Monday, August 29, 2016

Minggu Ke-4 Di Bulan Ogos

Assalamualaikum wbt

Hari ini hari Isnin. Minggu ke-2 Patung Beruang kembali ke ofis.
Basically, last week adalah minggu yang mencabar buat Patung Beruang. Dalam keadaan kesihatan yang masih belum pulih sepenuhnya, Patung Beruang gagahkan juga masuk ofis. 

Minggu lepas, hari Selasa, hari pertama Patung Beruang kembali. Sampai ofis pukul 9.20 am. Terlambat 20 minit, huhu. Sebenarnya pagi tu, lepas solat Subuh, Patung Beruang masih berkira-kira samaada untuk datang ke ofis atau tidak. Tapi bila memikirkan yang pagi tu Patung Beruang ada meeting dengan potential vendor, so, datang lah juga.

Tepat pukul 9.30am, Patung Beruang masuk ke bilik meeting. On the way ke bilik meeting tu, Patung Beruang terserempak dengan beberapa orang officemates. Semua bertanya khabar Patung Beruang and marah kenapa Patung Beruang still datang juga ke ofis dalam keadaan not fully fit. Yelah, it is so weird when people see me sweating sedangkan dalam ofis tu semua orang sejuk kerana air-cond. Dengan muka yang pucat dan makin panjang (yes, most people comments that muka Patung Beruang dah panjang. I think it is because berat Patung Beruang turun mendadak beberapa kg dalam tempoh 2-3 minggu ni. So, automatically pipi tembam ni dah hilang, hehe), dan full of sweat, it is so obvious that I am sick... 

Alhamdulillah, meeting dengan potential vendor berjalan lancar although it took 2 hours plus. 

Dan lepas tu, Patung Beruang pun continue lah settle kan kerja sampai ke petang. Masih lagi dalam mood bertahan. Dengan suhu badan yang tak tentu, kejap rasa panas sangat, kejap rasa sejuk sangat, batuk, hidung berair, belakang sakit dan macam-macam lagi. But, finally, Alhamdulillah Patung Beruang berjaya survive sampai ke petang. 

Rabu pula Patung Beruang leka siapkan report. Pada hari itu, ramai tegur mengatakan Patung Beruang nampak a little bit better dari hari sebelumnya.  Tapi still pucat lagi cuma dah tak sweating je. Well.. Sakit ni jangan dilayan sangat. Jika sudah boleh berjalan dan bekerja, Alhamdulillah. 

Akhirnya sampailah ke hari Jumaat. Sepanjang hari tu, Patung Beruang di Glenmarie. Petang lebih kurang pukul 5, Patung Beruang bergerak balik HQ. Sampai je HQ, ada officemates yang dah siapkan makanan untuk Patung Beruang jamah. Sebenarnya that day ada makan-makan di ofis sempena Townhall & Birthday Celebration. Tapi Patung Beruang sibuk di Glenmarie, dan tak boleh nak balik HQ awal. Jadi, mereka simpankan sedikit makanan untuk Patung Beruang jamah. Terharu rasanya, huhu..Petang tu, Patung Beruang spend masa di HQ sampai pukul 7 lebih. Then, masa nak balik, terserempak pula dengan Finance Director. Beliau sempat tanya keadaan kesihatan Patung Beruang. Siap pesan lagi, 

"Yana, I know you are so committed. But, you need to take care your health. Please don't overly stress yourself." 

Ok Boss, I take note that reminder. Tapi kalau, hari Jumaat pukul 7 pm lebih pun masih di ofis, macam mana lah Patung Beruang tak stress?  Hari Jumaat kot... Selalunya Jumaat lah orang akan balik awal, huhu...

Keluar je ofis malam tu, Patung Beruang singgah rumah sekejap, ambil barang dan terus shoot ke KLIA, untuk fetch Iman. 

Flight Iman touch down lebih kurang pukul 8.30 malam. Pukul 9 malam, kami gerak dari KLIA terus ke Seremban-PD untuk jumpa abang. 

Basically, Iman dan abang nak balik Melaka malam tu juga. So, lepas hantar Iman pada abang, Patung Beruang pun balik lah ke Seri Kembangan. Sampai rumah lebih kurang pukul 11 malam. Adoi... masa tu baru lah terasa penat sangat. Tapi still, mata ni tak nak tidur. Kesudahannya, pukul 1 pagi juga baru Patung Beruang dapat tidur. 

Sabtu dan Ahad, I had my own sweet time.

Today ada orang tanya, apa yang Patung Beruang buat masa Sabtu & Ahad baru ni. Jawapan Patung Beruang, 

"I jadi Koala."

And that girl buat muka berkerut. Tanya apa maksud Patung Beruang. 

Then, Patung Beruang terangkan, Koala tu apa, dan apa habit dia. Untuk mereka yang tidak tahu, Koala habit mereka adalah tidur, makan dan berpaut di dahan pokok sepanjang hari. Mereka boleh tidur selama 18 jam sehari tau.

And Patung Beruang pula, ketika Sabtu dan Ahad itu, hanya tidur, makan (ala kadar sahaja macam buah-buahan dan roti. Itu pun sekadar untuk alas perut sebab tekak masih pahit. So, no appetite, huhu.) dan "berpaut" di sofa sambil membaca buku ataupun melayan Woo Bin dan Lee Jong Suk. Langsung tak keluar rumah. Betul-betul rehatkan otak dan badan. 

So, tak macam Koala ke??? heheh...

Patung Beruang ni bukanlah penggemar tv. Hanya menonton rancangan tertentu sahaja. So, that weekend Patung Beruang dapatlah marathon Uncontrollably Fond dan W-2 Worlds. Itupun, penat menangis. Setiap episod mesti Patung Beruang menangis. Cerita tu lah tak lah sedih sangat. Tak macam 1 Litre of Tears atau pun Hachiko. Tapi still Patung Beruang tak faham kenapa Patung Beruang menangis setiap episod. Barangkali rasa sedih bila tengok Woo Bin sakit barah otak dan nak mati, ataupun sedih melihat Lee Jong Suk lupa pada Oh Yeon Joo, gadis yang pernah menjadi isterinya. Haaaaaa.... sabar je lah.. Tengok cerita Korea pun boleh menangis.. Hati tisu betul lah (ni statement yang Peanut bagi pada Patung Beruang, hehe)

Oleh kerana Patung Beruang dah berehat secukupnya seperti Koala pada Sabtu & Ahad, hari ini rasa bersemangat sangat. Tekak ni masih lagi gatal dan ada batuk sikit2, tapi, yang lain semua in shaa Allah, dah sihat. Now, Patung Beruang dah boleh focus kerja seperti biasa, Alhamdulillah... :)

Oklah.. dah lama sangat Patung Beruang menulis ni. Mata pun dah ngantuk. Esok pagi Patung Beruang ada meeting dengan CEO pukul 9 am. So, kenalah datang awal sikit supaya tak kelam kabut. Jadi, Patung Beruang tidur dulu lah ye. Goodnight...

Book Review: Kuda-Kuda Lembah Patagonia

Tajuk: Kuda-Kuda Lembah Patagonia

Penulis: Mohd Hafezin Khadiri

Menariknya Buku Ini: 

Kuda-Kuda Lembah Patagonia adalah himpunan 10 buah cerpen yang mengangkat tema sukan sebagai tema utama. 

Penulis membuka cerita dengan membawa pembaca mengenali Samatha, seorang gadis yang sangat meminati sukan bola sepak. Dan impian Samantha hanyalah satu, beliau ingin menjadi pemain bola sepak profesional dan bermain di English Premier League (EPL). Terasa aneh kedengarannya kerana EPL masih lagi tidak disertai oleh pasukan bola sepak wanita. Dan impian Samantha mula kelihatan realiti apabila beliau terpilih menyertai latihan pasukan Liverpool. Cerpen 1: Gadis-Gadis Merseyside. 

Cerpen 2: Cape Town Menerima Sesiapa membawa kita mengenali Caled,  seorang remaja Islam yang bekerja sebagai penjaga tiket kereta kabel Table Mountain. Dalam masa yang sama, Caled juga bermain didalam pasukan ragbi di  wilayah Cape Town. Caled merupakan calon pemain pasukan remaja kebangsaan untuk Afrika Selatan. Namun, jurulatihnya agak skeptikal kerana Caled tidak seperti pemain ragbi yang lain. Statusnya sebagai muslim menyebabkan Caled sangat berhati-hati dalam menjamah makanan dan minuman. Disaat rakan-rakan pasukan meraikan kemenangan mereka dengan arak, Caled hanya meraikannya dengan segelas Coke ditangan. Disaat rakan pasukan enak menikmati bacon, Caled berusaha mencari makanan halal untuk dinikmati. Dan perkara yang paling merunsingkan jurulatihnya adalah jika Caled tidak mampu berlatih dengan sepenuh tenaga ketika di bulan Ramadhan, hanya kerana Caled sedang berpuasa. Namun, Caled bukanlah seorang yang mudah patah semangat. Menjadi muslim dikalangan bukan muslim menjadikan beliau lebih cekal dan bersemangat tinggi bagi membuktikan kemampuan dirinya. Dan akhirnya Caled berjaya menjadi pemain pertama dari Cape Town yang diserapkan kedalam skuad Remaja Afrika.   

Almhult, di Smaland selatan Sweden, adalah bandar bersejarah yang cantik, terletak 408 kilometer dari barat ibu kota Stockholm. Hanya memiliki 9,000 penduduk, Almhult adalah tempat lahirnya jaringan kedai perabot Ikea, yang diasaskan oleh Ingvar Kamprad.  Dan tanpa disedari, Almhult bukan sahaja menjadi saksi kepada kehebatan Ikea, malah turut menjadi saksi kepada kehebatan dan kegigihan Jacobsen Otto, seorang pelajar sekolah tinggi yang sangat berminat dengan sukan renang. Disaat orang lain gila dengan hoki ais, Jacobsen pula sering berlatih dikolam renang berhaba, yang terletak di ibu pejabat Ikea. Suhu yang rendah sedingin 1 darjah Celcius tidak betah menjauhkan Jacobsen dengan kolam renang. Dan kesungguhan Jacobsen disedari oleh Encik Olhsen yang pantas menawarkan diri menjadi jurulatih kepada anak muda ini. Encik Olhsen bukanlah orang biasa, beliau adalah jurutera Ikea yang baru bersara dan juga bekas perenang. Encik Olhsen adalah juara gaya bebas dari Denmark yang pernah menjuarai acara sukan Scandinavia ketika tahun 90-an. Dibawah bimbingan Encik Olhsen, Jacobsen semakin menyerlah dan mula menjuarai pertandingan demi pertandingan. Namun, pada suatu tahap, Encik Olhsen mula bimbang kerana beliau tidak mampu mencari penaja bagi membawa Jacobsen berlatih di Copenhagen, demi memastikan anak muda ini mendapat pendedahan yang lebih bagus. Dan tanpa diduga, berita ketiadaan penaja itu sampai ke CEO Ikea dan syarikat terkemuka ini bersetuju untuk menaja latihan Jacobsen atas dasar pekerja Ikea adalah keluarga Ikea walaupun mereka telah bersara. Cerpen 7: Kocak Almhult


Perkara menarik berkenaan naskah ini adalah penulis membawa pembaca mengembara ke serata dunia melalui cerpen-cerpen yang ditulisnya. Penulis memulakan pengembaraan di Merseyside, sebuah kawasan pelabuhan terbesar di barat England. Seterusnya, menyaksikan kegigihan pemain ragbi di Cape Town, Afrika Selatan. Di New York dan Toronto, menyaksikan pelari yang memecut tatkala tembakan dilepaskan dan juga pertembungan gangster dengan pihak berkuasa. Rali padang pasir membawa kita kepada gurun di Dubai. Dilema pemain golf remaja di St Andrew yang terlalu mendambakan kejuaraan Remaja Scotland tetapi tersepit antara naluri menjalani kehidupan remaja yang normal dan cita-cita keluarga. Konflik dalaman gimnas dari teluk-teluk Sydney tatkala semakin hampir dengan Sukan Australia. Anak jati Perak yang tercampak di Gangnam, Korea semata-mata ingin menimba ilmu dan pengalaman didalam sukan memanah. Dan banyak lagi tempat-tempat menarik lain. 

Pada pendapat Patung Beruang, meneliti naskah ini bukan sahaja membawa kita kepada kisah-kisah sukan, tetapi jua budaya, geografi, cara kehidupan dan keindahan tempat-tempat lain di negara-negara lain. Lain dari lain dan sangat menarik.


Kisahnya Patung Beruang:

Penulis naskah ini, Hafezin adalah sahabat lama Patung Beruang. Kami berkenalan beberapa tahun dulu, berpunca dari satu kejadian salah faham. Segan rasanya untuk Patung Beruang kongsikan disini peristiwa yang berlaku. Sebab salah faham itu menyebabkan ada orang lain menjadi mangsa kemarahan Patung Beruang, huhu.  Masa tu, Patung Beruang masih lagi bertugas di Internal Audit, TNB. Ia berlaku beberapa minggu sebelum beliau berangkat ke UK bagi menyambung pengajian Master. 

Beberapa tahun selepas itu, setelah selesai pengajian di UK dan pulang ke Malaysia, kami sempat berjumpa beberapa kali. Dan pertemuan terakhir kami adalah di Central Market, beberapa hari sebelum beliau berangkat ke Rusia, untuk bertugas disana. Oleh kerana masa itu ofis Patung Beruang di Dayabumi, jadi Central Market adalah tempat yang paling senang untuk kami jumpa dan hi-tea selepas waktu bekerja. Seingat Patung Beruang, ketika pertemuan tersebut, Patung Beruang sempat hadiahkan sebuah buku berkenaan Muslim Profesional sebagai tanda kenang-kenangan. 

Kini dah beberapa tahun kami terputus hubungan. Patung Beruang pun tidak pasti adakah sekarang ini beliau masih di Rusia atau sudah pulang ke Malaysia. 

Tatkala terbaca yang karya beliau  Kuda-Kuda Lembah Patagonia  ini memenangi hadiah saguhati untuk Sayembara Penulisan, anjuran ITBM, PENA dan BH, Patung Beruang nekad untuk mencari dan memiliki naskah ini. Alhamdulillah, ia boleh dibeli dari Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Bersahabat dengan Hafezin membuatkan Patung Beruang banyak belajar tentang sastera dan politik Malaysia. Beliau tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu dan pendapat mengenai perkembangan sastera dan politik tempatan. 

Malah dari beliau juga, Patung Beruang berkenalan dengan karya-karya tempatan yang bermutu tinggi dan cantik nilai sasteranya. Jauh beza dengan karya-karya picisan yang banyak dilambakkan di pasaran. Secara tidak langsung, meneliti karya-karya ini membuatkan otak Patung Beruang divert sekejap setelah puas dan penat meneliti perkembangan ekonomi, dunia korporat, strategic management, kewangan dan sebagainya (masa tu Patung Beruang baru habis Master, so masih lagi menjadi pembaca tetap Malaysia Business, Forbes, The Economist etc.)

Oklah.. Untuk Hafezin, tahniah atas kemenangan naskah ini. Naskah ini memang sedap dan memberi pengalaman yang baru kepada pembaca. Maaflah. Setelah 3 tahun diterbitkan, baru kini Patung Beruang dapat memiliki dan menelitinya. Walau dimana pun anda berada, tidak kisah lah di Malaysia ke, di luar negara ke, Patung Beruang doakan semoga anda berjaya dunia akhirat dan terus menghasilkan karya-karya yang bagus dan boleh dibanggakan. Aamiin.. :)

Book Review: Sebelas Patriot

Tajuk: Sebelas Patriot

Penulis: Andrea Hirata

Ceritanya Patung Beruang:
Sebenarnya sudah lama Patung Beruang teringin untuk menikmati naskah Andrea Hirata. Andrea Hirata adalah penulis yang terkenal dari Indonesia, yang telah melahirkan karya hebat seperti Laskar Pelangi. Yang mana jualannya mencecah jutaan naskah dan turut diterjemahkan ke beberapa bahasa lain. 

Oleh itu bila ternampak sahaja novel Sebelas Patriot ini dilaman web Bookcafe, Patung Beruang pun teruslah sambar. 

Sinopsis Novel Ini:

Sebelas Patriot mengisahkan Ikal, seorang anak muda yang tinggal di kampung. Lahir dalam keluarga yang biasa-biasa sahaja, ayah Ikal bekerja di lombong timah yang dimiliki oleh kerajaan. 

Ayah adalah seorang yang tidak banyak bercakap. Namun, sangat berminat dengan sukan bola sepak. Jika tv ada menyiarkan perlawanan bola sepak yang disertai oleh Pasukan Nasional Indonesia atau mungkin pasukan-pasukan hebat di Liga Eropah, Ikal dan ayah akan sama-sama pergi ke warung dihujung kampung untuk menonton tv yang menayangkan perlawanan tersebut. 

Satu perkara yang sering menjadi tanda tanya Ikal adalah kecacatan kaki yang dialami oleh ayah. Bagaimana dan sejak bila kaki ayah menjadi cacat, sering kali menjadi tanya tanya didalam kepala Ikal. Namun, sebagai seorang anak yang baik, Ikal tidak tergamak untuk bertanyakan soalan tersebut pada ayah. Bimbang hatinya terguris. 

Suatu hari, pada masa itu Ikal masih lagi sekolah rendah, Ikal terjumpa sebuah album foto lama yang tersorok di bawah longgokan pakaian terpakai, dirumah. Album foto lama ini seolah-olahnya sengaja disorokkan. Sedang leka Ikal meneliti satu persatu foto lama yang ada didalam album tersebut, ibu datang dan pantas merampasnya. Ibu memberi amaran keras agar Ikal tidak lagi menyentuh album foto tersebut. 

Ikal merasa janggal dengan situasi tersebut. Maka, semenjak hari itu, Ikal berusaha mencari album foto tersebut sehingga akhirnya diketemu juga. Ia disimpan didalam tin. Ikal meneliti semula foto-foto didalam album tersebut dan akhirnya matanya tertangkap sekeping foto seorang lelaki sedang memegang piala. Namun, airmukanya tidak menunjukkan perasaan gembira atau perasaan sedih. Dan lelaki tersebut adalah ayah Ikal sendiri. 

Ketika zaman pemerintahan Belanda, semua lombong di Indonesia adalah dibawah pemerintahan Belanda. Pada masa itu, sukan bolasepak dan badminton dianggap sebagai sukan yang paling popular. Setiap lombong akan mempunyai wakil pasukan bola sepak yang terdiri daripada pekerja-pekerja lombong warga tempatan. Selain itu, terdapat juga pasukan yang terdiri daripada warga Belanda sahaja. 

Setiap tahun, akan diadakan Pesta Sukan. Ketika Pesta Sukan, telah menjadi tradisi jika lawannya adalah pasukan Belanda, pasukan warga tempatan mestilah bermain ala kadar sehingga akhirnya dikalahkan oleh pasukan Belanda. Menjadi satu patang larang yang besar jika pasukan tempatan mengalahkan pasukan Belanda. Jika terjadi juga, maka bersiap sedialah. Pasti selepas itu, ada ahli-ahli pasukan tempatan yang cedera teruk akibat dibelasah oleh pemerintah ketika dalam tahanan di Balai Polis.

Tanpa diduga, ayah Ikal adalah salah seorang yang menjadi mangsa kekejaman Belanda pada masa tersebut. Asalnya ayah Ikal adalah salah seorang pemain bola sepak yang hebat dikampung tersebut. Perlawanan demi perlawanan disertainya hinggalah akhirnya pasukan ayah Ikal bertemu dengan pasukan Belanda di perlawanan akhir. Perlawanan yang bakal menentukan siapakah yang layak untuk membawa pulang Piala pada tahun tersebut. 

Ketika perlawanan, ayah Ikal dan seluruh pasukan bermain bermatian-matian. Tekad mereka hanya satu. Mereka ingin mengalahkan Belanda yang selama ini seringkali membuli warga tempatan. Mereka ingin menunjukkan bahawa warga Indonesia juga hebat bermain, tidak kurang seperti warga Belanda. 

Dan akhirnya, pasukan ayah Ikal memenangi perlawanan akhir tersebut. Dan keesokkannya, ayah Ikal dan beberapa pemain lain dibawa ke Balai Polis. Seperti dijangka, mereka diseksa sehingga menyebabkan ayah Ikal cacat dan tidak lagi mampu bermain bola sepak seumur hidupnya.

Kini, Indonesia tidak lagi diperintah oleh Belanda. Rakyat Indonesia bebas untuk bersukan dan berjuang bermati-matian tanpa perlu takut dengan pasukan lawan. Dan Ikal, setelah mengetahui sejarah silam ayahnya, beliau nekad untuk menjadi pemain bola sepak yang handal demi menyambung cita-cita ayahnya.

Dan bermulalah pengembaraan Ikal demi mencapai cita-citanya itu.

Dapatkah Ikal menjadi pemain bola sepak yang hebat dan seterusnya mewakili Pasukan Nasional Indonesia?

Adakah Ikal sehandal ayahnya atau mungkin lebih handal dari itu?



Menariknya Novel Ini:

Sebelas Patriot adalah sebuah novel yang sangat simple. Menceritakan kisah seorang anak muda yang berusaha keras menjadi pemain bola sepak demi menyempurnakan cita-cita ayahnya yang terkandas. Memahami erti perjuangan ayahnya ketika perlawanan bola sepak menentang pasukan Belanda.

Namun, novel yang ringkas ini digarap dengan begitu cantik sekali. Andrea Hirata berjaya membawa pembaca memahami dan menyelami keperitan rakyat Indonesia ketika penjajahan Belanda dahulu. Bukan sahaja ditindas dari sudut ekonomi, politik dan pembangunan, malah dalam aktiviti sukan juga mereka turut ditindas.

Selain itu Andrea Hirata juga berjaya membawa pembaca kedalam minda ahli-ahli sukan, terutamanya mereka yang mewakili negara. Bagi penulis, ahli-ahli sukan ini sebenarnya bukan sekadar memburu kejuaraan atau pingat, tetapi mereka bermati-matian berjuang demi menaikkan nama tanahair mereka. Mereka tidak gentar walau siapapun lawan mereka. Sentiasa sanggup berkorban dan bersusah payah demi memenangi sesuatu perlawanan. Dan disebabkan itulah mereka layak digelar patriot... 

Tuesday, August 16, 2016

Kesombongan Kita

Pada suatu hari, di sebuah kawasan kejiranan yang terkenal, sebuah keluarga datang menziarahi saudara-mara mereka. Kereta dipandu diletakkan di satu parking lot yang kosong tanpa menyedari parking lot tersebut ada pemiliknya. 

Tidak berapa lama kemudian, si pemilik parking lot itu pulang. Tatkala mendapati parking lotnya diambil orang, si pemilik tadi berang dan nekad untuk parking dibelakang kenderaan pelawat tersebut. 

Kemudian, pelawat sekeluarga tadi pun hendak beransur pulang. Dan apabila sampai di parking lot, mereka mendapati kereta mereka telah dihalang dibelakang. 

Pelawat mula menekan hon berkali-kali, bagi menarik perhatian pemilik kenderaan dibelakangnya. Beberapa minit kemudian, pemilik parking lot tadi pun datang.

Lantas, pelawat meminta maaf berkali-kali atas kesilapannya mengambil parking lot tersebut. Kesilapan yang tidak disengajakan. Beliau beranggapan, dengan permohonan maaf itu, si pemilik parking lot akan lembut hati dan mengalihkan keretanya sebentar. 

Namun ternyata telahan si pelawat itu meleset. 

Si pemilik parking lot tersebut datang dan terus menghambur kata-kata yang kurang enak didengar kepada si pelawat tadi. Dengan nada suara yang terjerit-jerit dan berbahasa Inggeris, kelakuan si pemilik itu pantas mengundang perhatian orang-orang di sekeliling. 

Si pelawat pula tidak putus-putus meminta maaf, dengan nada yang merendah diri dan masih setia berbahasa Malaysia, mungkin kerana menghormati bangsa si pemilik parking lot itu. 

Drama di siang hari itu berlanjutan selama 30 minit. Sehingga akhirnya security guard dan beberapa orang awam datang ke tempat itu bagi menenangkan si pemilik parking lot tersebut.

Suatu perkara yang memalukan adalah perkelahian yang terjadi hanyalah disebelah pihak sahaja. Dan lebih memalukan adalah si pemilik parking lot adalah seorang wanita muslimah, berimej muslimah namun tutur katanya sangat menyimpang. Dan si pelawat tadi, security guard dan orang awam yang ada di tempat itu, semuanya berbangsa asing, bukan beragama Islam dan tetap menuturkan bahasa Malaysia. 



Kisah ini adalah kisah benar. Bila dan dimana, biarlah Patung Beruang rahsiakan. 

Patung Beruang bukanlah racist tapi Patung Beruang tetap merasakan gelagat dan tingkah-laku si pemilik parking lot tersebut sangatlah tidak wajar. Ye, siapa-siapa pun akan marah jika hak nya diambil. Tetapi, jika si pelaku telah meminta maaf, mengapa tidak kita maafkan sahaja dan selesaikan permasalahan tersebut secepat mungkin. Apatah lagi jika kesilapan itu tidak disengajakan. 

Kemarahan tidak pernah menyelesaikan masalah. Malah, ia menambahkan kerumitan terhadap masalah tersebut. 

Dalam kes ini, apakah kerosakan terbesar yang diterima oleh si pemilik parking lot apabila lot parkingnya diambil?  Beliau terpaksa parking dibelakang kereta orang lain, pulang ke rumahnya dan kemudian datang sekali lagi untuk mengalihkan keretanya. Adakah kerumitan ini (jika ia rumit lah) dianggap satu kerosakan yang terbesar? 

Adakah kerana kenderaan yang dipandu oleh si pemilik parking lot itu lebih gah dan lebih mahal berbanding kenderaan yang dipandu oleh si pelawat, maka si pemilik parking lot merasakan dia berhak untuk bersikap sombong dan memarahi si pelawat dengan sepuas-puas hatinya?

Patung Beruang sedih sebenarnya dengan si pemilik parking lot itu. Kerana mulutnya, beliau telah menjatuhkan imej sebagai seorang muslimah, menjatuhkan imejnya sebagai seorang yang terpelajar dan berkedudukan. Dan lebih malang, beliau dianggap sebagai manusia yang sombong. 

Betul kata orang bijak pandai, manusia ini sebenarnya sombong....

Tatkala mereka belajar tinggi sedikit, mereka merasakan orang lain tidak sepandai mereka.

Tatkala mereka mahir berbahasa Inggeris, mereka merasakan orang lain sangat kampung dan tidak mampu bertutur dalam bahasa Inggeris sehebat dan selancar mereka. 

Tatkala mereka memandu kenderaan yang mahal dan besar sedikit, mereka merasakan merekalah raja diatas jalan. Oleh itu, semua orang kena beri jalan pada mereka.

Tatkala mereka tinggal dirumah yang mahal sedikit, mereka merasakan mereka telah cukup kaya dan orang lain tidak berhak untuk datang ke kejiranan mereka. 

Tatkala mereka makan di restoran yang mahal sedikit, mereka merasakan makanan di gerai itu tidak sesuai dengan selera mereka dan hanya menjatuhkan standard mereka sahaja. 

Tatkala mereka menyarungkan pakaian berjenama, mereka merasakan pakaian orang lain tidak setanding mereka. Oleh itu, orang lain tidak hak untuk duduk bersebelahan dengan mereka. 

Tetapi...

Jika difikir dengan lebih mendalam, siapakah kita untuk bersikap sombong?

Kerana ada ramai orang diluar sana yang lebih pandai dari kita, degree, Master, PhD berkali-kali lagi banyak dari kita. Ramai lagi orang yang mahir bertutur bermacam-macam bahasa dengan lancar. Ramai lagi orang yang memiliki kenderaan yang lagi mewah sehingga akal kita sendiri tidak terjangkau harganya. Ramai lagi orang yang mendiami kediaman mewah dan memilikinya berbiji-biji. Ramai lagi yang berbelanja sehingga ratusan ringgit hanya untuk seorang makan. Dan ramai lagi yang almari bajunya penuh dengan designer masterpiece baik dari dalam atau luar negara. 

Dan ramai insan-insan hebat ini masih lagi merendah diri, masih lagi melayan orang disekelilingnya sebagai manusia, tanpa mengira latar belakang, umur, status, bangsa dan agama. 

Jadi, kita masih lagi hendak bersikap sombong????



p/s: Sikap si pemilik parking lot itu tidak mencerminkan sikap keseluruhan umat Islam. Namun, harus diingat, oleh kerana segelintir insan yang bersikap sedemikian, ada antara mereka yang bukan Islam, memandang serong kepada kita yang beragama Islam. 

Friday, August 12, 2016

Roller Coaster Kehidupan

Assalamualaikum wbt... 

Ini adalah catatan ke-3 Patung Beruang untuk bulan August ini. Basically, sekarang ini, saat ini, Patung Beruang berada luar dari KL dan Selangor. Bertapa untuk beberapa tempoh.

Pada hemat Patung Beruang, waktu ini adalah antara titik terendah didalam kehidupan ini. Apa yang dialami kini tidak seperti apa yang dirancang. Walau telah berusaha untuk mengatasinya, namun badai yang datang terlalu kuat sehingga Patung Beruang tidak mampu bertahan. Oleh itu, Patung Beruang nekad untuk lari sebentar, berkurung disini selama tempoh bertenang. 

Tempoh bertenang ini Patung Beruang dikelilingi keluarga, insan-insan yang paling Patung Beruang sayang. Melihat wajah mereka satu persatu, Patung Beruang rasa betapa Patung Beruang berhutang masa dan perhatian yang amat banyak pada mereka. Dan Patung Beruang tidak tahu, mampukah Patung Beruang untuk melangsaikan kesemua hutang tersebut selagi mereka masih bernyawa?

Dalam tempoh bertenang ini juga, Allah menguji Patung Beruang dengan keadaan kesihatan yang tidak menentu. Sakit yang hanya perempuan sahaja yang tahu dan faham. Sakit yang buatkan Patung Beruang rasa helpless sangat. 

Adakalanya Patung Beruang cuba untuk berlagak seperti tiada apa-apa dihadapan mereka. Pura-pura kuat dan bergerak ke sana sini. Namun.. ibu, sebagai seorang wanita, dan sebagai seorang ibu yang meletakkan anak-anak didalam jiwanya, beliau tahu betapa sakitnya Patung Beruang ketika ini. Hanya dengan melihat airmuka sahaja, ibu dapat meneka dengan tepat apa yang Patung Beruang sedang hadapi. Ibu sedar yang beliau tidak mampu untuk buat apa-apa selain memujuk Patung Beruang untuk bersabar atas kesakitan ini. Bagi Patung Beruang, pujukan itu sangat mendamaikan dan menenangkan disaat-saat ini. Walau ia tidak mengurangkan kesakitan fizikal, namun ia melegakan jiwa ini.

Paling seksa apabila bangun waktu pagi. Sehingga adakalanya Patung Beruang takut untuk bangun kerana takut untuk melihat apa hadiah yang akan ditinggalkan oleh tubuh ini. Banyakkah? Sedikit kah? Jujurnya, ini adalah moment-moment yang sangat menyakitkan Patung Beruang sejak bermulanya tahun 2016.

Waktu-waktu begini Patung Beruang terfikir alangkah seronoknya jika Patung Beruang tinggal di tepi pantai. 

Apabila leka melihat ombak menghempas, pasti Patung Beruang akan terlupa sebentar kesakitan yang sedang dialami. Melihat burung-burung terbang riang, ikan berenang-renang dan mengutip batu-batu yang cantik di pesisir pantai. 

Tetapi, itulah manusia. Sering menginginkan sesuatu yang bukan milik mereka. Tetapi, apabila sudah dimiliki, ia tidak dihargai pun. 

Ada yang bertanya, bagaimana Patung Beruang menghabiskan masa ketika sakit ini?? 

Basically, Patung Beruang tidak larat untuk keluar rumah. Tak larat nak drive. Dan sangat tidak selesa untuk duduk didalam kenderaan. Jadi, Patung Beruang hanya menghabiskan masa dirumah, membaca buku-buku yang belum pernah dibaca, menghabiskan masa dengan keluarga, melayan Tempang (he is a cute kitten yang tiba-tiba sahaja muncul didepan rumah) bermain dan juga berdating dengan Kim Woo Bin dan Lee Jong Suk. Itulah aktiviti Patung Beruang. 

Patung Beruang berpegang pada kata-kata, 

Sakit itu penghapus dosa. 

Sakit itu tanda Allah sayang pada kita.

Sakit itu salah satu cara untuk Allah tingkatkan darjat kita.


Patung Beruang bersangka baik sahaja. Lagipun, dah berapa ratus hari dalam tahun ini Patung Beruang sihat. Jadi, apalah salahnya beberapa hari ini Allah bagi sakit pula. Bukankah Allah itu Maha Adil? 

Oklah, Patung Beruang dah mula rasa mengantuk ni. Petang tadi, sempat dating dengan Lee Jong Suk selama 1 jam. Malam ini patutnya dengan Woo Bin pula. Tapi, tak de mood rasanya. Esoklah baru Patung Beruang layan dia. 

Izinkan Patung Beruang masuk tidur dulu ye.. Goodnite... 

Book Review: The Road to Grace

Tajuk: The Road to Grace


Penulis: Richard Paul Evans



Menariknya Novel Ini:



The Road to Grace adalah buku ke-3 dalam The Walk Series. Sebelum ini Patung Beruang pernah ulas buku ke-4 dalam The Walk Series iaitu A Step of Faith. Jika belum berkesempatan untuk membacanya, bolehlah refer di sini.


Untuk siri ke-3 ini, Alan Christoffersen memulakan pengembaraan beliau dari South Dakota. Tatkala Alan baru melangkah keluar dari lobi hotel, beliau disapa oleh seorang wanita bernama Pamela. 

Kehadiran Pamela di South Dakota sangat memeranjatkan Alan. Baginya, Pamela adalah orang terakhir yang ingin beliau temui di dunia ini.

Pamela adalah ibu kandung McKale, isteri Alan yang baru meninggal dunia. Namun, hubungan Pamela dan McKale tidak seerat seperti selayaknya hubungan ibu dan anak perempuan. Pamela nekad meninggalkan suaminya dan McKale tatkala umur McKale masih kanak-kanak lagi. 

Sejak dari itu, McKale dijaga dan dibesarkan oleh ayahnya seorang diri. McKale membesar menjadi seorang anak yang dahagakan kasih sayang seorang ibu, tetapi dalam masa yang sama membenci wanita tersebut. McKale menjadi seorang gadis yang luarannya nampak tabah dan kuat, tetapi sangat fragile apabila berada disamping individu-individu yang rapat dengannya.

Menjadi sahabat karib sejak dari kecil, dan seterusnya mendirikan rumahtangga bersama, Alan melihat bagaimana kecewanya McKale terhadap wanita yang bernama Pamela, bagaimana kuatnya McKale mengharungi proses pembesaran dan kehidupan tanpa seorang ibu, bebanan emosi dan psikologi yang ditanggungnya. Dan oleh kerana itu lah, Alan nekad untuk menjadi pelindung buat McKale, melindunginya dari disakiti oleh sesiapa pun, sehingga ke akhir hayatnya. 

Seperti persahabatan kanak-kanak, musuh saya bermakna musuh awak juga. Begitu juga hubungan Alan dan Pamela. McKale kecewa dengan Pamela, maka, Alan juga merasakan betapa beliau juga mempunyai rasa kecewa yang sama dengan Pamela. 

Setelah berhari-hari Pamela mengekori Alan dan setelah puas merayu, akhirnya Alan setuju untuk mendengar segala luahan Pamela. Bagi Pamela, persetujuan itu adalah satu rahmat yang amat ditunggu-tunggu sekian lama. 

Pamela merasakan beliau berhutang maaf pada McKale. Namun, McKale telah tiada untuk memaafkannya. Maka, kemaafan dipohon melalui Alan. Persoalannya...

Mampukah Alan memaafkan segala perbuatan Pamela yang telah menyebabkan insan kesayangannya kecewa sepanjang hayat?

Apakah punca sebenar Pamela nekad keluar rumah dan meninggalkan keluarganya berpuluh-puluh tahun dahulu?



Selesai urusan Pamela, Alan meneruskan perjalannya. Namun, tatkala sampai di Corn Palace, Alan merasa sangat pening dan tidak mampu berjalan. Keadaannya yang tidak menentu disedari Leszek, seorang lelaki berbangsa Poland, yang bertindak membawa Alan terus ke Avera Queen of Peace Hospital. 

Setelah dirawat dan dibenarkan pulang, Alan menumpang dirumah Leszek selama beberapa hari. Beliau tinggal seorang diri setelah kematian isterinya 9 tahun dahulu. Leszek selesa menghabiskan masa-masa tuanya bersendirian. Sesekali anak dan cucunya akan datang melawatnya. Dalam masa yang sama, Leszek juga sempat bercerita pengalaman beliau membesar sebagai seorang tahanan perang, menjadi mangsa kekejaman Nazi. 

Setelah beberapa hari dan merasakan dirinya cukup kuat untuk meneruskan perjalanan, Alan pun meninggalkan rumah Leszek. Destinasi seterusnya adalah Sidney, Iowa. 

Di Sidney, Iowa Alan berkenalan dengan Analise, seorang pekerja di Grocery Store yang sudi untuk menumpangkan Alan bermalam dirumahnya. Analise adalah seorang ibu tunggal, tinggal bersama dengan 2 orang anaknya yang comel iaitu Christian dan Casey. Suami Analise meninggal dunia akibat kemalangan ditempat kerja. Tragedi tersebut benar-benar mengubah kehidupan Analise dan anak-anaknya, dari segi fizikal serta psikologi. Tambah merumitkan keadaan apabila Analise terikat dengan mertuanya hanya kerana mereka membantu Analise dan anak-anak dari segi kewangan. 

Bagaimana kesudahan hidup Analise dan anak-anaknya?

Adakah perjalanan Alan akan sentiasa lancar agar beliau cepat sampai ke destinasinya?



Untuk siri ke-3 ini, ada beberapa watak penting yang muncul disepanjang pengembaraan Alan. Yang pasti, watak yang paling mengejutkan adalah Pamela. Melalui siri ini, pembaca dibawa mengenal sisi sebenar kehidupan McKale ketika beliau masih hidup. 

Selain watak-watak yang menarik, Patung Beruang tertarik dengan keistimewaan yang ada pada setiap watak-watak tersebut dan bagaimana perjalanan kehidupan setiap orang adalah berbeza. 

Konsep kemaafan sangat ditekankan didalam siri ke-3 ini. 

Seperti yang ditulis, bagaimana teruknya pihak disana menyakiti kita, tidak rugi jika kita bertindak memaafkan mereka. Tanda kita memaafkan adalah apabila kita tidak lagi berdendam pada mereka. Namun, jika kita berdegil untuk tidak memaafkan, selagi itu lah kita akan berdendam dan dendam itu hanya akan memakan diri kita dari dalam, sehari ke sehari. Maka, dengan dendam yang tidak berkesudahan itu, apa bezanya kita dengan pihak disebelah sana???

Kesimpulannya, Richard Paul Evans tidak pernah mengecewakan Patung Beruang. Begitu jugalah dengan siri ke-3 ini. Malah, Patung Beruang hanya mengambil masa lebih kurang 3-4 hari sahaja untuk menghabiskan naskah ini. Perjalanan cerita yang menarik, konsep diari yang diketengahkan, watak-watak sampingan yang memberi impak kepada pengembaraan Alan benar-benar membuatkan Patung Beruang sukar untuk berhenti jika sudah mula menatapnya. Tak sabar rasanya Patung Beruang nak complete kan kesemua 5 buah buku untuk The Walk Series ini... :)

Thursday, August 11, 2016

Book Review: Matahari

Tajuk: Matahari

Penulis: Hilal Asyraf

Menariknya Buku Ini:

Matahari adalah buahtangan dari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung beberapa bulan lepas. Buku ini mengandungi 18 Cerpen yang menarik untuk tatapan pembaca.

Penulis membuka lembaran naskah ini dengan Matahari 1, yang membawa pembaca mengenal pemain-pemain bola tampar dari pasukan Vanguard, yang terdiri daripada Iskandar, Umayr, Thoriq, Fatih, Asid dan Adil. 

Penulis membawa pembaca dengan flashback scene bagaimana keadaan Adil ketika beliau baru menyertai Vanguard. Pada waktu itu, Vanguard diketuai oleh Faizan, yang terkenal dengan jolokan "raksasa" disebabkan kehebatannya dan ketangkasannya dalam permainan bola tampar. Namun, sisi lain kehebatan Faizan adalah beliau berusaha untuk menghidupkan Islam didalam setiap aspek kehidupan termasuklah didalam sukan. Kehebatan Vanguard seakan terhenti tatkala Faizan dijemput pulang oleh Ilahi secara tiba-tiba. Kehilangan ini telah memberi kesan kepada semua ahli Vanguard pada masa tersebut termasuklah Adil, pemain yang sering diperlekehkan oleh ahli pasukannya sendiri.

Dalam masa 10 tahun, Adil berusaha keras untuk membina semula kekuatan Vanguard. Beliau ingin mengulangi kejayaan Faizan dan ingin sekali agar lebih berjaya dari itu. Kini, Adil adalah seorang pemain yang ternama didalam sukan bola tampar, digelar Lagenda oleh para peminat dan pesaingnya. 

Adil menganggap matahari adalah sumber inspirasinya. 

Matahari,
Jadilah sepertinya,
Sinar cahaya kepada semua,
Sumber tenaga segala,
Paksi untuk semesta,
Sinarnya sampai,
Walau dalam gelita...

Kini, perlawanan antara Vanguard dan Moon, seteru tradisi bakal bermula. Perlawanan yang ditunggu-tunggu selama 10 tahun. 
Namun..

Dapatkah Vanguard menebus kekalahan mereka 10 tahun yang lepas?

Dapatkah Adli membanggakan Faizan walau dunia mereka telah terpisah?

Atau mungkin impian Faizan dan Adli hanyalah sekadar impian semata-mata..



Matahari 2 pula membawa pembaca kepada Anas, seorang guru yang baru melaporkan diri ke Sekolah Menengah Lelaki Timur. Sekolah Menengah Lelaki Timur terkenal dengan masalah disiplin dan sosial para pelajarnya. Malah, para guru dan ibu bapa juga tidak mampu untuk membendung permasalahan yang berlaku, yang kian meruncing dari hari ke hari. 

Kehadiran Anas tidak disukai oleh Qayyim, iaitu ketua gangster di sekolah. Pelbagai helah dilakukan untuk menimbulkan kemarahan Anas. Namun, Anas bukanlah calang-calang orang yang mudah gentar dengan sekumpulan remaja nakal, jahat dan kurang ajar. 

Lama kelamaan para pelajar dan guru-guru lain mula menyedari keunikkan Anas. Anas boleh diterima oleh semua lapisan pelajar, dari golongan dibuli sehinggalah pembuli. Anas kenal dan tahu nama bagi setiap pelajar di sekolah tersebut. Malah, Anas juga peka dengan masalah peribadi dan keluarga yang dihadapi oleh setiap pelajarnya. Bagi Anas, setiap orang ada ceritanya yang tersendiri, dan setiap orang berhak untuk berubah menjadi lebih baik. 

Tatkala rakan-rakan sekelilingnya mula beralih arah kepada Anas, adakah Qayyim bakal rasa tersisih sehingga menambahkan lagi dendamnya pada Anas?

Atau mungkin Qayyim juga sedang berkira-kira untuk berubah seperti mereka yang lain?



Keutuhan ikatan persahabatan turut ditonjolkan didalam naskah ini melalui karya Tidak Ingin Kau Pergi. Aku (watak utama) sering kali bermimpi dimana berlaku kematian dikalangan Aku dan rakan-rakan. Dan mimpi tersebut datang berulang kali dikala lena. Tatkala melihat sekeliling, Aku merasakan Hazlami, sahabat karibnya merangkap teman serumahnya, seolah-olahnya bakal dijemput Ilahi. 

Malah, kelakuan dan tutur kata Hazlami juga seakan-akan membayangkan yang dia bakal pergi tidak lama lagi. Aku semakin gusar tatkala teringat betapa Aku sangat menyayangi Hazlami sebagai seorang sahabat. Hidup diperantauan mengajar mereka erti sebenar persaudaraan Islam. 

Namun, mimpi itu tidak selalunya benar. Ajal pertemuan adalah ketentuan Ilahi. 

Disuatu hari, tatkala Aku dan Hazlami sedang menuju ke kuliah, mereka ditimpa kecelakaan. Dan... kecelakaan itu meragut nyawanya sendiri akibat tindakannya yang hendak menyelamatkan Hazlami. 

Suatu karya yang membawa pembaca kepada ending yang sangat memilukan.... 



Kesimpulannya, karya Matahari adalah himpunan cerpen yang menarik dan sangat menyentuh hati. Membawa kita menyelami kehidupan seharian, isu aurat, isu kekeluargaan, isu pegangan akidah, isu umat Islam sejagat dan sebagainya. 

Selain 3 buah cerpen yang Patung Beruang kongsikan disini, cerpen lain yang Patung Beruang suka adalah Bulan, 999+1 dan Mana Tuhan Kamu. Nampak macam ringkas sahaja cerpen-cerpen yang dipaparkan, tetapi percayalah setiap satunya ada endingnya yang tersendiri, dan pembaca akan rasa puas seolah-olah seperti membaca novel. Satu perasaan yang jarang ada tatkala meneliti karya cerpen. Tahniah buat penulis... :)

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...