Friday, December 26, 2014

Book Review: My Favourite Wife

Tajuk: My Favourite Wife

Penulis: Tony Parsons

Ceritanya Patung Beruang:
Ini adalah novel ke-2 karya Tony Parsons yang Patung Beruang miliki. Buah tangan Tony Parsons yang pertama Patung Beruang miliki adalah novel bertajuk Man and Boy, yang dibeli pada tahun 2010. Sebuah novel yang menarik dimana ia berkisar tentang kehidupan seharian seorang bapa tunggal yang membesarkan anak lelakinya. 

My Favourite Wife adalah buah tangan dari Big Bad Wolf tahun 2011. Hm.. baru sekarang Patung Beruang dapat baca kan? Malunya, huhu.. kesian novel ini hanya terperap di rak buku selama 3 tahun. 

Seperti Man and Boy, Tony Parsons tidak pernah mengecewakan Patung Beruang. My Favourite Wife hanya mengambil masa selama 3 hari saja untuk Patung Beruang habiskan pembacaan. Sangat menarik, penuh dengan kejutan tetapi sangat realistik.

Synopsis Novel: 
My Favourite Wife berkisarkan kepada beberapa watak utama iaitu Bill Holden, Becca dan Jin Jin Li.  Bill Holden adalah seorang peguam di kota London. Berkahwin di usia muda dengan Becca, seorang bekas wartawan dan keluarga bahagia ini diserikan dengan seorang anak comel, Holly. 

Bill dan Becca mengambil keputusan untuk berhijrah ke Shanghai dimana Bill mendapat tawaran kerja dari firma guaman asing yang terkenal di sana. Perpindahan ke Shanghai membawa 1001 impian buat keluarga ini. Impian Bill untuk menjadi rakan kongsi firma guaman, impiannya untuk menyediakan kehidupan yang mewah dan terbaik buat Becca dan Holly. 

Di Shanghai, mereka menetap di Paradise Mansions. Kawasan kediaman elit tetapi juga merupakan syurga untuk lelaki-lelaki China menempatkan isteri kedua atau wanita simpanan mereka. Dan di Paradise Mansions juga lah, Bill berkenalan dengan Jin Jin Li, salah seorang penghuni di blok sebelah. 

Jin Jin Li adalah teman wanita kepada seorang lelaki kaya China. Pernah bekerja sebagai guru, tetapi desakan hidup untuk menyara keluarganya dan demi kemewahan membuatkan Jin Jin Li nekad meninggalkan pekerjaan guru dan menjadi wanita simpanan.

Baru beberapa ketika mereka di Shanghai, Becca terpaksa pulang ke London bersama Holly, demi menjaga ayahnya yang sakit. Tekanan di tempat kerja dan ditambah dengan ketiadaan Becca dan Holly, membuatkan Bill merasakan hidupnya kosong. Bill mula rapat dengan Jin Jin Li sehingga membibitkan rasa cinta antara mereka. 

Sekembalinya Becca dan Holly dari London, Bill cuba untuk merenggangkan hubungannya dengan Jin Jin Li. Namun, perhubungan antara Bill dan Jin Jin Li berjaya dihidu oleh Tess Devlin iaitu isteri kepada majikan Bill. Dan dalam satu pertengkaran ketika makan malam di restoran, Tess Devlin tanpa sengaja telah membangkitkan isu perhubungan ini dan ia didengari oleh Becca. 

Becca begitu kecewa dengan apa yang telah Bill lakukan dan merasakan diri dikhianati. Dapatkan Bill mempertahankan rumahtangga mereka? Atau Bill nekad untuk bersama Jin Jin Li yang dilihatnya sebagai cinta sejati? Adakah perhubungan Bill dan Jin Jin Li akan memberi impak kepada kerjaya Bill? Adakah Bill berjaya menjadi rakan kongsi firma guaman tersebut memandangkan beliau adalah top performer disana? 

Menariknya Novel Ini:
Novel ini berlatar belakangkan Shanghai dimana pada masa ini, ekonomi China sedang memuncak. Banyak pelabur asing yang datang untuk melabur. Tarikan wang telah mengubah wajah sosial China dimana ramai rakyat yang bergelut dengan bekerja di kilang-kilang, selama 24 jam tanpa henti tetapi dengan bayaran yang sangat minima. Pencemaran yang berleluasa, kemusnahan alam sekita yang tidak terkawal dan rasuah yang bermaharajalela telah menampakkan wajah sebenar China pada masa itu.

Bagi kaum wanita dan para gadis pula, mereka memasang impian untuk memiliki lelaki-lelaki hartawan, sama ada orang tempatan ataupun orang asing demi menjamin kehidupan yang mewah. Ataupun, sanggup menjadi pelacur. Tinggal di apartment mewah, memakai barang berjenama palsu dan memandu kereta mewah menjadi kebanggaan mereka. 

Penyakit sosial yang parah di Shanghai benar-benar mencabar orang asing yang datang kesana atas tujuan kerja seperti Bill. Walaupun Bill terlalu mencintai Becca, tetapi kekosongan jiwa yang ditinggalkan walaupun hanya sebentar cuma telah membuatkan Bill beralih kepada Jin Jin Li. 

Membaca novel ini membuatkan Patung Beruang dapat menyelami deritanya Becca apabila mengetahui dia dikhianati, terseksanya Bill apabila tersepit antara rumahtangga yang disayangi dan teman sejiwanya, Jin Jin Li dan juga warna sebenar masyarakat di Shanghai. Kesimpulannya, this is my favourite novel :)

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...