Sunday, November 20, 2011

Book Review: I, Too, Am Malay




Tajuk: I, Too, Am Malay

Penulis: Zaid Ibrahim

Sinopsis:
Zaid Ibrahim adalah seorang peguam yang terkemuka di Malaysia merangkap ahli politik. Buku ini mengisahkan susur galur hidup beliau dan pandangan peribadi beliau terhadap segala apa yang berlaku dihadapan mata.

Buku ini terbahagi kepada 3 bahagian dimana Bahagian 1 banyak berkisar tentang perletakan jawatannya sebagai menteri dan cerita berkenaan dengan konsep Ketuanan Melayu.


Bahagian 2 berkisar kepada kehidupan beliau sedari kecil, zaman persekolahannya sehingga beliau menjadi peguam dan seterusnya menceburkan diri didalam bidang politik.


Bahagian ke-3, banyak berkisar kepada isu-isu politik semasa (semasa dalam konteks ketika buku ini ditulis), dimana beliau ada menyentuh mengenai zaman Pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, politik Pakatan Rakyat, tokoh-tokoh pemimpin yang beliau segani dan juga masa depan orang Melayu.

Kekuatan Karya Ini:
Walaupun buku ini ditulis didalam Bahasa Inggeris, bahasa yang digunakan adalah ringkas dan memudahkan pembaca untuk memahami maksud yang hendak disampaikan oleh penulis. Maka, tidak timbul isu mengapa buku ini tulis didalam Bahasa Inggeris walaupun isi kandungannya berkenaan dengan orang Melayu. Namun begitu, pembaca masih boleh mendapatkan edisi Bahasa Melayu kerana ia diterbitkan dengan dua bahasa.

Sejujurnya, Patung Beruang merasakan buku ini wajar dibaca oleh orang Melayu terutamanya generasi muda kerana banyak pandangan beliau yang boleh diterima pakai dan dibincangkan dengan lebih lanjut.


Namun, harus diingat bahawa individu yang berhasrat untuk membaca buku ini mestilah membacanya dengan fikiran dan perasaan yang terbuka kerana buku ini adalah pandangan bebas beliau dimana beliau sedaya upaya untuk tidak memihak kepada mana-mana parti politik yang ada. Apa saja kelemahan dan kekurangan yang dicoretkan didalam buku ini adalah pandangan dari kaca mata beliau sendiri.

Tidak dinafikan masih ramai yang sayangkan masyarakat Melayu dan sentiasa berharap agar Melayu dapat bangkit dan maju sehingga mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di Malaysia.


Namun, keghairahan segelintir orang Melayu yang menyertai politik demi kepentingan diri masing-masing telah sedikit sebanyak memberi kesan yang negatif atas kemajuan masyarakat Melayu sendiri dan ditambah pula dengan perpecahan masyarakat Melayu dek kerana perbezaan ideologi politik.


Buku ini mencatatkan serba sedikit panduan bagaimana masyarakat Melayu boleh bangkit asalkan mereka sanggup mengorbankan sedikit ego dan juga berfikiran dengan lebih matang dan terbuka demi masa depan generasi Melayu sendiri.

Book Review: The One I Love



Tajuk: The One I Love

Penulis: Anna McPartlin

Sinopsis:
Jane Moore, seorang ibu tunggal tinggal bersama Kurt, anak lelakinya yang meningkat dewasa, Elle, adik perempuannya yang sangat berbakat dalam lukisan tetapi hidup terambing-ambing dan Rose, ibunya yang kaki arak tetapi sangat menyayangi keluarga.

Setelah berbelas tahun terpisah, Jane dikejutkan dengan kehilangan sahabat baiknya ketika sekolah, Alexandra Walsh. Alexandra hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat dan tiada pentunjuk yang ditemui oleh pihak berkuasa ketika operasi mencari dijalankan. Kehilangan Alexandra benar-benar memberi tamparan buat suaminya, Tom dan seluruh keluarga Walsh.

Leslie, teman baik Jane dan Elle, mengalami trauma apabila terpaksa melalui detik-detik kehilangan satu persatu ahli keluarga akibat kanser rahim dan payudara. Trauma tersebut membuatkan Leslie membuat keputusan untuk membuang rahim dan payudaranya sebagai langkah berjaga-jaga. Leslie mengalami gangguan perasaan akibat dari trauma dan juga pembedahan yang dijalankan. Namun, sokongan yang tidak berbelah bagi dari teman-teman rapat seperti Jane, Elle, Tom dan Jim, bekas abang iparnya membuatkan Leslie nekad untuk bangkit semula demi meneruskan kehidupannya.

Pencarian Alexandra selama lebih setahun tetap diteruskan oleh Tom dengan dibantu oleh Jane, Elle dan Leslie. Walaupun tiada petunjuk yang dapat membantu, mereka tetap berharap agar Alexandra masih hidup.

Kekuatan Karya Ini:
Penulis The One I Love (THIL) berjaya menonjolkan kekuatan nilai kekeluargaan dan persahabatan yang kukuh didalam novel ini. Elemen kekeluargaan ditonjolkan lewat watak Jane Moore, yang banyak berkorban termasuk masa depannya sendiri demi menjamin kelangsungan hidup keluarganya. Jane bertindak sebagai ketua keluarga dan bertanggungjawab untuk memastikan anaknya Kurt, mendapat pendidikan yang terbaik, Elle belajar menguruskan hidupnya sendiri dan Rose berhenti dari menyalahkan dirinya atas segala tragedi yang menimpa keluarga Moore. Namun, kekuatan Jane mula goyah apabila diberitahu yang ayahnya bukan meninggal dunia akibat sakit jantung tetapi membunuh diri. Dan setelah itu, Jane mula melihat simptom-simptom kemurungan dan tekanan yang dialami oleh Elle dan dia nekad untuk mendapatkan bantuan demi satu-satunya adik perempuan yang dia miliki walaupun dihalang oleh Rose.

Nilai kekeluargaan yang kukuh juga dapat dilihat dari watak-watak keluarga Walsh seperti Ben, Breda, Eamonn dan Kate. Dihimpit dengan kesedihan akibat kehilangan Alexandra, Breda pula disahkan mengidap Colon Cancer tahap ke-4. Berita ini menambahkan lagi beban kesedihan buat keluarga Walsh namun mereka nekad untuk bersatu memberi harapan kepada Breda yang keadaan akan pulih seperti sediakala.

Selain itu, elemen persahabatan yang kukuh ditonjolkan apabila setiap musibah atau kesusahan yang menimpa salah satu watak utama, pasti sahabat yang lain akan sentiasa memberi bantuan semampunya dan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi walaupun masing-masing mempunyai masalah yang tersendiri.

THIL adalah novel yang penuh dengan cerita suka dan duka dalam kehidupan ini. Apa yang digambarkan didalam THIL, adalah situasi sebenar yang boleh dialami oleh sesiapa sahaja dialam nyata. Hidup ini tidak selalunya indah dan segala apa yang diimpikan tidak selalunya menjadi kenyataan. Masalah, kelemahan, kekurangan, musibah dan kejutan adalah perkara-perkara yang memantangkan manusia agar sentiasa menikmati hidup ini seadanya kerana disaat-saat kita jatuh, hanya keluarga dan sahabat sejati yang akan sentiasa setia bersama kita.














Sunday, August 7, 2011

Jangan Bersedih


Salam Ramadhan..

Pantasnya masa berlalu hingga bertemu Ramadhan kembali. Alhamdulillah, hari ini adalah hari ke 7 Ramadhan. Macam tak percaya sahaja :)


Hari ini Patung Beruang nak bercerita tentang buku yang baru Patung Beruang habiskan beberapa minggu sebelum bermulanya Ramadhan hari itu. Tajuknya Jangan Bersedih, karya Dr. 'Aidh Bin 'Abdullah Qarni dan diterjemahkan oleh Noraine Abu.

Buku ini banyak mengajar Patung Beruang yang sebenarnya didalam hidup ini terlalu banyak nikmat, keistimewaan, kebahagiaan, kegembiraan, kesenangan dan kemudahan yang telah Allah berikan kepada setiap makhluknya. Dan pemberiaan Allah itu terlalu besar jika dibandingkan dengan sekelumit cubaan, ujian, musibah dan peristiwa yang menyedihkan kita.

Namun begitu, harus diingat bahawa setiap ujian yang Allah berikan adalah bersesuaian dengan kemampuan hamba-Nya. Allah menguji kita kerana Dia menyayangi kita. Dia ingin melihat sejauh mana keimanan dan ketakwaan hamba-Nya. Maka, sebab itulah Dia menguji kita. Oleh itu, seberat mana pun ujian yang kita hadapi, ingatlah bahawa Allah menyayangi kita, sedang bercakap dengan kita, Allah hendak kita menjadi hamba-Nya yang lebih baik dan yang paling penting Allah hendak kita menghuni syurga-Nya. Maka, bersabarlah dengan ujian yang diberikan, mohonlah petunjuk dan pertolongan dari Allah agar kita dapat melalui ujian tersebut dengan sebaik mungkin, hati yang cekal dan keimanan dan ketakwaan yang semakin bertambah.

Ya Allah, betapa kerdilnya hamba-Mu ini disisi-Mu. Kerana kekerdilanku ini lah, aku sering bersedih diatas segala yang menimpa diri ini. Ya Allah, maafkan hamba-Mu ini kerana sering menangisi ujian-Mu hingga terlupa tentang segala nikmat yang Engkau berikan selama ini. Ya Allah, berilah pertolongan kepada hamba-Mu ini dalam mengharungi hidup yang penuh panca roba. Ya Allah, berilah petunjuk kepada hamba-Mu ini setiap kali aku berada dipersimpangan agar aku tidak tersalah memilih yang terbaik untukku. Ya Allah, jadikanlah aku seorang hamba yang sentiasa berfikir mengenai kekuasaan-Mu, mengenai kehidupan ini, ujian dan dugaan sama ada suka atapun duka kerana sesungguhnya Engkau amat menyukai hamba-Mu yang suka berfikir. Dan akhirnya, ya Allah, berilah peluang kepada hamba-Mu ini untuk mengecapi kebahagiaan didunia dan di akhirat bersama-sama dengan orang-orang yang Engkau sayangi dan aku sayangi. Amin..

Monday, May 9, 2011

Ikhlaskah kita dalam bekerja???

Lepas maghrib tadi, Patung Beruang belek2 koleksi majalah yang ada diruang tamu ini. Tiba-tiba mata ini terpandang pada Solusi Isu No. 11. Antara artikel yang menarik perhatian Patung Beruang adalah mengenai keikhlasan didalam bekerja.

Ya, Patung Beruang juga bertanya pada diri sendiri, "Ikhlaskah selama ini Patung Beruang bekerja??? Adakah pekerjaan yang Patung Beruang lakukan selama ini dikira sebagai ibadah?? Ataupun hanya sekadar mendapat habuan wang ringgit tetapi nilainya kosong disisi Allah swt???

Alhamdulillah, didalam artikel tersebut dinyatakan 6 syarat yang perlu dilaksanakan didalam fasa pekerjaan agar pekerjaan yang kita lakukan seharian itu menjadi ibadah iaitu:


  • Sebelum bekerja, kita tetapkanlah niat untuk melakukan yang terbaik. Tanyalah hati, apakah niat kita bekerja? Dan pastikanlah niat kita itu adalah niat yang baik seperti ingin mencari rezeki, berbakti kepada masyarakat, membantu keluarga dan sebagainya.

  • Kita juga mestilah memastikan subjek atau aktiviti yang dilakukan itu sah disisi syariat. Dengan kata lain, lakukanlah kerja yang dibenarkan (Halal) disisi syariat. Pastikan yang pekerjaan tersebut tiada unsur-unsur haram seperti riba, penipuan, pendedahan aurat, pergaulan bebas dan sebagainya.

  • Semasa melaksanakan kerja, laksanakanlah dengan betul dan bersungguh-sungguh. Janganlah melanggar peraturan Allah dan peraturan yang dicipta manusia selagi ia tidak bercanggah dengan peraturan Allah. Janganlah mencuri masa, sabotaj, mengampu pihak atasan dan apa juga aktiviti yang boleh mengganggu produktiviti dan prestasi kerja.

  • Berkerja secara optimum iaitu terbaik. Kuasailah ilmu-ilmu dan skil yang berkaitan dengan pekerjaan yang dilakukan agar pekerjaan dapat dilakukan dengan sempurna.

  • Tidak meninggalkan perkara-perkara asas didalam Islam iaitu rukun Iman dan rukun Islam. Ingatlah, sesiapa yang menjaga hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menjaga hubungannya dengan manusia.

  • Natijah yang baik. Jika ditakdirkan kita berjaya, maka bersyukurlah dengan kejayaan yang diperolehi. Sebaliknya, jika gagal, bersabarlah kerana hakikatnya Allah mahu mematangkan lagi diri dan kemahiran kita. Berfikir positif dan sentiasa bersangka baik dengan Allah kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Selain itu, dinyatakan juga beberapa kelebihan apabila kita bekerja dengan ikhlas seperti:



  • Mendapat kekuatan, kebijaksanaan dan kesabaran. Ini adalah kerana orang yang ikhlas akan mendapat bantuan dalam melaksanakan kerjanya. Allah akan sentiasa memberi bantuan apabila hamba-Nya memohon pertolongan.

  • Hasil kerja berkualiti dan produktif. Jika seseorang bekerja ikhlas kerana Allah, dia akan melipatgandakan kerjanya di tahap terbaik kerana yakin pembalasan daripada Allah jauh lebih banyak, baik dan kekal dan bukannya sekadar mengharap kadar gaji yang diterimanya setiap bulan.

  • Terhalang daripada melakukan penyelewangan kerana dia merasakan yang dirinya sentiasa diawasi oleh Allah.

  • Mewujudkan hubungan harmoni sesama rakan sekerja kerana merasakan yang mereka tiada sebab untuk menzalimi orang lain demi mendapat pujian, pangkat dan ganjaran material.

  • Mentaati orang atasan selagi tidak bercanggah dengan syariat dan dalam masa yang sama menghormati orang bawahan dan tidak akan sekali-kali menzalimi mereka.

  • Yakin dan berani menyuarakan pandangan dan pendiriannya apabila kena pada tempat, masa dan suasananya. Apa yang benar, akan dinyatakannya dengan jelas dan beradab sekalipun pahit dan dia juga bertanggungjawab atas pendiriannya itu.

Hm..Banyak betul info yang Patung Beruang perolehi dari artikel tersebut. Insya-Allah, sekarang Patung Beruang berazam untuk lebih ikhlas didalam bekerja dan dalam masa yang sama menjadikan ia satu ibadah disisi Allah swt. Semoga maklumat yang diperolehi dari artikel tersebut dapat Patung Beruang manfaatkan sebaik mungkin. Amin...


Sumber: Majalah Solusi (Panduan Hidup Bersyariat) Isu No. 11

Saturday, April 30, 2011

Think Like A Champion

Hari ni Patung Beruang nak berkongsi sebuah lagi buku yang baru saja Patung Beruang habiskan semalam, Think Like A Champion karya Donald J. Trump.


Buku ni banyak menyentuh mengenai selok belok dunia perniagaan tetapi dengan cara yang ringan dan dibahagikan kepada 50 bab yang ringkas. Antara bab yang menjadi kegemaran Patung Beruang adalah:



  • The importance of being a team player

  • Give your higher self a chance

  • The more you learn, the more you realise what you don't know

  • I view my work as an art form

  • Tell people about your success

  • Winners see problems as just another way to prove themselves

  • Go with your gut

  • Work with people you like

Setiap bab ada tema yang tersendiri dan disesuaikan dengan pengalaman hidup Trump sendiri ataupun insan-insan yang terkemuka. Selain itu, setiap bab juga ada diselitkan dengan kata-kata hikmah dari insan-insan ternama seperti Einstein, Henry Ford, Benjamin Franklin, Confucius dan etc. yang disesuaikan dengan tema untuk bab tersebut. Dan antara kata-kata hikmah yang paling Patung Beruang gemari adalah "Experience is one thing you can't get for nothing" - Oscar Wilde.


Selain itu, buku ini juga boleh berperanan sebagai satu lagi bahan bacaan motivasi kepada pembaca bukan sekadar untuk mereka yang menceburi bidang perniagaan tetapi juga sesiapa sahaja kerana isu yang diketengahkan adalah isu-isu umum yang boleh diaplikasikan didalam kehidupan seharian.


Buku ini benar-benar membuka mata Patung Beruang betapa sebenarnya disekeliling kita ada banyak peluang yang boleh menjadikan kita seorang yang lebih berjaya, sama ada dari segi kerjaya, kewangan, pendidikan ataupun aspek kehidupan yang lain. Yang paling utama adalah adakah kita menyedari peluang tersebut? Dan jika kita menyedarinya, bagaimanakah reaksi kita terhadap peluang tersebut dari segi usaha, attitude, mentaliti dan juga semangat kita. Dan amatlah menyedihkan apabila diluar sana terdapat ramai insan yang telah terbuka peluang untuk kejayaan didepan mata tetapi akibat tidak disokong dengan attitude dan mentaliti yang sepatutnya, maka kejayaan itu akhirnya terbang menjauh.


Semoga buku ini menjadi pemangkin kepada Patung Beruang dan sesiapa sahaja yang membacanya untuk berusaha agar lebih berjaya didalam aspek kehidupan yang diinginkan..



"The important thing is not to stop questioning. Curiosity has its own reason for existing. "- Albert Einstein.

Sunday, April 10, 2011

Tekanan Itu Membunuhnya

Baru-baru ini Patung Beruang dikejutkan dengan tindakan seorang sahabat menghantar surat permohonan pertukaran unit. Tindakan itu dibuat pada sebelah petang dimana paginya sahabat tersebut telah bertengkar dengan pihak atasan.


Tanpa diduga, setelah menghantar surat permohonan tersebut, Patung Beruang berpeluang berbual dengan sahabat tersebut dan dia meluahkan ketidakpuasan hatinya sehingga mendorongnya mengambil tindakan nekad. Dari perbualan itu, baru lah Patung Beruang tahu bahawa tekanan yang dialaminya telah benar-benar menjejaskan kesihatannya. Sayang, sahabat tersebut baru sahaja berumur 33 tahun, masih muda tetapi telah disahkan mengalami masalah kesihatan yang berada pada tahap membimbangkan. Apabila diselidiki, punca penyakitnya bukanlah dari pemakanan atau gaya kehidupannya tetapi adalah dari tekanan kerja yang dialaminya.


Patung Beruang tahu yang dia sangat sukakan perkerjaannya sekarang kerana ini adalah cita-citanya. Malangnya, dia memperolehi pihak atasan yang tidak pernah menghargai orang bawahan malah suka pula menindas mereka untuk kepentingan diri sendiri. Kerenah pihak atasan tersebut dialami oleh sahabat ini sejak 4 tahun yang lepas dan keadaan semakin parah dari hari ke hari.


Nasib baiklah sahabat tersebut mula sedar yang satu tindakan penting perlu diambil kerana tekanan tersebut telah menjejaskan kesihatannya. Jika dibiarkan, takut lebih parah dan bakal menyusahkan keluarga tersayang. Untuk berhenti kerja, tidak mungkinlah kerana masih ada keluarga yang perlu disara dan komitmen yang perlu diberi perhatian. Jadi, bertukar unit adalah jalan penyelesaian yang terbaik untuk situasi yang ada.


Apapun, Patung Beruang doakan semoga sahabat tersebut berjaya didalam permohonannya. Ya, unit tersebut akan kehilangan sebutir permata yang sangat berharga tetapi itulah risiko yang harus diambil apabila manusia sudah tidak mampu lagi untuk bersabar dengan keadaan disekelilingnya. Dengan pengalaman dan ilmu yang dimiliki oleh sahabat tersebut, amat bertuahlah mana-mana unit yang dapat memilikinya selepas ini. Semoga berjaya di tempat baru, wahai sahabatku :)

Curahan Kasih Seharum Syurgawi

Hi, jumpa lagi.. Kali ini Patung Beruang nak berkongsi novel yang baru je Patung Beruang habiskan semalam.. Curahan Kasih Seharum Syurgawi karya HM Amyzam..


Novel ini mengisahkan konflik yang dihadapi oleh Amylea, seorang ibu tunggal kepada Fatin. Kehidupan Amylea dan Fatin sangat bahagia sehinggalah munculnya Razman, seorang doktor yang baru pulang dari luar negara. Kepulangan Razman bukan sekadar untuk menabur bakti di negara sendiri, tetapi turut menjejak Amylea dan Fatin dengan harapan mereka dapat bersatu semula sebagai satu keluarga.


Dalam masa yang sama, Amylea ditemukan dengan Azlan, peguam muda yang menguruskan kes tuntutan hak penjagaan Fatin. Pertemuan yang singkat tersebut rupa-rupanya adalah jalan kepada jodoh yang memang telah ditentukan sejak Azali. Dan Razman pula mula memikirkan secara serius kehadiran Erdina didalam hidupnya apabila Amylea dengan tegas menolak cadangannya untuk kembali bersatu.


Novel ini menarik cuma bahasa yang digunakan adakalanya terlalu teknikal kerana banyak term-term perundangan dimasukkan. Selain itu, adakalanya perkataan yang digunakan terlalu puitis sehingga ia tidak mampu sampai ke minda pembaca.


Secara keseluruhannya novel ini masih mampu menarik perhatian pembaca terutama mereka yang minat bidang perundangan dan juga permasalahan didalam keluarga pada masa kini.

Friday, March 25, 2011

P.S. I Love You


Hai, berjumpa lagi disini setelah beberapa minggu Patung Beruang menghilang. Maaflah, tuntutan kerja dan study yang sentiasa menyesakkan telah membataskan masa Patung Beruang di alam maya ini.

Hari ini Patung Beruang nak berkongsi novel yang baru saja Patung Beruang habiskan sebelum outstation hari itu, P.S. I Love You. Novel ini berkisar tentang Holly, seorang isteri yang kematian suaminya, Gerry akibat brain tumor. Holly dan Gerry merupakan pasangan yang ideal, secocok dan saling melengkapi antara satu sama lain semenjak zaman belajar lagi. Setelah berkahwin beberapa tahun, tanpa diduga Gerry disahkan mengidap tumor dan peluang untuk sembuh amat tipis. Oleh itu, Gerry mula menulis 10 pesanan yang diletakkan didalam 10 envelope yang berbeza untuk Holly mengharungi hari-hari yang mendatang. 10 envelope itu mengandungi kata-kata hikmah yang perlu Holly baca sepanjang 10 bulan selepas kematian Gerry.

Setelah kematian Gerry, Holly terasa yang hidupnya telah hilang. Diusia 30 tahun, dia menyedari yang dia tiada suami, tiada anak, tiada pekerjaan dan tiada apa2 pencapaian pun. Holly benar-benar rasa tertekan dan mula mengabaikan dirinya.

Namun, keluarga Holly tidak pernah jemu untuk memberi sokongan tanpa berbelah bagi. Begitu juga dengan kawan-kawan rapat seperti Denise, Sharon dan suaminya John.

Dengan sokongan semua ditambah pula 10 envelope pesanan dari Gerry telah membantu Holly untuk bangkit semula sedikit demi sedikit. Holly mula mengenal dunia luar, mendapat kawan baru seperti Daniel, membuat perkara yang tidak pernah difikirkannya seperti menyertai pertandingan karaoke, mengejar kerjaya yang amat diminatinya iaitu bidang marketing dan akhirnya mula belajar untuk membuka hatinya kepada orang lain.

Benar, Gerry tidak akan kembali lagi. Tetapi kehidupan Holly masih panjang dan masih banyak lagi perkara yang perlu Holly tempuhi. Suka atau duka, Gerry sentiasa ada didalam hati Holly..


Thursday, March 3, 2011

Kejamnya Lidah Itu...



Hari ni Patung Beruang berdepan dengan situasi yang sangat menyakitkan hati. Patung Beruang terpaksa berkomunikasi dengan seseorang yang tidak pandai menjaga lidah, tidak peka dengan persekitaran dan tidak pernah peduli dengan perasaan orang lain kecuali dirinya sendiri.
Patung Beruang selalu terfikir, mengapalah Allah jadikan manusia begini hidup dimuka bumi ini? Mereka berterusan mendera orang disekeliling dengan lidah yang Allah kurniakan. Dan kerana lidah itulah, ramai orang yang terluka tanpa dia sedari. Dan tidak kurang juga ramai yang mencemuh didalam hati.
Bagi Patung Beruang, manusia macam ni hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Mereka bebas mengeluarkan kata-kata dengan sewenangnya tanpa memikirkan adakah kata-kata tersebut boleh memberikan kesan yang negatif kepada orang disekililing. Mereka tidak peduli jika banyak hati yang terguris. Mereka juga tidak kisah jika orang serik untuk berhubung dengan mereka. Bagi mereka, yang penting hati puas kerana dapat melontarkan segala apa yang terbuku dihati dan difikiran.
Sudah hilangkah perasaan sabar didalam diri mereka? Tidak wujud lagikah perasaan malu pada orang disekeliling? Tidak mampu lagikah untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum berkata-kata?
Ibu Patung Beruang selalu berpesan, "Fikir dahulu sebelum berkata-kata. Orang yang bercakap selalunya akan lupa apa yang diucapkannya. Tetapi orang yang mendengar selalunya akan ingat apa yang didengarinya." Maknanya, jika kata-kata kita melukakan hati orang lain, kita mungkin akan terlupa, tetapi tidak bagi orang yang mendengarnya dan lebih lagi lah pada orang yang terluka kerananya.
Oleh itu, sekadar peringatan untuk semua termasuklah Patung Beruang sendiri, tidak rugi jika kita menapis terlebih dahulu setiap apa yang akan keluar dari mulut kita. Tidak rugi juga jika kita sentiasa bersabar walau dalam apa keadaan sekalipun. Setiap apa yang Allah jadikan, pasti ada manfaat dan kegunaannya. Apalah gunanya kita menggunakan lidah ini untuk memuaskan hati dan perasaan tetapi dalam masa yang sama kita juga menyakiti hati dan perasaan orang lain. Luka diluar nampak darahnya. Tetapi hati yang terluka, Allah sahajalah yang mengetahuinya....

Saturday, February 26, 2011

Samson & Delilah

Patung Beruang selalu tengok iklan di tv3 tentang cerita Samson & Delilah. Tapi, Patung Beruang tak pernah lah tengok cerita tu. Nampak macam menarik cuma Patung Beruang tak minat untuk menonton cerita bersiri. Lagipun, masa tayangannya agak lewat dan time2 macam tu selalunya Patung Beruang dah zzzzzz......

Tapi kan, baru2 ni Patung Beruang ada beli sebuah buku di Popular. Buku tersebut mengisahkan 7 orang wanita yang mulia dan hina didalam Al-Quran dan Hadis. Dari buku tersebut barulah Patung Beruang tahu siapa sebenarnya Samson dan Delilah.

Menurut para ahli sejarah Islam, Samson adalah salah seorang daripada Nabi Allah yang berketurunan Bani Israel. Baginda berjuang menegakkan syiar Allah swt, selama lebih dari seribu bulan, tetapi tidak ada seorang pun dari kalangan kaumnya yang mahu mendengar dan mengikuti risalah Allah swt termasuklah isterinya, Delilah.

Kaumnya termasuk Delilah berusaha untuk membunuh Samson. Tetapi, setiap usaha pembunuhan yang mereka cuba lakukan adalah gagal. Samson berjaya menumpaskan mereka kerana diberi kelebihan oleh Allah berupa kesaktian dan kekuatan tubuh badan.

Akhirnya, rahsia kekuatan Samson terbuka oleh tipu muslihat Delilah. Delilah telah dijanjikan pemerintah dengan emas dan permata sebanyak mana yang dia mahu, tetapi dengan syarat dia dapat memujuk Samson untuk menceritakan rahsia kekuatannya. Delilah berjaya memperdayakan Samson dan mengetahui kelemahan Samson terletak pada rambutnya.

Samson akhirnya berjaya ditangkap, diseksa dengan keji dan dihukum mati. Allah swt mengembalikan kekuatan Samson dan dia membalas kekejian kaum kafir dengan kematian termasuklah Delilah. Oleh sebab pengkhianatan yang dilakukan oleh Delilah, dia termasuk diantara 7 orang wanita yang hina yang disebut didalam Al-Quran dan Hadis.

Begitulah serba sedikit cerita tentang Samson dan Delilah yang Patung Beruang baca dari 7 Wanita Hina & Mulia (Dalam Al-Quran dan Hadis) karya Misbah Em Majidy. Buku yang menarik terutama bila ia melibatkan banyak sejarah Islam yang adakalanya kita sendiri pun tidak tahu....


Thursday, February 24, 2011

Terima Kasih Cinta













Hari Selasa, 22 hb Februari, Patung Beruang menonton teater Terima Kasih Cinta di Istana Budaya. Terima kasih sangat2 pada Sham sebab sudi belanja Patung Beruang untuk menonton teater tersebut walaupun harga tiket adalah RM180 seorang. This was a really big surprise for me. Katanya ini tanda terima kasih kepada Patung Beruang sebab sudi jadi cikgu Ekonomi dia sebelum final exam minggu lepas.
Pengalaman menonton teater sangat berbeza dengan menonton wayang. Kepuasannya tidak terhingga terutama jika teater tersebut bagus dan menghiburkan.
Terima Kasih Cinta.. Teater yang sangat menarik dan tidak patut dilepaskan. Dia mengambil latarbelakang filem Cinta, arahan Khabir Bhatia. Ada 5 kisah cinta yang dipersembahkan iaitu:
  • Cinta luar biasa antara Cikgu Elyas dan Puan Rubiah
  • Cinta tanpa batasan antara arkitek muda, Harris dan isterinya Airin
  • Cinta yang tidak disangka antara young businessman, Azlan dan pekerja kedai buku, Azura
  • Cinta suci antara Arianna, seorang gadis yang idealistik dan Taufiq, wartawan muda
  • Cinta abadi antara seorang kakak, Dyan dan adik lelakinya, Dani

Teater ini penuh dengan lagu2 yang sedap dan gerak tari yang menarik. Pelakon yang handal dan bersungguh-sungguh menjiwai watak mereka. Kalau nak tau, watak kegemaran Patung Beruang adalah watak Harris yang dibawa oleh Tony Eusoff. Watak dia nampak sangat hidup dan sebenarnya pun Patung Beruang memang meminati jejaka kacak ini, hehe..

Tema cinta yang dipersembahkan adalah tema yang universal. Ya, semua orang ada perasaan cinta. Cinta yang suci dan bukannya berlandaskan nafsu semata-mata. Cinta yang menjadikan hidup ini berwarna-warni. Cinta yang memberikan sinar dan harapan kepada insan yang memerlukan. Cinta yang datang tanpa diundang tetapi kehadirannya meninggalkan kesan yang mendalam. Cinta yang mampu menukarkan impian menjadi kenyataan dan kesedihan menjadi kegembiraan. Cinta yang mampu menyembuhkan kesakitan dan mendatangkan kegembiraan. Cinta yang membuatkan seseorang sanggup berkorban apa saja demi kebahagiaan insan yang dicintai. Terima kasih cinta :)

Sunday, February 20, 2011

Cerita Si Bawang..



Hari ni masa Patung Beruang tengah masak, adik Patung Beruang tegur. Boleh tak kalau masak tanpa bawang?? Hehe... Adik Patung Beruang ni memang tak suka makan bawang. Tapi masakan melayu ni semuanya ada bawang. Jadi Patung Beruang kenalah pastikan bawang tu betul2 hancur supaya tak nampak sangat kebawangannya tu.. Kalau ada bawang seketul2 atau secebis2, alamatnya adik Patung Beruang akan kuis2 masa makan nanti. And at the end, dekat tepi pinggan dia penuh dengan encik bawang yang dia tak makan. Alamatnya ke tong sampahlah akhirnya... ish ish ish.. kesian dengan encik bawang..
Disini Patung Beruang nak berkongsilah sedikit info tentang encik bawang. Manalah tau, kot2 berguna...
  • Bawang merah mengandungi kalsium, fosfor, zat besi, karbohidrat, vitamin A dan C serta zat yang membantu proses pembuangan air kecil dan besar.
  • Flavonoid dalam bawang merah dapat mengelakkan serangan kanser, penyakit jantung dan kencing manis.
  • Bawang merah dikatakan penawar kepada kanser hati.
  • Makan bawang merah akan meningkatkan keupayaan otak dan baik untuk menghindarkan penyakit nyanyuk.
  • Mengamalkan bawang merah setiap hari dapat membantu pertumbuhan tisu tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis sehingga 20%.
  • Bawang merah mengandungi sulfur yang membantu kulit untuk kekal muda dan mengurangkan masalah kedutan.
  • Bawang merah umpama pembersih yang akan mencuci sistem pencernaan dan perut kita.
  • Biji bawang berupaya untuk mengurangkan risiko BOTAK, hehe..
  • Bawang dapat memperbaiki sistem peredaran darah dan mengelakkan radang limpa dan tekanan darah.
  • Bawang merah juga baik untuk memperbaiki sistem pernafasan.

Begitulah serba sedikit info tentang bawang yang Patung Beruang amik dari majalah Rapi edisi 1 Disember 2009.

Hah, rupa-rupanya encik bawang ni banyak kebaikannya.. Jadi apa lagi, siapa2 yang tak makan bawang tu, cuba2lah makan ye.. Tapi bukanlah makan mentah2.. Kenalah masak dulu..

Friday, February 18, 2011

BookXcess :)

Hari ni Patung Beruang pergi ke BookXcess di Amcorp Mall, PJ. Sebenarnya, ni 1st time Patung Beruang masuk ke kedai tersebut.
Masuk je kedai tu, Patung Beruang terus terpegun. Wow, banyaknya buku dan murahnya!!! Serious, semuanya buku dan majalah import, bermacam-macam genre, dari novel ke buku rujukan, untuk pelbagai peringkat usia dari kanak-kanak hinggalah dewasa.
Tetiba Patung Beruang rasa sedih bila ternampak buku-buku yang Patung Beruang dah ada. Adoi, harganya jauh berbeza. Bayangkanlah novel-novel yang selalunya berharga RM35.90 hingga RM99.90, tetapi disini dijual dengan harga RM17.90 - RM19.90 sahaja. Begitu juga buku bacaan umum yang adakalanya mencecah RM100++, tetapi disini harganya kurang dari RM20.00.
Ini serius!!! (macam kata Wonder Pets).. Patung Beruang nak apply membership terus untuk kedai ini tapi syaratnya kena belanja at least RM100 dalam satu resit barulah boleh buat membership.
Maka, MISI BERMULA!!!! Patung Beruang ambil beberapa buku-buku yang menarik, belek2 dan terus ke kaunter. Buku-buku yang dibeli adalah:
  1. Why Mars and Venus Collide
  2. P.S. I love u
  3. Empress Orchid - untuk lecturer kesayangan Patung Beruang
  4. Be careful what you wish for
  5. Heart of darkness - untuk adik Patung Beruang yang minat sangat dengan genre horror
  6. Think like a champion - karya Donald Trump yang harga diluar adalah RM109.90

Untuk 6 buah buku diatas, Patung Beruang hanya membayar RM109.40. Wow.. Berbaloi-baloi.. Nampaknya inilah stok bahan bacaan Patung Beruang untuk beberapa minggu ni, hehe.. Tak sabarnya Patung Beruang nak membaca buku2 tersebut. Selamat membaca :)

Thursday, February 17, 2011

Impian Itu ....


Semalam, Patung Beruang tersepit ditengah-tengah antara kehendak hati dan pertimbangan yang wajar. Jika diikutkan kehendak hati, mahu saja Patung Beruang menerima apa yang telah ada didepan mata. Segala yang diimipikan selama ini tiba-tiba datang tanpa disangka-sangka. Ibarat mimpi menjadi nyata.

Tetapi, Patung Beruang rasa buntu. Patutkah Patung Beruang mengorbankan orang yang tidak bersalah hanya kerana ingin melihat impian ini menjadi kenyataan? Bukan seorang, bukan dua orang, tetapi lebih dari itu. Menurut kata hati ini hanya akan melukakan ramai orang diluar sana.

Pagi ini, Patung Beruang nekad untuk menolak impian tersebut. Sedihnya hati ini, Allah swt sahaja yang tahu. Patung Beruang nekad untuk memberikan jawapan yang sepatutnya. Maaflah, andai ada insan diluar sana yang terasa hati dengan jawapan Patung Beruang. Tetapi, ketahuilah bahawa hati dan perasaan Patung Beruang lebih sakit dari apa yang dibayangkan. Menolak mentah2 impian yang tersedia didepan mata bukanlah satu perkara yang mudah.

Kita tidak selalunya dapat apa yang kita mahukan. Itu hukum alam yang harus kita akui. Hidup ini juga tidak dapat lari dari pengorbanan. Persoalannya perlukah pengorbanan tersebut? Dan berbaloikah ia?

Bagi Patung Beruang, biarlah kita mengundur diri seadainya itulah yang terbaik untuk majoriti. Tiada gunanya kita berusaha menggapai impian kita dengan cara mengorbankan orang lain. Nampak seperti kita menang tapi sebenarnya kita lah yang tewas...

Tuesday, February 15, 2011

Zzzzzzzz....

Pagi-pagi lagi Patung Beruang dah demam. Sebenarnya, tanda-tanda demam tu dah ada sejak beberapa hari lepas macam tekak perit semacam, badan sakit-sakit dan kepala pun rasa berat je. Tapi biasalah, Patung Beruang ni kan tak suka jumpa doktor. So, buat tak tau je lah. Tup-tup, pagi ni memang dah demam terus. Puncanya???? Patung Beruang tak cukup rehat. Yelah, sejak minggu lepas Patung Beruang balik lambat je. Weekend pun penuh aktiviti. Malam tadi, hampir pukul 11.30 malam barulah Patung Beruang sampai rumah. Bila dah hari-hari macam ni, memanglah tak cukup rehat dan tido.
Oleh itu, hari ni Patung Beruang nak berkongsilah serba sedikit info tentang tido dan kebaikannya (ada kebaikkan ke???)..
  • Ketika tido, badan kita akan direhatkan sebentar. Namun, ada beberapa bahagian pada otak yang tetap berfungsi antaranya hormon kortisol. Ia adalah salah satu hormon pada otak yang berkerja keras dari malam hingga pagi. Hormon ini mengawal emosi dan perasaan kita. Jadi, jika hormon ini terjejas, pasti kita tertekan dan mudah menangis.
  • Tido juga memperbaiki serebral korteks iaitu bahagian otak yang bersangkut paut dengan kemampuan seseorang untuk mengingat, membayangkan dan meneliti setiap apa yang kita lakukan sebelum masuk tido.
  • Tido awal digalakkan kerana ia akan menjana otak kita untuk berfungsi dengan lebih baik keesokkan harinya.
  • Semasa tido, Human Growth Hormone (HGH) akan dirembes keluar. Hormon ini bertindak sebagai anti penuaan dan memperbaiki sel-sel tubuh. Maka, orang yg cukup tido, kulitnya berseri dan tidak kering.
  • Kesukaran tido akan menyebabkan strok.
  • Akibat kurang tido, otak akan rosak sedikit demi sedikit.

Itulah serba sedikit info yang Patung Beruang dapat kongsikan disini. Semua info tu Patung Beruang dapat dari Majalah Rapi, 1 Januari 2010.

Oklah, Patung Beruang pun dah tak larat ni. Nak tidolah kejap. Harap-harap lepas bangun tido nanti, segarlah dan sihatlah sikit badan ni. Zzzzzzzz....

Friday, February 11, 2011

Me and Mr Darcy - Part 2

Sebenarnya Patung Beruang dah tamatkan novel Me and Mr Darcy tu sejak semalam lagi. Ia antara novel yang benar-benar buat Patung Beruang jatuh cinta. Thanks to Alexandra Potter. Berhari-hari jugalah Patung Beruang membacanya. Sentiasa bawa kemana saja termasuklah ke ofis. Sanggup tidak makan tengahari semata-mata untuk membacanya walaupun lunch hour cuma 1 jam je.


Jalan cerita novel ni sangat menarik. Tentang cinta seorang gadis yang naif. Mr Darcy yang diimpikan oleh Emily adalah watak utama ciptaan Jane Austen dalam novel Pride and Prejudice. Emily merasakan yang Mr Darcy adalah lelaki yang sempurna ataupun lelaki yang tepat untuk menjadi teman hidupnya.


Memang lumrah seorang gadis untuk mengimpikan ciri-ciri pasangan hidupnya. Sama juga macam Patung Beruang. Ada kriteria tersendiri yang Patung Beruang letakkan. Tetapi, apabila kita berjumpa lelaki yang diimpikan itu, adakah dia memang sesuai untuk dijadikan pasangan hidup kita? Adakah kriteria-kriteria yang kita dambakan itu, mampu mewujudkan keserasian didalam perhubungan?


Patung Beruang pernah mengenali seorang lelaki dimana kami mempunyai keserasian yang sangat tinggi semenjak baru kenal lagi. Kami berkomunikasi dan berhubung seolah-olah seperti dah kenal bertahun-tahun lamanya. Langsung tidak kekok dan kami mula sedar yang kami banyak berkongsi minat dan pandangan. Cuma sayangnya, genap sebulan kami kenal, dia pergi... Sangat menyedihkan tetapi Patung Beruang bersyukur kerana diberi kesempatan untuk mengenalinya dan ia adalah antara perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup Patung Beruang.


Sejak itu Patung Beruang sedar, didalam sesuatu perhubungan, keserasian adalah sangat penting. Apalah gunanya ada pasangan yang hebat dalam kerjaya, gaji yang besar, berpendidikan tinggi, sangat mahir dalam ilmu agama tetapi apabila duduk bersama, tiada keserasian langsung. Patung Beruang cakap A, dia cakap B. Patung Beruang cakap C, dia cakap Z. Adoi... Keserasian bukan dilihat dari wang ringgit, dari ijazah yang bergulung-gulung atau dari jawatan yang tinggi melangit. Keserasian wujud apabila we talk the same language.


Selain itu, Me and Mr Darcy juga mengajar Patung Beruang agar jangan terburu-buru mencari dan mengejar cinta. Dia akan datang sendiri. Jangan memaksa diri untuk menerima seseorang kerana kita tak akan boleh menipu diri sendiri selama-lamanya.


Mr Darcy, u are the perfect man. But, you only exist in Pride and Prejudice. You are not actually real...


Dan sekarang ni, Patung Beruang's favourite quote adalah : - To you I shall say, as I have often said before, "Do not be in a hurry, the right man will come at last." - Jane Austen.... :)

Me and Mr Darcy - Part 1



Beberapa hari ni Patung Beruang tak sempat nak update blog ni. Bukan apa, kalau nak tau sekarang ni Patung Beruang asyik sangat dengan Fitzwilliam Darcy ataupun lebih dikenali dengan Mr Darcy. Hm.. Mr Darcy.. i really in love with u..

Patung Beruang tau setiap gadis mencari Mr Darcy mereka.. Tetapi apa akan jadi jika si gadis benar-benar berjumpa, berkenalan, berbual, bercinta dan menghabiskan masa bersama-sama dengan Mr Darcy yang sebenar-benarnya? Adakah si gadis akan jatuh cinta pandang pertama dengan Mr Darcy? Dan jika ya, adakah cinta tersebut akan kekal untuk selama-lamanya?

Mr Darcy memang ada tarikan yang tersendiri. Golongan aristokrat, ada rupa dan gaya, terpelajar, gentleman, sangat bersopan santun tetapi dalam masa yang sama terlalu arrogant. Seperti kata Emily Albright, 'Mr Darcy was my first love. Devastatingly handsome, mysterious, smouldering and a total romantic, he set the bar for all my future boyfriends.'

Tetapi itu hanyalah gambaran yang ada sebelum Emily benar-benar berjumpa dan mengenali Mr Darcy personnally. Bertahun-tahun dia mengimpikan Mr Darcy dan tanpa disangka, dia benar-benar berkesempatan untuk berjumpa dan mengenali Mr Darcy walaupun dalam waktu yang sangat terhad.

Cinta dan keinginan yang dipendam semenjak kecil lagi akhirnya terluah. Tetapi... Mr Darcy bukanlah lelaki yang sempurna. Ya, dia sangat menghormati kaum perempuan tetapi dia juga tidak boleh menerima keadaan apabila perempuan sebenarnya mampu berdikari. Dia tidak boleh menerima perempuan yang berkerjaya. Pada Mr Darcy, perempuan sepatutnya tinggal dirumah dan menguruskan keluarga. Opps.. Bukan menguruskan keluarga sebenarnya kerana Mr Darcy telah terbiasa ada servants. Segala-galanya dirumah diuruskan oleh servants. For him, an educated woman should not be working. A woman's place is in the home. As a wife and mother.

Mr Darcy mungkin tidak akan pernah faham situasi Emily. Mereka datang dari latarbelakang yang berbeza, budaya dan cara hidup yang berbeza dan yang paling penting ZAMAN YANG BERBEZA. Dan kerana perbezaan itulah, Emily nekad untuk memilih Spike sebagai teman hidup berbanding Mr Darcy yang diimpikan selama ini. Spike, u are the man...

Meminjam kata-kata Jane Austen - To you i shall say, as i have often said before, 'Do not be in a hurry, the right man will come at last.' ...

Sunday, February 6, 2011

Bersyukurlah

Pagi tadi, ketika Patung Beruang sedang on the way nak balik ke kajang, lecturer Patung Beruang hantar SMS meluahkan ketidakpuasan hatinya apabila terdapat segelintir pelajar-pelajar Malaysia di Mesir yang merungut berkenaan dengan layanan yang diterima ketika operasi menyelamat dijalankan. Rungutan yang disuarakan berkenaan dengan makanan. Kata lecturer Patung Beruang, dah bagi makan roti, demand plak nak makan nasi lemak.. Kenapa tak berpuasa je?? Kan ini kira situasi darurat?? Apalah salahnya kalau berpuasa untuk beberapa hari??


Hm..Patung Beruang terfikir, betul juga apa yang lecturer Patung Beruang ini cakap. Tapi Patung Beruang dapat rasakan yang mungkin ada antara para pelajar ini anak manja. Mengharapkan layanan 5 bintang tetapi mereka terlupa yang mereka sepatutnya bersyukur kerana sekurang-kurangnya mereka masih lagi berpeluang untuk menghirup udara di bumi Allah ini sedangkan keadaan di Mesir ketika ini sangat bergolak dan nyawa bagai dihujung tanduk.


Hidup ini tidak selalunya indah, dimana laut tidak selalunya tenang, cuaca tidak selalunya baik dan kesenangan tidak selalunya melingkari kita. Tetapi, segala kesusahan, musibah dan masalah yang menimpa bukanlah kecacatan dalam diari kehidupan kita. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya cuma antara kita sedar dengan tidak sahaja. Yang pasti, ada rahsia dan cerita disebaliknya. Kita sebagai manusia perlulah mencari makna disebalik setiap yang berlaku agar kita sentiasa ingat kepada Yang Maha Kuasa.


Pada pendapat Patung Beruang, setiap manusia mestilah sentiasa mengingati nikmat yang Allah berikan pada kita. Nikmat tersebut meliputi seluruh anggota tubuh badan kita, kesihatan, ketenangan, keamanan negara dan persekitaran, kemakmuran, udara, alam sekitar dan banyak lagi nikmat yang tidak terhitung.


Kita selalu berkira apabila menaiki kereta kecil atau buruk, sedangkan ramai lagi orang diluar sana yang tidak mampu untuk memiliki kenderaan sendiri. Kita sering bersungut apabila memakai baju yang tidak berjenama sedangkan terdapat insan yang bajunya tidak pernah berganti sejak bertahun-tahun dahulu. Kita sering rasa kecewa apabila makanan yang dimakan tidak sesedap yang disangkakan sedangkan terdapat insan yang terpaksa berpuasa dan menahan kelaparan hanya kerana tidak mempunyai satu apa pun untuk dimakan.


Fikirkanlah. Dimanakah sifat bersyukur yang sepatutnya ada pada setiap manusia? Kita seringkali memikirkan sesuatu yang telah hilang sehingga kita lupa untuk mensyukuri apa yang ada di hadapan mata. Kita bersedih kerana kekurangan material, wang ringgit, harta kekayaan sedangkan kita masih memiliki kunci kebahagian, keluarga yang penuh dengan kasih sayang, sahabat dan rakan taulan yang baik, jiran yang prihatin, negara yang aman damai dan macam-macam lagi kenikmatan yang lain. Oleh itu, renungkanlah dan bersyukurlah!!!

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...