Saturday, May 20, 2017

Book Review: Alkisah Doktor Kolget

Tajuk : Alkisah Doktor Kolget

Penulis : 
1. Dr Nabilah Zulkifly
2. Dr Shafiq Said
3. Dr Zahrah Yunos
4. Dr Najibah Kazmin
5. Dr 'Afifah Azam
6. Dr Firdaus Hariri
7. Dr Safiy Iskandar
ilustrator by : Amy Roslaily

Menariknya Naskah Ini:

Naskah Alkisah Doktor Kolget ini membariskan buah tangan dari 7 orang doktor gigi yang sudi berkongsi dengan pembaca berkenaan kisah-kisah mereka sebagai doktor gigi, kisah-kisah dan ragam pesakit serta majikan, tips-tips kesihatan gigi dan mulut, maklumat umum berkenaan dunia pergigian dan pengetahuan atau mitos yang berkaitan dengan dunia pergigian yang menjadi pegangan masyarakat sejak sekian lama. 

Kisah pertama: Dari Gigi Turun Ke Hati karya Dr Nabilah Zulkifly membawa pembaca kepada bagaimana seorang pesakit wanita yang sangat sempurna penampilannya, tampak cantik dan bergaya, mengundang perhatian dari sesiapa sahaja yang memandangnya. Namun sayang sekali apabila kecantikan dan kejelitaan yang ditampilkan secara luaran tidak mampu menyembunyikan tabiat buruk si pesakit terhadap penjagaan kesihatan mulutnya. Karang gigi yang memenuhi hampir di setiap permukaan gigi ditambah dengan bau mulut yang kurang menyenangkan, benar-benar kontra dengan penampilan luarannya. Kesian si pesakit dan kesian lagi doktor gigi kerana berhadapan dengan pesakit sebegini. 

Lumrah apabila gigi dijangkiti kuman dan sudah tidak dapat diselamatkan, doktor akan bagi antibiotik dan meminta pesakit habiskan antibiotik tersebut dalam tempoh beberapa hari. Selepas itu, pesakit dikehendaki datang semula ke klinik untuk dicabut giginya. Namun, ada sahaja pesakit yang degil dan tidak datang semula ke klinik dengan alasan giginya sudah tidak sakit. Malah ada juga pesakit yang culas ini, dikemudian harinya apabila sakit giginya berulang, tanpa segan silu beliau akan meminta antiobiotik dari doktor dengan alasan ubat itu meredakan kesakitan. Hm.. jangan salah faham ye. Antibiotik adalah untuk melawan jangkitan dalam sistem badan bukannya ubat tahan sakit.. huhu.. 

Ramai kanak-kanak suka makan makanan manis seperti gula-gula dan coklat. Hm.. jangan kata kanak-kanak, orang dewasa pun sama sahaja. Sudahlah kanak-kanak ini sangat gemarkan makanan manis atau makanan ringan, penjagaan gigi pula tidak dititik beratkan oleh ibu bapa. Sepatutnya, gigi mestilah digosok paling kurang 2 kali sehari. Pagi, ketika bangun dari tidur dan malam, sebelum tidur. Jika mampu menggosok gigi selepas makan atau sebelum solat, Alhamdulillah... Namun, ada juga ibu bapa yang tidak kisah. Takpelah.. budak kecil lagi. Gosok 2 hari sekali pun takpe. Tak gosok langsung pun takpe. Kesian dia.. masih kecil lagi. Akhirnya??? Kuman pun seronok lah beranak pinak di kawasan mulut sikecil. Habis diserangnya gigi-gigi yang comel itu sehingga berlubang-lubang dan berkarang.. Aiyo... kesiannya.. Akhirnya, nak tak nak, kenalah bawa si kecil berjumpa doktor gigi apabila si kecil kesayangan asyik merengek tidak sudah akibat kesakitan yang dilaluinya. Adakah si kecil akan sedar kesilapannya? Dan adakah ibu bapa juga sedar kesilapan mereka?... Nina Nak Makan Coklat Lagi? karya Dr 'Afifah Azam

Apabila menyebut doktor gigi, masyarakat hanya membayangkan doktor yang berada di klinik gigi, membuat pemeriksaan gigi keatas pesakit, menjalankan prosedur-prosedur seperti scaling, tampal gigi, whitening, minor oral surgery. Itu sahaja. Tetapi sedarkah kita yang sebenarnya bidang pergigian ini sangat luas. Ia bukan setakat apa yang kita nampak di klinik gigi sahaja. Menurut Dr Firdaus Hariri, kepakaran dalam bidang pergigian di Malaysia adalah meliputi seperti berikut: 

1. Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial : adalah bidang pembedahan yang memfokuskan kepada kecacatan, kecederaan atau penyakit pada tulang dan tisu di bahagian leher, rahang, muka dan kepala. 

2. Pakar Ortodontik : pula lebih kepada aspek dalam memberikan rawatan bagi membaikpulih susunan gigi yang tidak betul. 

3. Pakar Restoratif dan Endodontik : adalah pakar yang khusus untuk membaikpulih struktur permukaan gigi yang telah rosak samaada melalui tampalan, pembuatan crown, veneer atau bridge

4. Pakar Patalogi dan Perubatan Mulut : focus dalam menganalisa jenis-jenis penyakit dan tisu-tisu tidak normal pada kawasan mulut dan muka, yang berpotensi mengesan kewujudan kanser mulut.

5. Pakar Pergigian Keperluan Khas : biasanya menjalankan rawatan kepada pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan atau fasiliti khas seperti pesakit down syndrome atau stroke. 

6. Pakar Kesihatan Awam Pergigian : memainkan peranan dalam merangka strategi-strategi berkaitan penyediaan perkhidmatan kesihatan mulut kepada masyarkat dan mempromosi kepentingan penjagaan mulut yang betul sedari awal usia. 

7. Pakar Pergigian Radiologi dan Forensik : adalah pakar dalam bidang analisis x-ray dan imej-imej lain seperti CT scan. 


Kesimpulannya, walaupun naskah ini ditulis oleh barisan doktor-doktor gigi namun ia tidak mengecewakan Patung Beruang. Banyak kisah-kisah yang boleh dipelajari, banyak tips-tips dan panduan berguna yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan mulut.

Naskah disampaikan dengan cara yang santai namun sarat dengan fakta, membuatkan pembaca tidak bosan menatap helaian demi helaian sehinggalah ke muka surat penghabisan....  

Sunday, May 14, 2017

Book Review: Dia Bukan Lelaki Biasa (Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat)

Tajuk : Dia Bukan Lelaki Biasa (Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat)


Penulis : Syarafuddin Sulaiman



Menariknya Naskah Ini :

Naskah Dia Bukan Lelaki Biasa adalah naskah yang menceritakan kisah hidup Tuan Guru dari awal ketika beliau masih remaja, meniti usia dewasa, sebelum menceburkan diri didalam dunia politik, saatnya beliau memegang jawatan Menteri Besar untuk negeri Kelantan, bersara dari dunia politik dan sehinggalah akhirnya beliau menghembuskan nafas terakhir. 




Naskah ini dipecahkan kepada 4 bahagian iaitu: 
1. Sebelum Beliau Kita Kenali
2. Bukan Menteri Biasa
3. Lelaki Itu
4. Dia Pasti Dirindui

Bahagian Pertama: Sebelum Beliau Kita Kenali membawa pembaca kepada latar belakang keluarga Tuan Guru, salasilah keturunannya, jasa dan pengorbanan insan-insan terdahulu darinya seperti datuknya, iaitu Raja Banjar dan ayah Tuan Guru iaitu Tuan Guru Haji Nik Mat. 

Tuan Guru Haji Nik Mat adalah seorang ulamak yang terkenal ketika zamannya. Beliau juga digelar "Haji Nik Mat Pongoh" kerana dikatakan beliau adalah seorang yang bersikap bengis dan tegas terhadap anak-anaknya serta murid-muridnya. 

Namun begitu, apabila diteliti kisah keluarga Haji Nik Mat, tidak dinafikan betapa perlunya beliau bersikap bengis dan tegas kepada anak-anaknya. Ini kerana, beliau mempunyai 27 orang anak dari 4 orang isterinya. Suatu bilangan yang besar. Dan menjadi ketua keluarga adalah satu tanggungjawab dan amanah yang berat, yang kelak bakal dipersoalkan di hadapan Allah swt. Tidak mudah untuk mendidik keluarga yang sebesar ini. Maka, tanggungjawab yang besar terpikul di bahu Haji Nik Mat bagi memastikan anak-anaknya menjadi manusia yang berilmu dan berguna pada agama, bangsa dan negara. 

Tuan Guru Nik Aziz digambarkan sebagai seorang pencinta ilmu. Malah minatnya terhadap ilmu pengetahuan telah jelas terpancar semenjak beliau masih kecil lagi. Syukur Alhamdulillah, Allah swt menganugerahkan hati yang terang kepada beliau yang akhirnya beliau berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Darul Ulum, Deoband, India pada tahun 1952 dan seterusnya ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau hanya pulang ke Malaysia pada tahun 1962 selepas tamat pengajiannya. 

Dan dek kerana kecintaannya pada ilmu juga menyebabkan beliau sangat suka mengajar, berkongsi ilmu dengan anak-anak muridnya. Beliau memulakan khidmat pertamanya sebagai pendidik di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardhiyyah, seterusnya ke Sekolah Agama Darul Anwar (sekolah agama yang diasaskan oleh ayahnya, Tuan Guru Nik Mat), dan  Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Lil Banin (Lelaki).

Bahagian ke-2: Bukan Menteri Biasa membawa pembaca kepada kisah ketika beliau menerajui negeri Kelantan sebagai Menteri Besar. Bahagian ini membawa pembaca mengenali corak kehidupan dan pemerintahan beliau ketika menjawat jawatan tersebut. Disaat ramai ahli-ahli politik mengumpul kekayaan dan kesenangan diri dan keluarga, diterjemahkan dengan bilangan dan nilai aset yang melangit tingginya, dengan kediaman rasmi dan tidak rasmi yang indah seperti istana serta kenderaan mewah dan exclusive yang hanya mampu menjadi tontonan rakyat jelata, Tuan Guru masih setia dengan rumah kampung, rumah kayu yang menjadi kediamannya sedari dulu lagi. Rumah kayu yang dibina bersebelahan dengan masjid, rumah kayu yang pintunya bersambung dengan pintu masjid, rumah kayu di kawasan kampung, yang halamannya sama seperti halaman rumah-rumah kampung yang lain, dihiasi dengan pokok-pokok bunga, menggamit pengunjung dari serata alam, untuk melawat, berkenalan, bertanya khabar serta mengadu permasalahan kepadanya. 

Turut diceritakan didalam Bahagian ke-2 ini adalah bagaimana Tuan Guru sangat menekankan ekonomi Islam ketika pemerintahannya, dimana langkah pertamanya adalah menukarkan bank rasmi kerajaan negeri dari bank konvensional kepada Bank Islam. Nampak simple tetapi impaknya besar kerana bermula dari detik itulah, masyarakat mula menyedari betapa pentingnya sistem kewangan dan perbankan Islam dan betapa masyarakat mempunyai pilihan sama ada untuk tetap terikat dengan sistem konvensional atau beralih kepada pilihan yang berlandaskan Islam. 



Naskah Dia Bukan Lelaki Biasa adalah naskah yang Patung Beruang beli ketika menghadiri Pesta Buku anjuran Popular di Melaka, pada tahun 2015. Ketika disana, Patung Beruang dan Ibu meneliti buku - buku biografi Tuan Guru Nik Aziz yang dijual disana. Seingat Patung Beruang, ada lebih dari 3 buah biografi yang ditulis oleh penulis berbeza pada masa itu. Ketika membelek naskah-naskah tersebut untuk mencari kepastian yang mana satu patut dibeli, Patung Beruang teringat pada ulasan buku yang dipaparkan di suratkhabar tidak berapa lama sebelum itu.

Didalam ulasan buku di suratkhabar, seorang pembaca merangkap penulis menyatakan yang beliau telah membaca beberapa buat biography Tuan Guru termasuklah Dia Bukan Lelaki Biasa. Pendapatnya adalah naskah Dia Bukan Lelaki Biasa adalah biography yang terbaik yang ditulis untuk Tuan Guru. 

Berpegang pada ulasan buku di suratkhabar itu, maka Patung Beruang dan Ibu pun nekad untuk memilih naskah ini.  

Setelah memilikinya, naskah ini Patung Beruang serahkan pada Ibu untuk Ibu baca terlebih dahulu. Usai Ibu membacanya, beberapa bulan selepas itu, barulah Ibu serahkan naskah ini pada Patung Beruang. Alhamdulillah, kini di tahun 2017, barulah Patung Beruang berpeluang untuk menatap naskah ini yang selama ini elok sahaja duduk di rak buku didalam bilik. 

Naskah ini Patung Beruang habiskan dalam masa kurang seminggu. Meneliti naskah ini seperti terkena magic kerana momentumnya sangat laju, Patung Beruang boleh duduk membaca dan tenggelam didalam dunianya tanpa disedari. 

Pada pemerhatian Patung Beruang, naskah ini sangat jujur dan merendah diri. Kisahnya sangat simple, kisah kehidupan seorang pemimpin merangkap ulama, kisah dari beliau kecil sehingga dewasa dan sehingga memikul amanah yang besar sebagai seorang pemimpin dan sehinggalah beliau dijemput pulang oleh Yang Maha Esa. 

Naskah ini membaca kita menelusuri perjalanan hidup beliau dari sisi yang lain. Perjalanan hidup yang simple, berlandaskan Islam, jauh dari kemewahan dan popularity. Selain itu, naskah ini juga menceritakan kisah sebenar yang berlaku ketika hayatnya, ulasan-ulasan dan tindakan-tindakan yang dilakukannya ketika menjadi pemimpin, yang ada antaranya disalah tafsir dan dipandang serong oleh rakan dan lawan politiknya. Naskah ini menjernihkan perkara yang kabur pada suatu ketika dahulu. 

Malah, naskah ini juga membawa pembaca kepada tabiat beliau ketika masih hidup seperti memuliakan tetamu, menjaga solat, sangat menjaga tahajjud walau dimana sahaja beliau berada. 

Kesimpulannya, naskah ini sangat sedap dan mempunyai magicnya yang tersendiri. Maka, memang wajarlah apabila naskah ini mendapat pujian didalam ulasan buku di suratkhabar. Sangat mengagumkan. 

Saturday, May 13, 2017

Book Review: Budak Beca

Tajuk : Budak Beca

Penulis : Ishak Haji Muhammad (Pak Sako)

Menariknya Naskah Ini: 

Alhamdulillah, setelah beberapa lama mencari, akhirnya Patung Beruang berjaya juga memiliki karya Pak Sako, salah seorang penulis hebat didalam dunia kesusasteraan Melayu. 

Tatkala memilikinya, hati ini rasa tak sabar untuk meneliti naskah beliau. Patung Beruang berjaya memiliki 2 naskah iaitu Budak Beca dan Anak Mat Lela Gila. Naskah Budak Beca ini Patung Beruang berjaya habiskan dalam tempoh 3 hari. Apabila mula membaca, amat sukar rasanya untuk berhenti kerana jika boleh, Patung Beruang hendak membaca terus menerus sehinggalah selesai. 

Budak Beca mengisahkan kehidupan masyarakat Melayu di Kuala Terengganu ketika zaman sebelum merdeka. Mengangkat Mamat Merdeka sebagai watak utama, Mamat digambarkan sebagai seorang pemuda yang pernah bekerja sebagai mata-mata khas selama 7 tujuh. Setelah berhenti dari mata-mata khas, Mamat pulang ke kampungnya di Bukit Bayas, dengan membawa wang simpanan sebanyak seribu dua. Satu jumlah yang besar pada waktu itu.

Mengapa Mamat digelar Mamat Merdeka? 

Mamat merasakan dirinya sudah merdeka apabila dia tidak lagi perlu bekerja. Baginya, tinggal bersama orang tua, rumah sudah disediakan. Makan minum sudah tersedia. Kebun-kebun ayahnya ada. Lembu-lembu ternakan ayahnya juga ada. Jadi, wang simpanan hasil dari pekerjaannya selama 7 tahun itu cukuplah untuk menyara dirinya sendiri, cukuplah untuk belanja hiburan sehari-hari. Maka, mengapa mesti bersusah payah untuk bekerja lagi? Mesti menepati masa. Disuruh-suruh dan dimarah oleh pihak atasan. Hidup yang penuh jadual dan peraturan. 

Tetapi Mamat terlupa. Dirinya bukan semakin muda, namun semakin tua. Maka sepatutnya, dia yang harus bertanggungjawab kepada kedua ibu bapa yang makin uzur dari hari ke hari. Dan bukannya menumpang kehidupan mereka yang tidaklah terlalu senang dan tidak juga terlalu susah. Dan selain itu, Mamat juga mudah tergoda dengan hiburan dan tarikan perempuan-perempuan yang tidak baik. Mamat benar-benar memuaskan kehendak diri yang masih muda, tanpa memikirkan keadaan di masa akan datang.

Kini duit simpanan Mamat telah habis. Hangus. Lesap semuanya. Apakah yang dapat dilihat hasil dari duit simpanan tersebut? Hanya penyakit kelamin yang dihidapinya akibat dari pergaulan dengan perempuan-perempuan yang tidak baik. 

Maka, Mamat mula membawa beca bagi mencari sesuap nasi sehari-hari. Dirinya bertuah kerana berjumpa dan akhirnya berkawan dengan Mustapha. Mustapha adalah orang luar yang datang ke Terengganu bagi membuat kajian berkenaan cara hidup, keadaan sosial dan ekonomi masyarakat Melayu di Terengganu. 

Persahabatan Mamat dan Mustapha semakin akrab sehingga akhirnya mereka tinggal serumah. Mustapha banyak membantu Mamat dari segi kewangan sehingga akhirnya Mamat pulih dari sakit, dan mampu membawa beca dengan lebih gigih. Selain itu Mustapha juga banyak menyedarkan Mamat tentang pentingnya berkerja keras, mengumpul duit, merancang kewangan dan masa depan dengan baik. Bagi Mustapha, tiada apa yang lebih penting dalam hidupnya selain dari menyedarkan bangsa Melayu terutama anak muda agar jangan leka dan berusaha keras demi menghadapi masa depan yang kian mencabar. 



Naskah Budak Beca ini membawa Patung Beruang ke zaman hampir merdeka dimana orang Melayu pada masa itu terhimpit dengan kemiskinan walau dimana sahaja. Kurang pendidikan dan kurang kesedaran untuk memajukan diri menyebabkan mereka semakin terkebelakang. Duit yang diperolehi dari usaha keras habis sia-sia di wayang, di kedai-kedai makan atau kepada perempuan-perempuan pelayan. Selain itu, sifat malas dan mudah berpuas hati dengan apa yang dimiliki amat menebal di kalangan orang Melayu pada masa itu, tidak kira tua atau muda. 

Mereka tidak sabar untuk Tanah Melayu merdeka kerana beranggapan selepas merdeka kehidupan mereka akan lebih senang dan mewah. Tetapi mereka terlupa, tanpa usaha keras kehidupan mereka tidak akan berubah malah mungkin menjadi lebih teruk. Merdeka atau tidak, sama saja keadaannya dek sifat malas mereka. 

Selain itu, Patung Beruang tertarik dengan tulisan-tulisan Pak Sako didalam naskah ini. Beliau menyindir orang Melayu secara terang-terang, menegur sikap dan pemikiran orang Melayu pada masa itu, dan malang sekali apabila dilihat dan diteliti, sikap dan pemikiran yang sama masih ada juga pada orang Melayu di zaman sekarang. Patung Beruang tampilkan beberapa contoh petikan dibawah ini:

"Kita kaum Melayu di negeri Melayu ini pada hakikatnya tidak ada yang kaya. Kita semuanya miskin, bukan pada tentang harta benda. Tetapi pada serba-serbi. Kita yang sebenarnya sudah bankrap; harta tidak ada, budi bahasa tidak ada, kasih sayang antara satu dengan lain tidak ada, amanah tidak ada, ilmu kepandaian tidak ada, hemah dan cita-cita mulia tidak ada. Yang ada pada kita hanyalah aksi, tunjuk gaya, tunjuk lawa." 

"Patutlah orang-orang Melayu kita jadi papa miskin! Bini tak cukup satu, dan sudah dua mahu tiga pula. Dan itu bukan hanya punca-punca papa miskin tetapi sebab-sebab akan membawa pecah amanah, makan suap, kerja tak betul dan sebagainya. Dan yang perempuan pula tidak sedarkan diri! Kalau mahu pakai loket mesti yang berharga 1,000. Loket seperti itu, pada hakikatnya, ialah tali gantung bagi si lelaki yang membelikannya."


Kesimpulannya, naskah Pak Sako ini walau telah ditulis berpuluh-puluh tahun dahulu, namun tetap masih relevan untuk dibaca pada masa kini. Meneliti naskah ini seperti menjentik batang hidung sendiri betapa orang-orang Melayu, walau kini ramai yang sudah berjaya dan hebat-hebat belaka, namun tidak dinafikan masih ada lagi segelintir yang masih leka, masih lena bermimpi sehingga tidak sedar apa yang sedang dialaminya, tidak sedar yang diri semakin terkebelakang, tidak sedar yang kita semakin kehilangan apa yang menjadi milik kita suatu masa dahulu. Naskah yang sangat sedap dan sangat bagus untuk diteliti. Terima kasih ITBM kerana menerbitkan semula naskah ini :) 

Friday, May 5, 2017

Book Review: And Thereby Hangs a Tale

Tajuk : And Thereby Hangs a Tale

Penulis : Jeffrey Archer 

Menariknya Naskah Ini: 

Nampaknya Patung Beruang memang tidak mampu untuk berpisah dengan Archer untuk tempoh masa yang lama, hehe.. 

And Thereby Hangs a Tale adalah buah tangan dari Big Bad Wolf bulan December 2016 hari itu. See, selepas 5 bulan baru Patung Beruang berpeluang untuk menatap naskah ini. 

Untuk naskah kali ini, Archer menghidangkan pembaca dengan 15 buah cerita pendek,  dimana 10 darinya adalah kisah benar. 

Kisah 1: Stuck on You membawa kita kepada pasangan dari Britain iaitu Jeremy dan Arabella. Jeremy adalah eksekutif muda di bank, jatuh cinta dengan Arabella, gadis cantik dari keluarga bangsawan. Segala-galanya nampak indah sehinggalah pasangan ini merancang untuk berkahwin. Jeremy sedar yang status kewangannya jauh berbeza dengan Arabella, dan oleh kerana itu agak sukar untuk mereka mengadakan perkahwinan impian mereka. 

Tanpa diduga, Arabella merancang agar Jeremy membantu beliau untuk mencuri cincin berlian yang mahal, bergelar Kandice Diamond yang dijual di De Beers, sebuah gedung barang kemas yang exclusive. 

Seperti dirancang, pada suatu pagi, Jeremy pun melangkah ke butik De Beers dengan yakin. Penampilannya sangat mewah pada pagi itu. Dengan sut yang ditempah khas, cufflinks mewah, jam tangan edisi terhad serta tali leher Etonian (sebuah institusi pendidikan terkemuka di Britain), membuatkan kehadiran Jeremy ke De Beers disambut dan dilayan secara privacy. 

Di De Beers, pengurus butik mempamerkan barisan cincin mewah dan exclusive kepada Jeremy. Cincin pertama yang dipegang Jeremy adalah berharga 124,000 Pound Sterling. Cincin kedua 269,000 Pound Sterling dan akhirnya Kandice Diamond yang berharga 854,000 Pound Sterling. Hampir sejuta Pound, patutlah Arabella sangat mengidamkan cincin itu.

Persoalannya,  dengan security yang sangat ketat, dan hanya Jeremy dan pengurus butik sahaja di dalam bilik kebal ini, dapatkah Jeremy menjayakan rancangan Arabella untuk mencuri Kandice Diamond?  Jika berjaya, bagaimanakah caranya?



Mr Trevathan, pemuda kaya namun buta yang akan hadir ke Cafe kegemarannya bagi menikmati minuman, sama ada coffee atau tea. Seorang peminat seni, beliau seringkali teruja untuk mengenali pelanggan-pelanggan yang duduk berhampiran mejanya, walaupun hakikatnya beliau langsung tidak mampu melihat mereka. 

Hanya dengan menghidu haruman yang dipakai pelanggan, mendengar suara dan intonasi, mendengar pesanan makanan dan minuman serta perbualan mereka, sudah cukup untuk membuat Mr Trevathan menduga karektar dan sifat fizikal mereka. Dan tekaan Mr Trevathan biasanya hampir tepat apabila beliau mendapat pengesahan dari Charlie, pelayan di cafe tersebut. 

Pada suatu petang, seorang pelanggan wanita baru hadir ke Cafe dan duduk di meja sebelah Mr Trevathan. Selepas pesanan dibuat, Mr Trevathan memulakan perbualan dengan pelanggan wanita ini. Perbualan yang menarik sehingga menyentuh kepada karya seni agung, Madonna and Child yang ada di Lady Chapel. Ternyata wanita ini juga seorang peminat seni. 

Perbualan antara mereka semakin rancak sehinggalah saat pelanggan wanita ini meminta izin untuk beredar. 

Selepas pembayaran, Mr Trevathan sangat teruja untuk bertanya kepada Charlie tentang pelanggan wanita itu. Pelbagai soalan keluar bertalu-talu namun Charlie hanya tertawa. Mengapakah?? Kisah ke-4, Blind Date



Better The Devil You Know membawa kita kepada Mr Chairman, seorang pengerusi sebuah bank yang terkemuka di England. Mr Chairman digambarkan sebagai seorang yang sangat tegas dan berdedikasi dengan tugasnya. Kebanyakkan usianya hanya dihabiskan di pejabat. Karektar yang tegas dan serius menyebabkan semua pekerja takut untuk berinteraksi dengannya. Akibatnya, jika terserempak, cepat-cepatlah larikan diri. Jika Mr Chairman berada di dalam lif, biarkan sahaja orang tua itu bersendirian disitu. Tunggu sahajalah lif yang kemudian. 

Sejak akhir-akhir ini, terdapat khabar angin yang mengatakan Mr Chairman sedang sakit. Dan khabar angin tersebut semakin rancak sehingga para Board of Directors (BOD) mula membuat komplot untuk mengarahkan agar Mr Chairman diperiksa oleh seorang doktor bebas dan laporan perubatannya mestilah didedahkan kepada BOD. Jika benar Mr Chairman sakit, maka BOD berhak untuk membuat keputusan samaada untuk membenarkan Mr Chairman meneruskan perkhidmatannya atau pun melantik orang lain sebagai pengganti. 

Hakikatnya, Mr Chairman mengidap kanser dan sedang menunggu masa untuk pulang. Kenyataan yang cuba ditutup oleh Mr Chairman dengan sebaik mungkin. 

Hari yang dijanjikan untuk pemeriksaan perubatan oleh doktor bebas pun tiba. Mr Chairman berasa sangat gusar dan menyedari sudah tiba masanya untuk beliau mendedahkan kebenarannya. Namun, tanpa diduga, Mr Chairman dikunjungi tetamu yang tidak dikenali, Mr De Ath, beberapa  jam sebelum pemeriksaan perubatan dijalankan. 

Mr De Ath, nama yang pelik bersama personaliti yang pelik. Kehadiran Mr De Ath tidak disenangi oleh Mr Chairman namun anehnya, tetamunya tidak dapat dilihat oleh orang lain kecuali Mr Chairman seorang. 

Kehadiran Mr De Ath adalah untuk membawa pilihan kepada Mr Chairman. Namun, pilihan yang ada korbannya yang tersendiri. 

Apakah pilihan yang ditawarkan oleh Mr De Ath?

Apakah kesudahan nasib Mr Chairman?  

Adakah ini pengakhiran kepada kerjaya dan kehidupannya? 



Seperti biasa Archer memang tidak pernah mengecewakan pembacanya termasuklah Patung Beruang. Untuk naskah kali ini, Patung Beruang mengambil masa lebih kurang 24 jam untuk menyelesaikannya. 

Secara keseluruhannya, Patung Beruang puas dengan naskah ini. Ada cerita yang sangat menarik dan penuh kejutan dan ada juga cerita yang boleh diramalkan kesudahannya. Kini, ada lagi 2 naskah Archer ditangan Patung Beruang yang masih belum dibaca. Harapnya, bolehlah dihabiskan dalam tahun ini juga. Aamiin... 

Book Review: Berlumba Dengan Ayam

Tajuk : Berlumba Dengan Ayam


Penulis : 
1. Dr. Farhan Hadi Mohd Taib

2. Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin

Ceritanya Patung Beruang:

Berlumba Dengan Ayam adalah naskah dari Pesta Buku pada tahun 2015. Event dijalankan di PWTC, seperti kebiasaannya. Kebetulannya, ketika Patung Beruang berada disana, terdapat acara membedah buku Berlumba Dengan Ayam, dari Ustazah Fatimah Syarha. Patung Beruang mengikuti acara tersebut sehinggalah selesai dan membeli naskah ini, yang ditandatangani oleh Ustazah Fatimah Syarha sebagai buah tangan. 

Mengapa baru kini Patung Beruang membaca naskah ini??
Maaflah, Patung Beruang mempunyai habit suka membeli buku. Dan jumlah pembelian adalah melebihi kemampuan untuk membaca. Sebab itu, ada buku yang dibeli hari ini, hari ini juga Patung Beruang selesaikan pembacaannya. Ada yang Patung Beruang berjaya menyelesaikan pembacaannya dalam masa seminggu selepas dibeli, ada yang sebulan, ada yang 2 bulan, ada yang setahun dan ada yang 2 tahun keatas. Adoi... Sabar je lah.. 

Menariknya Naskah Ini:

Naskah Berlumba Dengan Ayam mengisahkan Amru, seorang pemuda anak yatim. Amru yang kematian ayahnya, tinggal bersama Mama dan adik perempuannya, Amrina. 

Masalah terbesar Amru adalah beliau sering kali lewat bangun pagi dan akhirnya lewat menunaikan solat Subuh. Tahap kelewatan solat Subuh Amru bukan setakat pukul 6.30 pagi tapi sehingga mencecah pukul 7.30 pagi. Wah.. ini dah bukan Subuh gajah, tapi dah tahap Subuh dinosaur.. ish ish ish.. Sedangkan dalam masa yang sama, setiap pagi Mama dan Amrina bersolat subuh di masjid secara berjemaah. 

Tabiat Amru ini merungsingkan mama dan adiknya. Puas dinasihat, puas dimarah, puas disindir namun Amru tetap tidak mampu untuk mengubah tabiatnya.

Apa punca kelewatan Amru? 

Sering tidur lewat, sering bermimpi perkara-perkara yang menarik seperti menjadi superhero, tidak cukup kuat untuk melawan godaan En Syai (we know who you are) dan 1001 alasan lagi. 

Dalam masa yang sama, kehidupan Amru dikelilingi oleh insan-insan pelbagai ragam seperti Penan, kawan baik Amru yang sama-sama ingin berubah untuk menjadi hamba-Nya yang gemar solat berjemaah di Masjid, Pak Bilal, lelaki yang dikenali Amru semenjak beliau kecil lagi, Pak Yob, seorang doktor yang membuka klinik di kampung Amru. Seperti Pak Bilal, Pak  Yob juga merasakan yang Amru sebenarnya adalah seorang pemuda yang baik. Maka, sedaya-upaya, Pak Bilal dan Pak Yob sering menasihati Amru dan menghadiahkan buku-buku yang menarik untuk dibaca, mudah-mudahan ia dapat membantu Amru untuk memperbaiki dirinya.

Adakah Amru akan berjaya mengubah tabiatnya?

Atau mungkin, Amru akan kekal sebegitu ke akhir hayatnya dan pergi meninggalkan dunia ini tanpa sempat berubah seperti Penan?



Naskah Berlumba Dengan Ayam adalah naskah yang santai, tetapi menggambarkan apa yang berlaku pada hari ini. Solat Subuh berjemaah di masjid sangat dituntut semenjak zaman Rasulullah lagi. Malah, Yahudi juga pernah berkata, mereka tidak akan pernah gentar dengan Umat Islam selagi bilangan jemaah di masjid ketika solat Subuh, tidak seramai ketika solat Jumaat. Ini bermakna, solat Subuh di masjid adalah sesuatu yang sangat berat dan sangat sukar kecuali kepada mereka-mereka yang benar-benar kuat hatinya, kuat imannya dan kuat azamnya. Kekuatan tubuh badan tidak menjamin kejayaan seseorang itu seperti Amru, walau berbadan sado, kerap menghabiskan masa di gym, namun tetap gagal untuk bersolat Subuh tepat pada waktunya. 

Selain itu naskah ini juga menyelitkan kebaikan menjadi morning people berbanding night people. Personally, Patung Beruang juga lebih selesa berpagi-pagian kerana waktu pagi, otak kita sangat cerdas, sesuai untuk membuat kerja-kerja yang menuntut focus, yang memerlukan idea datang mencurah-curah. Begitu juga untuk membaca, waktu pagi adalah waktu yang terbaik berbanding lewat malam. Malah, jika naskah yang dibaca pada waktu malam adalah suatu naskah yang berat, kebiasaannya Patung Beruang akan mengalami syndrome monkey brain dimana otak ini akan kekal aktif bekerja sehingga larut malam dan seterusnya menyukarkan Patung Beruang untuk tidur. Sebab itulah, walaupun Patung Beruang suka membaca, apabila waktu malam, Patung Beruang akan sangat selective memilih bahan bacaan sebab nak mengelakkan naughty monkey brain. 

Generally, ini adalah naskah santai namun menyelitkan banyak kisah kehidupan yang berlaku pada kita, pada orang disekeliling kita, dan disertakan juga dengan tips yang menarik yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Semoga kita menjadi muslim yang lebih baik, memulakan harinya lebih awal dari ayam, menjadi lebih productive baik dari segi urusan ibadah dan juga urusan dunia. Aamiin... 

Thursday, May 4, 2017

Yang Sukar Itu Adalah Sabar

Yang Sukar Itu Adalah Sabar


Yang sukar itu adalah sabar
Bersangka baik pada Al-Khaalliq
Bersangka baik walau pahit

Yang mudah itu adalah mengalah
Saling menyalah dan berbalah
Saling bertingkah dan akhirnya lelah

Hati ini milik Al-Ba'ithu
Namun seringkali tewas dan tertipu
Dengan permainan dunia dan nafsu
Bukankah Dia yang membangkitkan semangat dan kemahuan?
Bukankah Dia yang membangkitkan para Rasul dan orang-orang yang telah pergi dari kuburan?

Hari ini diri ini tersungkur
Untuk kali yang ke berapa, tidak terukur
Mencari cahaya disaat hati mula kabur
Kekuatan lemah dan terkubur

Di tepi pusara ini
Merenung kekhilafan diri
Meneliti perjalanan onak duri yang dilalui
Meneliti pengalaman dan kisah insani
Membuatkan diri terasa kerdil, tidak mampu untuk berdiri kembali
Wahai diri, teruskan langkahmu mesti ia semakin longlai
Wahai hati, lindungi dengan kesabaran helai demi helai

Benarlah kata pepatah
Yang sukar itu adalah sabar.. 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...