Wednesday, March 25, 2015

Tahniah Kerana Berjaya Keluar Dari Kotak Itu...

Beberapa hari lepas Patung Beruang berkunjung ke spa dengan niat untuk memanjakan diri. Disana, Patung Beruang dilayan dan dirawat oleh seorang gadis Melayu yang cantik dan sangat sopan. 

Ketika sesi rawatan, kami berbual-bual. Rupa-rupanya si gadis baru sahaja terima keputusan SPM yang telah diumumkan baru-baru ini.  Ketika ditanya apa perancangan selepas ini, beliau menjawab yang keputusan beliau tidaklah terlalu hebat. Hanya 2A sahaja. Oleh itu, beliau merancang untuk ambil kursus kemahiran kerana merasakan kursus tersebut bersesuaian dengan keputusan SPM beliau. 

Alhamdulillah kerana beliau masih ada keinginan untuk sambung belajar. 

Patung Beruang teringat dengan seorang staff spa yang Patung Beruang kenal ketika berkunjung ke Le Grandeur pada tahun lepas. Beliau sangat hebat dan teliti ketika menjalankan tugasnya. Setelah ditanya, tahulah Patung Beruang yang beliau adalah lulusan Institut Kemahiran Mara (IKM), dalam jurusan kecantikan. Dan yang hebatnya, cita-cita beliau adalah untuk membuka pusat kecantikan dan spa sendiri. Peluang berkerja di Le Grandeur dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempelajari selok-belok perniagaan, pengurusan spa, berdepan dengan customers disamping mengumpul modal. 

Patung Beruang merasa bangga apabila mendengar cita-cita dan impian beliau. Seorang gadis Melayu, dari keluarga pertengahan, tetapi mempunyai cita-cita yang hebat. Moga Allah permudahkan segala urusan beliau untuk menggapai impiannya, Aamin... :)

Itu adalah 2 kisah insan-insan yang hebat walaupun diuji dengan keputusan SPM yang agak kurang cemerlang, tetapi masih mempunyai matlamat yang jelas untuk meneruskan hidup mereka. 

Pada zaman ini, tiada lagi istilah, "Jika SPM teruk, gelaplah masa depan."  

Hakikatnya, kita lah yang menentukan sama ada masa depan kita gelap atau terang. Ada insan yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan otak yang bijak dan kemampuan untuk belajar setinggi yang boleh. Mengumpul sijil dari ijazah, master sehinggalah PhD dan professional. Alhamdullilah, kerana mereka berjaya menuntut ilmu setinggi yang boleh. Dan diharap, ilmu tersebut dapat mereka gunakan untuk kebaikan bersama juga sebagai saham akhirat. 

Tetapi, ada juga yang diuji dengan keputusan yang kurang memberangsangkan dari sudut akademik. Maka, mereka beralih arah kepada bidang kemahiran pula. Dan mereka berusaha keras mengasah kemahiran mereka demi memastikan mereka boleh mencari rezeki dimasa hadapan. Dan akhirnya, mereka ini muncul sebagai usahawan yang bermula secara kecil-kecilan tetapi jika terus digilap, bakal menjadi ahli perniagaan yang hebat.

Lihatlah disekeliling kita, berapa ramai usahawan-usahawan yang hebat, yang pendapatan sebulan mereka mencecah 5 atau 6 angka. Mempunyai asset berjuta dan perancangan masa depan yang hebat. Tetapi apabila ditanya taraf pendidikan mereka, hanyalah biasa-biasa sahaja. 

Dan ramai juga, mereka-mereka yang dulu bergelar Best Student, top scorer, performer ketika masih menuntut dahulu, but at the end, now hanya menjadi executive biasa. Bekerja makan gaji dengan gaji yang tidak seberapa.  

Oleh itu jangan sekali-kali berputus asa jika keputusan akademik kita tidak sehebat orang lain. Dan jika kita pula yang dapat perfect score, janganlah kita pandang rendah pada mereka yang hanya dapat markah cukup-cukup untuk lulus sahaja. 

Kita tidak tahu rezeki kita dan mereka pada masa hadapan. Mungkin hari ini, kita lah Best Student, dan dia hanyalah pelajar biasa yang tidak siapa pun peduli keputusan peperiksaannya. Tetapi, mana tahu 15 tahun akan datang, kita hanyalah seorang pekerja di sebuah syarikat swasta dimana dia menjadi pemiliknya a.k.a CEO...   Tahniah, kerana pemikiran anda yang diluar KOTAK itu lah yang menyebabkan anda menjadi CEO :)

Saturday, March 21, 2015

Dimanakah Adab Kita Sebagai Tetamu???

Pada suatu hari, Patung Beruang menunaikan solat di sebuah surau yang terletak didalam pejabat sebuah syarikat swasta. Tatkala kaki ini melangkah masuk ke dalam surau, ia disambut dengan pandangan mata beberapa staff wanita disana yang sedang rancak berbual. 


Memandangkan tiada seorang pun yang Patung Beruang kenal dan tidak mahu membuang masa yang sangat berharga ini, Patung Beruang cepat-cepat menunaikan kewajipan kepada Yang Maha Berkuasa. 






Namun, solat pada kali itu agak terganggu. Dengan suara staff-staff tersebut yang rancak berbual (sebenarnya lebih kepada menjerit), gelak ketawa dan bersoal jawab sehingga ke tahap mengeluarkan perkataan-perkataan yang kurang sopan (istilah lainya adalah memaki-hamun)

Dek mengenangkan Patung Beruang hanyalah seorang tetamu disana, dan rasa malu yang amat sangat pada Allah dan Malaikat-Malaikat yang berada dikiri dan kanan ini, Patung Beruang teruskan juga solat ini walaupun dalam hati rasa macam nak tegur sahaja kelakuan mereka. 


  • "Ya Allah, ampunkan lah hamba-Mu ini kerana solat tersebut bukanlah solat yang terbaik dari Patung Beruang :( "

Keadaan itu berterusan sehinggalah Patung Beruang selesai solat. 

Apa yang berlaku itu membuatkan Patung Beruang terfikir;     

  • Adakah mereka tidak sengaja TERBUTA MATA dari melihat seseorang yang sedang bersolat dihadapan mereka? 
  • Atau ia memang perbuatan yang disengajakan?  
  • Jika tidak mahu menghormati orang yang sedang solat, sekurang-kurangnya hormatilah rumah Allah. Sangat tidak sopan jika kita terjerit-jerit, ketawa sehingga nampak anak tekak, menyanyi lagu-lagu yang melalaikan dan memaki-hamum sesama sendiri didalam rumah Allah. Bukankah kita ini semua TETAMU-Nya???

Tidak berapa lama selepas kejadian itu, seseorang bercerita pengalamannya menunaikan solat di surau tersebut. Dan pengalamannya sama seperti apa yang Patung Beruang alami. Rupa-rupanya, ada rasa tidak puas hati dikalangan staff disana apabila surau mereka turut dikongsi oleh staff dari syarikat lain, walaupun perkongsian itu sebenarnya bukanlah percuma. 

Selama ini, Patung Beruang bekerja di organisasi-organisasi yang besar. Dan, apa yang dapat Patung Beruang lihat, keadaan surau dan mereka-mereka yang hadir kesana, attitude mereka adalah SANGAT BERBEZA. 

    Pergilah ke Balai Islam TNB di Jln Bangsar, 
    atau surau Pos Malaysia yang terletak di tingkat 7, Wisma Dayabumi, 
    atau juga ke surau MMC yang terletak di Mezzanine Floor, Wisma Budiman. 

Surau-surau mereka sangat bersih, terjaga dan sedap mata memandang, tidak ada kedengaran suara orang berbual-bual, gelak ketawa, menyanyi dan jauh sekali memaki-hamun. 

Satu-satunya suara yang kedengaran adalah suara seseorang yang sedang mengimamkan solat fardhu ketika itu. (Pengunjung Balai Islam TNB dan Surau Pos Malaysia sangat suka solat berjemaah walaupun hanya sekadar seorang imam dan seorang makmum, Alhamdulillah... )  Dan kami telah terbiasa, bercakap dengan suara yang paling minimum atau istilahnya BERBISIK ketika didalam Surau.. walaupun ketika itu tiada orang yang sedang bersolat... 

Ini adalah pengalaman Patung Beruang sendiri. Kisah ini juga sebagai teguran untuk diri Patung Beruang supaya jangan melakukan kesilapan yang sama. Tidak ada niat untuk memalukan atau mengaibkan sesiapa. Maka, mulai sekarang, apa kata Patung Beruang dan kita semua ini audit diri kita sendiri. Sama-samalah kita berusaha untuk lebih menjaga adab dimana sahaja kita berada, dan lebih-lebih lagi didalam rumah Allah. In shaa Allah.... :)

Wednesday, March 18, 2015

Book Review: Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti

Tajuk: Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti 

Penulis: Hilal Asyraf dan Aiman Azlan

Menariknya Buku Ini: 
Ini adalah buku terbaru yang Patung Beruang baca. Buku ini adalah buah tangan dari book fair di KLCC tahun lepas. 

Alhamdulilah, dapat juga Patung Beruang curi-curi masa untuk membaca, biasanya sebelum tidur. Dan hasilnya, ia mengambil masa berminggu-minggu untuk habis. Rasa macam tak best pula bila lambat sangat nak habiskan pembacaan satu-satu buku, huhu... 

Buku Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti ini mengandungi 52 kisah nukilan dari 2 penulis muda yang sangat berbakat. Pembaca akan memulakan pembacaan dengan kisah mengenai apa tujuan sebenar kehidupan kita ini. Adakah kita dicipta semata-mata kerana untuk memenuhkan bumi Allah ini? Ataupun kita dicipta untuk berlumba-lumba mencari kekayaan dan memuaskan nafsu sehingga kita merasa seolah-olah hidup ini adalah selama-lamanya? Ataupun kita dicipta untuk beribadah dimana istilah ibadah yang kita fahami adalah duduk 24 jam, 7 hari seminggu di dalam masjid sehingga kita tidak menghiraukan makan pakai anak isteri, ibu dan bapa, kita tidak tahu yang jiran tetangga kita sudah beberapa hari kehabisan beras, dan kita juga sengaja memejamkan mata dengan runtuhnya institusi keluarga dan masyarakat diluar sana. Bab 1: Tujuan Kehidupan ini benar-benar sesuai dijadikan pembuka santapan minda pembaca. 

Seterusnya, pembaca dibawa pula menyelusuri bagaimana kita membina hubungan dengan Big Boss didalam Bab 2: Ukhwah Dengan Allah. Kita sering kali sibuk untuk menjaga ukhwah dengan manusia yang lain, sanggup membuat apa sahaja hatta adakalanya sampai tahap mengampu dan sanggup menikam belakang orang lain. Semuanya dibuat agar hubungan baik yang terbina kekal dan tetap memberikan manfaat kepada diri sendiri. Tetapi, kita lupa untuk membina ukhwah dengan Pencipta manusia. Pelikkan?? Patung Beruang teringat pesan ustaz; 

"Jika kita seringkali ditimpa kesusahan, kesulitan, tidak bahagia dan tidak tenang, periksa lah semula hubungan kita dengan Allah dan perbaikilah hubungan itu."  

Didalam kehidupan kita seharian, banyak perkara yang menuntut perhatian dan komitmen kita seperti keluarga, pekerjaan, masyarakat dan sebagainya. Kadang-kala terlalu asyik dengan kerja dipejabat atau terlalu ghairah meeting dengan client, sehingga kita lewat menunaikan solat fardu Zuhur. Walhal, boleh je kita ketepikan 5-10 minit untuk menunaikan tanggungjawab kita pada Yang Maha Esa di awal waktu. Kita selalu bangun pada pukul 4 pagi untuk menonton bola sepak pasukan luar negara, atau mungkin untuk menyiapkan audit report yang dah nak dekat deadline. Yelah, awal pagi, suasana sangat tenang jadi idea untuk menulis report tu pun mencurah-curah lah. Tetapi, kita sangat kedekut untuk ambil 20-30 minit untuk menunaikan Solat Tahajud, Hajat dan Taubat. Alangkah bagusnya, jika kita laksanakan dulu solat-solat sunat itu sebelum kita duduk mengadap laptop menyiapkan kerja.... Setiap bulan kita potong sedikit duit gaji kita untuk bayar zakat. Tapi, niat sebenar kita bayar zakat bukannya kerana Allah tetapi kerana untuk dapat pelepasan cukai. Jadi, cukup setahun, kita boleh dapat refund income tax beribu-ribu. Itu adalah contoh-contoh dimana kita lebih mengutamakan hal-hal duniawi dari kecintaan kita pada Allah SWT. Dalam erti kata lain, ia adalah Berhala-Berhala Dalam Jiwa seperti yang dikupas didalam Bab 29

Jika ditanya, siapa yang nak masuk Syurga, sila angkat tangan?? Patung Beruang yakin, semua orang akan angkat tangan.. Tetapi, adakah kita telah membuat sehabis baik untuk memastikan kita layak masuk Syurga?? Cukupkah sekadar solat 5 kali sehari di hujung waktu, puasa makan dan minum cukup sebulan di bulan Ramadhan tetapi masih bergosip di whatsapp 24 jam, pergi menunaikan ibadah haji 5 kali dan pulang dengan bagasi yang berpuluh-puluh dan penuh diisi dengan barang shopping untuk 1 kampung, sudah melayakkan kita untuk masuk ke Syurga? Adakah kita memang telah dijamin Syurga? Jika difikir logik, jika kita nak masuk Syurga, maksudnya kita akan menjauhi Neraka. Oleh itu, periksa semula keadaan, perbuatan, pemikiran, hati dan diri kita ini, adakah segala yang kita lakukan sekarang membuatkan kita jauh dari Neraka??? Satu persoalan yang menarik untuk kita fikirkan dan tanyalah diri kita sendiri, Tiket Ke Syurga, Siapa Yang Pegang? (Bab 33).

Kesimpulannya, buku Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti ini penuh dengan kisah-kisah menarik yang menyentuh kehidupan seharian kita di bumi Allah juga kehidupan selepas ini, tetapi disampaikan dengan gaya bahasa yang santai. Ada antara persoalan-persoalan yang dikemukan oleh 2 orang penulis ini membuatkan kita tersentak dan termalu sendiri. Kita tidak pernah lepas dari melakukan kesilapan, sama ada sengaja ataupun tidak. Dan bersyukur lah sebab masih ada orang yang prihatin untuk menegur kesilapan kita. Terima dengan hati yang lapang dan berazamlah untuk memperbaikinya..  :)

Sunday, March 8, 2015

Simple Yang Simpul

 
Patung Beruang ada seorang sahabat. Sahabat ini sudah berusia dan mempunyai latar belakang yang hebat dari agensi kerajaan ataupun swasta.
 
Dia seorang yang baik cuma kadang-kala kerenahnya menguji kesabaran Patung Beruang. Bukanlah benda besar pun cuma dia seorang yang suka menyulitkan keadaan yang simple.
 
Ada satu insiden yang berlaku di hadapan mata Patung Beruang dimana beliau menyuruh staff nya untuk menyediakan surat yang hendak dihantar ke satu jabatan Kerajaan dan juga borang yang mengandungi senarai asset. Simple sahaja permintaannya itu. Tetapi, percaya atau tidak, surat dan borang tersebut mengambil masa sehingga 3 hari untuk dokumen itu keluar dari pejabat sahabat Patung Beruang ini.
 
Tidak cekap kah staff dia tu? Tak kanlah buat surat dan borang simple itu pun amik masa sampai 3 hari? Pasti soalan-soalan itu akan berlegar di kepala semua orang kan?? heheh..
 
Sebenarnya, staff itu cekap. Surat dan borang itu telah sampai ke tangan sahabat Patung Beruang ini pada petang hari yang sama, arahan tersebut dikeluarkan. Tetapi, dek kerana sikap cerewet, tidak tetap pendirian dan tidak menghormati masa, sahabat Patung Beruang ini menukar atau mengedit dokumen tersebut lebih dari 10 kali. Mengarut kan??
 
Patung Beruang yakin, ramai diantara kita juga bersikap sedemikian atau dikelilingi oleh orang-orang yang sedemikian. Mengapa kita suka merumitkan sesuatu yang sepatutnya ringkas sahaja. Tidak perlu mengarang ayat yang berbunga-bunga  sehingga penuh 1 kertas A4 jika ia boleh disampaikan dan difahami dengan jelas hanya dalam 1 perenggan sahaja.

Tidak salah untuk menjadi seorang perfectionist. Tetapi, kita kena juga fikirkan adakah sikap perfectionist kita tu akan menyebabkan pembaziran masa, tenaga, idea etc. atau menjadikan sesuatu proses itu lebih efisien? Ya, Patung Beruang juga akan naik angin dengan orang yang suka buat kerja cincai-cincai, tidak pentingkan kualiti, buat membuta tuli tanpa memahami dengan jelas apa objektif yang hendak dicapai. Kadang-kadang ada juga staff Patung Beruang merungut kata Patung Beruang ini cerewet. Tetapi, biarlah cerewet itu bertempat. Setakat ini, belum pernah lagi terjadi mana2 staff Patung Beruang amik masa 3 hari semata-mata untuk menyiapkan surat dan borang yang benar-benar memuaskan hati Patung Beruang, heheh..

Kerja sebagai internal auditor ini membuatkan kita sangat tepati masa/deadline tetapi dalam masa yang sama, menjaga kualiti kerja kita. Dan disebabkan itu, internal auditor ini tidak suka berbelit-belit. Semua kena straight to the point. Sebab kalau berbelit dan bersimpul, kita takut client atau management tidak akan faham apa yang kita cuba sampaikan. Lagipun, kami di sector swasta ni, time is a money. Jadi, kalau kami banyak membazir masa, secara tak langsung kami juga membazirkan wang dan sumber syarikat. Nanti kalau syarikat rugi, kami juga yang tak dapat bonus, huhu...

Jika dilihat disekeliling kita, banyak sahaja proses atau urusan yang boleh di simplify kan tanpa perlu merumitkan keadaan. Sebagai contoh, Patung Beruang pernah melihat satu foodcourt di sebuah kompleks membeli-belah di Johor dimana foodcourt tersebut menggunakan system kupon. Pelanggan hendaklah membeli kupon di cashier (yang ada hanya 1 atau 2 sahaja di foodcourt besar itu) terlebih dahulu dan selepas itu, barulah boleh pergi ke mana-mana stall yang ada dlm foodcourt itu untuk membeli makanan. Pelanggan akan menyerahkan kupon tadi kepada peniaga di stall tersebut sebagai bayaran kepada makanan itu. Patung Beruang tidak pasti what happened if kupon itu tidak habis digunakan? Adakah kira hangus mcm tu sahaja ataupun boleh digunakan di waktu lain?  Patung Beruang tidak faham kenapa nak gunakan system kupon. Bayar sahaja lah di stall masing-masing. Satu proses sahaja, dan customer dah boleh dapat makanan atau minuman mereka. Kan senang dan simple. Customer selesa dan tidak mustahil mereka akan kembali lagi untuk kali-2 dan seterusnya.

Tetapi tidak semua perkara kita boleh simple kan. Contohnya dalam soal agama dan beribadat. Kita wajib mengikut aturannya, rukunnya dan kewajibannya. Dalam aktiviti solat, kita tak boleh sesuka hati melanggar rukun atau proses aturannya dengan alasan untuk menjadikan ia lebih simple. Salah tu. Malah, silap2 nanti solat kita dianggap tidak sah.


Begitulah cerita kehidupan kita. Ada perkara yang kita boleh cuba untuk jadikan simple tetapi ada perkara kita kena teguh berpegang pada proses dan aturannya. Jadi apa kata, untuk perkara-perkara duniawi yang remeh-temeh ini, kita cuba mengurangkan dan mengelakkan sikap, perilaku, tindakan dan keputusan kita yang sepatutnya simple tetapi kita pula menjadikannya simpul. Percaya lah, ia tetap akan mencapai objektif kita tetapi dalam keadaan yang lebih baik. 
 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...