Wednesday, April 11, 2012

Book Review: Isabella



Tajuk: Isabella

Penulis: Maulana Muhammad Saeed Dehl VI

Penterjemah : Dato’ Abdullah Hussain (Sasterawan Negara)

Sinopsis:
Isabella, gadis Kristian yang sangat terkenal dengan kehebatan ilmunya terhadap agama Kristian di Bandar Cordova, Sepanyol. Sebagai anak kepada Peter,Ketua Paderi Sepanyol, Isabella dibesarkan didalam lingkungan persekitaran Kristian dimana ayahnya bercita-cita untuk menjadikannya seperti Mariam, ibu
Nabi Isa yang hidupnya diabadikan untuk beribadah.

Tanpa diduga, insiden terdengar perbualan antara 2 pemuda Islam, Umar Lahmi dan Maaz adalah titik permulaan kepada perubahan dalam pegangan hidup Isabella. Dengan niat untuk menegakkan kebenaran ajaran Kristian yang dianutinya, Isabella telah mengesyorkan agar satu perdebatan agama diadakan bagi mencari kebenaran antara Islam dan Kristian.

Perdebatan yang diadakan beberapa kali sama ada di gereja atau dirumah Ketua Paderi Peter telah menarik perhatian ribuan penganut Islam dan Kristian bagi menyaksikan agama manakah yang memang berpaksi kepada kebenaran.

Setelah beberapa siri perdebatan yang berakhir dengan kegagalan paderi Kristian untuk merungkaikan persoalan yang ditimbulkan oleh para ilmuwan Islam, telah membuka pintu hati
Isabella untuk mendekati ajaran Islam. Dibantu dengan Umar Lahmi dan rakan-rakan terutamanya Ziad, akhirnya Isabella bersama dengan 4 orang rakan karibnya, Mirano, Martha, Hanana dan Catherine akhirnya memeluk Islam.

Walaupun mendapat tentangan hebat dari pihak gereja sehingga Isabella dikurung oleh para rahib, hati dan pendirian Isabella tetap teguh kepada Islam malah semakin menebal.
Percubaan rakan-rakannya untuk mengeluarkan Isabella dari kurungan telah membawa kejayaan dan seterusnya bermulalah hidup Isabella sebagai seorang muslimah secara terbuka.

Menariknya Buku Ini:
Kedatangan ke Popular Book Store, Jusco Melaka Bandaraya tanpa dirancang telah menemukan Patung Beruang dengan novel ini apabila ia diletakkan di ruang hadapan kedai dan dikategorikan sebagai new arrivals. Jujurnya, novel ini dibeli kerana Patung Beruang tertarik dengan nama besar penterjemahnya, Dato’ Abdullah Hussain, seorang sasterewan negara yang banyak menghasilkan karya-karya hebat seperti Interlok dan Imam.

Patung Beruang mengenepikan anggapan awal yang novel terjemahan selalunya tidak seindah novel asalnya kerana Patung Beruang percaya Dato’ Abdullah telah berusaha sedaya upaya untuk menterjemahkan karya yang hebat ini ke Bahasa Melayu tanpa menghilangkan intipati utama novel ini disamping masih mengekalkan nilai-nilai estetika Bahasa Melayu.

Alhamdulillah, ternyata Patung Beruang tidak rugi sedikit pun apabila membaca novel ini. Jalan cerita yang pantas dan setiap babak penting diperincikan dengan baik sehingga seringkali Patung Beruang terasa seolah-olah hidup di Sepanyol, sezaman dengan Isabella dan menyaksikan dengan mata sendiri semua perdebatan yang diadakan. Selain itu, fakta berkenaan Islam dan Kristian juga diperincikan dengan jelas dan jitu sehingga berjaya menimbulkan satu persamaan pendapat antara penulis novel dengan pembaca.

Ternyata tamatnya pembacaan novel ini telah memberikan seribu satu kepuasan kepada Patung Beruang. Benarlah kata orang, sastera yang berkualiti itu mungkin tidak popular di pasaran tetapi ia tetap memberikan seribu satu kepuasan kepada khalayak pembaca yang sentiasa merindukan karya-karya sebegini.

Sunday, February 26, 2012

Book Review: Why Mars & Venus Collide


Tajuk: Why Mars & Venus Collide

Penulis: John Gray

Sinopsis:

Buku ini mengupas tentang perbezaan antara lelaki dan perempuan dimana perbezaan ini sering mencetuskan salah faham dan ketidakselesaan kepada perhubungan kedua-dua belah pihak.

Mempunyai 10 bab yang menarik iaitu antaranya:

  1. Bab ke-2 ini mula menceritakan secara terperinci apakah yang membezakan antara seorang lelaki dan perempuan dan bagaimana ia menghasilkan tekanan kepada perhubungan kedua belah pihak. Perbezaan yang disentuh adalah dari sudut fizikal, psikologi, cara berfikir, emosi dan tingkah laku.
  2. Bab ke -3 pula menerangkan hormon-hormon yang berkait dengan tekanan kepada lelaki dan perempuan. Adrenalin dan cortisol adalah 2 hormon yang berkait rapat dengan tekanan. Testosterone pula adalah hormon penyelamat bagi lelaki dimana hormon ini membolehkan mereka berfikir dengan lebih rasional, membantu mereka sentiasa aktif, merangsang aktiviti fizikal dan otak dan juga 1001 kegunaan lain. Oxytocin pula adalah hormon penyelamat bagi perempuan dimana ia menjadikan seorang perempuan itu sentiasa gembira, bahagia dan bersemangat dalam menjalani kehidupan seharian, menjadikannya tidak kenal erti penat dan jemu dalam apa jua yang dilakukannya.
  3. Senarai Panjang Didalam Kehidupan Seorang Perempuan adalah fokus didalam bab ke-4. Kehidupan seorang perempuan memang sentiasa sibuk. Menguruskan keluarga, kerjaya dan masyarakat. Tetapi itulah yang membahagiakan diri perempuan itu walaupun dimata orang luar, ia sangat memenatkan.
  4. The 90/10 Solution membicarakan dimana 90% pengisian semula hormon oxytocin adalah datang dari seseorang perempuan itu sendiri. Bakinya 10% datang dari pasangannya. Bagaimana untuk memenuhkan semula tangki oxytocin bagi memastikan seorang perempuan itu kembali bertenaga dalam mengharungi hari-hari yang mendatang? Bab ke-5 ini ada jawapannya.
  5. Bergaduh, berselisih faham dan bertengkar adalah lumrah didalam sesuatu perhubungan. Tetapi adakah ia sesuatu yang menyihatkan atau ia hanya merosakkan sahaja perhubungan tersebut? Seringkali kita melihat pertengkaran yang akhirnya membawa kepada perpisahan. Ia amat menyedihkan. Bagaimana hendak bertengkar tanpa menyakitkan kedua-dua belah pihak? Bab ke-7 dan 8 menerangkan tentang kesilapan yang sering kali berlaku setiap kali pasangan bertengkar dan bagaimana cara untuk mengatasinya.
  6. Cinta sejati tidak mengenal masa, tempat, suasana dan ketika. Namun, cinta yang tidak dibaja dan dijaga sentiasa, lambat-laun akan pudar ditelan masa. Sangatlah menyedihkan apabila melihat pasangan yang lanjut usia, yang sudah hidup bersama berpuluh-puluh tahun tetapi berpisah dengan alasan tiada lagi cinta didalam hati mereka. Bab 9 dan 10 banyak memberi tips-tips dan panduan yang berguna untuk menjaga cinta agar ia kekal dan mekar harum sepanjang hayat.


Menariknya Buku Ini:

Lelaki tidak akan boleh hidup tanpa perempuan dan perempuan juga tidak akan boleh hidup tanpa lelaki. Walaupun berbeza kejadian, sifat, sikap, pemikiran dan macam-macam lagi tetapi itulah yang melengkapi kehidupan antara satu sama lain.

Jujurnya buku ini membuatkan Patung Beruang lebih faham tentang lelaki dan juga perempuan, perbezaannya dan persamaannya dan bagaimana cara untuk menanganinya agar kurang tekanan didalam sesuatu perhubungan.

Buku ini sesuai untuk dibaca oleh semua samaada yang sudah berkahwin ataupun masih bujang. Banyak tips dan panduan yang diberikan boleh digunakan dalam kehidupan seharian, dirumah, ditempat kerja, di tempat awam dan dimana sahaja agar kita lebih memahami individu disekeliling kita.

Kita tidak boleh mengubah seseorang untuk menjadi seperti apa yang kita mahukan. Tetapi kita boleh menghargai dirinya seadanya seperti mana dia menghargai kita seadanya. Tiada manusia yang sempurna didunia ini. Tetapi kekurangan yang ada padanya itulah yang menyeimbangkan kelebihan yang kita ada dan begitu juga sebaliknya.

Dalam kehidupan ini, sifat toleransi dan sabar adalah dua perkara yang sangat penting. Tanpa dua sifat ini, tiada perhubungan yang boleh berjalan dengan lancar. Adalah sangat merugikan jika seseorang itu terlalu mementingkan diri dan perasaan sendiri kerana ia hanya akan membuatkan rasa sayang orang kepadanya terbuang begitu sahaja. Malah lebih memburukkan lagi apabila perasaan sayang itu bertukar kepada meluat, benci dan dendam yang akhirnya hanya akan memakan diri sendiri. Jadi, pelajarilah dan fahamilah segala persamaan dan perbezaan, kelebihan dan kekurangan insan disekeliling kita kerana sebagai manusia kita tidak akan mampu untuk hidup seorang diri tanpa seorang pun manusia sebagai teman.

Book Review: Ya Allah, Aku Jatuh Cinta

Tajuk: Ya Allah, Aku Jatuh Cinta

Penulis: Burhan Sodiq

Sinopsis:

Buku ini mengupas tentang persoalan yang sangat digemari oleh manusia iaitu cinta. Secara amnya buku ini terbahagi kepada 7 bahagian iaitu:
  • Pengenalan tentang cinta. Apa itu cinta? Definisinya dari sudut psikologi dan fitrah. Serta hormon-hormon yang terlibat ketika jatuh cinta.
  • Pandangan Islam berkenaan dengan cinta berlainan jantina. Tanda-tanda bila seseorang itu jatuh hati dan beza antara cinta dan sayang.
  • Jenis-jenis keperibadian seseorang, tanda-tanda cinta sejati dan cara-cara untuk mengenali calon suami.
  • Tanda-tanda seseorang itu jatuh cinta dan tanda-tanda jika dia mabuk cinta.
  • Bagaimana hendak menguruskan perasaan cinta itu jika seseorang itu sudah bersedia
    untuk melangkah ke peringkat seterusnya iaitu alam perkahwinan dan kelebihan-kelebihan apabila melangkah ke alam perkahwinan. Juga disertakan cara yang terbaik untuk menangani rasa cinta bagi mereka yang belum lagi bersedia.
  • Cara-cara terbaik bagi menghadapi detik-detik cinta ditolak, bagaimana menenangkan hati dan perasaan bagi menerima segala ketentuan-Nya.
  • Sebuah kisah menarik mengenai cinta yang kekal. Penuh dengan pengisian dan pengajaran yang menyentuh hati.

Menariknya Buku Ini:
Cinta adalah satu perasaan indah anugerah dari Ilahi kepada setiap manusia. Cinta kepada pasangan, ibubapa, keluarga, sahabat-handai, masyarakat, Rasulluah s.a.w. dan juga Allah s.w.t.

Cinta boleh berlaku dimasa sahaja dan pada bila-bila masa sahaja. Ada pasangan yang berkenalan bertahun-tahun tetapi tiada sekelumit pun perasaan cinta didalam hati mereka melainkan sayang semata-mata. Namun, apabila Allah s.w.t. menghadirkan perasaan cinta itu didalam hati mereka secara tiba-tiba dan akhirnya mereka sedar bahawa jalan terbaik bagi menangani rasa cinta itu adalah dengan membawanya ke alam perkahwinan yang sudah pastinya lebih diredhai oleh Allah s.w.t. Namun, terdapat juga mereka yang jatuh cinta pada pandang pertama dan seterusnya membawa ke jinjang pelamin. Alhamdulillah, semoga rumahtangga yang dibina berkekalan ke akhir hayat.

Cinta pada masa dahulu amat berbeza dengan cinta dimasa sekarang. Cinta pada masa dahulu disulami dengan adat dan syariat, penuh dengan sifat malu dan sangat tertutup. Masing-masing baik lelaki ataupun perempuan berusaha gigih untuk menjaga maruah diri dan keluarga. Tiada
bersentuhan, tiada pertemuan tanpa mahram, tiada komunikasi yang terlalu kerap dan tiada maksiat dan keruntuhan akhlak yang merunsingkan hati dan masyarakat sekeliling.

Namun, cinta pada masa kini sering disulami dengan kelalaian dan kemaksiatan yang nyata. Berpelukan dan berciuman dikhalayak ataupun ditempat yang sunyi tanpa secebis rasa malu kepada mata-mata yang memandang dan juga Maha Pencipta. Komunikasi tanpa batasan setiap masa dan ketika. Bersekedudukan dan akhirnya membenihkan zuriat yang tidak sah tarafnya.
Adakah itu cinta atau nafsu semata-mata? Pasti syaitan dan iblis bersorak gembira kerana umat manusia semakin lalai dan hanyut dibuat rasa cinta sesama manusia sehingga melupakan perasaan cinta Allah s.w.t. dan Rasulluah s.a.w.

Buku ini memberi sedikit sebanyak ilmu dan nasihat bagaimana untuk mengharungi rasa cinta didalam diri mengikut lunas-lunas Islam. Serta cara yang terbaik bagi merawat dan menguruskan rasa cinta itu.

Dalam masa yang sama, manusia juga tidak akan terlepas dari menghadapi penolakan terhadap cinta mereka. Cinta yang ditolak jika tidak ditangani dengan betul, boleh memudaratkan diri sendiri. Oleh itu, buku ini juga memberi panduan yang berguna kepada mereka yang cintanya tidak berbalas. Percayalah, segala yang berlaku adalah ketentuan-Nya, dan pasti ada hikmah disebaliknya walaupun ia menyakitkan.

Patung Beruang tertarik dengan nasihat terakhir dari penulis buku ini iaitu:

  1. Bagi yang masih bujang, cinta ibarat kupu-kupu. Makin dikejar, makin ia menghindar.
    Tapi bila dibiarkan terbang, ia akan menghampirimu disaat yang tidak terduga. Jadi tenang-tenang saja, jangan terburu-buru dan pilihlah yang terbaik.
  2. Bagi yang ragu-ragu dengan perkahwinan, cinta bukannya perkara menjadikan seseorang itu sempurna. Akan tetapi perkahwinan juga dapat menemukan seseorang yang
    dapat membantumu menjadikan diri sesempurnanya.
  3. Bagi yang sudah berkahwin, kalau cinta jangan katakan, ”Ini salahmu!”, tapi
    ”Maafkan aku, ya?” Bukan ”Kau di mana!”, melainkan ”Aku disini, kenapa?”. Bukan
    ”Bolehkah kau begitu!” tapi ”Aku mengerti.”
  4. Bagi yang patah hati, sakit patah hati bertahan selama anda menginginkannya dan akan
    menghiris luka sedalam anda membiarkannya. Menentangnya bukanlah dengan mencari jalan untuk mengatasinya, melainkan memikirkan dan meneliti apakah yang boleh diambil sebagai pengajaran dan hikmatnya.
  5. Bagi yang belum pernah jatuh cinta, mahu jatuh, jatuhlah tapi jangan sampai terjerumus. Tetaplah konsisten tapi jangan terlalu keras. Bahagilah dan jangan sekali-kali tidak adil. Fahamilah dan cubalah untuk tidak menuntut. Bersedialah untuk terluka dan menderita, tapi jangan disimpan semua rasa sakitmu itu.
  6. Bagi yang ingin menguasai, hatimu patah melihat yang anda cintai berbahagia dengan
    orang lain, tapi akan lebih sakit lagi apabila mengetahui bahawa yang anda cintai ternyata tidak bahagia denganmu.
  7. Bagi yang takut mengakui, cinta menyakitkan bila anda putuskan hubungan dengan
    seseorang. Ia malah lebih sakit lagi apabila seseorang memutuskan hubungan denganmu. Tapi cinta paling menyakitkan bila orang yang anda cintai sama sekali tidak mengetahui perasaan anda terhadapnya.
  8. Bagi yang masih bertahan mencintai seseorang yang telah pergi, perkara menyedihkan dalam hidup ialah bila anda bertemu seseorang lalu jatuh cinta, hanya kemudian pada akhirnya menyedari bahawa dia bukanlah jodohmu dan anda telah mensia-siakan bertahun-tahun untuk seseorang yang tidak layak. Kalau sekarangpun dia sudah tidak layak, 10 tahun dari sekarangpun dia tetap tidak akan layak. Biarkan dia pergi, lupakan!!.
  9. Bagi yang jenis playboy/playgirl, jangan katakan ”Aku cinta padamu” bila anda benar-benar tidak peduli. Jangan bicarakan soal perasaan bila perasaan itu memang tiada. Jangan anda sentuh hidup seseorang bila anda berniat mematahkan hatinya. Jangan menatap ke dalam mata bila apa yang anda katakan itu cuma bohong semata-mata. Perkara paling kejam yang anda lakukan adalah membuat seseorang jatuh cinta, padahal anda tidak berniat sama sekali untuk menerimanya saat dia terjatuh.

Akhir kata, Ya Allah, lindungilah hamba-Mu yang lemah ini dari segala godaan dan hasutan syaitan dan iblis laknat. Sesungguhnya perasaan cinta itu adalah hadiah dari-Mu buat semua hamba-Mu. Oleh itu, janganlah Engkau butakan mataku dan hatiku hanya kerana cinta ini. Janganlah Engkau hilangkan segala sifat maluku hanya kerana cinta ini. Peliharalah rasa cinta ini agar ia sentiasa mekar dan penuh rahmat-Mu. Amin..

Book Review: Kala Cinta Dan Wahyu Bersatu


Tajuk: Kala Cinta Dan Wahyu
Bersatu

Penulis: A.Ubaidillah Alias

Sinopsis:
Amir Mukhlis adalah lelaki lulusan Al-Azhar yang diduga dengan luahan perasaan cinta dari beberapa wanita yang setiap satunya mempunyai kelebihan tersendiri. Digambarkan sebagai seorang lelaki yang tegas dalam mempertahankan pendirian dan prinsip hidup yang bertunjangkan Islam, Amir cuba sedaya-upaya untuk tidak lalai dengan wanita-wanita disekelilingnya.

Wardah adalah wanita pertama yang bertakhta di hati Amir. Kenangan zaman persekolahan benar-benar memberi kesan kepadanya hingga ke akhir hayat. Namun begitu, panggilan Ilahi terlebih dahulu menjemputnya sebelum dia mendapat
kepastian adakah cintanya terhadap Amir berbalas. Wardah pergi dengan meninggalkan amanah kepada Tasnim, rakan yang paling akrab sedari dulu demi
menagih jawapan dari Amir Mukhlis.

Tanpa diduga, perkenalan di Bengkel Penulisan telah menemukan Tasnim bersama Amir Mukhlis, lelaki yang padanya tersimpan jawapan kepada amanah yang diberikan oleh Wardah. Ditemukan kerana persamaan minat ditambah dengan kekaguman diatas prinsip yang didukung oleh Amir telah membuatkan Tasnim mula menyimpan perasaan terhadap lelaki ini.

Amelia, seorang doktor gigi merangkap sepupu Amir, telah mula menyimpan perasaan terhadap lelaki ini sedari awal lagi. Menyedari segala kelebihan yang ada pada Amir membuatkan keluarga Amelia dan Amir amat berharap agar dua insan ini disatukan dengan restu Ilahi.

Balqis, gadis yatim piatu yang dijaga sepenuhnya oleh Abu Bakar, abangnya, pulang ke Malaysia dengan membawa segulung ijazah serta perasaan cinta yang terpendam buat Amir Mukhlis, senior yang dikenalinya ketika menuntut di Al-Azhar. Balqis menyangka lelaki itu telah menemui Ilahi akibat daripada penyakit yang dideritai dan hampir-hampir menerima pinangan Izzudin, lelaki yang setia menunggunya semenjak di bumi Mesir lagi. Sajak yang dikarangnya memberi kekuatan untuk mengharungi cerita kehidupan dan cinta di alam nyata.

Kekuatan Karya Ini:
Kekuatan Kala Cinta Dan Wahyu Bersatu (KCDWB) terletak pada watak utama Amir Mukhlis dan juga watak-watak lain seperi Balqis, Tasnim dan Amelia yang dikembangkan dengan sebaiknya oleh penulis. Setiap watak diberi penonjolan yang sama rata dan dengan itu pembaca akan sedar bahawa semua watak adalah penting kepada jalan cerita yang hendak disampaikan.

Selain itu, penulis berjaya menyampaikan mesej dimana didalam kehidupan yang serba mencabar, dikelilingi oleh masyarakat yang terlalu mementingkan duniawi, keruntuhan akhlak masyarakat yang semakin parah, masih terdapat generasi muda yang bersemangat waja dalam mendukung cara hidup Islam tanpa mengabaikan soal keduniaan yang penting seperti ilmu dan kewangan. Penulis berjaya menonjolkan lulusan jurusan agama juga mampu untuk berjaya didalam bidang lain seperti pengurusan dan perniagaan, sama seperti jurusan akademik yang lain. Dan kelebihan mereka berbanding lulusan akademik yang lain adalah mereka mempunyai asas agama yang kukuh, yang mampu menjadi benteng untuk mereka menempuh kehidupan yang penuh panca roba.

Di samping itu, penulis berjaya menggambarkan kekuatan cinta Balqis terhadap insan yang bergelar suami lewat bait-bait puitis sajak yang dikarangnya;
Suamiku,
Cintaku adalah lautan yang airnya tidak akan kekeringan sekalipun kemarau
melanda. Cintaku adalah waktu yang akan berdetik sepanjang zaman. Cintaku
adalah udara yang akan kau sedut sekalipun di bawah sedar. Cintaku adalah
mentari dikala siang dan bulan dikala malam, yang akan setia memerhatikanmu.
Cintaku adalah cinta yang tidak akan dibiaskan oleh mana-mana kekuatan kecuali
tuhan. Cintaku adalah kesetiaan yang abadi. Akan ku menantimu di pintu syurga.

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...