Monday, January 19, 2015

Book Review: Semangat Tanah

Tajuk: Semangat Tanah

Penulis: Yusuf Mustanir

Sinopsis Novel Ini: 
Novel Semangatnya Tanah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini adalah pemenang Hadiah Kedua Peraduan Menulis Sastera Kreatif 2009. 

Ia mengisahkan Yusman dari Sarawak, seorang mahasiswa yang sedang menuntut di salah sebuah universiti di Semenanjung Malaysia. Yusman adalah anak sulung dan bertindak sebagai ketua keluarga setelah kematian ayahnya. 

Yusman tinggal di Kg. Saga, sebuah kampung Melayu traditional yang berdiri megah di tengah-tengah bandar Kuching. Kedudukan Kg. Saga yang sangat strategik dan mempunyai nilai-nilai komersil, menyebabkan kampung ini menjadi rebutan para pemaju hartanah untuk memajukannya. 

Hj. Zaidan, seorang pesara kerajaan dan sekarang menjadi pemaju hartanah yang terkenal di Sarawak. Beliau turut mengidamkan Kg. Saga untuk dibangunkan dengan kompleks komersil dan rumah-rumah kedai. Berbagai cara dilakukan oleh Hj. Zaidan untuk memastikan keseluruhan tanah Kg. Saga jatuh kepadanya, walaupun dengan cara yang tidak sepatutnya. 

Yusman menyedari yang pembangunan yang dirancang diatas tapak Kg. Saga sebenarnya hanya akan menguntungkan pihak kapitalis seperti Hj. Zaidan tetapi dalam masa yang sama merugikan penduduk asal Kg. Saga. Penduduk Kg. Saga hanya dibayar RM50,000 dan sebuah rumah teres 2 tingkat yang rendah kualitinya sebagai pampasan atas tanah-tanah mereka yang diambil oleh Hj. Zaidan. Dan pampasan tersebut sangat rendah jika dibandingkan dengan nilai semasa tanah-tanah tersebut juga keuntungan yang diraih oleh Hj. Zaidan dari projek pembangunan yang dijalankan. 

Ketegasan dan kecekalan Yusman mempertahankan tanah pusakanya telah mengubah tanggapan Hj. Zaidan kepadanya. Hj. Zaidan mula menyanjung keperibadian dan prinsip anak muda ini sehingga membuatkannya bercita-cita untuk menjodohkan Yusman dengan Suhaila, iaitu anak perempuan tunggalnya dan seterusnya mewariskan syarikatnya kepada Yusman. Kebetulan, Suhaila adalah rakan seuniversiti Yusman juga telah lama terpikat dengan ketokohan dan keperibadian Yusman sebagai pemimpin pelajar yang disegani di universiti mereka. 

Namun, hati Yusman telah dimiliki oleh Valentina Maria, seorang gadis kacukan Irish dan Iban. Percintaan Yusman dan Valentina telah bersulam semenjak di bangku sekolah lagi dan mendapat persetujuan kedua-dua keluarga walaupun mereka berlainan bangsa dan agama. 

Dalam usaha Hj. Zaidan untuk menjodohkan Yusman dengan Suhaila, percintaan Yusman dan Valentina Maria diuji apabila Valentina dilamar oleh Mark Anthony, seorang jurutera muda yang sebangsa dan seagama dengannya. 

Adakah Yusman berjaya mempertahankan tanah pusakanya dari jatuh ke tangan Hj. Zaidan? Siapakah yang berjaya menjadi suri hidup Yusman? Adakah gadis kaya dan pewaris tokoh perniagaan terkenal ataupun gadis kacukan Irish Iban yang berbeza latar belakang keturunan dan agama? Adakah penduduk Kg. Saga akan mendapat keadilan atas apa yang telah dilakukan oleh Hj. Zaidan kepada mereka? 

Menariknya Novel Ini:
Novel ini membawa pembaca kepada suasana dibandar Kuching sebelum Kuching dinobatkan sebagai bandaraya. Bandar yang mula membangun dan memberi kesan kepada penduduk disekitarnya. 

Latar belakang bandar Kuching, bangsa dan suku kaum yang mendiaminya, diceritakan dengan jelas oleh penulis. Selain itu, penulis juga menonjolkan sikap tolong-menolong dan saling bekerjasama antara semua penduduk di Kg. Saga. Walaupun Kg. Saga adalah kampung Melayu, tetapi terdapat juga kaum bukan Melayu seperti Cina dan India yang turut sama mendiaminya. Dan sikap kerjasama dan tolenrasi sesama kaum digambarkan dengan kukuhnya ikatan mereka terutama dalam aktiviti kenduri-kendara, sambutan perayaan juga mesyuarat Koperasi Kg. Saga. Inilah contoh konsep 1Malaysia yang dilaung-laungkan oleh kerajaan sejak beberapa tahun lepas. Hakikatnya, di sesetengah tempat, konsep 1Malaysia ini telah diaplikasikan berbelas dan berpuluh tahun dahulu lagi sebelum ia diwar-warkan. 

Watak Yusman yang dianggap sebagai hero adalah contoh personaliti seorang anak muda yang berpelajaran tinggi, teguh mempertahankan prinsipnya, berfikiran jauh, matang, tidak mementingkan diri sendiri dan tidak mudah gelap mata dengan pujukan wang ringgit. Ya, sebenarnya dari dahulu sampai lah kini, masyarakat memerlukan pemuda-pemuda yang mempunyai personaliti seperti Yusman bagi mengimbangi kerakusan, ketamakkan dan kelicikkan ahli-ahli korporat seperti Hj. Zaidan. 

Membaca novel ini sebenarnya seperti melihat kepada apa yang berlaku pada masyarakat Melayu sekarang. Berapa banyak tanah-tanah pusaka Melayu yang telah jatuh ke bangsa asing, ke pemaju-pemaju hartanah atas alasan pembangunan? Dan pembangunan yang dibanggakan itu, sebenarnya hanya mengutungkan segelintir pihak sahaja. Pemilik asal tanah kebiasaannya hanya dibayar pampasan yang adakalanya tidak munasabah. Pampasan yang diterima pula tidak mampu diuruskan dengan baik. Mereka menjadi OKB (Orang Kaya Baru) untuk tempoh beberapa bulan atau beberapa tahun yang pertama. Setelah itu, keadaan kembali kepada asal. Mereka kembali dihimpit kesusahan dan kemiskinan. Cuma bezanya, dahulu mereka miskin tetapi masih mempunyai tanah. Sekarang, mereka miskin dan tanpa tanah. Aduhai.... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...