikit.. 

Atau mungkin peluang datang untuk memperbaiki diri...

Mengapa tidak direbut sahaja peluang itu?

Bukankah setiap kesedihan itu akan disusuli dengan kegembiraan? 

Kita adalah apa yang kita fikirkan.. 

Hidup ini kena ada matlamat yang jelas..  Dan matlamat kita bukan setakat bahagia dan berjaya disini tetapi jua disana.. Andai kata umur ini tidak panjang, tidak malukah kita untuk berdepan dengan Pencipta, dengan hati yang rawan?  

Membuang atau dibuang, tidak kisahlah yang mana satu.. 
Lupakan sahaja kesedihan itu.. 

Teruskan sahaja perjalanan ini.. 
Jangan menoleh lagi..

Usah gentar jika terlihat bersendirian..
Kerana hakikatnya, Kekasih abadi tidak pernah meninggalkan kita berseorangan.. 



p/s: Hari ini Hari Guru. Patung Beruang ucapkan Selamat Hari Guru pada semua yang pernah mengajar Patung Beruang, dari tadika sehinggalah ke peringkat Master. Juga pada guru-guru atau pendidik lain diluar sana. Tanpa jasa kalian, Patung Beruang tidak akan berada dimana Patung Beruang berada sekarang. Halalkan segala ilmu dan nasihat yang telah diberikan.. Setiap tahun, hanya 2 orang sahaja yang Patung Beruang wish personally melalui SMS. Kerana hanya nombor mereka sahaja yang masih ada dalam simpanan Patung Beruang. Moga mereka berjaya dan bahagia dunia akhirat, Aamiin.. 

Book Review: Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur

Tajuk: Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur

Penulis: Keris Mas

Menariknya Novel Ini:

Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur ini Patung Beruang berjaya sudahkan pembacaanya pagi semalam. Alhamdulillah.. :)

Novel karya Sasterawan Negara, Keris Mas ini pertama kali dicetak pada tahun 1982. Dan setakat tahun 2015, ia telah dicetak sebanyak 12 kali. 

Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur membawa pembaca mengenali beberapa orang watak utama seperti Encik Muhammad, anak kepada Orangkaya Indera Datuk Idris. Encik Muhammad adalah ahli perniagaan Melayu yang berjaya di Kuala Lumpur. Ketokohan dan kewibawaan beliau disegani rakan dan lawan samaada dalam bidang perniagaan, politik atau kemasyarakatan. 

Encik Muhammad mempunyai rakan kongsi yang akrab iaitu Datuk Tan Cong Seng (Datuk Tan). Bersama-sama dengan Datuk Tan, mereka menubuhkan Syarikat Lombong Lembah Tualang bagi menjalankan aktiviti perlombongan di wilayah Tualang. 

Generasi terdahulu Encik Muhammad adalah orang besar di wilayah Tualang dan mereka juga telah berkerjasama dengan tauke Cina untuk melombong bijih di wilayah tersebut. Namun, zaman berganti, setelah berlakunya pergaduhan orang-orang kongsi gelap yang memeras ugut tauke-tauke lombong, kemasukan Jepun ke Tanah Melayu, dan ketidaktentuan pasaran bijih timah dunia, aktiviti perlombongan tersebut akhirnya dihentikan.

Encik Muhammad adalah 5 beradik dimana yang sulung bernama Mahmud atau lebih dikenali sebagai Penghulu Mahmud. Beliau tidak berpelajaran dan tinggal di kampung, dan hidup dengan hasil kebun dan sawah peninggalan arwah Orangkaya Indera Datuk Idris. 

Seterusnya adalah Yaakub, Halimah dan Maimunah. Namun, ketiga-tiga mereka telah meninggal dunia. Yang tinggal hanyalah waris masing-masing. Namun, mereka semua tidak tinggal di Wilayah Tualang.

Encik Muhammad adalah anak bongsu. Beliau seorang yang berpelajaran tinggi tetapi tidak pernah tinggal di Wilayah Tualang. Sekembalinya beliau dari England, selepas tamat belajar, Encik Muhammad tidak memasuki perkhidmatan kerajaan. Malah, beliau bekerja dengan sebuah syarikat dagang orang Inggeris di Kuala Lumpur. Dari situ lah beliau mula mengasah bakat didalam dunia perniagaan sehingga akhirnya menubuhkan perniagaan perkongsian dengan Datuk Tan.

Perancangan untuk menjalankan kembali aktiviti perlombongan di Wilayah Tualang tidak lah semudah disangkakan. Tentangan utama datang dari Rahim, iaitu anak lelaki En Muhammad yang kini sedang belajar di luar negara. Rahim merasakan yang rancangan En Muhammad ini akan menganiaya penduduk kampung disana dimana tanah-tanah mereka akan dirampas atau dibayar pampasan yang tidak sepadan dengan nilai sebenar tanah itu. Rahim juga merasakan yang ayahnya terlalu mementingkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan perkara-perkara lain seperti masa depan generasi muda Wilayah Tualang, keruntuhan sosial dan ajaran dan cara hidup Islam yang semakin menipis dikalangan penduduk kampung disana. 

Mahani, anak kepada Tan Sri Syed Aris kenalan rapat En Muhammad, kini bekerja sebagai setiausaha En Muhammad. Oleh kerana Mahani dan Rahim rapat semenjak dari kecil lagi, maka kedua-dua keluarga ini bersepakat untuk menjodohkan mereka berdua. Bagi En Muhammad, pertunangan antara Rahim dan Mahani diharapkan agar dapat mengubah Rahim untuk meneliti dan memahami rancangan perniagaannya sedikit demi sedikit terutama sekali yang berkenaan dengan Syarikat Lombong Lembah Tualang. Malah, En Muhammad juga berharap agar Mahani dapat membantunya untuk memulihkan semula hubungannya dengan anak lelakinya itu. Bagi Rahim pula, Mahani diharapkan untuk menjadi penyokong kuatnya, agar dia tetap tegas menentang segala cita-cita En Muhammad yang dirasakannya hanya akan merugikan orang Melayu. 

Adakah Mahani berjaya merapatkan kembali hubungan dua beranak ini atau mungkin dia juga akan sama menentang En Muhammad sebagai tanda cintanya pada Rahim?

Di Wilayah Tualang, perancangan besar En Muhammad mendapat sokongan padu dari ahli politik, iaitu Yang Berhormat Muhd Yusuf, serta anak kampung yang lain seperti Sudin. Pada mulanya YB Muhd Yusuf telah bersetuju untuk bekerjasama dengan seorang Tauke Cina bagi memajukan kawasan Wilayah Tualang terutama Kampung Pulai. Namun, setelah meneliti perancangan En Muhammad dan merasakan yang perancangan itu lebih memihak kepada orang Melayu disana, maka YB Muhd Yusuf membatalkan persetujuannya bersama Tauke Cina, yang telah termeterai terlebih dahulu. 

Sudin pula dipertanggungjawabkan untuk melobi orang-orang kampung bagi menyokong apa sahaja idea dan rancangan En Muhammad dan YB Muhd Yusuf. Namun, ia tidak semudah yang disangka kerana Sudin terpaksa berdepan dengan Mat Akil dan konco-konconya yang lebih dikenali sebagai samseng kampung tersebut. Mat Akil mempunyai dendam lama dengan Sudin dan sanggup membuat apa sahaja untuk menjatuhkan Sudin. 

Adakah permusuhan Mat Akil dan Sudin akan berkekalan? 

Atau mungkin Mat Akil juga sama seperti orang kampung lain yang mudah digula-gulakan dengan wang ringgit yang tidak seberapa?

Dengan rintangan dari orang kampung dan Rahim, anaknya sendiri, dapatkan En Muhammad melihat aktiviti perlombongan di Wilayah Tualang berjalan kembali? 

Mungkinkah ia hanya tinggal cita-cita dan impian sahaja sedangkan banyak wang ringgit telah dileburkan? 



Membaca Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur ini memaparkan persoalan tentang kemunculan saudagar-saudagar Melayu dan giatnya gerakan dakwah Islamiah di kalangan generasi muda. 

Selain itu, watak-watak dan karektar yang ada didalam novel ini mencerminkan sikap sebenar manusia yang tidak berubah walaupun zaman telah berubah. Orang Melayu yang mudah digula-gulakan dengan hiburan, jamuan dan keramaian yang meriah dan token wang ringgit atau hadiah yang tidak seberapa hingga mereka terus menyokong si pemberi dengan membuta tuli, tanpa memikirkan rasional disebalik tindakan si pemberi. Anak-anak muda yang malas bekerja, malas meningkatkan kualiti diri tetapi hanya ingin berhibur semata-mata. Anak-anak muda yang lebih senang berhijrah ke bandar walaupun hanya bekerja sebagai kuli, sedangkan peluang untuk bekerja sendiri terbuka luas di kampung halaman. Sikap berpura-pura dan dengki khianat walau sesama bangsa, sehingga tidak senang dengan kelebihan dan keistimewaan yang dimiliki oleh orang lain. Juga sifat mementingkan diri yang ada pada ahli perniagaan sehingga mereka terlupa tanggungjawab sosial. 

Pada pendapat Patung Beruang, walaupun novel ini ditulis berpuluh-puluh tahun dahulu, tetapi jalan ceritanya dan mesej yang disampaikan masih lagi relevan sehingga kini. Sebuah karya yang hebat dari seorang Sasterawan Negara :)

Monday, May 2, 2016

Book Review: Lukanya Merah

Tajuk: Lukanya Merah

Penulis: Rohani Deraman

Menariknya Novel Ini:

Novel Lukanya Merah ini Patung Beruang beli ketika hadir ke Pesta Buku lepas yang diadakan di PWTC.

Seperti biasa, jika hadir ke Pesta Buku, booth Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah booth yang wajib Patung Beruang lawati. Pastinya untuk melihat jika ada novel-novel baru yang menarik hati untuk dibeli.

Lukanya Merah membawa kisah perjuangan umat Islam yang tinggal di Kampung Chanae, salah sebuah kampung di selatan Thailand. Umum mengetahui bahawa wilayah selatan Thailand sering bergolak dimana konflik tercetus antara askar kerajaan dan juga penduduk tempatan yang majoritinya beragama Islam. 

Mek Romah, seorang wanita tua yang cekal dan tabah. Beliau dilahirkan di Kelantan, namun berpindah ke Kampung Chanae setelah berkahwin dengan suaminya, Haji Mat Daud. Haji Mat Daud adalah imam yang disegani dikampungnya dan kampung sekitar. 

Dikurniakan tiga orang anak yang kesemuanya lelaki iaitu Seman, Dolah dan Mat Husin, amat membahagian pasangan ini. Seman dan Dolah aktif mengembangkan ajaran Islam dan juga memperjuangkan kemerdekaan wilayah selatan Thailand. Bagi masyarakat Islam ini, mereka hanya inginkan kerajaan mengiktiraf kedudukan mereka sebagai masyarakat asal di wilayah ini dan memberi kebebasan kepada mereka untuk mentadbir wilayah ini.

Malang mula menimpa keluarga Mek Romah apabila Seman mati ditembak ketika pulang dari menoreh getah bersama-sama ayahnya. Tidak berapa lama kemudian, Dolah pula mengikut jejak langkah abangnya. Mayat Dolah ditemui oleh Mek Romah dan Haji Mat Daud tidak jauh dari kebun mereka, dicelah-celah rumpun buluh. Bagai menambah luka yang sedia pedih, Haji Mat Daud turut ditembak mati oleh askar-askar kerajaan, tatkala beliau membuka pintu rumahnya, sesudah solat Subuh. 

Melihatkan seorang demi seorang ahli keluarganya dibunuh, Mat Husin nekad untuk berhijrah ke Singapura. Walau dipujuk oleh Mek Romah, Mat Husin nekad untuk bekerja disana dan meninggalkan Mek Romah, isterinya Siti Aishah dan anak-anaknya. 

Naluri seorang menantu yang amat dahagakan kasih sayang seorang ibu, membuatkan Siti Aishah tidak sanggup meninggalkan Mek Romah keseorangan di kampung. 

Walaupun sudah berumur, namun Mek Romah nekad untuk menyambung perjuangan suami dan anak-anaknya. Kini, sekumpulan anak muda di Kampung Chanae semakin aktif menyusun strategi bagi melawan askar-askar kerajaan. 

Banyak harta benda telah Mek Romah sumbangkan kepada kumpulan anak muda ini bagi membantu mereka membeli peralatan atau senjata. Selain itu, beliau juga beberapa kali keluar dari Kampung Chanae semata-mata untuk meninjau keadaan umat Islam ditempat lain. 

Namun, pada suatu hari, Mek Romah ditemukan dengan seorang gadis muda bernama Fatmah. Dan pada hari yang sama juga, Fatmah dan Mek Romah ditangkap oleh askar kerajaan, serta dipenjarakan.

Siapakah Fatmah sebenarnya?

Adakah perjuangan Mek Romah telah dihidu oleh askar kerajaan? 

Adakah Mek Romah akan dibunuh sama seperti suami dan anak-anaknya?

Apakah kesudahan perjuangan Mek Romah dan juga umat Islam disana?


Lukanya Merah ternyata novel yang unik. Penulis mengangkat kisah perjuangan umat Islam di wilayah selatan Thailand sebagai tema utama novel ini. Membaca novel ini membawa kita mengerti punca sebenar perjuangan mereka, jerih perih mereka mempertahankan tanahair mereka, layanan tidak adil yang diterima dari pemerintah serta bagaimana peranan media dalam manipulasi kisah sebenar sehingga orang luar mempunyai persepsi negatif terhadap masyarakat Islam disana. 

Susunan cerita sangat teliti dan teratur. Pembaca dibawa mengenali ahli keluarga Mek Romah dan juga kehidupan mereka. Sedikit demi sedikit, mula ditunjukkan hala tuju perjuangan mereka dan pahit getir yang mereka hadapi dalam menghadapi kehidupan seharian. Kesimpulannya, Lukanya Merah adalah antara novel terbaik yang Patung Beruang pernah baca. 


p/s: Antara sebab kenapa Patung Beruang sangat menggemari novel-novel terbitan DBP adalah selain dari gaya bahasa yang cantik (membantu Patung Beruang memperbaiki penguasaan Bahasa Melayu), juga kerana tema yang diketengahkan oleh penulis-penulis mereka adalah pelbagai. Kisah sebenar kehidupan masyarakat diluar sana. Ada suka, duka, lara dan nestapa. Realiti kehidupan dengan 1001 cerita. Bukan semata-mata kisah cinta murahan yang tidak berpijak dibumi nyata, seperti yang banyak ditonjolkan oleh novel-novel popular masa kini. 

Maaf lah ye. Bagi Patung Beruang, kisah cinta yang indah-indah belaka dan happy ending hanya berlaku didalam cerita Hindustan. Hakikatnya, banyak je kisah cinta yang tidak kesampaian, yang penamatnya sangat menyedihkan dan memberi kesan kepada insan yang terlibat, walau ia telah lama berlalu. Jadi, mengapa kita masih ingin menipu diri sendiri membaca kisah-kisah cinta yang penuh khayalan itu??? 

Book Review: To Cut A Long Story Short

Tajuk: To Cut A Long Story Short

Penulis: Jeffrey Archer

Menariknya Buku Ini:

To Cut A Long Story Short adalah karya Archer yang Patung Beruang selesai membaca pada bulan March hari itu. 

Seperti yang Patung Beruang maklumkan, senarai buku-buku yang pending Book Review makin hari makin meninggi. Alhamdulillah, dalam tempoh sehari dua ini Patung Beruang berjaya menyiapkan beberapa catatan Book Review disini. Tapi untuk siapkan semua pada kali ini, memang mustahil lah ye, hehe..

To Cut A Long Short Story menghimpunkan 15 buah cerita pendek dimana 9 darinya adalah berdasarkan kisah benar. Archer memulakan penceritaannya dengan Death Speaks dan berakhir dengan The Grass Is Always Greener

Kisah pertama yang menarik hati Patung Beruang adalah The Endgame, yang mempunyai watak utama iaitu Cornelius Barrington, seorang hartawan yang bijaksana. Kehidupan seharian Cornelius banyak dibantu oleh Frank Vintcent, sahabat karib merangkap peguam peribadinya. Cornelius yang kematian isteri, tidak mempunyai anak. Oleh itu, harta peribadinya boleh sahaja dituntut oleh adik-beradiknya atau ahli keluarga yang lain, seperti abangnya, Hugh dan isteri beliau, Elizabeth, anak mereka, Timothy, adik perempuan Cornelius, Margaret serta pembantu rumahnya yang setia iaitu Pauline. 

Cornelius sering tertanya-tanya bagaimana 5 orang ini akan melayan beliau jika beliau seorang yang miskin. Dalam usahanya untuk mengenalpasti keikhlasan kelima-lima insan ini dalam mendampinginya, maka Cornelius telah membuat ujian keatas mereka dengan bantuan Frank. Frank telah menghantar surat kepada kelima-lima orang ini dengan menyatakan bahawa Cornelius disahkan bankrap akibat daripada hutang dan kerugian dari pelaburan yang dibuatnya. Maka, kelima-lima mereka diminta untuk membantu Cornelius menyelesaikan masalah kewangannya. 

Oleh kerana sebelum ini, kelima-lima orang tersebut pernah meminjam atau menggunapakai harta Cornelius, maka pada saat ini, Cornelius mengharapkan agar mereka membantunya pula. 

Ujian demi ujian yang dilakukan oleh Cornelius, dengan bantuan Frank benar-benar membantu Cornelius untuk melihat perangai sebenar kelima-lima orang tersebut. Ada antara mereka sedaya upaya cuba untuk membantu Cornelius walaupun sedar mereka tidak mampu. Tetapi ada juga yang ternyata hanya mengambil kesempatan diatas kebaikan Cornelius dan harta-hartanya. Apabila diketahui Cornelius sedang kesempitan, mereka memberi 1001 alasan untuk tidak membantunya. 

Ending kisah ini?? Opss.. Patung Beruang tak nak kongsi disini. Yang pasti cerita ini membuatkan Patung Beruang rasa sangat teruja menikmatinya ketika dalam flight hari itu.. heheh.. 



Crime Pays, adalah berdasarkan kisah benar dimana ia membawa kita kepada Kenny Merchant, seorang pencuri yang bijak memanipulasi undang-undang. Ketika didalam penjara, Kenny menghabiskan masanya dengan membaca dan meneliti Acts of Parliament yang pada masa itu dibahaskan di House of Commons. Kenny sangat tertarik dengan Data Protection Bill, dan mula mengikuti setiap perbahasan berkenaan dengan Bill tersebut. Apabila Akta tersebut sah digazetkan pada tahun 1992, Kenny telah memanggil peguamnya untuk bertemu dan berbincang. Tidak lama selepas itu, Kenny telah meminta salinan semua business magazines yang diterbitkan di United Kingdom. 

Setelah dibebaskan dari penjara, Kenny terus berlepas ke Hong Kong. Disana, Kenny telah pergi ke beberapa syarikat percetakan dan meminta quotation untuk penerbitan majalah yang bertajuk Business Enterprise UK. Setelah mendapat harga yang terbaik, syarikat percetakan pun mencetak 99 salinan majalah Business Enterprise UK. Selain itu, Kenny juga telah menghantar 2,400 surat kepada pelbagai alamat diserata UK. Selepas 6 bulan surat-surat tersebut dihantar, Kenny dilihat mula berulang-alik ke bank.   

Setahun selepas itu, Kenny kembali semula ke Hong Kong dan sekali lagi mencetak 99 salinan Business Enterprise UK dan menghantar 1,971 surat kepada pelbagai alamat. 

Kesudahannya, aktiviti ini berjaya memberi pulangan yang mewah kepada Kenny, dan ketika ditangkap dan dibicarakan, Kenny hanya didenda sebanyak 1,000 Pound Sterling. Tetapi...

Bagaimana sebenarnya cara Kenny mendapat duit-duit tersebut? 

Apa maksud disebalik 99 salinan cetakan Business Enterpise UK

Dan apa kaitan Data Protection Bill yang diluluskan di Parlimen dengan strategi yang dilakukan oleh Kenny?


Oklah, Patung Beruang decide untuk kongsikan 2 cerita sahaja dari 15 buah cerita yang ada dalam buku ini. Kenapa??

Sebab, boleh dikatakan semua ceritanya menarik. Jadi, tidak adil jika Patung Beruang kongsikan disini. Lebih seronok jika dapat membacanya sendiri ye.

Walaupun ceritanya pendek, tapi Archer memang tidak pernah mengecewakan pembacanya. Kita masih boleh faham keseluruhan cerita dan setiap ceritanya masih ada endingnya. Dan seperti biasa, Archer memang suka memberi kejutan kepada pembacanya..hehe..

Adios.. 

Suatu Pelarian..

Bulan April ini adalah bulan yang mencabar buat Patung Beruang. Ada beberapa event dan kejadian besar yang berlaku, sama ada melibatkan urusan kerja dan juga peribadi. 

Kebanyakkan masa Patung Beruang masih lagi dihabiskan di pejabat, sama ada di HQ atau di negeri lain. 

Solat Subuh di Selangor, Zuhur dan Asar di Pantai Timur dan kemudian Maghrib dan Isyak di Selangor semula.

Atau mungkin sahaja Subuh keesokkannya masih di Selangor, tetapi Zuhur dan Asar di Utara pula dan Maghrib dan Isyak di Selangor semula. 

Penat tu memanglah penat...

Setelah beberapa hari Patung Beruang berkurung di rumah ini, meneliti setiap ceruk rumah ini, barulah disedari betapa rumah atau kediaman ini mula menjadi hotel buat Patung Beruang. Kembali hanya untuk melelapkan mata walau seketika. Kura-kura dan kucing jalanan yang sering datang meminta makanan mula diabaikan sedikit demi sedikit. Dedaun dari pokok-pokok di halaman belakang mula memanjang dan menyakitkan mata. Mujur saja halaman dihadapan telah disimen dan ditabur batu-batu halus bagi menghalang rumput tumbuh. Jika tidak, pasti keadaannya juga tidak ubah seperti di belakang.

Ada orang kata Patung Beruang ini gila kerja. Ada yang kata kehidupan Patung Beruang ini tidak normal. 

Hehe... Manusia.. Mereka bebas untuk berkata apa saja, berdasarkan apa yang terlihat di mata. 

Seperti yang Patung Beruang pernah tulis dahulu, apa yang terlihat di kaca mata kita mungkin hanyalah 10% sahaja dari keseluruhan cerita. Sayangnya, tidak ramai yang menyedari hakikat ini.

Tidak mengapalah.. 

Patung Beruang tidak terasa hati pun. Marah jauh sekali..

Memanglah, kehidupan Patung Beruang hanya berlingkar di rumah dan pejabat. Ditemani kerja-kerja yang tidak pernah habis dan juga buku-buku yang tidak pernah habis dibaca. Jika berkesempatan, Patung Beruang sertai charity works. Dimana? Dan bagaimana? Ada banyak je tempat yang sesuai untuk kita menyumbang. Dan jika terasa ingin mengubah angin, panjang lah sedikit langkahnya.. Pergi ke tempat-tempat yang mungkin Patung Beruang tidak pernah sampai. Melihat tempat orang, mengenali cara hidup dan budaya orang tempatan, jumpa dan kenal orang baru, merasai makanan mereka dan juga keunikkan kehidupan mereka. 

Dalam tempoh 12 ke 24 bulan ini, banyak perkara yang berlaku dan banyak juga yang sudah berubah. Perubahan ke arah positif atau negatif? Bergantung kepada apa yang kita fikirkan..

Bagi Patung Beruang, orang disekeliling berhak untuk berkata. Tetapi, Patung Beruang juga berhak untuk mendiamkan diri. Lumrah manusia, mereka akan senyap apabila mereka penat berkata-kata.

Pejabat bagai satu pelarian buat Patung Beruang. Disini, Patung Beruang mengenali erti kehidupan yang mungkin selama ini Patung Beruang tidak pernah nak pandang. Disini, Patung Beruang melihat erti kebahagiaan bagi golongan yang Patung Beruang tidak penah ambil peduli pun selama ini. Erti kebahagiaan yang tidak terletak pada betapa banyaknya wang didalam saku, bukan pada besarnya kereta yang dipandu atau betapa mewahnya kediaman yang dihuni. 

Kebahagiaan bagi mereka adalah apabila mereka dapat mengalas perut seadanya, tidur lena walau tanpa tilam yang empuk, dan melihat insan-insan yang mereka sayang ada dihadapan mata. Mereka redha dengan kehidupan mereka. Malah, mereka bersyukur dengan apa yang mereka miliki kerana bagi mereka, yang penting mereka masih lagi dapat menghirup udara di muka bumi ini. 

Buku-buku juga adalah satu pelarian buat Patung Beruang. Tatkala mata ini menangkap satu persatu huruf dan perkataan yang tercetak, Patung Beruang tenggelam didalam dunia ciptaan si penulis. Melaluinya, Patung Beruang dapat lari dari realiti. Lari dari kehidupan yang menyesakkan walau sebentar cuma. Melaluinya, Patung Beruang mengenali ramai orang dengan pelbagai ragam dan kerenah, mengembara ke banyak tempat dan berdepan dengan pelbagai peristiwa. Dan disini juga Patung Beruang belajar erti kehidupan yang tidak selamanya indah. Ada cacat celanya, ada kurangnya dan ada kesedihannya yang tersendiri. Tidak kurang juga ilmu baru yang diperolehi. Seronok rasanya apabila kita dapat menimba ilmu walaupun diluar kelas.

Kehidupan Patung Beruang mungkin tidak seperti orang lain. Dikeliling manusia 24 jam. Malah ketika berhibernasi selama beberapa hari ini, hanya beberapa jam sahaja Patung Beruang ditemani manusia. Selebihnya, hanya Patung Beruang, Bibi dan buku-buku. Mungkin juga setelah beberapa bulan or tahun menjalani kehidupan sebegini, menjadikan Patung Beruang tidak betah apabila tidak bersendirian untuk tempoh yang lama. Lama dalam konteks Patung Beruang adalah 24 - 48 jam. Hehe.. What an awkward situation??? 

Baiklah.. 

Proses hibernasi ini bakal berakhir kurang dari 24 jam. 

Seperti biasa, Patung Beruang gemar menghitung detik-detik terakhir ini dan manfaatkan masa yang ada dengan aktiviti yang Patung Beruang gemari. 

Bagi meraikan buku-buku yang masih banyak lagi tersusun, menunggu untuk dibaca, maka, cukuplah dulu coretan Patung Beruang kali ini. Selepas ini, tak tau lah bila lagi Patung Beruang boleh berhibernasi seperti ini..   

Adios... 

Book Review: A Small Fortune

Tajuk: A Small Fortune

Penulis: Rosie Dastgir

Menariknya Novel Ini:


Novel A Small Fortune ini adalah buah tangan dari Big Bad Wolf tahun lepas. Tapi seperti biasa lah, bila buku yang dibeli banyak sangat, jadi kenalah tunggu giliran untuk dibaca. 

A Small Fortune mengisahkan Harris Anwar, keturunan Pakistan tetapi sekarang menetap di Yorkshire, Britain. Seorang bapa tunggal dan mempunyai anak gadis yang sedang meningkat remaja, Alia. 

Harris adalah seorang engineer. Namun, setelah bersara, beliau membuka kedai runcit di kawasan penempatannya dan bercadang untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya disana.

Alia pula adalah seorang pelajar perubatan di London. Seperti ibu bapa yang lain, Harris mengharapkan agar Alia dapat menamatkan pelajarannya dan bergelar doctor. Namun, hakikat sebenarnya, Alia tidak berminat dengan bidang tersebut dan akhirnya berhenti belajar dan bekerja bagi menyara hidupnya.

Dalam masa yang sama, Harris seringkali diminta membantu saudara-maranya dari segi kewangan samaada Nawaz sekeluarga yang menetap berdekatannya, juga Khalid Ali yang menetap di Lahore ataupun Rashid, anak lelaki sulung Khalid Ali yang berada di London.

Rashid seorang graduan universiti, bekerja sebagai agen hartanah. Malangnya, pendapatan yang diperolehi tidak mencukup bagi membantu keluarganya di Lahore terutama apabila adiknya mengidap leukemia.  

Dalam masa yang sama, Rashid merasakan hidupnya semakin jauh dari Islam. Tanpa mempedulikan nasihat Harris, Rashid akhirnya nekad untuk berhenti kerja dan menumpukan semua usahanya kepada gerakan agama yang diketuai oleh Mohsin Begg. 

Walaupun Alia adalah satu-satunya anak Harris, namun hubungan ayah dan anak ini tidak berjalan dengan lancar. Bimbang apabila melihat Alia tidak menjalani hidup sebagai seorang Muslim, Harris telah menyuruh Rashid untuk memperhatikan tindak-tanduk Alia. Keadaan ini melebarkan lagi jurang perhubungan dua beranak ini.

Dalam masa yang sama, Omar, seorang ahli perniagaan yang berjaya dan juga kawan lama Harris, telah memperkenalkan Harris dengan Doktor Farrah. Doktor Farrah, seorang pensyarah yang kematian suami. Bibit cinta antara Harris dan Doktor Farrah tidak berjaya membawa mereka ke fasa seterusnya kerana pertentangan cara hidup antara mereka. Akhirnya, mereka nekad untuk kekal sebagai sahabat saja. 

Musibah mula melanda apabila Harris diserang sakit jantung. 

Dalam masa yang sama, keadaan kesihatan adik perempuan Rashid semakin kritikal, menyebabkan ibunya, Nasreen terpaksa membawa adik perempuan Rashid ke London untuk urusan perubatan. Masalahnya, keadaan kewangan mereka semakin menghimpit.

Adakah keadaan kesihatan Harris akan semakin kritikal? 

Adakah keadaan ini boleh memperbaiki hubungan Harris dan Alia?

Bagaimana pula Rashid hendak membantu ibu dan adiknya sedangkan dirinya sendiri tidak terurus?

Dan apa sebenarnya motif Mohsin Begg apabila menubuhkan gerakan agama yang disertai oleh Rashid?

A Small Fortune memberi gambaran bagaimana mereka yang berketurunan Pakistan menetap di Britain demi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Ada yang menjadi individu yang sangat berjaya dari segi materialnya namun telah jauh dari cara hidup Islam dan juga budaya Pakistan.

Ada yang tersepit di persimpangan antara kehidupan dunia dan akhirat.

Ada yang terlalu ghairah mencari akhirat sehingga tidak sedar yang dirinya telah jauh terpesong dari landasan Islam yang sebenar.

Ada juga yang menjadikan Islam itu sebagai alasan untuk mereka membuat kehancuran tanpa menyedari erti sebenar ajaran Islam dan kesan dari perbuatan mereka.

Meneliti novel ini seperti mengenali watak-watak didalamnya kerana Rosie Dastgar berjaya menceritakan karakter setiap mereka dengan terperinci. Novel yang sangat menarik untuk dibaca.. 
   

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...