Saturday, May 17, 2014

Book Review: Himpunan Kisah Benar Tapi Pelik


Tajuk: Himpunan Kisah Benar Tapi Pelik

Penulis: Dr. Hj. Zahazan Mohamed

Sinopsis:

Buku ini memuatkan 38 kisah yang menarik dan disusun berdasarkan kitab-kitab sejarah yang muktabar, yang merekodkan peristiwa-peristiwa luar biasa yang dapat menggagumkan dan memberi keinsafan kepada pembaca.
 
Mengapa Buku Ini Menarik:
Jujurnya, Ustaz Dr. Hj. Zahazan Mohamed adalah salah seorang penceramah dan penulis yang amat Patung Beruang gemari. Suatu waktu dahulu, boleh dikatakan hampir setiap pagi Patung Beruang akan mendengar rancangan tafsir Al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Zahazan di radio Ikim FM, pada pukul 6.30 - 6.45 pagi. Cuma, apabila Patung Beruang mula lewat untuk ke tempat kerja, kesempatan untuk mendengar rancangan tersebut sudah hilang.
 
Sebelum mula membaca buku ini, Patung Beruang mempunyai expectation yang tinggi memandangkan Ustaz Zahazan adalah seorang tokoh agama yang mempunyai ilmu tinggi dan memiliki gaya penyampaian yang mampu menarik perhatian pendengar dan pembaca.
 
Antara kisah yang menarik perhatian Patung Beruang adalah Kisah ke-3 iaitu, Jenazahnya Dilindungi Lebah Berbisa. Ia mengisahkan 'Asim bin Tsabit, seorang sahabat Rasulullah SAW yang gagah dan mempunyai keazaman tinggi dan telah berjanji untuk berjuang berhabis-habisan ketika Perang Uhud. Namun, ditakdirkan beliau gugur sebagai syahid. Kematian beliau amat dinanti-nantikan oleh golongan Quraisy dari Makkah akibat dendam mereka kepada 'Asim kerana telah membunuh orang-orang Musyrik. Namun, Allah telah memelihara jasad hamba-Nya dari disakiti dengan mengutuskan ribuan lebah dan tebuan padang pasir untuk menghurung jasad 'Asim seolah-olah mempertahankan sarang mereka dari diceroboh oleh penceroboh.
 
Kisah ke-16 pula menceritakan tentang Pokok Kurma Menangis Ditinggalkan Nabi SAW. Pada suatu waktu, Rasulullah SAW biasanya menyampaikan khutbah dengan meletakkan dibelakangnya batang pokok kurma. Pada suatu hari, seorang wanita dalam kalangan Ansar telah meminta izin daripada Nabi SAW untuk membuatkan mimbar untuk Baginda. Setelah dipersetujui, mimbar tersebut pun dibuat. Maka, pada hari Jumaat berikutnya Rasulullah SAW mulalah menggunakan mimbar baru itu dan meninggalkan batang pokok kurma yang biasanya menjadi tempat Baginda bersandar semasa khutbah sebelum itu. Namun pokok kurma itu menangis bagaikan bayi dan Nabi SAW memberitahu para sahabat yang pokok kurma itu kesedihan kerana ditinggalkan. Maka, Nabi SAW kembali kepada pokok kurma tersebut dan mengusapnya sehingga pokok itu tenang kembali. Setelah itu, Nabi SAW kembali semula menaiki mimbar Baginda. Kisah ini menunjukkan betapa dalamnya cinta pokok kurma tersebut kepada Rasulullah SAW. Ia memberi keinsafan kepada Patung Beruang dimana adakah kita sebagai umat Baginda, mempunyai rasa cinta yang sedalam itu kepada Baginda? Ya Allah, Engkau suburkan rasa cinta kami kepada Engkau dan Rasulullah SAW didalam jiwa kami sebagaimana Baginda mencintai Engkau dan kami umatnya, Amin.
 
Tanda Putih Di Telapak Tangan Uwais yang dipaparkan didalam kisah ke-34 mengisahkan Uwais al-Qarni, seorang pemuda yang berasal dari daerah Qaran di Yaman. Beliau telah memeluk Islam semasa hayat Nabi SAW tetapi tidak berkesempatan untuk bersua muka dengan Baginda. Uwais seorang anak yang taat yang menjaga ibunya yang telah tua dan lumpuh. Uwais sangat mencintai Baginda dan berhajat untuk bertemu dengannya. Namun, dek tanggungjawabnya terhadap ibu yang telah uzur, Uwais pendamkan sahaja hasratnya untuk bertemu Baginda. Sehinggalah pada suatu hari, ibunya mengizinkan beliau untuk bertemu Nabi SAW. Namun apabila sampai di Madinah, hajatnya tidak kesampaian kerana Baginda tiada pada masa itu. Sehingga kewafatan Nabi SAW, Uwais masih tidak berkesempatan untuk bertemu dengan kekasih Allah ini. Namun, Nabi SAW mengetahui kerinduan umatnya ini dan pernah berpesan kepada Sayidina Ali r.a. dan Saiyidina Umar r.a. bahawa "Uwais adalah seorang yang mempunya tanda putih ditengah-tengah telapak tangannya. Dan apabila berjumpa dengannya, mohonlah  doa dan istighfarnya kerana doanya dimustajabkan Allah SWT". Kisah ini menunjukkan betapa anak bertanggungjawab menjaga ibu dan ayahnya yang sudah tua dan Allah SWT telah menyediakan ganjaran yang besar kepada anak-anak yang menjalankan tanggungjawab ini dengan bersungguh-sungguh.
 
Kesimpulannya, buku ini amat sesuai untuk dijadikan bacaan seisi keluarga kerana ia mengajak pembaca untuk berfikir mengenai kebesaran Allah SWT, memberi motivasi agar kita berusaha sehabis baik untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar ini.
 
 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...