Tuesday, February 28, 2017

Warkah Buat Nenek

Assalamualaikum Nenek.. 

Nenek apa khabar? Maaf andainya warkah ini menggangu ketenangan Nenek. 

Hari Jumaat, 24 February 2017, kali pertama Kakak menjejakkan kaki ke rumah Nenek selepas 3 minggu Nenek pergi. 

Jujurnya, Kakak takut untuk datang ke rumah itu. Kakak tak dapat bayangkan bagaimana keadaan rumah tersebut tanpa Nenek. 

Kakak dan Ibu sampai pada pukul 5.15 petang. Rumah kosong, Atuk tiada. Mujur Ibu ada simpan satu set kunci pendua rumah Nenek. 

Ibu terus ambil penyapu dan mula penyapu beranda, tempat dimana kita selalu minum petang bersama. Kakak teragak-agak untuk melangkah masuk. Ibu seperti faham dan minta Kakak untuk tolong siramkan pokok-pokok bunga di sekeliling rumah. 

Nenek tahu tak? 
Pokok-pokok bunga Nenek elok terjaga. Bunga-bunga berkembang mekar pelbagai warna. Alhamdulillah. 

Sedang leka menyiram pokok, Atuk pun pulang. Air muka Atuk nampak sangat gembira apabila melihat Kakak dan Ibu ada dirumah. 

Selesai tugasan, Kakak dan Ibu menyediakan minum petang untuk Atuk. Tiada yang istimewa pun. Hanya air teh kosong, beberapa biji pau daging serta sekeping tosei. Kami bertiga minum di beranda, seperti kebiasaannya. 

Cuma kali ini situasinya agak berbeza. Atuk duduk ditempat yang biasa Nenek duduk. Maka kerusi yang biasanya dikhaskan untuk Atuk, kosong. Ibu pula duduk mengadap Atuk. Kakak terkedu. Ah.. Rasa janggal apabila melihat Atuk bertukar tempat duduk di beranda itu. 

Kami minum petang sambil berbual. Suasana yang agak berbeza dengan sitting arrangement yang juga berbeza. Atuk nampak tenang. 

Usai minum petang, Kakak mengemas piring dan cawan. Basuh dan simpan di rak seperti sedia kala. Sebelum Maghrib, kami minta izin untuk beransur pulang. Atuk menahan agar kami tunggu sehingga waktu Isyak. 

Nenek.. 
Kakak rasa bersalah. Sebenarnya, malam itu Kakak sudah berjanji pada Ibu, Ayah dan Abang. Kami ada aktiviti keluarga. Dengan berat hati, Kakak dan Ibu terpaksa menolak pelawaan Atuk. Atuk hanya menggangguk dan air mukanya tetap tenang seperti biasa. Allahuakbar.. Betapa Kakak rasa amat bersalah kerana tidak mampu menunaikan permintaan semudah itu. 

Hari Sabtu, 25 February 2017, Kakak dan Ibu tiba di rumah Nenek selepas Isyak. Ketika tiba disana, Atuk sedang memanaskan lauk untuk dinner. 

Selama 34 tahun Kakak hidup, inilah pertama kali Kakak melihat Atuk mengendalikan dapur masak. Perasaan Kakak sebak. Kakak meminta Atuk duduk sahaja di meja makan dan biar Kakak yang menyiapkan hidangan. 

Usai makan malam, Atuk dan Ibu duduk diruang tamu dan berbual. Kakak mengemaskan dapur agar bersih dan teratur seperti kebiasaannya, Nenek. Kakak sedar, Atuk berusaha untuk menjaga rumah tersebut sama seperti keadaan ketika Nenek ada. Sentiasa bersih dan kemas. 

Di ruang tamu, Atuk duduk dikerusi kegemarannya. Begitu juga Ibu dan Kakak. Tetapi ada sesuatu yang kurang... 

Nenek..
Sofa kegemaran Nenek kosong. Tatkala Ibu dan Atuk sedang rancak berbual, Kakak berulang-kali menoleh kearah sofa tersebut. Selama ini ia tidak pernah kosong. Tetapi mengapa sekarang ia kosong? 

Nenek.. 
Kakak terbayang suasana pada 28 January 2017, malam terakhir Kakak berbual dengan Nenek. Mengapa malam itu Nenek tidak beritahu yang Nenek hendak pergi jauh? Andai Kakak tahu itu lah kali terakhir kita berbual, pasti Kakak akan minta untuk bermalam di rumah Nenek. Agar kita boleh berbual dan berbual sehingga Subuh. Nenek pasti sedar kan, sudah 15 tahun keluarga Kakak pindah Melaka. Dan ini bermakna sudah 15 tahun juga Kakak tidak lagi bermalam di rumah Nenek. Oh..andai Kakak mampu kembali ke masa lepas.. 

Kakak dan Ibu beransur pulang tatkala jam pukul 10.30 malam. Atuk masih berjaga walaupun dalam keadaan biasa, beliau sepatutnya sudah masuk tidur. 

Nenek ingat tak?
Kami biasa pulang lewat kan? Yelah, kita rancak dan leka berbual sehingga tidak perasan waktu berlalu pantas. Dan Atuk pula biasanya akan masuk tidur sebelum pukul 10 malam. 

Malam itu, untuk pertama kalinya, hanya Atuk seorang yang menghantar kami pulang. Hanya Atuk seorang yang berdiri di beranda sehingga kereta Kakak hilang dari pandangan. 

Nenek..
Atuk sangat tabah. Atuk sangat tenang. Mungkin beliau tidak mahu kami susah hati. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan dan isi hatinya. 

Namun entah dimana silapnya, Kakak, Ibu dan Ucu banyak menangis selepas Nenek pergi. Maafkan kami Nenek. Kami bukan menangisi pemergian Nenek namun kami menangisi ketabahan Atuk. Kami faham, perkongsian kehidupan selama 60 tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat. Namun, Allah lebih tahu buat apa yang terbaik buat kami semua. 

Nenek..
Ibu dan Ucu mula sakit-sakit. Beban emosi dan fizikal mereka sangat menguji. Kakak hanya mampu membantu dan memberi semangat. Ibu berusaha mengejar Syurga, dari Ayah dan Atuk. Ucu berusaha menggalas tanggungjawab, demi anak-anak dan Atuk. 

Nenek..
Doakan moga kami tabah ye. Semoga kami tetap tabah dan tenang seperti Atuk. Menyimpan segalanya dari pandangan mata insan. Meluah segalanya hanya pada Tuhan.  

Selamat berehat Nenak. Rehatlah sehingga dibangkitkan nanti. Rehatlah sehingga kita berjumpa lagi...

Book Review: Rindu & Air Mata Di Ktzi'ot

Tajuk: Rindu & Air Mata Di Ktzi'ot

Penulis: 1. Azhadi Zain
            2. Moh Dat Molok

Menariknya Naskah Ini:
Naskah Rindu & Air Mata Di Ktzi'ot ini sebenarnya Patung Beruang beli pada tahun lepas dari BookCafe. Namun, Patung Beruang hanya mampu letak di rak buku tanpa sempat menatapnya. 

Minggu lepas, semasa sedang membelek buku-buku di rak, Patung Beruang terpandang naskah ini. Teruslah capai dan mula membaca walaupun pada masa itu dah sepatutnya masa untuk Patung Beruang tidur. 

Naskah ini membawa pembaca mengenali seorang lelaki Lebanon yang bernama Ibrahim Pasha. Ibrahim Pasha adalah anak yatim piatu dimana ibu ayahnya dibunuh oleh tentera Zionis ketika beliau masih bayi. Namun, tanpa diduga, seorang tentera Zionis yang masih mempunyai sifat perikemanusiaan, bernama Noah, telah menjumpai beliau dan menyeludup Pasha dari sisa kemusnahan peperangan. 

Pada hening waktu malam, Noah, dalam keadaan berjaga-jaga terus menuju ke rumah Nati Hajaj, kakaknya yang berbangsa Yahudi. Noah menyerahkan Pasha kepada Nati Hajaj dan terus berlalu meninggalkan mereka berdua. 

Nati Hajaj adalah seorang wanita Yahudi yang berhati mulia. Beliau membesarkan Pasha sebagai seorang Muslim, dengan penuh kasih sayang. Nati Hajaj berjiran dengan keluarga Yetin, yang banyak membantu beliau dari segi kewangan sehinggalah urusan pendidikan Pasha. 

Pasha membesar bersama-sama dengan Anastasya Yetin dan seterusnya sama-sama melanjutkan pelajaran. Anastasya di Universiti of Haifa dan Pasha di Technion - Israel Institute of Technology. 

Walaupun Pasha dilihat sama seperti remaja lain, sibuk dengan pengajian demi masa depan, jiwanya masih rasa terbelenggu dek kerana peperangan yang ditimbulkan oleh rejim Zionis. Pasha nekad untuk pulang ke Lebanon bagi membantu beliau berjuang bersama-sama umat Islam, menentang kekejaman Zionis. 

Malang sekali apabila Pasha ditangkap dan diletakkan di kem Ktzi'ot. Maka bermulalah kesengsaraan hidup Pasha ditangan rejim Zionis, yang dipimpin oleh Rafael Eitan. 

Dalam tempoh tahanan, Rafael menghantar Dan Halutz, orang kanannya untuk  menyiasat siapa sebenarnya Pasha, dan adakah Pasha terlibat dengan gerakan pejuang Muslim seperti Hamas. Dan Halutz akhirnya tiba dan menggeledah rumah Anastasya Yetin. Didalam sesi soal siasat, ibu Anastasya telah berbohong pada Dan Halutz dengan mengatakan yang Pasha adalah pejuang Hamas. Namun pembohongan itu disangkal oleh Anastasya yang akhirnya menceritakan kisah sebenar asal-usul Pasha. 

Dan Halutz terkejut apabila mengetahui identiti sebenar Pasha kerana pada masa dahulu, ketika peristiwa Pasha diselamatkan oleh Noah, Dan Halutz juga adalah salah seorang askar yang bersama-sama dengan Noah. Lantas, Dan Halutz bergegas ke rumah Nati Hajaj, dan membawa wanita tua ini ke kem Ktzi'ot untuk bertemu dengan Pasha. 

Penantian dan kerinduan Nati Hajaj kepada anak angkatnya Pasha akhirnya terubat apabila mereka berdua ditemukan di dalam bilik penyeksaan. Namun, pertemuan tersebut tidak berlangsung lama apabila ia dicemarkan dengan kekejaman Rafael sehingga meragut nyawa Nati Hajaj. 

Kematian Nati Hajaj yang berlaku dihadapan matanya membuatkan Pasha menjadi sangat tertekan dan murung. Malah, Pasha mula meragui tindakannya pulang ke Lebanon demi berjuang menentang rejim Zionis. 




Naskah Rindu & Air Mata Di Ktzi'ot membawa pembaca mengenali lebih dekat konflik yang berlaku antara rejim Zionis dan juga umat Islam di Palestin dan jiran-jirannya, punca berlakunya konflik, corak pemerintahan dan kekejaman rejim Zionis serta respons masyarakat antarabangsa terutama PBB dan OIC diatas pergolakan yang berlaku. 

Membaca naskah ini seperti menonton filem dimana segala babak diperincikan sehingga ia ibarat tayangan di mata pembaca. 

Perkara yang menarik tentang naskah ini adalah ia penuh dengan fakta namun diadun dengan cara penceritaan yang tidak membosankan dan tidak langsung mengganggu momentum pembaca. 

Akhir sekali, Patung Beruang sangat suka dengan ending naskah ini. Ending naskah ini penuh dengan elemen surprise sama seperti karya Jeffrey Archer. Honestly, plot twist penulis berjaya menggagumkan Patung Beruang. Apa surprise nya? Kenalaha baca sendiri ye.. 

Thursday, February 16, 2017

Selamat Berehat Nenek...

Assalamualaikum Nenek..

Nenek apa khabar? 
Bagaimana ye keadaan nenek disana? 
Waktu siangnya panas terik ke? Dan waktu malamnya sejuk menggigit?
Atau mungkin keadaan disana nyaman dan tenang sahaja? Tidak terasa siang dan malam. Tidak terasa perubahan waktu dan hari. Sangat tenang dan mendamaikan. 

Kakak rasa rindu sangat. Setiap hari Kakak masih nampak wajah Nenek terutama selepas solat Subuh, tatkala bersimpuh diatas sejadah. Segala-galanya seperti filem. Satu persatu terbayang didepan mata. 

Nenek ingat tak?
Hari Sabtu 28 January 2017, Kakak datang ke rumah Nenek, bersama dengan Ibu. Kakak bawa KFC sebab puas kami pergi merata-rata tempat untuk beli makanan, tapi semuanya sudah habis sedangkan jam pada masa itu baru pukul 8.30 malam. Ibu cakap mungkin sebab masa tu cuti panjang dan cuti sekolah, jadi ramai orang datang Melaka. Dan sebab itulah semua tempat makan penuh dan cepat habis.

Ketika sampai, Kakak letak KFC di atas meja di ruang tamu, dan Kakak terus ke dapur dapatkan Nenek. Nenek baru je lepas makan malam bersama Atuk, Ucu dan anak-anak. Ketika bersalam,

Nenek: Lama awak tak balik.

Kakak: Kakak balik Nenek, tapi Kakak tak sempat nak datang melawat Nenek. Maaf ye Nenek.

Nenek hanya tersenyum.

Malam itu, kita duduk berbual di ruang tamu. Dari satu topik ke satu topik. Dari hal Astro dan Internet, sehingga hal Anem untuk sambung degree nanti. Dari kisah cerita hantu di rumah Nek Cau sehingga pengalaman Kakak terserempak dengan hantu ketika pulang dari kerja lewat malam. Nenek nampak gembira. Semua orang nampak gembira.

Jam menunjukkan pukul 11 malam. Kakak dan Ibu hendak beransur pulang. Yelah, kesian pula tinggal Ayah dan Abang berdua sahaja dirumah.

Kakak bersalam dengan Nenek. Pesan supaya kunci semua pintu dan tingkap. Malam itu, rumah Nenek agak ceria dengan kehadiran Ucu dan anak-anak. Jika tidak, cuma Atuk dan Nenek sahaja yang tinggal berdua.

Seperti biasa Nenek menghantar kami sehingga ke pintu depan. Sehingga kereta Kakak hilang dari pandangan.

Tetapi… tanpa Kakak ketahui, itulah kali terakhir Nenek hantar Kakak pulang…

Nenek ingat tak?
Tahun 2015, Kakak dan Ibu bawa Nenek buat routine check up di hospital. Nenek duduk di seat depan. Kereta Kakak rendah. Jadi setiap kali Nenek hendak keluar dan masuk kereta, Kakak akan bantu.

Ketika sampai di hospital,

Kakak: Nenek, maaf ye. Kereta Kakak ini kereta sport. Tu yang susah Nenek nak keluar masuk.

Nenek: Takpe. Orang tengok mesti cakap, wah..cantiknya kereta sport. Tapi bila keluar, kecut.

Kakak: Hah? Apa dia Nenek?

Nenek: Yelah, kereta awak ini kereta sport. Tapi bila tengok siapa yang keluar, alamak, dah kecut nenek ni rupanya.

Kita semua tertawa… Ye, betullah statement Nenek itu.

Nenek ingat tak?
Pada suatu petang, sebelum Kakak dan Ibu pulang dari rumah Nenek, Kakak minta untuk peluk Nenek. Satu routine yang jarang bagi Kakak sebenarnya. Dengan Ibu memang Kakak selalu peluk. Tapi bukan dengan Nenek. Kakak selalunya hanya bersalam dan cium tangan Nenek sahaja.

Namun entah mengapa, petang itu…

Kakak: Boleh tak kalau Kakak nak peluk Nenek sekejap?

Nenek: Peluklah. Nenek awak ni dah kecut.

Kakak: Bukan kecut tapi makin mengecil.  

Nenek, terima kasih kerana beri peluang Kakak peluk Nenek. Pelukan yang terakhir rupanya.

Nenek ingat tak?
2 minggu terakhir bulan December, tahun 2013. Nenek sakit dan dimasukkan ke hospital. Doctor tempatkan Nenek di CCU. Kakak ambil cuti seminggu semata-mata untuk jaga Nenek di hospital. Siang malam, pagi petang. Bersama-sama dengan Ibu.

Doctor sahkan penyakit Nenek dah tahap 4. Sudah tidak boleh buat apa. Kakak duduk di tepi katil, mengaji. Kakak sapukan losyen di tangan dan kaki Nenek. Kulit Nenek kering, dimamah usia.

Allah sahaja yang tahu berapa banyak Kakak menangis masa itu. Sampai satu tahap, Kakak keluar dari CCU sebab tak nak Nenek nampak Kakak sedang menangis.

Hari demi hari, Nenek kuat melawan rasa sakit. Alhamdulillah, Allah izinkan Nenek untuk terus bernafas. Keadaan Nenek semakin pulih, sehingga Doctor pindahkan ke wad biasa.

Dan sehingga akhirnya Doctor benarkan Nenek untuk keluar hospital.

Maka bermulalah routine check-up Nenek. Ibu yang menjaga jadual check-up Nenek. Sampai masanya, Ibu dan Ayah akan bawa Nenek ke hospital. Jika ada permintaan dari adik-adik Ibu untuk membawa Nenek, Ibu lepaskan kepada mereka.

Nenek tidak pernah menyusahkan anak-anak dan cucu-cucu. Kami semua seronok sahaja untuk berbakti kepada Nenek.

Nenek ingat tak?
Setiap kali Raya Aidilfitri, Kakak dan keluarga akan datang rumah Nenek selepas Solat Sunat Hari Raya. Kami akan duduk bersalam dan minta maaf pada Atuk dan Nenek. Namun, kebiasaannya kami tidak boleh duduk lama kerana rumah kami juga pasti ada tetamu yang sedang menunggu.

Oleh itu, kebiasaannya pada malam Raya ke-2 atau ke-3, Atuk dan Nenek akan datang rumah kami pula.

Kini Kakak tertanya-tanya, adakah Raya Aidilfitri tahun ini Nenek masih akan datang ke rumah kami? 

Nenek ingat tak?
Nenek suka bercerita tentang perangai dan kenakalan Kakak semasa Kakak kecil dahulu. Segala peristiwa yang mencuit hati. Kejujuran seorang anak kecil yang naif.

Ye, Kakak memang nakal. Dan banyak cakap. Suka mengacau sana sini. Perangai kanak-kanak yang suka menjelajah dan meniru perilaku orang dewasa.

Nenek juga pernah bercerita betapa Kakak sangat jujur mengatakan yang Kakak lebih sayangkan Nenek berbanding arwah Nenek yang lagi satu, apabila ditanya orang. Biasalah, lumrah kanak-kanak, mereka akan lebih menyayangi siapa yang lebih kerap berada dihadapan mata mereka.  

Nenek tahu tak?
Pada pagi Rabu, 1 February 2017, ketika Kakak di pejabat, Ibu beritahu yang Nenek dimasukkan ke hospital. Kakak terkejut. Baru hari Sabtu iaitu 3 hari lepas, Kakak dan Ibu datang ke rumah Nenek.

Kakak bercadang untuk pulang ke Melaka pada petang itu, selepas waktu kerja.
Entah dimana silapnya, hari tu Kakak diserang flu yang teruk dipejabat. Bersin tidak berhenti. Hidung berair dan kepala sakit. Habis kerja, Kakak terus pulang ke rumah. Terlupa perancangan awal Kakak untuk pulang ke Melaka dan melawat Nenek di hospital.

Khamis, 2 February 2017, Kakak terjaga dari tidur pukul 3 pagi. Mata Kakak sangat segar. Entah kenapa, tiba-tiba hati ini rasa sangat sayu. Barulah Kakak teringat yang Kakak sepatutnya pulang ke Melaka untuk melawat Nenek.

Nenek tahu tak?
Hati Kakak ini memberontak sangat ingin menelefon Ibu untuk bertanyakan perihal Nenek. Tapi, jam menunjukkan pukul 3 pagi lebih. Bimbang mengganggu tidur Ibu, Kakak batalkan saja niat itu.

Kakak tidak ingat bila Kakak terlena semula.

Cuma ketika lena tiba-tiba Kakak terdengar bunyi telefon berdering, ringtone yang dikhaskan untuk family. Hati tiba-tiba rasa bimbang. Allah, kenapa ada panggilan dari family di awal pagi ini.

Mata dibuka dan screen hp menunjukkan nama Ibu. Terus otak Kakak teringat Nenek. Jam menunjukkan 5.20 am. Kakak rasa takut sangat. 

Ibu: Kak, Nenek awak dah takde. Tolong bagitau Abang ye.

Kakak: Apa Ibu? Innalillahiwainalirajiun.

Suara Ibu sebak, menahan tangis.

Kakak kaku diatas katil. 
Allah, Engkau telah jemput dia pulang. Selepas aku berjumpanya 4 hari yang lepas.

Kakak terus call Abang. Bangun, mandi dan bertolak. Singgah di Senawang untuk ambil Abang.

Nenek tahu tak?
Sepanjang perjalanan pagi itu, fikiran Kakak kosong. Zero.
Mata menatap jalan, tangan memegang stereng dan kaki menekan pedal minyak. Tapi fikiran Kakak terbang melayang entah kemana. Kakak pandu kereta sangat laju walhal ketika itu jalan raya berkeadaan basah kerana hujan renyai-renyai. Beberapa kali Abang menegur keadaan jalan. Mungkin juga secara tidak langsung menegur agar Kakak memperlahankan kenderaan.

Sampai dirumah Nenek, jenazah Nenek sudah ada di ruang tamu. 
Wajah Nenek sangat tenang dan tersenyum. 
Seperti sedang tidur. Seperti sedang berehat.

Nenek ingat tak?
Kakak duduk di sebelah Nenek, di bahagian kepala, membaca Yasin berulangkali. Kakak bantu tanggalkan baju Nenek. Kakak bantu mandikan Nenek.

Kakak tak nangis. Kakak cuba sedaya upaya tahan air mata ini dari keluar. Kakak tak nak Nenek terseksa.

Nenek ingat tak?
Anak, menantu dan cucu-cucu semua bantu uruskan Nenek dari awal sehinggalah ke tanah perkuburan. Lelaki atau perempuan, ada tugas masing-masing. Ramai orang memuji Nenek kerana kami semua bersatu menguruskan Nenek. Mereka kata Nenek sangat bertuah. Mereka kata Nenek tidak perlukan orang luar untuk bantu Nenek pada hari itu.

Nenek,
Hari ini 16 February 2017, hari Khamis. Bermakna telah genap 2 minggu Nenek pergi.

Terasa seperti baru semalam Kakak berjumpa dan berbual dengan Nenek. Terasa seperti baru semalam Kakak bawa Nenek naik kereta baru Kakak. Terasa seperti baru semalam Kakak bawa Nenek dan Atuk bercuti di PD. Terasa seperti baru semalam Kakak bercerita tentang kejayaan Kakak pada Nenek. Dan terasa seperti baru semalam Nenek mengucapkan Selamat Hari Lahir ke-17 untuk Kakak. Nenek cakap, Kakak dah jadi Si Manis 17. Dan kini selepas 17 tahun, Kakak lepaskan Nenek pergi dengan aman.

Sama seperti ketika Kakak cium jenazah Nenek, kali ini sekali lagi Kakak ucapkan..

Selamat Berehat, Nenek…

Rehatlah sehingga dibangkitkan nanti. Rehatlah sehingga kita berjumpa lagi..


Al-Fatihah.. 
Allahyarhamah Hajah Esah binti Haji Tawil. 

Wednesday, February 15, 2017

Book Review: Malaysia e-Commerce Success Stories

Tajuk: Malaysian e-Commerce Success Stories

Penulis: Ck Wong

Menariknya Buku Ini:
Naskah Malaysian e-Commerce Success Stories ini adalah hadiah yang Patung Beruang perolehi dari BuySilverMalaysia.com. beberapa bulan lepas.

Basically, naskah ini membariskan cerita 10 usahawan e-commerce yang terkemuka di Malaysia iaitu:
  1. IPmart dan pengasasnya, Mart Tang
  2. Sugarscarf dan pengasasnya, Joe dan Eyqa
  3. HisShop dan pengasasnya, Wilson Quah dan Shaun Lee
  4. ChristyNg Shoes dan pengasasnya, Christy Ng
  5. Prado dan pengasasnya, Zen Tan
  6. DSYR dan pengasasnya, Ben Chin dan Kian Howe
  7. GameOn dan pengasasnya, Neo Chan dan Ian Chow
  8. MaxAudio dan pengasasnya, William Wong
  9. BuySilverMalaysia.com dan pengasasnya, KH Lau
  10. FashionValet dan pengasasnya, Vivy Yusof dan Fadza

Didalam naskah ini penulis turut berkongsi mengenai jatuh bangun dan cabaran yang dihadapi oleh para usahawan dalam membangunkan e-commerce mereka. Ada beberapa kisah yang menarik perhatian Patung Beruang seperti berikut:

Mart Tang asalnya menggunakan nama i-Phone di forum bagi tujuan mengembangkan perniagaannya yang berasaskan handphone dan aksesori handphone. Malah nama i-Phone ini telah lama digunakan sebelum Steve Jobs lagi. Setelah Apple mula menggunakan nama iPhone sebagai salah satu jenama mereka, Mart Tang menyedari yang dia memang tidak akan mampu untuk melawan gergasi US ini. Maka, sebab itulah jenama i-Phone nya ditukar menjadi IPmart.

Terdapat beberapa usahawan e-commerce ini memulakan perniagaan online mereka bertahun-tahun lamanya malah ketika aplikasi online payment or online terminal belum diwujudkan lagi. Oleh itu, cabaran paling besar untuk mereka adalah menguruskan pembayaran dari customers serta mengesan jika berlakunya fraud.

Selain itu Patung Beruang juga tertarik dengan kisah MaxAudio dimana syarikat ini menjual aksesori kereta. Pada asalnya, jualan dilakukan melalui online. Segala-galanya nampak berjalan lancar, jualan sangat memberangsangkan dan mendapat reputasi yang baik dikalangan pembeli. Namun, pada suatu masa, ketika cuti panjang sempena Tahun Baru Cina, system MaxAudio digodam oleh hackers. Kesannya? Akaun PayPal berbaki negative 5 angka. Email, Lelong, eBay semuanya habis digodam dan transaksi jual beli dengan pembeli turut berlaku antara hackers dan pembeli. Maka, pembeli pun membayar wang kepada hackers kerana merasakan ia adalah transaksi jual beli yang genuine. Namun, hakikatnya semuanya palsu dan pelanggan mula memberontak apabila barang yang dibeli tidak sampai ke tangan. Sekelip mata, reputasi MaxAudio musnah angkara hackers. Namun, ia tidak mematahkan semangat MaxAudio untuk bangkit semula. Kini, mereka bukan sahaja ada online tetapi juga offline store. MaxAudio berusaha keras membawa pelanggan online ke offline store mereka. Sistem keselamatan dipertingkatkan bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.

Kisah ke-3 yang turut menarik perhatian Patung Beruang adalah BuySilverMalaysia.com. Kebiasaannya, kita akan pergi ke kedai fizikal untuk membeli logam komoditi seperti emas dan perak. Tetapi dengan BuySilverMalaysia.com kita boleh membeli emas dan perak hanya melalui online. Pilih, bayar dan tunggu sahaja courier sampai di rumah atau pejabat.

Nampak pelik tetapi itulah hakikatnya kerana Patung Beruang juga salah seorang pelanggan BuySilverMalaysia.com ini. Awalnya Patung Beruang diperkenalkan oleh seorang sahabat dengan website ini. Agak ragu-ragu namun Patung Beruang buat research sendiri untuk mengetahui reputasi website ini. Melalui research tersebut Patung Beruang dapati ia antara website yang paling dipercayai untuk urusniaga komoditi dan harganya sentiasa up to date dengan harga pasaran. Pembelian pertama Patung Beruang sangat smooth dan menyenangkan. Patung Beruang sengaja beli waktu petang, selepas pukul 6 petang, untuk melihat kecekapannya. Dan surprisingly, barang yang dibeli itu sampai ke tangan Patung Beruang pada lusa. Setiap process dari pengesahan pembayaran, pembungkusan dan penghantaran dimaklumkan melalui SMS dan email. Jadi, sebagai customer Patung Beruang boleh track movement barang tersebut. Dan sejak itu, Patung Beruang tidak ragu-ragu untuk membeli logam komoditi melalui BuySilverMalaysia.com.

Generally, naskah ini mengupas kisah 10 orang usahawan e-commerce ini dengan cara yang sangat menarik. Ringkas tetapi padat. Oleh kerana gaya bahasa yang ringkas dan teratur, Patung Beruang hanya ambil masa 2 jam sahaja untuk habiskan naskah ini.


Jadi, jika ingin mengetahui selok-belok e-commerce di Malaysia, cabaran dan dugaan yang datang, kejayaan dan kejatuhan, buku ini boleh dijadikan panduan. Malah, di akhir buku ini, penulis turut meletakkan point-point penting bagi menjadikan sesuatu e-commerce itu berjaya. Apa dia? Kenalah baca sendiri ye.. 

Sunday, February 12, 2017

Book Review: Biblioholisme

Tajuk: Biblioholisme, Menelurusi Pesona Dunia Buku dan Pencintanya

Penulis: Shaharom TM Sulaiman

Menariknya Naskah Ini:

Naskah Biblioholisme ini adalah buku terbaru yang baru sahaja Patung Beruang sudahkan pembacaanya pada petang tadi. Kiranya masih panas lagi lah ye, hehe.. 

Now, tinggal satu buku yang Patung Beruang kena cepat habiskan membaca iaitu 50 Syarikat Yang Boleh Mengubah Dunia. Buku ini Patung Beruang terhenti membaca pada Jumaat malam hari tu. Tiba-tiba je rasa macam nak baca buku lain pula. Patung Beruang boleh dikategorikan sebagai polygamy bibliophile iaitu seorang yang suka membaca lebih dari 1 buku dalam satu masa. Huh... complicated sungguh, hehe.. 

Ok, naskah Biblioholisme ini terbahagi kepada 4 bahagian iaitu:
  1. Buku dan Daya Pikatnya
  2. Biblioholisme: Mengenal Dunia Pencinta Buku
  3. Travelog Pencinta Buku
  4. Sisi Aneh Dunia Buku
Penulis memulakan pengembaraan naskah ini dengan menceritakan bagaimana buku berjaya memikat manusia untuk setia bersama mereka, tanpa mengira bangsa, usia, latar belakang sosial, genre yang diminati dan sebagainya. Buku dianggap sebagai teman sepanjang hayat. Setiap buku itu ada magic nya yang tersendiri dan hanya mereka yang membaca dan menghayatinya sahaja akan dapat menyelami magic tersebut. 

Penulis juga tidak kedekut untuk berkongsi dengan pembaca berkenaan cara-cara merawat dan menjaga buku agar buku-buku tersebut sentiasa berkeadaan elok sepanjang zaman. Dan salah satu caranya adalah dengan segera membalut buku dengan plastic. 

Membalut buku dengan plastic adalah salah satu hobi Patung Beruang selain membaca. Malah, oleh kerana buku-buku Patung Beruang semuanya berbalut plastic, biasa je diusik oleh rakan-rakan atau keluarga dengan mengatakan buku Patung Beruang ini seperti buku di perpustakaan. 

Selain itu, Patung Beruang tidak suka lipat muka surat semata-mata untuk menandakan dimana Patung Beruang berhenti membaca. Patung Beruang akan gunakan bookmark. Patung Beruang mempunyai banyak koleksi bookmarks, sama ada dibuat sendiri, dibeli, hadiah dari kedai buku atau juga hadiah dari family dan sahabat-sahabat, sama ada dari local atau overseas. So far, Patung Beruang ada koleksi bookmarks dari Malaysia, Jepun, Korea, Australia, Singapore dan coming soon UK. Macam-macam bentuk dan macam-macam warna. 

Bahagian 2, penulis berkongsi dengan kita berkenaan gelagat dunia pencinta buku. Ada yang sangat taksub dengan kedai buku sehingga rasa bersalah jika keluar tanpa membeli walau sebuah buku. Ada juga yang sanggup menyorokkan buku tertentu agar ia tidak dibeli oleh pelanggan lain kerana beliau tidak cukup wang untuk membeli pada masa tersebut. Ada yang suka membaca sambil berjalan. Ye, kedengaran agak pelik namun tidak pelik sebenarnya. Mereka leka menatap naskah ditangan dan kaki pula sentiasa melangkah. Ramai juga yang boleh sahaja membaca didalam kenderaan yang bergerak, sama ada bas, train, flight sementara menunggu untuk sampai ke destinasi yang dituju. Ada yang sentiasa membeli buku walaupun ada banyak buku dirumah yang masih belum dibaca. 

Basically, kecintaan atau ketaksuban kepada buku bukanlah satu penyakit yang berbahaya. Bila diteliti naskah ini, Patung Beruang sedar Patung Beruang juga mengidap sindrom yang sama seperti yang dituliskan oleh penulis. Sindrom yang mana satu? Terlalu banyak sehingga tak larat nak dicatat disini satu persatu. Yang pasti, sesiapa sahaja yang rapat dengan Patung Beruang pasti akan menyedari penyakit Patung Beruang ini, hehe.. Sabar je lah ye. 


Secara umumnya, naskah Biblioholisme ini walau zahirnya nampak berat namun isi kandungannya adalah ringan dan padat. Mudah untuk dihadam dan dengan gaya penulisan yang menarik, ia berjaya membuatkan momentum Patung Beruang membaca naskah ini berjalan dengan lancar dan laju. Rasa cepat sahaja Patung Beruang berpindah dari satu tajuk ke tajuk yang lain. 

Untuk siapa-siapa yang ingin mengenali dunia buku dan pencinta buku, apa hebatnya bercinta dengan buku, mengapa ada manusia yang sangat ketagih dengan buku, serta mengenali tokoh-tokoh hebat didalam dunia buku seperti Wan Mohd. Shaghir, Alfred Novel dan Albert Einstein, naskah ini adalah bahan bacaan yang paling tepat. 

Selamat datang ke dunia biblioholisme dan selamat berkenalan dengan bibliophile dari serata dunia... 


-Patung Beruang seorang bibliophile   

Book Review: Nenek

Tajuk: Nenek

Penulis: Razali Endun

Menariknya Naskah Ini:

Naskah Nenek ini Patung Beruang sudahkan pembacaannya pada minggu lepas. Namun, kesibukan dengan urusan kerja, peribadi, keluarga ditambah pula dengan keadaan diri yang kurang sihat ini, menyebabkan Patung Beruang lambat menulis Book Review disini. 

Nenek mengisahkan Mak Som, seorang wanita tua yang tinggal di Kampung Bertam Malim, Melaka. Setelah kematian suaminya, Haji Kiran, Mak Som tinggal bersama dengan anak sulungnya, Mahfus. Mak Som menghabiskan seharian masanya dengan mengajar anak-anak mengaji serta menganyam tikar mengkuang. Baginya, tikar mengkuang adalah warisan bangsa Melayu yang tidak seharusnya dilupakan. 

Mahfus, anak sulungnya, pada asalnya adalah seorang kerani di Pejabat Tanah. Namun, dek kerana tenggelam dengan godaan wang ringgit, Mahfus terjebak dengan rasuah yang akhirnya menggadaikan tanah penduduk Kampung Bertam Malim dengan cara yang tidak sepatutnya. 

Mahfus meletakkan jawatan dari perkhidmatan kerajaan dan dilantik sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Padu Menang Sdn Bhd, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dahan. Selain itu, atas saranan Tan Sri Dahan, Mahfus juga mewujudkan syarikatnya sendiri iaitu Syarikat Mahfus Jaya Enterprise bagi mendapatkan kontrak-kontrak kerajaan. 

Kini Mahfus digelar Dato' Mahfus, atas usaha lobi Tan Sri Dahan. Kehidupan Dato' Mahfus berubah sekelip mata dan ia juga mengubah pendirian dan pemikirannya. 

Mak Som mula melihat kerakusan anaknya, Dato' Mahfus. Kerakusan terhadap pangkat, wang ringgit dan kemewahan sehingga tanpa segan silu memanipulasi orang kampung agar mereka bersetuju menjual tanah mereka kepada Syarikat Padu Menang untuk dibangunkan bandar baru. 

Selain ghairah mengumpul harta, Dato' Mahfus juga ghairah didalam bidang politik. Berusaha keras agar kedudukan politiknya terjamin walau tanggungjawab pada rakyat sering kali dilupakan. 

Mak Som tanpa jemu sering kali menasihati penduduk kampung agar mempertahankan hak milik mereka. Malangnya, didalam kekalutan penduduk Kampung Bertam Malim berusaha mempertahankan tanah mereka, datang pula arahan dari Pejabat Tanah yang menyatakan bahawa tanah mereka akan diambil oleh kerajaan atas alasan pembangunan. Penduduk kampung makin tertekan. Namun mereka dapat bernafas lega sebentar apabila pampasan yang dijanjikan oleh kerajaan jauh lebih masuk dek akal berbanding dengan harga yang ditawarkan oleh Syarikat Padu Menang. 

Namun, tidak semua penduduk kampung bakal menikmati pampasan tersebut. Ini kerana terdapat sebilangan yang sudah pun menandatangani perjanjian untuk menyerahkan tanah mereka dengan Syarikat Padu Menang dek kerana dikaburi dengan gula-gula yang ditaburkan oleh syarikat tersebut. 

Bagaimanakah kesudahan penduduk Kampung Bertam Malim?

Adakah usaha Mak Som dan penduduk kampung akan berhasil dalam menghentikan kerakusan Dato' Mahfus serta konco-konconya?



Meneliti naskah Nenek ini membawa Patung Beruang kepada senario yang berlaku pada masa kini. Tanah-tanah penduduk diambil dengan alasan pembangunan. Kampung-kampung melayu akhirnya hilang dan digantikan dengan kawasan perumahan mewah yang mana terlalu sedikit bangsa melayu yang mampu untuk memilikinya. Kesudahannya, bangsa asing mula membanjiri kawasan tersebut sedikit demi sedikit. Bangsa asing semakin kaya dengan pemilikan hartanah mewah namun bangsa melayu semakin terpinggir dan hilang segala-galanya. 

Watak Dato' Mahfus adalah watak tipikal melayu, yang sanggup menggadaikan maruah diri dan bangsa, sanggup mengkhianati bangsa hanya kerana kemewahan dan kuasa. Baginya, peduli apa rakyat kampung merempat atau tertindas. Yang penting, beliau mempunyai banglow yang mewah, duit yang berkepuk dan tidak habis dipakai. Tidak pernah segan silu untuk mengambil rasuah. Watak Dato' Mahfus ini berjaya menimbulkan rasa marah dan benci Patung Beruang padanya. 

Yang pasti, ending naskah Nenek sangat berpijak di bumi nyata. Patung Beruang tidak mengharapkan keajaiban berlaku kerana sedar ini bukannya naskah Harry Potter yang segalanya boleh terjadi. Ini adalah naskah yang mencerminkan keadaan sebenar di negara kita. Sikap dan penindasan yang berlaku atas alasan undang-undang dan kemodenan. Syabas pada penulis kerana mengakhiri naskah ini dengan realistik. 

Book Review: Sayang Ustazah Sayang

Tajuk : Sayang Ustazah Sayang

Penulis: Salmi Manja

Menariknya Karya Ini: 

Naskah Sayang Ustazah Sayang adalah naskah lama yang diterbitkan semula oleh ITBM supaya pembaca dapat mengenali naskah ini yang ibaratnya seperti perakam peristiwa dan suasana pada masa lampau. 

Mengisahkan sekumpulan ustaz dan ustazah yang mengajar di madrasah, diketuai oleh Ustazah Nazimah sebagai guru besar. 

Setiap orang mempunyai cerita kehidupan tersendiri.

Ustazah Nazimah, adalah guru besar yang sangat bercita-cita tinggi. Beliau berhasrat untuk menambahbaik madrasah, menambahkan lagi kelas agar pengajaran lebih teratur dan lebih ramai murid dapat belajar. Oleh itu, atas persetujuan bersama, madrasah bakal melangsungkan Malam Derma dimana akan diadakan persembahan bagi tontonan awam sekaligus bagi mengutip sumbangan dari hadirin. 

Ustazah Zahirah, seorang yang cantik dan lemah-lembut namun kelembutannya menyebabkan beliau seringkali dipukul oleh suaminya. Kemuncak pergolakan rumahtangga mereka adalah apabila Ustazah Zahirah dimasukkan ke hospital kerana kecederaannya. Beliau merasakan yang suaminya sudah berkahwin lain tanpa pengetahuannya dan lebih banyak menghabiskan masa dirumah madunya. Ustazah Zahirah banyak meluahkan cerita dan perasaan pada Ustazah Zamilah. Baginya, Ustazah Zamilah adalah pendengar yang setia dan boleh dipercayai. 

Selain urusan kerja di madrasah, Ustazah Naemah juga leka dengan jualan langsung sehingga rumahtangganya terabai. Anak gadisnya sudah pandai keluar berdua-duaan dengan lelaki dan tindakan ini menyebabkan buah mulut jiran tetangga. Ustazah Naemah bertukar menjadi singa, bukan sahaja anaknya diterkam, suaminya, Faizal juga turut dipersalahkan. 

Ustazah Zamilah, satu-satunya ustazah yang masih bujang di madrasah tersebut. Sering menjadi perhatian masyarakt terutama Mustaffa, lelaki yang sering minum di gerai kopi berdekatan madrasah, ketika menunggu kenderaan untuk ke tempat kerja. Namun, hati Ustazah Zamilah sudah dimiliki oleh Musdi, adik kepada jirannya. 



Naskah Sayang Ustazah Sayang ini membawa Patung Beruang ke zaman dahulu kala, mungkin dalam tahun 60-an. Meneliti kehidupan pada masa itu dimana bukan semuanya indah belaka, bukan semuanya mewah belaka. 

Ustazah Zahirah tersepit dalam pergolakkan rumahtangga disebabkan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Tiada tempat untuk dituju bagi mengadu permasalahannya kecuali pada rakan sekerja. Tiada peranan Jabatan Agama atau Unit Kaunseling. Malah, rakan sekerja seperti ustaz-ustaz lebih senang dengan memberi nasihat agar bersabar kerana beraggapan itu adalah asam garam rumahtangga. Bagi mereka, rumahtangga orang usah dicampuri. Biarlah, nak pukul bantai ke, biarkan sahaja suami isteri yang menyelesaikannya. 

Selain itu, kemiskinan masyarakat Melayu yang terpinggir dari kek ekonomi juga turut dipaparkan melalui watak Sarah, salah seorang murid di madrasah. Sarah sangat rapat dengan Ustazah Zamilah. Maka, segala masalah diceritakan. Bagaimana peritnya kehidupan anak kecil, sering menjadi mangsa pukul oleh ayahnya. Tinggal di rumah setinggan yang tidak serupa rumah, makan seadanya malah sampai suatu tahap Sarah diminta untuk berhenti sekolah agar boleh menjual kuih demi mencari sesuap nasi. Permintaan itu meruntun hati anak kecil ini sehingga dia sanggup lari dan bersembunyi didalam almari di madrasah. Tangisannya yang mendayu didengari oleh Wak Kadir lantas memanggil Ustazah Zamilah bagi menenangkan anak kecil ini. 

Gelaran ustazah tidak bermakna adab dan tutur kata seperti yang selayaknya. Sikap dan perilaku Ustazah Naemah tatkala berkomunikasi bersama suami dan anak-anak dapat dijadikan sempadan. Tiada rasa hormat sang isteri pada suami, nada yang tinggi dan kasar, kata-kata yang penuh dengan sindiran bagai menjadi mainan bibir tatkala bercakap dengan Faizal, suaminya. Tidak kisahlah sama ada ketika berdua atau dihadapan anak-anak, intonasi dan caranya sama sahaja. Dengan anak-anak, perkataan yang diguna benar-benar menyentap emosi dan psikologi kanak-kanak dan remaja. Mungkin boleh juga dikata yang Faizal gagal menjadi ketua keluarga yang baik. Dirinya sendiri curang dibelakang isteri. Dan kini anak gadisnya diusung oleh lelaki kesana kemari. Masih mahu salahkan si anak? Atau mungkin salah sendiri? 

Naskah Sayang Ustazah Sayang ini tidaklah complicated. Karya yang sangat jujur, menelitinya ibarat mengenali watak-watak didalamnya. Patung Beruang rindu untuk menatap karya-karya hebat sebegini lagi. Memang wajarlah naskah ini diterbitkan semula kerana kehadirannya ibarat mencabar kualiti dan kejujuran karya pada masa kini.

Book Review: Mendung Hari Esok (La manana debe seguir gris)

Tajuk: Mendung Hari Esok (La manana debe seguir gris)

Penulis : Silvia Molina

Penterjemah: Mohd Ridzuan bin Abdul Malek

Menariknya Buku Ini:

Karya Mendung Hari Esok adalah terjemahan dari novel berbahasa Sepanyol, yang bertajuk La manana debe seguir gris

Novel ini berlatar belakangkan tahun 1969 - 1970, menceritakan kisah sebenar penulis, perkenalan dan seterusnya menjalinkan percintaan dengan Jose Carlos Becerra, seorang penyajak terkemuka dari Tobasco. Serta kehidupannya yang jauh dari ibu bapa dan adik beradik, tinggal bersama-sama dengan makciknya, berdikari di tempat orang, dan dalam masa yang sama berusaha untuk mencari pekerjaan yang stabil. 

Penulis memulakan catatan dengan diary bertarikh 10 November 1969, dimana ia adalah hari perkenalan beliau dan Jose Carlos Becerra. Dan keesokkannya, mereka menikmati makan malam di rumah Jose Carlos. Hubungan mereka semakin rapat dari hari ke hari. 

Namun, hubungan yang terjalin ditentang oleh mak cik penulis. Bagi wanita itu, Jose Carlos terlalu tua dan tiada masa depan untuk anak buahnya. Tentangan ini ditambah dengan sikap suka mengongkong dan terlalu berkira mak cik membuatkan hubungan anak saudara dan ibu saudara ini goyah. Kemuncaknya, penulis nekad untuk berpindah menyewa di apartment lain demi sebuah kebebasan. 

Dalam masa yang sama, Marlo rakan sekerja penulis jatuh cinta padanya. Namun, penulis merasa serba salah kerana sahabat mereka, Christina sangat menyukai Marlo. Dan Marlo pula tidak mengetahui perasaan Christina itu. 

Penulis tersepit. 
Cintanya pada Jose Carlos. 
Kebimbangan mak cik dan keluarga terhadap dirinya.
Persahabatan dengan Christina dan minat Marlo terhadapnya.
Jose Carlos mahu mengembara.
Patutkah penulis menyertainya?



Ini adalah karya terjemahan bahasa Sepanyol yang pertama yang Patung Beruang miliki dan hadam. Ceritanya sangat simple. Kisah kehidupan dan percintaan seorang gadis di perantauan. Penuh dengan rencah, suka duka, pahit dan manis. Kisah penulis ini memberi gambaran yang berada di perantauan tidak semestinya indah seperti yang dibayangkan sebelum ini. Jika cepat menyesuaikan diri, cepatlah serasi. Jika lengah, pasti mengah. 

Pengakhiran cerita agak melancholy. Patung Beruang sendiri seperti tidak percaya tatkala menatap satu demi satu ayat di hujung-hujung naskah ini. Apa ending nya? Bacalah sendiri ye.. 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...