Saturday, May 17, 2014

Book Review: Travelog Minda Tajdid - Catatan Perjalanan Dari Tanah Barat

Tajuk: Travelog Minda Tajdid : Catatan Perjalanan Dari Tanah Barat
 
Penulis: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
 
Sinopsis & Menariknya Buku Ini:
Buku Travelog Minda Tajdid: Catatan Perjalanan Dari Tanah Barat (TMT) ini baru sahaja Patung Beruang selesai pembacaan pagi tadi, ketika menunggu waktu kerja bermula.
 
Patung Beruang mula membaca TMT ketika awal Ramadhan tetapi kekangan masa dan tuntutan kerja menyebabkan Patung Beruang tidak mampu untuk menghabiskan pembacaan TMT secepat mungkin.

Membaca TMT membawa Patung Beruang menyulusuri idea dan pemikiran Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. Asri) dengan lebih dekat lagi. TMT sarat dengan idea dan kritikan sinis terhadap isu-isu semasa tetapi masih berpaksikan Al-Quran dan Hadis, dan tanpa bias terhadap mana-mana parti politik.

Ada beberapa bab yang sangat menarik perhatian Patung Beruang seperti Jumud Mengundang Kebangkitan Liar. Bab ini mengkritik sikap jumud atau tidak membenarkan perbezaan pendapat dimana akhirnya sikap ini memakan sesuatu bangsa, kaum atau penganut itu sendiri. Didalam bab ini, Dr. Asri memberi contoh apa yg berlaku di Eropah dimana sikap jumud ahli agama mereka telah mengakibatkan penentangan masyarakat Eropah terhadap kuasa agama yang akhirnya mencetuskan Revolusi Industri atau Revolusi Perancis. Pengaruh agama dibataskan agar ia tidak merangkumi kehidupan seharian baik individu, keluarga, masyarakat atau negara. Akhirnya, lahirlah manusia-manusia yang bertindak sewenang-wenangnya tanpa ada sekelumit rasa malu atau segan terhadap agama atau Tuhan serta bebas dan sanggup mempersendakan agama itu sendiri.

Bab Wanita, Pastikan Arah Perjuanganmu! pula membahaskan tentang betapa pentingnya wanita jelas dengan perjuangan mereka. Mereka mestilah memahami hak-hak sebenar wanita dalam Islam. Bukannya mengikut perjuangan barat membuta-tuli yang hanya nampak cantik dari luaran saja. Contoh paling mudah adalah dalam soal poligami. Wanita mestilah mengkaji sebab-sebab Islam membenarkan poligami, bagaimanakah pelaksanaan yang sepatutnya dan bukannya memandang poligami itu dari konsep yang sempit seperti ia menganiayai wanita itu sendiri.

Dr. Asri juga ada membahaskan konsep Hudud didalam bab Jangan Bantu Syaitan Rosakkan Saudaramu yang bermula di mukasurat 185. Didalam bab ini, ia menekankan betapa pentingnya masyarakat mendapatkan maklumat yang tepat dan memahami sejelas-jelasnya konsep Hudud sebelum memberikan pendapat. Malah, adalah tidak bijak apabila konsep Hudud disensasikan mengikut paksi politik sehingga menimbulkan banyak salah faham bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga yang bukan Islam.

Bagi Patung Beruang, buku yang bagus ini wajar dibaca dan diperhalusi oleh masyarakat kerana banyak nukilan didalamnya lebih kepada teguran yang berhemah diatas kekhilafan kita, sama ada disengajakan atau tidak. Semoga pembaca mendapat manfaat dan lebih terbuka dalam menerima kritikan dan teguran Dr. Asri demi kelansungan umat Islam pada masa kini.

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...