Saturday, October 18, 2014

Book Review: Selembut Hati Rasulullah

 

Tajuk Buku: Selembut Hati Rasulullah
 
Penulis: Miftahul Asror Malik
 
Kisahnya:
 
Minggu lepas Patung Beruang pulang ke Melaka. Tujuan asal adalah untuk ambil Road Tax Satria Neo yang ayah dah tolong renew kan. Dalam masa yang sama, boleh juga Patung Beruang menenangkan fikiran sebentar. Semenjak 2 menjak ini, Patung Beruang akui fikiran ini agak serabut. Memikirkan progress audit yang sedang berjalan di GMB, dengan kerenah client yang kadang-kadang mencabar kesabaran diri ini dan dengan staff yang berbagai ragam lagi.
 
Sepanjang perjalanan pulang ke Melaka, hati ini bagai ditarik-tarik untuk pergi ke kedai buku. Ye, kedai buku adalah tempat kegemaran Patung Beruang untuk menenangkan fikiran sekaligus sebagai terapi diri. Dan, ada beberapa buah kedai buku yang telah termasuk dalam senarai favourite Patung Beruang seperti Popular (Aeon Ayer Keroh, Aeon Melaka Bandaraya & Aeon Taman Equine) dan Bookxcess (Amcorp Mall).
 
Sampai dirumah, jam menunjukkan tepat pukul 8 malam. Selepas duduk sebentar dan bertanya khabar kepada ibu & ayah, Patung Beruang terus mengajak ibu untuk temankan Patung Beruang ke Popular Aeon Melaka Bandaraya. Pelawaan Patung Beruang disambut ibu dengan senang hati. Alhamdulillah, moh lah kita ke sana, heheh..
 
Dan seperti kebiasaanya, apabila menjejakkan kaki ke kedai buku, amat jarang sekali Patung Beruang keluar tanpa membeli walau senaskah buku. Malam itu, Alhamdulillah, buku ini adalah antara buku2 yg mendapat perhatian Patung Beruang untuk dimiliki :)
 
Menariknya Buku Ini:
Buku Selembut Hati Rasulullah karangan Miftahul Asror Malik ini menghimpunkan 102 kisah keagungan peribadi Rasulullah s.a.w yang dapat dijadikan teladan dan panduan sepanjang zaman.
 
Buku ini membawa pembaca menyelami dan merasai betapa lemah lembutnya dan sopannya peribadi, tutur kata dan tingkah laku Rasul yang kita cintai ini. Malah Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada Saidatina Aisyah, "Sesungguhnya Allah itu maha lembut, Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah memberikan kepada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan kepada sikap yang keras dan sikap lainnya." (Hadith direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim).
 
Bab pertama buku ini yang bertajuk "Hamba dan Raja ataupun Hamba dan Nabi" mengisahkan betapa Rasulullah tidah mencintai harta dunia walaupun Malaikat Israfil a.s. telah turun ke Bumi kerana diutus oleh Allah s.w.t untuk membawa kunci harta simpanan bumi. Allah s.w.t. juga telah memerintahkan Malaikat Israfil a.s. untuk memperlihatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan zamrud, yakut, emas dan gunung perak. Malah Rasulullah juga diberi pilihan samaada untuk menjadi nabi dan raja, atau nabi dan hamba. Namun, Rasulullah s.a.w. tidak gelap mata dengan kemewahan, kekayaan dan kekuasaan yang ditawarkan. Mulianya dan rendah dirinya peribadi Rasulullah s.a.w. sehingga Baginda nekad untuk memilih menolak kemewahan yang ditawarkan dengan menjadi nabi dan hamba.

Bab 31, "Kisah Unta Gemuk dan Unta Kurus" pula memperlihatkan sisi keadilan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang suami yang mempunyai isteri lebih dari seorang. Kisah ini bermula apabila Rasulullah berhasrat untuk keluar dan mengajak dua orang isteri Baginda iaitu Safiyyah binti Huyay dan Zainab binti Jahsyi. Baginda telah memerintahkan agar diberikan unta kepada kedua-dua isterinya. Namun, seorang isteri Baginda telah mendapat unta yang gemuk dan kuat, dan seorang lagi isteri pula mendapat unta yang kurus dan cacat. Kejadian ini telah menimbulkan kemarahan Baginda lantas membatalkan perjalanan yang telah dirancang itu. Ternyata kisah ini membuktikan betapa Baginda sangat mementingkan keadilan terutama apabila beristeri lebih seorang. Hal ini patut dijadikan contoh kepada pada suami diluar sana yang sedang berpoligami atau ingin berpoligami agar jangan sekali-kali ada kecenderungan pada salah seorang daripada isteri-isteri yang ada.

Sentiasa menjaga hubungan baik sesama jiran tetangga adalah dituntut didalam Islam. Malah terdapat dialog diantara Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dimana Rasulullah ada menyatakan jika seorang wanita itu rajin bersolat pada waktu malam dan berpuasa di siang hari tetapi mulutnya sering menyakiti hati jiran, tidak ada kebaikan pada diri wanita tersebut dan dia akan dimasukkan ke neraka. Kisah memelihara hubungan baik sesama jiran ini dilampirkan didalam Bab 98, "Larangan Menyakiti Jiran Tetangga."

Walaupun buku ini ditulis dengan gaya bahasa yang santai, namun ia tidak menghalang para pembaca untuk memahami intipati yang ingin disampaikan oleh penulis. Malah, sesudah pembacaan, para pembaca akan terpesona dengan keindahan watak dan keperibadian Rasulullah s.a.w. seperti yang digambarkan didalam buku ini. Tidak hairanlah, sesiapa sahaja yang berbicara dengan Baginda, sama ada kanak-kanak, remaja, orang dewasa hatta orang tua sekalipun akan rasa dihargai, disayangi dan diberi perhatian. Semoga kita juga mampu untuk berlemah lembut dan mengikut keperibadian mulia yang Baginda tunjukkan, Amin..  

2 comments:

  1. Menarik. Tertarik nak beli. Terima kasih untuk review ini

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Terima kasih juga kerana membaca review ini.

      Delete

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...