Sunday, November 20, 2011

Book Review: The One I Love



Tajuk: The One I Love

Penulis: Anna McPartlin

Sinopsis:
Jane Moore, seorang ibu tunggal tinggal bersama Kurt, anak lelakinya yang meningkat dewasa, Elle, adik perempuannya yang sangat berbakat dalam lukisan tetapi hidup terambing-ambing dan Rose, ibunya yang kaki arak tetapi sangat menyayangi keluarga.

Setelah berbelas tahun terpisah, Jane dikejutkan dengan kehilangan sahabat baiknya ketika sekolah, Alexandra Walsh. Alexandra hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat dan tiada pentunjuk yang ditemui oleh pihak berkuasa ketika operasi mencari dijalankan. Kehilangan Alexandra benar-benar memberi tamparan buat suaminya, Tom dan seluruh keluarga Walsh.

Leslie, teman baik Jane dan Elle, mengalami trauma apabila terpaksa melalui detik-detik kehilangan satu persatu ahli keluarga akibat kanser rahim dan payudara. Trauma tersebut membuatkan Leslie membuat keputusan untuk membuang rahim dan payudaranya sebagai langkah berjaga-jaga. Leslie mengalami gangguan perasaan akibat dari trauma dan juga pembedahan yang dijalankan. Namun, sokongan yang tidak berbelah bagi dari teman-teman rapat seperti Jane, Elle, Tom dan Jim, bekas abang iparnya membuatkan Leslie nekad untuk bangkit semula demi meneruskan kehidupannya.

Pencarian Alexandra selama lebih setahun tetap diteruskan oleh Tom dengan dibantu oleh Jane, Elle dan Leslie. Walaupun tiada petunjuk yang dapat membantu, mereka tetap berharap agar Alexandra masih hidup.

Kekuatan Karya Ini:
Penulis The One I Love (THIL) berjaya menonjolkan kekuatan nilai kekeluargaan dan persahabatan yang kukuh didalam novel ini. Elemen kekeluargaan ditonjolkan lewat watak Jane Moore, yang banyak berkorban termasuk masa depannya sendiri demi menjamin kelangsungan hidup keluarganya. Jane bertindak sebagai ketua keluarga dan bertanggungjawab untuk memastikan anaknya Kurt, mendapat pendidikan yang terbaik, Elle belajar menguruskan hidupnya sendiri dan Rose berhenti dari menyalahkan dirinya atas segala tragedi yang menimpa keluarga Moore. Namun, kekuatan Jane mula goyah apabila diberitahu yang ayahnya bukan meninggal dunia akibat sakit jantung tetapi membunuh diri. Dan setelah itu, Jane mula melihat simptom-simptom kemurungan dan tekanan yang dialami oleh Elle dan dia nekad untuk mendapatkan bantuan demi satu-satunya adik perempuan yang dia miliki walaupun dihalang oleh Rose.

Nilai kekeluargaan yang kukuh juga dapat dilihat dari watak-watak keluarga Walsh seperti Ben, Breda, Eamonn dan Kate. Dihimpit dengan kesedihan akibat kehilangan Alexandra, Breda pula disahkan mengidap Colon Cancer tahap ke-4. Berita ini menambahkan lagi beban kesedihan buat keluarga Walsh namun mereka nekad untuk bersatu memberi harapan kepada Breda yang keadaan akan pulih seperti sediakala.

Selain itu, elemen persahabatan yang kukuh ditonjolkan apabila setiap musibah atau kesusahan yang menimpa salah satu watak utama, pasti sahabat yang lain akan sentiasa memberi bantuan semampunya dan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi walaupun masing-masing mempunyai masalah yang tersendiri.

THIL adalah novel yang penuh dengan cerita suka dan duka dalam kehidupan ini. Apa yang digambarkan didalam THIL, adalah situasi sebenar yang boleh dialami oleh sesiapa sahaja dialam nyata. Hidup ini tidak selalunya indah dan segala apa yang diimpikan tidak selalunya menjadi kenyataan. Masalah, kelemahan, kekurangan, musibah dan kejutan adalah perkara-perkara yang memantangkan manusia agar sentiasa menikmati hidup ini seadanya kerana disaat-saat kita jatuh, hanya keluarga dan sahabat sejati yang akan sentiasa setia bersama kita.














No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...