Sunday, January 4, 2015

Book Review: Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Tajuk: Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Penulis: Prof. Dr. Hamka

Ceritanya Patung Beruang: 
Assalamualaikum wbt. Ini adalah catatan Patung Beruang yang pertama untuk tahun 2015. Alhamdulillah, kita masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk menghirup udara pada tahun 2015. Moga tahun 2015 ini Allah menganugerahkan kita dengan kebahagiaan dan kejayaan yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya, Aaminn..

Novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini sering diceritakan oleh ibu Patung Beruang. Seingat Patung Beruang, sejak zaman sekolah lagi ibu sering menceritakan tentang betapa hebatnya novel ini, dengan bahasa yang cantik, penceritaan yang dekat dengan masyarakat, sangat berpijak di bumi nyata dan betapa tragisnya sesuatu kisah percintaan itu. 

Namun, bukan mudah untuk berjumpa dengan novel ini dikedai-kedai buku yang sering Patung Beruang kunjungi. Mungkin atas faktor novel ini telah terlalu lama diterbitkan (novel ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1938), berasal dari Indonesia dan novel ini juga boleh dikategorikan sebagai sebuah karya sastera berat. 

Namun pada bulan Julai 2012, Patung Beruang terjumpa novel ini disebuah kedai buku (lebih tepat toko buku) di Putrajaya. Kedai buku tersebut banyak menjual buku-buku agama dan itulah kali pertama Patung Beruang menjejakkan kaki ke kedai tersebut. Tanpa berfikir panjang, Patung Beruang terus membelinya. Alhamdulillah, akhirnya minggu lepas (selepas 2 tahun lebih, huhu) barulah Patung Beruang berpeluang untuk membaca novel ini.

Sinopsis Novel:
Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (TKVDW) mengisahkan Zainuddin, anak yatim piatu yang berketurunan Minangkabau (dari sebelah bapa), berasal dari Padang Panjang dan Mengkasar (dari sebelah ibu). Ayah Zainuddin telah berhijrah ke Mengkasar demi membawa hatinya yang lara. Tinggallah mereka disana sehingga ibu dan ayahnya meninggal dunia. Setelah itu, Zainuddin dijaga oleh Mak Base. Setelah meningkat dewasa, Zainuddin telah merantau dan pulang semula ke Padang Panjang, dengan niat untuk mencari semula asal-usulnya, berkenalan dengan saudara-mara ayahnya dan juga menuntut ilmu. 

Kehadiran Zainuddin di Padang Panjang tidaklah berapa diterima oleh kaum kerabat disana. Mereka merasakan Zainuddin orang asing kerana ibunya bukan dari keturunan Minangkabau. Di Padang Panjang juga Zainuddin telah jatuh hati dengan Hayati. Namun, percintaan mereka ditentang keluarga Hayati dengan alasan Zainuddin tidak setaraf dengan mereka. 

Lantas, Zainuddin merantau ke kota. Disana, beliau meneruskan kehidupan dengan menumpang dirumah Muluk. Hayati pula telah dijodohkan dengan Aziz, seorang anak ahli perniagaan dari kota. Aziz dari keluarga yang kaya-raya dan keturunan yang ternama, namun Aziz mempunyai tabiat kuat berjudi dan kaki perempuan. 

Perkahwinan Hayati dan Aziz benar-benar mengecewakan Zainuddin. Beliau merasakan Hayati telah mengkhianati cinta mereka, apatah lagi Hayati juga telah menafikan segala cerita buruk tentang Aziz kerana beranggapan ia hanyalah rekaan Zainuddin akibat rasa cemburu. 

Zainuddin dan Muluk merantau ke Tanah Jawa. Zainuddin mula giat dalam penulisan sastera dan karya-karyanya mendapat tempat di dada-dada akhbar dan menjadi sebutan ramai. Kemudian, mereka telah berpindah ke kota Surabaya dan Zainuddin telah menjadi penulis dan pengarah yang terkenal.

Takdir telah menyebabkan Aziz dan Hayati berpindah ke kota Surabaya. Disana, pasangan ini telah terserempak dengan Zainuddin setelah habis menonton persembahan wayang. Zainuddin yang dulunya tidak dipandang, telah berubah menjadi ternama dan kaya-raya. Aziz pula telah terjebak dengan tabiat lamanya yang kuat berjudi sehingga harta benda mereka tergadai dan rumahtangganya bersama Hayati turut retak.

Selepas harta benda Aziz disita, pasangan Aziz dan Hayati menumpang dirumah Zainuddin. Aziz telah pergi ke Banyuwangi dengan alasan untuk mencari pekerjaan. Disana, Aziz didapati membunuh diri didalam bilik hotelnya. Dan disertakan juga surat cerai kepada Hayati. Perceraian Hayati dan Aziz, membuatkan Zainuddin nekad menyuruh Hayati pulang ke Padang Panjang menaiki kapal laut. 

Pada petang yang suram, Hayati berangkat pulang ke Padang Panjang dengan menumpang kapal Van Der Wijck. Namun, takdir telah menentukan agar Kapal Van Der Wijck karam ketika perjalanan mereka menuju ke destinasi. Adakah Hayati terselamat? Dapatkah percintaan Zainuddin dan Hayati bersatu semula atau memang Zainuddin sudah menganggap Hayati yang dicintainya suatu masa dahulu, telah mati ketika hari perkahwinannya dengan Aziz? 

Komen Patung Beruang:
Novel ini walaupun telah disusun gaya bahasanya sedikit untuk disesuaikan dengan Bahasa Malaysia, tapi pengaruh Bahasa Indonesia masih lagi kuat. Bahasanya cantik cuma Patung Beruang kurang menjiwainya disebabkan masih tebalnya accent/gaya Bahasa Indonesia. 

Secara amnya, TKVDW adalah sebuah novel yang sedih. Penulis berjaya memaparkan betapa peritnya penderitaan Zainuddin, dari kecil sehinggalah dewasa. Hidup sebatang kara, tercampak di tempat orang, zahirnya dikelilingi ramai tapi hakikatnya beliau keseorangan. Percintaannya dengan Hayati telah menghidupkan jiwanya tetapi perkahwinan Hayati telah membunuh jiwanya berkali-kali. 

TKVDW juga memaparkan kuatnya adat Minangkabau di sana sehingga kaum lelaki/bapa tidak mempunyai suara langsung walaupun dalam urusan jodoh anak gadis mereka. Turut ditunjukkan berkenaan mentaliti kebanyakkan manusia yang mudah tergoda dengan godaan wang dan kemasyuran hingga sanggup mengenepikan agama dan sifat peri kemanusiaan.

Novel ini memang memaparkan realiti masyarakat pada masa itu, digarap dengan bahasa yang cantik dan jalan cerita yang teratur. Tidak hairanlah TKVDW pernah dijadikan teks sastera untuk pelajar di Malaysia. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...