Sunday, July 7, 2013

Book Review : Manisnya Kurma Ini

Assalamualaikum wbt..
Lama sungguh Patung Beruang tidak update blog ini. Maaflah, kekalutan jadual seharian telah menghalang Patung Beruang untuk berkongsi bahan bacaan hebat yang telah berjaya dihabiskan.
 
Hari ini Patung Beruang berhasrat untuk mengulas buku yang agak menarik iaitu:

Tajuk: Manisnya Kurma Ini

Penulis: Dr. Fauziah Mohd Noor

Sinopsis: Dr Fauziah ataupun lebih dikenali sebagai Madam Fauziah dikalangan para pelajar adalah seorang pensyarah di Jabatan Undang-Undang Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
 
Buku Manisnya Kurma Ini bole diibaratkan sebagai catatan kehidupan seorang wanita, guru, pensyarah, isteri, ibu, dan juga anak dalam mengharungi kehidupan seharian. Buku ini mengisahkan kehidupan suka duka yang beliau tempuh dimana Patung Beruang percaya pengalaman yang sama juga pernah ditempuh oleh insan lain. Yang membezakannya adalah setiap pengalaman yang dikutip, diteliti secara positif bagi mencari hikmah dan iktibar.
 
Buku ini mengandungi 22 cerita ringkas yang meliputi aspek kehidupan beliau dan diolah dengan begitu bersahaja.
 
Menariknya Buku Ini:
Patung Beruang pertama kali terpandang buku ini ketika menghadiri jualan buku oleh Popular Bookstore yang diadakan di luar Central Market, KL. Buku yang menjadikan ilustrasi kartun sebagai penghias kulitnya ditambah dengan dialog kartun tersebut membuatkan Patung Beruang beranggapan ia adalah buku bacaan ringan tetapi menyentuh berkenaan alam rumahtangga.
 
Namun, ternyata tanggapan awal Patung Beruang tidak lah tepat 100%, hehe.. Ye, memang buku ini adalah bacaan ringan tetapi ia tidak hanya menyentuh isu rumahtangga saja.
 
Jujurnya, boleh dikatakan hampir 80% dari 22 cerita ringkas yang dipaparkan amat memikat hati Patung Beruang.
 
Dr Fauziah berjaya menarik perhatian pembaca dengan meletakkan Kisah Disebalik Sebuah Gelaran sebagai cerita pertama didalam buku ini. Cerita pertama ini menyorot kehidupan susah payah beliau ketika menimba ilmu diperingkat PhD dimana beliau diuji dengan  kehidupan berkeluarga  yang hidup merantau di UK (pada masa itu beliau bergelar isteri dan ibu serta beliau juga hamil anak ke-3 dan ke-4 ketika pengajian sedang berlangsung), kehilangan adik lelaki bongsu akibat kemalangan, musibah kediaman beliau dimasuki perompak, dibelenggu masalah kewangan serta 1001 detik yang mengharukan & menginsafkan yang berlaku.
 
Kisah Keluarga Ustaz A pula memperlihatkan tentang sebuah keluarga yang mengamalkan poligami tapi masih mampu untuk hidup bahagia, tenang, aman dan damai walaupun tinggal serumah. Alhamdulillah, hebat sungguh keluarga ini sehinggakan mereka masih tinggal bersama walaupun apabila ketua keluarga telah dijemput Allah.

Kita seringkali cemburu apabila melihat insan lain yang dirasanya lebih hebat, mempunyai kehidupan yg sempurna dan bahagia. Tetapi, kita terlupa bahawa mungkin apa yang dilihat pada mata kita berbeza sama sekali dengan kenyataannya. Kisah Yang Ternampak Di Mata, Yang Tersimpan Di Hati mengupas lara hati seorang wanita yang kurang dihargai oleh suami sendiri walaunpun pengorbanan yang dicurahkan tidak ternilai.

Banyak lagi kisah-kisah menarik yang dikupas oleh Dr. Fauziah didalam buku ini dan kebanyakkan kisah-kisah ini juga berlaku pada kita atau orang disekeliling kita. Memang tidak rugi jika meluangkan masa untuk sama-sama menghayati tulisan beliau kerana pengolahan yang santai membuatkan kita leka untuk menghabiskan pembacaan ke muka surat terakhir.
 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...