Sunday, January 18, 2015

Book Review: Bersyukur Saat Diuji

Tajuk:  Bersyukur Saat Diuji

Penulis: Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim

Menariknya Buku Ini:

Ini adalah buku ke-2 tulisan Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim (Prof. Kamil) yang Patung Beruang baca selepas buku Usahawan Akhirat. 

Buku ini mengandungi 30 bab yang menyentuh berbagai ujian yang beliau dan kita juga pernah atau sedang alami dalam kehidupan seharian ini. 

Bab 1: Erti Suatu Ujian hingga Bab 6: Baju dan Kasut, didalam buku ini menceritakan tentang erti sebuah ujian dan bagaimana ujian itu diberikan kepada kita, selaku hamba yang serba lemah dan jahil ini. Prof. Kamil memulakan penceritaan didalam buku ini dengan perkongsian detik-detik bagaimana beliau sekeluarga diuji dengan bencana banjir yang melanda Segamat, Johor pada tahun 2011. 

Bagi sesetengah tempat, banjir adalah masa untuk penduduk disana bersuka-ria, berpesta air. Ramai sanggup keluar rumah semata-mata untuk melihat dan bermain air sesama sendiri. Namun, jika banjir yang melanda terlalu hebat, setinggi rumah, harta benda semua ditenggelami, dimanakah lagi pestanya? Seperti petikan terjemahan ayat Al-Quran dari surah Al-An'am yang dicatatkan didalam buku ini, "Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir dibawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?" (Al-An'am 6:6).

Bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita menghadapi ujian kemusnahan seperti banjir ini? Adakah dengan meratap dan memarahi alam (dalam kata lain, takdir) kerana mendatangkan kerosakan kepada harta benda kita? Atau dengan berhempas pulas menyelamatkan harta benda, membersihkan segala kekotoran, membaik pulih apa yang patut, dan kemudian teruskan hidup seperti biasa? 

Patung Beruang tertarik dengan peristiwa yang Prof. Kamil catatkan dalam Bab 4: Ujian Untuk Siapa? Beliau berkongsi kisah dimana sibuknya dan profesionalnya sukarelawan yang datang membantu untuk mencuci kediaman tetapi malangnya tidak solat, walaupun telah diajak oleh Prof. Kamil dan isterinya. Masya-Allah, sedihnya hati ini apabila membaca kisah ini. 

Patung Beruang juga teringat berkenaan komen beberapa orang sahabat yang terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan ketika banjir di Pantai Timur baru-baru ini. Cerita sama juga yang dibawa. Ada individu yang dilanda musibah, tetapi masih lagi angkuh untuk tidak mahu bersujud kepada Yang Maha Pencipta. Berbagai alasan diberi. Wahai sahabat-sahabat sekalian, bersolatlah walau dalam hati ini rasa terpaksa. Bersolatlah kerana itulah tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya. Bukankah namanya pun "hamba"? Maka, selayaknya lah kita kena berbakti kepada Dia yang memiliki kita, walau dalam apa keadaan sekalipun. Betullah nukilan Prof. Kamil, beliau merasakan ujian banjir dan kemusnahan harta benda adalah ujian yang besar. Tetapi, hakikatnya ramai lagi yang masih berdepan dengan ujian yang lebih besar dari itu.  

Setiap ujian yang Allah beri pada kita, pasti ada kemanisannya. Sama ada kita menyedarinya atau pun tidak. Mungkin manisnya ketika ujian itu melanda. Dan mungkin juga manisnya apabila berakhirnya ujian tersebut. Prof. Kamil telah berkongsi di antara kemanisan dalam ujian yang beliau sekeluarga hadapi adalah kuatnya ikatan ukhwah sesama saudara Muslim, seperti dicatatkan didalam Bab 6: Baju dan Kasut. Juga turut diceritakan mengenai tawaran untuk berhijrah ke Madinah al-Munawarrah yang diterima selepas peristiwa banjir itu, Bab 8: Menghitung Nikmat Allah hingga Bab 10: Ilmu. Ya Allah, hebatnya kuasa dan perancangan-Mu terhadap kami, hamba-Mu yang lemah ini. 

Dalam kehidupan seharian, kita tidak terlepas dengan berbagai ujian. Ujian itu bukan sahaja musibah, bencana, kemiskinan, kesusahan, kegagalan atau kesakitan. Tetapi, harta yang banyak juga adalah ujian. Tubuh badan yang sihat juga adalah ujian. Keluarga yang bahagia juga adalah ujian. Pangkat yang besar juga adalah ujian. Ilmu dan kepandaian yang kita miliki juga adalah ujian. Pendek kata, kehidupan dan juga kematian itu sendiri adalah ujian. Tetapi, berapa ramaikah antara kita yang menyedari bahawa kita ini sebenarnya sedang diuji? Jika kita sedar, apakah yang telah kita lakukan untuk menghadapinya dengan sebaik mungkin, agar kita dapat markah yang tertinggi disisi-Nya? Markah yang tidak kita nampak dengan mata kasar. Berbagai ujian yang kita hadapi sehari-hari ini dikupas dengan menarik sekali oleh Prof. Kamil dalam Bab 15: Ujian Tidur sehinggalah Bab 28: Mampukah Kita

Kesimpulannya, buku ini sangat dekat dengan Patung Beruang kerana setiap perkara yang dikupas, sangat dekat dengan kehidupan kita sehari-hari. Tanpa kita sedari, ada antara per perilaku yang kurang elok atau tidak sepatutnya, yang diceritakan didalam buku ini, turut menjadi tabiat kita sehari-hari. Dan kadang-kala, kita tak rasa bersalah atau rasa berdosa pun apabila melakukannya. Dan ada juga antara lintasan-lintasan hati yang nakal, turut pernah singgah di lubuk hati kita ini. Bacalah naskah ini kerana apa yang dipaparkan adalah ibarat cermin kepada diri kita sendiri. 

Ya Allah, maafkan hamba-Mu yang lemah dan jahil ini. Sesungguhnya masih banyak lagi perkara yang perlu hamba-Mu ini perbaiki demi kelangsungan hidup di akhirat kelak. Kami ini tidak layak masuk ke syurga-Mu ya Allah, tetapi kami juga tidak sanggup untuk masuk ke neraka-Mu. Malunya kami ini kepada-Mu, ya Allah..

2 comments:

  1. Nice review. Terima kasih atas review ini. Saya terus decide nak beli buku ini. Tak sabar nak baca 😄

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Terima kasih kerana sudi membaca review ini. Mohon maaf atas segala kekurangan dalam review ini. Ye, buah tangan Prof. Dr. Muhd Kamil memang tidak pernah mengecewakan. Selamat membaca.

      Delete

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...