Friday, November 25, 2016

Book Review: Di Bawah Lindungan Ka'bah


Tajuk: Di Bawah Lindungan Ka’bah

Penulis: Hamka

Menariknya Buku Ini:

Baiklah, Patung Beruang sangat tidak sabar untuk kongsikan kisah buku ini disini. Buku ini masih lagi panas, dan tatkala menulis coretan ini, Patung Beruang masih lagi tersedu-sedan akibat menangis tatkala menatap setiap patah perkataan tulisan Hamka ini.

Aduh.. Penatnya bila kita membaca dan menangis dalam masa yang sama. Nak berhenti seketika pembacaan ini, tak mampu rasanya kerana hati ini berkobar-kobar untuk mengetahui kesudahan cerita ini. Maka, dengan air mata yang berjujuran ini, mata tetap setia meneliti keseluruhan naskah sehingga habis.

Di Bawah Lindungan Ka’bah mengisahkan Hamid, seorang lelaki yang kini berada di Mekah. Hamid adalah anak yatim piatu, yang membesar di Tanah Jawa. Ayahnya meninggal dunia ketika beliau berumur 4 tahun. Maka, tinggallah Hamid berdua bersama ibunya. Ibu membuat kuih-muih dan Hamid bertugas untuk menjualnya setiap hari, dari rumah ke rumah. Itulah sahaja sumber pendapatan yang mereka ada bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Mereka tinggal berjiran dengan sebuah keluarga kaya, diketuai oleh Engku Haji Ja’afar. Engku Haji Ja’afar dan isterinya, Mak Asiah serta anak tunggal mereka Zainab adalah hartawan yang sangat baik dan prihatin dengan jiran tetangga.

Engku Haji Ja’afar membiayai persekolahan Hamid agar anaknya Zainab mempunyai kawan untuk menemaninya ke sekolah. Maka, Hamid dan Zainab membesar bersama sehingga rapat seperti seorang abang dan adik perempuan. Setelah tamat persekolahan, Hamid menyambung pelajaran dalam bidang agama dan masih lagi dibiayai oleh Engku Haji Ja’afar.

Tidak berapa lama selepas itu, Engku Haji Ja’afar meninggal dunia. Mak Asiah, Zainab, Hamid serta ibunya sangat berdukacita. Namun, tanpa diduga, ibu Hamid pula menyusul, kembali ke Yang Maha Pencipta tidak berapa lama selepas itu.

Pemergian dua orang yang sangat rapat dan bermakna dalam hidup Hamid dalam waktu yang singkat sangat menyedihkan Hamid. Kini beliau tinggal sebatang kara didunia ini.

Pada suatu hari, Mak Asiah menjemput Hamid kerumahnya. Tujuannya hanya satu, untuk meminta pertolongan Hamid agar memujuk Zainab untuk menerima lamaran dari saudara sebelah Allahyarham Engku Haji Ja’afar. Mak Asiah berpendapat, adalah baik jika Zainab berkahwin kerana sekurang-kurangnya adalah lelaki yang dapat menjaga anak perempuannya serta dalam masa yang sama, harta Engku Haji Ja’afar akan tetap selamat dibawah jagaan dan pengurusan keluarga mereka.

Permintaan dari Mak Asiah itu diterimanya dengan berat walaupun hatinya sangat remuk. Hamid mencintai Zainab namun beliau tidak mampu meluahkannya kerana sedar jurang status yang besar antara beliau dan Zainab. Zainab adalah anak hartawan, dari keturunan yang hebat. Sedang Hamid hanyalah anak yatim piatu yang miskin dan kini tinggal sebatang kara tanpa saudara mara.

Memikirkan betapa beliau tidak akan sanggup melihat perkahwinan Zainab, Hamid nekad untuk merantau keluar dari kampungnya. Tatkala sampai di Medan, Hamid mengutus surat kepada Zainab, memohon maaf kerana pergi begitu sahaja serta memberi kiasan mengenai isi hatinya pada Zainab yang dipendam selama ini. Setelah itu, Hamid pun meneruskan perjalanannya sehingga akhirnya sampailah dia di Kota Mekah ini.

Kini, musim Haji bakal bermula. Jemaah dari seluruh dunia termasuk Tanah Jawa mula membanjiri Kota Mekah. Dan tanpa diduga, Hamid bertemu dengan Saleh, sahabat lamanya. Dalam pertemuan itu, Saleh memberitahu yang beliau telah bernikah dengan Rosna, sahabat karib Zainab.

Selepas 2 tahun meninggalkan kampung halaman, baru kini Hamid mendapat khabar berita mengenai Zainab, gadis yang dicintainya. Dari perkhabaran Saleh, Hamid mengerti yang Zainab juga menyintainya dan menderita apabila Hamid pergi tanpa khabar berita sehingga kini.

Kini Saleh dan Rosna nekad untuk menyatukan semula 2 hati yang terpisah ini, demi kasihnya mereka pada sahabat berdua. Namun, ternyata Allah mempunyai rancangan yang lebih baik buat Hamid dan Zainab.


Ceritanya Patung Beruang:

Ok, cukup disini synopsis untuk Di Bawah Lindungan Ka’bah ini. Kalau nak tahu kesudahan cerita ini, kenalah meneliti sendiri naskah ini.


Cerita ini sangat sedih. Hamka membawa pembaca menelusuri kehidupan seorang anak muda yang hidupnya sentiasa diselubungi kesedihan, sedari kecil hinggalah dewasa, meneliti isi hatinya yang kosong serta sedar diri dan kekurangannya. 

Penderitaan Hamid dan Zainab sangat meruntun jiwa. Dua insan yang saling menyintai namun tidak punya kekuatan untuk meluahkannya. Dan tatkala, ia terluah, segala-galanya sudah terlambat. 

Malangnya kisah cinta mereka ini. Hamka hanya memberi kesedaran kepada kita, si pembaca ini bahawa tidak semua cinta itu akan bersatu. Banyaknya adalah terkubur didalam hati masing-masing atau mungkin terkubur bersama jasadnya sekali. Dan itulah realiti kehidupan. Kita tidak selalunya dapat apa yang kita kehendaki. Aduhai.. penatnya Patung Beruang menangis. 

So, kalau rasa nak luahkan beban emosi yang tertanggung didalam jiwa tu, silalah baca naskah ini. Dan jangan lupa sediakan tisu disebelah ye. 

Monday, November 14, 2016

Dihukum Dan Menghukum... Berhentilah..

Assalamualaikum wbt...

Lama kan Patung Beruang tidak berkongsi cerita disini selain dari book review. Maaflah ye... So malam ini, Patung Beruang decided  untuk berkongsi sesuatu disini. 

Last 2 weeks ini Patung Beruang kalut dengan Audit Committee (AC) Meeting. Ini adalah AC Meeting yang pertama untuk organisasi Patung Beruang. Siapa-siapa yang berada dalam Internal Audit world pasti sedar betapa AC Meeting adalah satu event yang penting, yang wajib ada dalam Calendar kita. Ini adalah peluang untuk kita berinteraksi lebih dekat dengan AC members yang kesemuanya atau majoritinya adalah terdiri daripada Board of Directors. Kita ingin mengetahui hala tuju Internal Audit Department, kalau-kalau ada area yang patut diberi perhatian dan serta perkembangan terkini organisasi juga audit assignments. Kekerapan AC meeting pula berbeza antara satu syarikat dengan syarikat yang lain. Ada yang buat on quarterly basis, ada yang buat on bi-annual, ada yang buat every 2 months. Bergantunglah pada AC members dan Internal Audit Department tersebut. 

Alhamdulillah, meeting yang berjalan selama 3 jam pada hari Khamis baru lepas ini, berjalan lancar. Patung Beruang sampai di ofis KNB tepat pada pukul 9.40 pagi. Dan bergerak keluar dari parking KLCC pada pukul 1.50 tengahari selepas kami selesai lunch. Hujan mula turun dan semakin lebat tatkala melalui highway sehinggalah ke perkarangan parking lot di ofis. Alhamdulillah, hujan rahmat. 

Baik.. Kita tinggalkan dulu cerita audit ini ye, kerana Patung Beruang ada kisah lain yang nak sangat Patung Beruang kongsikan disini. 


Beberapa minggu lepas, seorang sahabat Patung Beruang bercerita tentang artikel yang dia baca di surat khabar berkenaan statistik anak luar nikah di Malaysia. Dimana statistik tersebut menunjukkan peningkatan kelahiran anak luar nikah berdasarkan kes-kes yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara, dari setahun ke setahun. Selain itu, artikel tersebut juga menyatakan kes pembuangan bayi turut meningkat. Dan majoriti pelaku yang terlibat sama ada berkaitan anak luar nikah atau kes pembuangan bayi adalah terdiri daripada bangsa Melayu. 

Ok, Patung Beruang tak nak ulas lebih lanjut berkenaan artikel tersebut. Ini adalah salah satu penyakit sosial yang sedang dan makin merebak melanda masyarakat kita. Bagi kes-kes yang didaftarkan di JPN, Patung Beruang yakin nasib bayi tersebut mungkin lebih baik sedikit kerana ada pihak yang menyedari kewujudan bayi tersebut dan mula memantaunya seperti ahli keluarga terdekat, petugas kesihatan, pertubuhan-pertubuhan kebajikan malah ahli masyarakat juga. Namun, bagi kelahiran yang tidak didaftarkan, malah lebih tepat lagi disembunyikan, Patung Beruang rasa terkilan sangat. Kita tidak tahu apa nasib bayi itu. Dibuang, dibunuh, dijual atau dibela. Allah... Sedihnya.

Dan tanpa diduga, pada suatu hari Patung Beruang terjumpa satu kes unwanted pregnancy. Hamba Allah ini datang meluah perasaan dan meminta nasihat. 

Baiklah.. Tolong jangan kecam dia. Kejadian berlaku diluar kehendaknya. Kejadian berlaku untuk pertama kalinya. Namun, she and the guy decided untuk bertaubat, berterus terang pada both families, mohon restu untuk menikah dan continue the pregnancy. 

Unfortunately, both families reluctant to accept the news, reluctant to accept the marriage and reluctant to accept the girl. Allah.. 

So what happened to the girl? 

She has no one, no place to go. She is struggling alone, and we, strangers including the guy are trying hard to motivate the girl, help her as much as needed, find a shelter for her, find a basic needs for pregnant mommy, bring her to government clinic for routine check up, dan dalam masa yang sama, pulihkan jiwa dia agar kembali pada Yang Maha Berkuasa. 

Pasti orang diluar yang sedang membaca, akan mencemuh she and the guy. 

Pasti orang akan menuduh mereka adalah manusia-manusia yang rosak akhlaknya. 

Pasti orang akan menuduh mereka ini jahil agama sehingga tunduk pada bisikan syaitan dan iblis. 

Pasti orang akan menuduh mereka datang dari keluarga yang bermasalah, keluarga yang miskin harta dan tidak berpelajaran tinggi. 

Pasti orang akan menuduh 1001 kesalahan, kekurangan dan kelemahan pada mereka dan juga keluarga mereka.

To be honest...
Both person came from a very good family. Terjaga akhlak dan peribadinya. Keluarga yang normal. Yang berpendapatan tinggi dan sederhana. Bukan lah golongan gelandangan atau mereka yang tinggal di perumahan haram. 

Tapi, kerana kurang berjaga-jaga, kurang prihatin dengan persekitaran, terlupa yang mereka masih belum halal, mereka tersilap langkah sekali. Dan yang sekali itulah yang membuahkan hasil. 

Bila tersedar kesilapan, mereka nekad untuk berubah dan memperbaikinya. Oleh itu, mereka nekad berterus terang dengan keluarga walapun sedar akibat dan risiko yang bakal dihadapi. Mereka cuma minta satu sahaja..
Mohon diberi kebenaran dan restu untuk bernikah. 
Mereka ingin menjadi pasangan suami isteri yang halal, agar dapat sama-sama menjaga bayi didalam kandungan dan seterusnya melahirkan bayi itu apabila tiba saatnya. Mereka hanya ingin membina keluarga mereka sendiri.

Masalahnya... 
Kedua-dua keluarga keras hati. Hanya nampak kesalahan yang telah dilakukan. Dan terus menghukum tanpa memberi peluang ke-2. Segala kebaikan yang dilakukan si anak selama berpuluh-puluh tahun, hilang begitu sahaja. 

Ya.. 
Memanglah ia adalah sesuatu yang sangat mengaibkan. Mencemarkan maruah keluarga. Melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya. Berdosa besar. 

Namun...
Adilkah jika tatkala si anak itu telah nekad untuk bertaubat, dia masih tetap dihukum sekeras-kerasnya, dari orang yang melahirkan dan mendidik dia selama ini?

Itu belum lagi campur dengan pandangan sinis dari rakan pejabat. 
Pandangan sinis dari masyarakat.
Cakap-cakap belakang yang tidak enak didengar oleh telinga ini.
Malah dari 10 yang dicakapkan, 9 adalah fitnah. 

Dia dihukum dan sesiapa sahaja bebas menghukumnya. 

Maka, tatkala diri dibuang, pada siapa dia hendak mengadu? Pada siapa dia hendak meminta pertolongan? 

Pada kami lah... orang luar. Orang asing. Orang yang tiada pertalian darah pun. Orang yang mungkin dikenali sejak beberapa hari, minggu, bulan atau tahun. Orang yang tidak pernah termasuk pun dalam Family Tree yang cikgu minta tatkala di bangku sekolah dahulu.  

Sedih..
Jika si pelaku adalah mereka yang rosak akhlaknya, ceritanya berbeza. Namun kami tetap yakin, pasti ada cerita tersendiri bagaimana boleh rosak akhlaknya sehingga sebegitu sekali. Kami berpegang pada satu sahaja, setiap bayi yang dilahirkan didunia ini adalah suci. Namun, tatkala dia membesar, kekotoran dan karat mula hinggap sedikit demi sedikit yang akhirnya mencalarkan akhlaknya.

Tetapi untuk kes ini, si pelaku adalah gadis yang baik. Sangat baik. Dan itulah yang sangat menyedihkan kami.

Sedarkah kita, sebenarnya Allah sedang menguji...

Allah menguji si gadis dan lelaki itu. Allah menguji bagaimana mereka terleka. Adakah mereka menyesal dan bertaubat? Jika bertaubat, istiqamah kah? Atau mungkin, mereka terus hanyut dalam dosa? 

Allah menguji keluarga mereka. Adakah mereka mampu memaafkan anak yang mengecewakan mereka? Adakah mereka sudi untuk membimbing semula anak tersebut agar kembali ke Tuhan Yang Maha Agung? Adakah mereka mampu sama-sama menguatkan jiwa anak tersebut dalam menghadapi ujian ini? Atau mungkin, mereka hanya mengambil tindakan lepas tangan dengan cara membuang anak tersebut? Mengeji dan menghinanya sesedap mulut. Sehingga terlupa, anak yang dikeji dan dihina itulah anak yang sama dikandung didalam perut selama 9 bulan pada suatu masa dahulu. Anak yang sama lahir ke dunia ini berpuluh-puluh tahun dahulu. Anak yang sama yang berbakti kepada mummy dan daddy selama ini.

Allah menguji kami orang luar dan asing ini. Allah menguji apa tindakan kami tatkala mendapat berita ini. Adakah kami hanya pekakkan telinga dan buat tidak kisah? Atau mungkin kami membuat sesuatu untuk membantu mereka atas dasar peri kemanusiaan? Adakah kami mampu berkomunikasi dengan mereka tanpa ada rasa prejudis? Tanpa rasa jijik? Tanpa merasakan betapa kami lebih baik dari mereka? Atau lebih suci mereka? Atau mungkin kami berusaha keras sedaya upaya membantu kerana merasakan ini adalah sumbangan kecil yang dapat kami lakukan bagi meringankan beban mereka? 

Allah menguji kita, ahli masyarakat ini. Adakah kita buat tidak kisah dengan persekitaran kita? Kita sedar ada insan di luar sana sedang tersepit, tapi kita juga sedar, ada orang lain yang akan bantu insan tersebut. Maka, tidak salah lah jika kita sekadar berpeluk tubuh? Kita sedar gejala sosial itu makin merebak. Tapi, biarlah.. Bukan anak kita pun. Bukan ahli keluarga kita. Bukan darah daging kita. Biar sahaja kerajaan yang uruskan. Tidak pun, biar sahaja jabatan agama yang uruskan. Atau mungkin serahkan sahaja pada jabatan kebajikan. Eh..bukankah ada NGO diluar sana yang prihatin? Ada rumah-rumah perlindungan kerajaan atau swasta yang boleh menerima mereka-mereka yang bermasalah ini. Jadi..Mengapa kita nak bersusah-susah kan?



Apa yang bakal berlaku pada esok hari?

Entahlah... Patung Beruang pun tidak tahu.

Yang pasti, kami berusaha membantu si gadis yang tersepit ini. 
Bukan setakat bantuan material tapi juga kerohanian. 
Kita sama-sama kembali kepada fitrah. Kembali kepada Yang Maha Esa. 
Sama-sama sucikan jiwa ini. 

Sumbangan kami ini mungkin hanya sebesar zarah. Kerana kami tidak mahu menambahkan lagi statistik bayi yang dibuang. Atau bayi yang hilang tanpa dikesan. 

Kasihan....
Bayi itu tidak bersalah.
Malah dia sendiri tidak tahu mengapa dia dilahirkan. Dan bagaimana dia boleh wujud didalam kandungan. 

Yang penting sekarang adalah ibu bapanya. 

Oleh itu..
Jika kita terjumpa dengan kes begini, cukup-cukuplah menghukum si pelaku.
Cukup-cukuplah mengeji dan menghinanya. 
Setiap manusia berhak untuk berubah. Berhak untuk menjadi hamba Allah yang terbaik disisi-Nya. 

Siapa kita untuk menghukum mereka? 
Layakkah kita untuk terus menghukum?
Jadi.. Berhentilah.. 
Kerana kita sendiri pun bukan maksum....

Book Review: Kunang Pesisir Morten

Tajuk: Kunang Pesisir Morten

Penulis: Raiha Bahaudin

Menariknya Novel Ini:

Baiklah, ini adalah buku yang terbaru Patung Beruang sudahkan pembacaannya. Masih panas lagi dan Patung Beruang tidak sabar untuk kongsikan kehebatan dan magicnya buku ini pada semua orang.

Kunang Pesisir Morten mengangkat latar belakang penduduk di Kampung Morten, Melaka dan setinggan berdekatan pada tahun 1980-an hinggalah penghujung 1990-an. 

Kampung yang terkenal dengan kehebatan seni bina rumah Melaka, terletak ditepi sungai Melaka, dihubungkan dengan sebuah jambatan yang dapat membawa penghuninya keluar ke deretan rumah kedai diseberang dan seterusnya menjelajah ke bandar Melaka, ke Kampung Jawa, Banda Kaba,  Gajah Berang, Kampung Ulu dan sebagainya. 

Watak utama dalam novel ini adalah Dhiya, seorang gadis kecil, anak kepada seorang wanita berketurunan Jawa. Walaupun membesar di perkampungan setinggan, Dhiya dikurniakan bakat dan kecerdasan luar biasa yang tidak pernah dibayangkan oleh anak-anak kampung seusianya. 

Dhiya mempunyai hobi yang hebat iaitu membaca. Ibunya bekerja sebagai pembantu di Tadika Kemas, berusaha membeli buku-buku yang bagus untuk dibaca oleh Dhiya. Dan sudah pastilah buku-buku yang dibeli adalah kisah penyiasatan Nancy Drew yang sangat terkenal itu. 

Selain itu, Dhiya juga adalah seorang artis yang hebat. Bakat seninya telah terlihat semenjak di bangku sekolah rendah lagi dan Dhiya sangat tertarik dengan gaya lukisan Claude Monet, pencipta teknik French Impressionist, yang dilihatnya di sebuah kedai yang menjual peralatan melukis ditengah bandar Melaka. Kenyataannya, pada usianya yang baru berumur 9 tahun, beliau tidak kenal pun siapa Monet itu. Hanya mengagumi teknik lukisan pelukis tersohor itu. 

Dhiya berkawan baik dengan Adi dan Lim. Adi adalah jiran Dhiya dan mereka telah saling mengenali semenjak kecil lagi. Lim pula adalah keturunan Baba Nyonya, tinggal berdua dengan ayahnya yang telah uzur, di sebuah rumah kedai, di seberang Sungai Melaka. 

Kecerdasan Dhiya disedari tatkala beliau menyelesaikan misteri kematian Ooi, seorang kanak-kanak yang mengidap autism, berketurunan Cina, yang mayatnya ditemui terapung di Sungai Melaka pada suatu pagi. 

Tatkala anggota polis bertalu-talu menyoal ibu bapa Ooi seolah-olah mereka yang membunuh anak kecil itu, Dhiya bersama-sama dengan Adi dan Lim pergi ke rumah Ooi bagi untuk melihat sendiri keadaan keluarga malang tersebut. Disana, mereka berkenalan dengan Geok, abang Ooi. Dari pemerhatian yang singkat dirumah tersebut dan seterusnya melihat keadaan mayat Ooi, Dhiya lantas memberi penjelasan punca sebenar kematian kanak-kanak itu. Yang mana, punca kematiannya langsung tiada kaitan dengan unsur-unsur pembunuhan atau pengkhianatan. 

Cerita peristiwa Dhiya menyelesaikan misteri kematian Ooi, mendapat liputan meluas. Dan semenjak itu, masyarakat Cina diseberang sungai sehinggalah ke bandar Melaka, semuanya mengenali Dhiya, Adi dan Lim. Dan bermula lah  pengalaman hidup kanak-kanak berlainan bangsa, yang merasakan betapa manisnya hidup didalam masyarakat majmuk, berbilang bangsa, keturunan dan pegangan agama. 

Dalam masa yang sama, kepintaran Dhiya turut diperhatikan oleh Tam, seorang kanak-kanak berumur 11 tahun, yang tinggal di atas rumah kedai, berdekatan Kampung Jawa. Tam adalah seorang kanak-kanak yang misteri namun mempunyai IQ yang sangat tinggi. Sistem pendidikan pada masa itu sangat membosankan kanak-kanak yang pintar sepertinya dan Dhiya. Namun, Dhiya tetap meneruskan persekolahan seperti biasa cuma hanya akan focus pada subjek yang diminatinya. Berbeza pula dengan Tam. Beliau meninggalkan alam persekolah dan duduk berseorangan diatas rumah kedai. Masa sehariannya dihabiskan dengan bermain seperti kanak-kanak yang lain.

Namun, Tam bukanlah calang-calang kanak-kanak. Tam menyimpan satu rahsia besar yang bakal mengubah kehidupan Dhiya, Adi dan Lim. Rahsia besar yang bakal mencetuskan ketegangan antara dua buah kaum. 


Ok, Patung Beruang tak nak cerita lebih lanjut tentang naskah ini. Kalau nak tahu lebih detail, kenalah menelitinya sendiri. 

Satu perkataan sahaja yang boleh menggambarkan naskah Kunang Pesisir Morten ini iaitu... 

Brilliant!!!

Yes.. Brilliant.

Penulisnya sangat bijak. Watak dalam cerita ini seperti Dhiya dan Tam, adalah sangat bijak. Jalan ceritanya pun sangat bijak.

Menatap naskah ini membawa Patung Beruang ke Kampung Morten, ke Melaka pada tahun 1980-an dan 1990-an. Patung Beruang terbayang segalanya. Keindahan rumah melaka disana. Kesibukan Jalan Bendahara, suasana orang berpusu-pusu membeli belah di pasar Kampung Jawa dan keadaan Bandar Melaka dengan stesen bas lama. Suasana hari raya, tahun baru cina, keriuhan wayang cina, musim cuti sekolah, musim banjir. 

Wow.. Ia seperti menonton filem. 

Patung Beruang benar-benar tenggelam didalam dunia Dhiya. 

Melihat eratnya persahabatan anak Melayu dan Cina, sifat bersatu-padu yang ada dalam sesuatu kaum, kebebasan meraikan perayaan masing-masing, saling menghormati budaya dan warisan yang berbilang kaum membuatkan Patung Beruang bangga menjadi anak Malaysia. Ye, itulah suasana masyarakat majmuk yang dikecapi dan dinikmati pada masa dulu. Dan suasana itu kian terhakis dari masa ke masa. Sedihnya...

Dan novel ini juga menonjolkan betapa anak-anak yang cerdik dan tinggi IQ nya itu tidak semestinya datang dari keluarga elit sahaja. Malah, ramai yang kebanyakkannya hanyalah anak-anak orang biasa. Cuma kehebatan mereka tidak disedari dan tidak digilap dengan sepatutnya.  

Tam dan Dhiya adalah contoh paling dekat. 
Cuma bezanya Dhiya menggunakan kebijaksanaan dan bakatnya untuk perkara yang bermanfaat sedangkan Tam menggunakan kelebihannya untuk menjadi Robin Hood. 
Merompak orang-orang kaya demi membantu orang miskin.

Dan betapa sistem pendidikan kita pada masa itu gagal mengenalpasti dan menarik perhatian anak-anak yang hebat ini. Akhirnya, mereka bosan dan lebih rela meninggalkan sekolah dari terkurung di bilik darjah, mempelajari sesuatu yang mereka memang telah sedia maklum, membuang masa dan hanya dilabel sebagai pelajar biasa-biasa sahaja oleh guru. 
Betapa sayangnya... 
Namun, dalam novel ini juga turut diselitkan watak Cikgu Maimunah, seorang guru yang prihatin dan menyedari kehebatan Dhiya. 
Guru yang mengambil inisiatif sendiri untuk mengasah bakat anak cilik ini. 

Kesimpulannya, novel ini sangat hebat. Sangat bijak. Dan mempunyai magic yang tersendiri. 

Patutlah ia tersenarai dalam 100 Novel Melayu Yang Mesti Dibaca, di laman web Goodreads. Sesiapa yang suka membaca, mesti tahukan Goodreads tu apa, hehe.. Tahniah buat penulis kerana menghasilkan naskah yang sebegini hebat... 

Book Review: Langit Petang

Tajuk: Langit Petang

Penulis: A. Samad Said

Menariknya Novel Ini: 

Karya Langit Petang ini adalah salah satu karya hebat dari Pak Samad, selain Salina. Malah, karya ini pernah diangkat ke layar perak dengan tajuk yang sama. Cuma Patung Beruang tidak pernah menontonnya.

Novel ini mengisahkan 3 watak utama iaitu Pak Ariff, Hafiz dan Zakiah yang hidup berjiran di sebuah perkampungan setinggan. 

Pak Ariff adalah bekas pejuang kemerdekaan. Beliau pernah menuntut di Maktab Perguruan Sultan Ismail, Tanjung Malim. Disana lah beliau kenal dengan sahabat-sahabat yang sealiran dengannya termasuklah Hanafi. Kini, beliau tinggal sebatang kara dan menghabiskan masa tuanya dengan bercucuk tanam di sekeliling rumah.

Hafiz adalah seorang wartawan muda yang sangat meminati dunia sastera. Seorang pemikir. Mengimpikan kehidupan yang bebas dari belenggu kerja pejabat. Hanya duduk membaca dan menulis sahaja.

Zakiah adalah seorang gadis cantik tetapi sangat berdendam dengan lelaki. Dendamnya berasas kerana Zakiah pernah terlanjur bersama kekasih, mengandung anak luar nikah dan akhirnya ditinggalkan begitu sahaja oleh sang kekasih. Sejak dari itu, Zakiah nekad untuk menundukkan seberapa banyak lelaki yang dia mampu, mengikis harta mereka demi kepuasan dirinya. 

Pak Ariff dan Hafiz sering berbual dan bercerita mengenai hakikat kehidupan. Susah payah ketika menuntut kemerdekaan dan besarnya nilai pengorbanan pejuang lama kepada generasi muda sekarang. Hubungan yang akrab seperti ayah dan anak menyebabkan Pak Ariff juga sedar tentang percintaan Hafiz dan Zawiyah, bekas penduduk di kampung tersebut. Namun, percintaan itu berkesudahan dengan kekecewaan yang mendalam buat Hafiz apabila Zawiyah berpaling kepada lelaki lain yang dirasakannya mampu menjamin hidupnya dari segi material. 

Zakiah dan Hafiz pula mula rapat tatkala Hafiz membantu Zakiah ke hospital, selepas Zakiah menggugurkan kandungannya. Walaupun Hafiz sedar kehidupan sosial Zakiah serta pekerjaan sebenarnya, namun Hafiz merasakan itu adalah soal peribadi Zakiah. Persahabatan mereka lebih berkisar kepada pekerjaan Hafiz sebagai wartawan, gelagat masyarakat setempat dan nasihat agar Zakiah mengubah cara hidupnya. 

Pada suatu hari, Zakiah dan Pak Ariff dikejutkan dengan tindakan Hafiz meletakkan jawatan secara tiba-tiba. Dan lebih memeranjatkan adalah Hafiz nekad untuk ke Kuala Terengganu demi menikmati keindahan alam disana. 

Maka, bermulalah pengembaraan Hafiz di Kuala Terengganu. Didalam perjalanan, Hafiz berkenalan dengan Hanafi, sahabat lama Pak Ariff. 

Dalam masa yang sama, Zawiyah datang berjumpa Pak Ariff demi mencari Hafiz. Tujuannya hanya satu, untuk kembali ke pangkuan Hafiz. Namun, kehadiran Zawiyah yang telah mempunyai anak dan ditinggalkan suami, kurang disenangi oleh Pak Ariff kerana tidak mahu Hafiz terluka untuk kali ke-2. Malah, pada pandangan Pak Ariff, Hafiz yang sekarang adalah Hafiz yang berbeza dari yang pernah dikenali oleh Zawiyah, beberapa tahun dahulu. 

Tanpa diketahui oleh sesiapa, keputusan Hafiz untuk meletakkan jawatan secara tiba-tiba dan berkelana ke Kuala Terengganu, sebenarnya menyimpan rahsia yang besar. Rahsia yang tidak sanggup untuk dikongsi walau dengan sesiapa pun......


Langit Petang, sesuai dengan namanya, ia benar-benar mewujudkan suasana melancholy kepada Patung Beruang. Naskah ini mengandungi banyak adegan monolog Hafiz. Membawa kita menyulusuri hati dan fikirannya sebagai anak muda yang tercampak di kota besar, sebatang kara, hanya menjadikan jiran-jiran sebagai ahli keluarga, tersepit antara kehendak material dan kepuasan diri serta sebagai perakam peristiwa dan kehidupan masyarakat setempat. 

Jika dibandingkan dengan Salina, jujurnya Patung Beruang lebih menyukai Salina. Namun, janganlah salah faham. Langit Petang ini tidak mengecewakan langsung. Malah, ia lebih baik dari kebanyakkan novel yang berada di pasaran kini. 

Langit Petang ini ibarat seperti kehidupan kita. Muram, senja, dan akhirnya akan pergi juga. Dan begitulah juga dengan naskah ini. Penamatnya menyedihkan. Dan memberi jawapan atas segala persoalan yang bermain disepanjang pengembaraan pembaca. Naskah yang sangat bagus dan berbaloi untuk dinikmati.


Oh ye, ada satu perkara yang bermain-main difikiran Patung Beruang. Tatkala menatap Salina dan Langit Petang, Patung Beruang melihat watak perempuan yang kurang baik, diangkat menjadi watak utama. Latar belakang persekitaran yang ditonjolkan adalah masyarakat Melayu kelas bawahan yang tinggal di kawasan setinggan. Tersepit dengan kemajuan kota disekelilingnya. Nampak seolah-olah tiada masa depan. Sanggup melakukan apa sahaja demi mencari sesuap nasi walaupun pekerjaan yang kurang elok. 

Namun, bila Patung Beruang menatap karya Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, persekitaran berbeza yang ditonjolkan. Masyarakat Melayu golongan elit, yang mendapat pendidikan diluar negara, dan kemudian pulang untuk berbakti kepada masyarakat. Golongan kelas atasan yang sangat menjaga adab dan status, kaum wanita nya dipelihara sebaik mungkin, tidak mudah untuk keluar rumah sesuka hati melainkan untuk tujuan belajar atau bekerja. 

Dua nama besar dalam dunia sastera Malaysia, menonjolkan dua keadaan berbeza masyarakat Melayu yang tinggal di kota. Benarlah kata orang, 
   
    Karya sastera itu seperti perakam.
  Ia mampu menangkap, merakam dan menyimpan suasana, peristiwa, peradaban pada masa itu untuk tatapan kita, orang luar, generasi yang tiada pada zaman itu. 

Book Review: Saring Sebelum Mereng

Tajuk: Saring Sebelum Mereng

Penulis: Mat Rodi

Menariknya Buku Ini:

Naskah Saring Sebelum Mereng ini mengandungi 37 buah artikel pendek, catatan penulis yang terbahagi kepada 4 bahagian iaitu Ekonomi, Korporat/Polisi, Politik dan Sosial.

Penulis membuka catatan dengan artikel pertama bertajuk Negara Maju Atau Berpendapatan Tinggi? Didalam artikel ini, penulis membentangkan tentang perbezaan konsep negara maju dan negara berpendapatan tinggi. Malah persoalan berkenaan mampukah Wawasan 2020 dicapai, turut dilontarkan. Bagi penulis, negara maju berkisar kepada kemajuan dari segi sains dan teknologi, sedangkan negara berpendapatan tinggi pula memfokuskan kepada pendapatan per kapita yang tinggi yang dikecapi oleh rakyat. Oleh itu, mana lebih penting, negara maju atau negara berpendapatan tinggi? Kemana sebenarnya hala tuju kita sekarang ini, negara maju atau negara berpendapatan tinggi? Adakah segala usaha yang dijalankan sekarang bakal dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat? Atau mungkin hanya segelintir sahaja yang berupaya menikmati kek tersebut? Buka mata dan hati, perhatilah dengan teliti...

Artikel ke-2 bertajuk Definisi Negara: Jangan Defisitkan Pandangan membawa pembaca kepada isu yang sering dimainkan oleh pembangkang iaitu perbelanjaan boros kerajaan sehingga menyebabkan defisit kewangan dan seterusnya menyumbang kepada masalah ekonomi Malaysia. Persoalannya disini, 

  • Benarkah yang hutang kerajaan dan defisit negara akan menjatuhkan ekonomi Malaysia? 
  • Adakah kerajaan di negara luar yang tidak mempunyai defisit? Jika mereka tidak mempunyai defisit, bagaimana mereka menguruskan ekonomi negara mereka? 
  • Apa tujuan sebenar Malaysia berhutang? 
  • Jika tujuan Malaysia berhutang adalah untuk merancakkan lagi ekonomi, berapakah pendapatan yang berjaya diraih hasil dari hutang tersebut?
  • Bagaimana pula dengan trend atau peratusan defisit negara, adakah semakin bertambah dari tahun ke tahun atau mungkin semakin berkurangan, seiring dengan masa? 
Kesimpulannya disini, kita boleh bercakap berkenaan hutang negara, defisit, keadaan ekonomi Malaysia sama ada merudum atau meningkat, tapi mestilah dengan fakta. Tanpa fakta, kita seolah-olah seperti burung kak tua. Petah berkata-kata namun tidak faham walau sepatah. 


Tatkala kita berada di atas jalan raya, toleh lah ke kanan dan ke kiri. Kita akan lihat pelbagai jenis kenderaan, model, keluaran tempatan atau luar negara memenuhi atas jalan. Ada orang sangat geli untuk memandu atau menaiki kereta jenama tempatan. Mereka merasakan kereta jenama tempatan ini tidak setanding dengan status mereka. Kereta jenama tempatan hanya untuk golongan kelas rendah sahaja. Namun, ada juga hartawan, jutawan, tokoh korporat, golongan profesional yang megah memandu kereta jenama tempatan. Bagi mereka, ini adalah salah satu cara untuk mereka menyatakan sokongan terhadap syarikat automotif tempatan. Persoalannya, 


  • Adakah Proton mampu bersaing megah dengan lambakan jenama automatif dari negara luar? 
  • Atau mungkin suatu hari nanti, Proton akan dipaksa tutup dengan alasan tiada lagi permintaan terhadap kenderaan buatan mereka? 
  • Adakah kerajaan terlalu berlembut dengan Proton atau sebenarnya kerajaan lah yang membuli Proton dengan cara terlalu berlembut dengan syarikat automatif luar? 
  • Atau mungkin sentimen rakyat yang kurang patriotik menyebabkan Proton kurang menjadi pilihan mereka?
  • Kemanakah hala tuju industri automatif di Malaysia?  
Artikel ke-9, Industri Automatif Negara: Pengajaran Dari Australia


Sekadar pendapat peribadi, bagi Patung Beruang, Proton adalah lambang kegigihan dan usaha keras anak tempatan. Proton membina kenderaan dari ZERO!!!. Yes, zero. Kosong. Dan percaya lah, ia tidak mudah. Proton bukan setakat ambil model dari syarikat luar, tukar bumper, pasang skirting atau buat facelift serba sedikit, dan terus diletak logo syarikat Malaysia. 

Proton membangunkan sesebuah model itu hasil dari R&D yang dilakukan bertahun-tahun serta modal yang teramat lah besarnya. 

Malah Proton juga telah berjaya melahirkan ramai pakar dalam industri automatif yang terdiri dari anak tempatan. Mereka ini bukan calang-calang orang malah sering kali diuji dengan tawaran kerja yang lumayan dari syarikat automatif luar negara. Namun, atas semangat patriotik, sentimental value yang kuat, mereka rela pejamkan mata terhadap tawaran yang diterima. Umum mengetahui industri automatif memerlukan disiplin yang tinggi, sangat rumit dan sangat specialise. Maka tidak hairanlah jika khidmat mereka sentiasa diintai oleh syarikat-syarikat automatif lain. 

Selain itu, Proton juga telah berjaya membangunkan usahawan tempatan dengan mewujudkan rantaian pembekalan yang sistematik. Peluang untuk melihat dan meneliti sendiri projek IFS antara Proton dan salah sebuah anak syarikat DRB, membuktikan yang sistem rantaian pembekalan antara vendor, warehouse serta Proton Production Plant tidak boleh dipandang remeh. Segala-galanya mesti tip top dan ikut schedule. Silap sedikit boleh menjejaskan operasi production plant dan seterusnya mengakibatkan pembaziran kos.  

Berdamping dengan insan-insan yang pernah berkhidmat atau masih lagi berkhidmat dengan Proton, malah ada antara mereka pernah menjadi tulang belakang bagi penghasilan model keluaran Proton membuatkan Patung Beruang lebih memahami selok belok industri automatif serta susah payah Proton untuk bangun dan tegak berdiri. Sebagai mereka yang pernah menjadi salah seorang pelanggan Proton, Patung Beruang menghargai dan bangga dengan product mereka. Malah ada antara product keluaran mereka lebih baik dan value for money berbanding product luar. Percayalah..


Oklah.. kita tinggalkan dulu cerita Proton ini ye. 

Honestly, Patung Beruang sangat suka dengan naskah Saring Sebelum Mereng ini. Boleh dikatakan hampir semua artikel yang ada didalam naskah ini menarik. Memang sengaja Patung Beruang kongsikan 3 artikel sahaja di blog ini kerana kalau nak baca kesemuanya, kenalah miliki buku ini. 

Dalam dunia yang serba pantas, dimana segala maklumat ada dihujung jari, membuatkan kita terdedah dengan 1001 maklumat sama ada fakta atau auta. Yang menjadi masalahnya adalah kita mudah terpesona dengan kepetahan seseorang itu berkata-kata, atau dengan susunan ayat yang indah menjadi halwa telinga, atau cerita-cerita sensasi sehingga kita terlupa untuk menyelidik segala apa yang dibentangkan. Kita menerima segala maklumat itu bulat-bulat belaka dengan andaian ini lah kebenarannya. 

Dan disinilah pentingnya kewujudan naskah ini. Bacalah dengan minda  yang terbuka. Dan dalam masa yang sama, kita analisis lah setiap apa yang disampaikan oleh penulis. Nescaya kita akan nampak apakah sebenarnya yang hendak disampaikan oleh penulis. 

Kesimpulannya, jangan mudah percaya apa yang ditulis di internet, di media sosial, di blog-blog kerana tidak semuanya benar belaka. Lebih banyaknya adalah sampah. Oleh itu, selidiklah dahulu kebenarannya sebelum kita menyebarkan dengan membuta tuli. 

Sunday, November 13, 2016

Book Review: Act Like A Lady, Think Like A Man

Tajuk: Act Like A Lady, Think Like A Man

Penulis: Steve Harvey

Menariknya Buku Ini:

Beberapa minggu kebelakangan ini Patung Beruang berpeluang menatap buku-buku yang bagus, karya-karya yang hebat yang membuatkan Patung Beruang terpaku menatapnya. Dan usai sahaja pembacaan, satu perasaan puas yang sangat sukar untuk digambarkan, wujud dalam diri ini. Dan honestly, buku ini adalah salah satu yang mewujudkan perasaan sedemikian. 


Act Like A Lady, Think Like A Man karya Steve Harvey, seorang pengacara dan pelawak antarabangsa yang terkenal. Jika sesiapa yang pernah menonton Little Big Shots yang ditayangkan di saluran Diva, pasti tidak akan kering gusi melihat telatah Steve melayan tetamu ciliknya. 

Naskah ini terbahagi kepada 3 Bahagian dan mempunyai 15 Bab. Secara umumnya, buku ini membawa kita, pembaca wanita masuk kedalam peti fikiran lelaki dan mula memahami cara pemikiran mereka dan rasional disebalik character mereka yang biasanya sukar diterima oleh wanita. 

Ada banyak tips yang berguna didalam buku ini yang boleh digunapakai oleh wanita bagi memahami lelaki dengan lebih jelas iaitu:

1.  Lelaki adalah makhluk Tuhan yang tidak cerewet, tidak kompleks dan mudah. 

2.  Lelaki dipacu oleh siapa diri mereka, apakah pekerjaan mereka dan berapakah jumlah wang yang mereka perolehi. Tidak kisahlah siapa pun mereka, golongan profesional, pekerja bawahan, buruh kasar, petani atau siapa saja, 3 perkara ini adalah asas yang menjadikan diri mereka seorang lelaki. 

3.  Selagi lelaki itu belum mencapai matlamatnya (iaitu 3 perkara asas diatas), selagi itulah wanita hanya memainkan peranan yang kecil dalam hidupnya. 

4.  Lelaki mahu berasa yang mereka lah lelaki nombor satu. Mereka mahu menjadi yang terbaik, tidak kisahlah dimana. Mereka mahu menjadi orang yang dipertanggungjawabkan. Mereka mahu diiktiraf dan dilayan seperti selayaknya sebagai ketua. 


5.  Cinta lelaki ditanda dengan 3 tindakan iaitu: 
  • Memberi Kenyataan. Dimana mereka menyatakan dengan jelas kedudukan seorang wanita itu sebagai pasangan mereka tatkala berkomunikasi dengan orang lain. 
  • Memberi Nafkah. Mereka berusaha sedaya upaya untuk mencukupkan kehidupan keluarga kerana ia adalah satu kebanggaan buat mereka.
  • Memberi Perlindungan. Mereka sentiasa berusaha melindungi keluarga dari disakiti, dihina, atau apa sahaja kesulitan, bencana yang melanda. Dan percayalah yang perkara ini telah diajarkan kepada lelaki semenjak dari dalam kandungan ibunya lagi - selamatkan ibu, lindungi ibu dan jangan biarkan sesiapa pun memburukkan atau menyakiti ibu. Sekiranya ibu disakiti, tentanglah orang itu. 

6.  Tiga perkara yang diperlukan oleh setiap lelaki: Dorongan, Kesetiaan dan Seks. 

7.  Wanita sering merasakan diri mereka dipermainkan oleh lelaki. Hakikatnya, mereka yang menjual diri mereka terlalu murah sehingga lelaki mudah mengambil kesempatan atas mereka. 

8.  Lelaki secara semulajadinya bukanlah seorang mind reader. Mereka sangat simple dan direct. Oleh itu, wanita kena menyatakan dengan jelas perasaan, pemikiran dan pendapat mereka pada lelaki. Lelaki tidak pandai membuat assumptions, hehe.. Bagi mereka, jika wanita hanya mendiamkan diri, itu petanda wanita itu bersetuju dengan tindakan atau tingkah laku mereka.

9.  Key word paling mudah, komunikasi, komunikasi dan komunikasi. Namun, ia mestilah padat, tepat dan objektif. Bukan membebel tidak tentu hala. 

10.  Mengapa lelaki main kayu tiga??  Jawapannya adalah kerana...
  • Mereka fikir mereka dapat melepaskan diri?
  • Dia belum menjadi orang yang dia mahu jadi dan perlu jadi?
  • Atau dia belum menemui apa yang dia benar-benar mahu jadi?
  • Apa yang berlaku di rumah hari ini tidak seperti sebelumnya?
  • Atau 1001 alasan lagi....
    Tetapi, jawapan sebenarnya adalah.... TIADA alasan yang sebenar. Kerana apa-apa sahaja boleh menjadi alasan untuk mereka curang. Malah, mereka boleh juga memberi alasan, sebab ada wanita lain yang sukakan mereka, oleh itu, mereka layan je... What a reason... hehehe...

11.  Lelaki menghormati standard. Oleh itu, wanita yang bijak perlu meletakkan standard mereka sendiri dan beritahu pada lelaki tersebut. Jika wanita tidak suka lelaki yang merokok, beritahulah. Jika tidak suka lelaki datang lambat, beritahulah. Jika tidak suka lelaki selekeh, beritahulah. Namun, wanita kena ingat, ada caranya untuk memberitahu lelaki berkenaan standard itu tanpa menjatuhkan ego dan air muka mereka. Ini kerana ego adalah perkara yang terbesar bagi seorang lelaki. 



Baiklah, sebenarnya ada banyak lagi tips-tips yang dikongsikan oleh Steve didalam buku ini. Tapi tidak adil rasanya jika Patung Beruang kongsikan semua disini.

Yang pasti, jika sebelum ini Patung Beruang seronok membaca Why Mars and Venus Collide karya John Gray, naskah Act Like A Lady, Think Like A Man ini berkali-kali ganda lebih seronok. Terlalu seronok sehingga Patung Beruang habiskan pembacaan naskah ini hanya dalam masa 24 jam sahaja. Fuyooooo...hehe.. 

Ia membuka mata pembaca bagaimana untuk lebih memahami pemikiran dan tingkah-laku lelaki, bagaimana cara untuk berdamping dengan mereka, serta kesilapan yang sering dilakukan oleh wanita apabila berhubungan dengan lelaki.

Tips-tips dalam ini bukan sekadar digunakan untuk hubungan suami isteri, malah boleh juga digunapakai untuk hubungan kekeluargaan, hubungan pekerja dan pihak atasan, juga hubungan persahabatan. 

Saturday, November 12, 2016

Book Review: Bismillah Yang Hilang

Tajuk: Bismillah Yang Hilang

Penulis: Dr. Mohd Shafiee Hamzah

Menariknya Buku Ini:

Naskah Bismillah Yang Hilang ini menghimpunkan 30 buah kisah pendek berkenaan kehidupan seharian kita, adakah ia menepati kehendak syariat atau mungkin kita hanya membawa agama itu didalam solat sahaja. Usai sahaja solat, agama itu diletakkan sahaja di tepi dan kita menjalani hidup seperti tiada apa-apa, seperti hidup ini selamanya menongkat langit dan seperti tiadanya Syurga dan Neraka. 

Penulis membuka naskah denga kisah pertama yang bertajuk Rendang Dan Berbuah. Beliau membawa kita kepada situasi di sebuah pengajian pondok dimana guru bertanya pada para pelajar, 

   "Jika kamu diberi peluang untuk memilih satu kejadian Allah untuk mewakili wujudmu di bumi, apakah kejadian Tuhan yang kamu pilih?"

Soalan yang nampak ringkas namun sangat bijaksana. Pelbagai jawapan diterima dari para pelajar. Ada yang ingin menjadi pohon yang rendang, air sungai yang mengalir lembut dan matahari yang megah memancarkan cahayanya. Semuanya kerana beranggapan dengan menjadi makhluk sedemikian, mereka mampu memberi pertolongan dan manfaat kepada makhluk yang lain. 

Namun, akhirnya guru memberi jawapan yang walaupun niat mereka sangat murni, untuk memberi manfaat pada hidupan lain, mereka terlupa yang manfaat tersebut hanya dapat diberi jika mendapat izin Allah dan pertolongan-Nya jua. Ini kerana Allah yang Maha Esa adalah Pemberi Manfaat yang agung. Oleh itu, kita sebagai makhluk-Nya, jangan mudah berasa takbur dengan kelebihan dan keistimewaan kita sehingga melupakan Allah. Sebaliknya, tanamlah rasa syukur kerana Allah izinkan kita untuk memberi manfaat pada insan atau makhluk lain. 


Pernahkah kita berdepan dengan situasi sebegini;
  • Insan yang zahirnya nampak alim, pertuturannya nampak alim, namun tatkala berjumpa regunya, beliau mudah sahaja mengeluarkan kata-kata nista, memaki hamun sesuka hati, mengumpat dan menabur fitnah sesedap rasa.  
  • Jemaah berpusu-pusu keluar dari dewan solat di masjid, usai solat fardhu. Namun, ketika sedang memandu kenderaan untuk pulang ke rumah, jemaah tadi memandu melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain, serta memotong barisan tanpa segan silu. 
  • Remaja yang belajar di institusi agama, yang dikelilingi insan-insan yang baik akhlaknya, namun, tatkala pulang bercuti di rumah, dia senang sekali menonton video lucah atau melayari laman web porno melalui komputer riba. 
  • Gadis muslim yang bertudung litup, nampak sopan sahaja gayanya. Namun tatkala bersendirian didalam tandas, rokok dinyalakan dan asap pun berkepul-kepul keluar dari hidung, lagaknya seperti seorang profesional. 


Situasi diatas mungkin pernah berlaku dihadapan mata kita. Dan kita mula terfikir.. 
  • Mengapa tindak tanduk, perilaku, tutur kata tidak sepadan dengan imej yang dibawa?
  • Dimana silapnya? 
  • Adakah mereka berpura-pura sahaja?
  • Hipokrit kah? 
  • Atau mungkin kah imej agama itu hanya topeng semata-mata bagi mengaburi mata masyarakat diluar sana? 
  • Atau mungkin, agama itu hanya terletak pada imej, baju dan tudung yang labuh, serban yang melilit, solat di masjid, puasa, panggilan haji dan hajah, serta kenduri tahlil dan bacaan yasin?
Kisah ke-2, Bismillah Yang Hilang....

 
Apa matlamat kita hidup di dunia ini? Adakah semata-mata mencari harta setimbun gunung, atau mungkin mencari bekalan akhirat sebanyaknya? 

Jika ditanya, semua orang pasti ingin ke Syurga. Namun, tatkala ditanya apakah persediaan mereka untuk melayakkan mereka ke Syurga, pasti ada yang tertunduk malu. Atau mungkin ada yang megahnya bercerita perihal bagaimana mereka tidak pernah ketinggalan solat 5 waktu di masjid, bagaimana mereka setiap minggu menghadiri kuliah agama yang diajar oleh ustaz/ustazah dan bagaimana kayanya mereka sehingga mampu ke Tanah Suci berkali-kali. 

Kemudian, kita bertanya lagi, istiqamah kah amalan yang dilakukan itu? Ikhlas hanya untuk Allah, tanpa mengharap pujian dan sanjungan manusia? Tidak riak dan bangga diri? Tidak sombong sehingga memperkecilkan orang lain yang tidak kelihatan alim seperti mereka? Tidak mudah menghukum orang lain sebagai jahil? Atau memanggil mereka dengan kafir? Ahli neraka?  

Kemudian, kita bertanya lagi, hak suami, isteri, anak, ibu, bapa, ahli keluarga sudah ditunaikan? Hak jiran tetangga sudah ditunaikan? Hak sebagai pekerja/majikan sudah ditunaikan? Hak sebagai ahli masyarakat sudah ditunaikan? Hak sebagai saudara sesama Islam sudah ditunaikan? Hak sebagai hamba Allah sudah ditunaikan?

Kemudian, kita bertanya lagi. Sudah yakin yang kita ini ahli Syurga? Sudah yakin yang kita tidak akan disambar oleh api Neraka walau sekecil cuma? Sudah yakin yang kita tidak akan diheret oleh sesiapa pun untuk masuk ke Neraka bersama? 

Jika ingin ke Syurga, pastikan kita melalui jalan yang betul. Kekal istiqamah dengan tujuan dan matlamat kita. Banyak checklist yang kena diperhati. Banyak checklist yang kena tick. Jangan mulut sahaja berkata ingin ke Syurga namun perangai, pemikiran, hati, lidah, mata, kaki dan tangan seolahnya ingin ke Neraka. Kisah ke-11, Aku Juga Ingin Ke Syurga


Naskah Bismillah Yang Hilang Ini, Patung Beruang selesaikan dalam masa beberapa hari sahaja. Kisah-kisah yang ditulis pendek-pendek belaka namun sarat dengan pengajaran dan teguran buat diri yang berdosa, lalai dan jahil ini. Kulit hadapan nampak macam sempoi sahaja, lari dari kebiasaan buku-buku yang bercorak keagamaan. Namun isinya sangat menarik dan menjentik hati. 

Book Review: Move On!

Tajuk: Move On!

Penulis: Reyna Ibrahim

Menariknya Buku Ini:

Karya bertajuk Move On! ini Patung Beruang beli ketika pergi Popular Jusco Ayer Keroh bersama dengan ibu, bulan lepas. Masa itu ibu berhasrat untuk mencari sebuah buku yang beliau baca ulasannya disurat khabar. Maka, bila Patung Beruang pulang ke Melaka, teruslah Patung Beruang ajak ibu ke Popular. Manalah tau kan, ada rezeki kami, dapatlah jumpa buku yang ibu cari tu. Malangnya kami tak jumpa buku tersebut. Tapi dah alang-alang masuk kedai buku, rugilah kalau tak beli buku kan? Jadinya, buku lain lah yang menjadi rezeki buat Patung Beruang dan ibu.

Basically Move On! adalah coretan penulis bagaimana beliau berusaha untuk bangkit tatkala diuji hebat oleh Allah SWT. Beliau diuji dengan keruntuhan rumahtangga yang tidak pernah diduga. Ujian yang benar-benar merenggut separuh jiwanya. 

Banyak tips-tips berguna yang beliau kongsikan didalam karya ini antaranya:

1. Setiap dari kita diuji dengan pelbagai ujian sebenarnya. Kita mungkin menyalahkan takdir, berdendam pada takdir dengan menyatakan Allah itu tidak sayang pada kita. Sebab itulah kita diuji. Namun, jika dilihat dengan mata hati, ujian itu sebenarnya adalah bukti kasih sayang Allah pada kita. Ujian menjadikan kita lebih dekat pada-Nya, berusaha menjadi hamba yang lebih baik. 

2. Berdepan ujian dengan cara menghukum diri sendiri bukan lah satu tindakan yang bijak. Menyeksa diri sendiri dengan mengabaikan kesihatan tubuh badan dan minda, segalanya yang pada zahirnya adalah pinjaman dari Allah kepada kita. Ujian sepatutnya menjadikan kita lebih tabah kerana Allah menurunkan ujian pada seseorang itu selayaknya dengan kemampuannya. Jadi, jangan melemahkan dan menzalimi diri sendiri. 

3. Nangislah sepuas-puasnya. Luahkan segalanya pada Allah, bukan pada manusia. Meratap dan merintih, bertaubat atas segala salah silap kita, mohon kekuatan hanya pada Allah SWT. Kita pasti akan terkesan dengan nikmatnya air mata taubat itu. 

4. Umat Islam sangat beruntung kerana mereka mempunyai senjata yang sangat hebat, yang tidak dimiliki oleh orang yang bukan Islam iaitu DOA. Ye, doa. Maka, gunakanlah kelebihan yang Allah beri, berdoa lah sepuas-puas hati, seikhlas hati sepanjang masa. Allah itu Maha Mendengar. 

5. Nyalakan aura positif pada diri kita dan orang disekeliling, setiap masa. Seperti Law of Attraction, kita menarik apa yang kita fikirkan. Maka, jika kita ingin yang baik-baik sahaja, maka, fikirkan lah yang baik-baik sahaja. 

6. Setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Setiap yang pahit pasti ada manisnya. Maka, percayalah setiap ujian itu pasti ada hikmahnya. Cuma mungkin kita yang tidak mahu melihat hikmah tersebut. Atau mungkin kita masih belum mampu melihatnya. Namun, jangan berputus asa kerana pabila badai telah pergi, kita akan duduk terfikir, 
   
      "Ye, kerana aku diuji lah maka aku jadi sebegini hebat atau jadi sebegini bagus, atau jadi hamba-Nya yang lebih baik. Tanpa ujian itu, mungkin aku tidak akan berada dimana aku berada sekarang."


7.  Sentiasa beristighfar. Harus diingat, kita ini hamba-Nya yang lalai. Hamba yang pendosa. Kita tidak akan lari dari dosa sama ada kecil atau besar seperti lintasan hati yang tidak elok, berprasangka buruk, meremehkan suruhan-Nya dan sebagainya. Oleh itu, beristighfar lah. Tatkala diri sedang diuji dan dada seakan sesak, pada waktu itu mulakan beristighfar. Ulang dan ulang secara perlahan, dan kita akan berasa sedikit kelegaan di sudut yang tadinya tersangat sesak. 

8.  Hidup ini adalah belajar. Belajar bersyukur, memahami, sabar, setia, memberi, mengasihani, tenang, percaya, tersenyum dan belajar ikhlas walaupun susah. 

9.  Sandarkan hidup hanya pada Allah kerana kasih sayang manusia tidak pernah kekal. Kasih sayang manusia akan hilang dan ada pasang surutnya. Oleh itu, sematkan dalam hati dan yakinlah yang kita hanya ada Allah. 

10.  Bukalah buku baru dan pandanglah ke depan. Ye, ia tersangat mudah untuk dituturkan namun sukar untuk dilakukan. Namun, kita mampu melakukanya jika kita mahu. Oleh itu, tatkala kenangan lama menjelma, tatkala hati dirundung duka, ingatan melayang sehingga mengganggu emosi kita, bertasbihlah tanpa mengira waktu dan masa. Sedikit sebanyak ia mampu meredakan gelodak jiwa. 


Begitulah serba sedikit tips yang dikongsi oleh penulis melalui naskah ini. Sebenarnya ada banyak tips yang boleh kita perolehi tatkala kita menelaah naskah ini, helaian demi helaian. 

Meneliti naskah ini seolah-olah seperti mengembara kedalam diri kita sendiri. Ini kerana, kita sebagai manusia, sebagai hamba-Nya turut sentiasa diuji. Cuma mungkin ujian kita berbeza dengan ujian yang dihadapi oleh si penulis. Namun, ia tidak menghalang kita untuk menjiwai tulisan ini kerana apa yang dilakukan oleh penulis untuk mengubati jiwanya, adalah apa yang kita juga lakukan. Sama ada secara sedar atau tanpa sedar...  

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...