Sunday, May 17, 2015

Book Review: Quran Saintifik

Tajuk: Quran Saintifik 

Penulis: Dr. Danial Zainal Abidin

Menariknya Buku Ini:
Buku ini sebenarnya kepunyaan adik Patung Beruang yang dibeli beberapa tahun lepas. Dan lama Patung Beruang nak pinjam buku ini untuk dibaca, cuma tidak berkesempatan.

Alhamdulillah, seminggu selepas accident hari itu, Patung Beruang ternampak buku ini di rak buku di rumah. So, bermulalah pengembaraan Patung Beruang menyelusuri isi kandungan buku ini.

Pengisian Quran Saintifik terbahagi kepada 5 bahagian iaitu:

  • Bahagian 1: Cemerlang Dengan Menguasai 2 Ayat
  • Bahagian 2: Permulaan Alam Semesta Permulaan Segala-galanya
  • Bahagian 3: Manusia dan Asal Usulnya
  • Bahagian 4: Tujuan dan Matlamat Hidup Manusia
  • Bahagian 5: Epilog
Bahagian 1: Cemerlang Dengan Menguasai 2 Ayat membuka penceritaan naskah ini dengan memperihalkan berkenaan apa itu Al-Quran dan rahsia-rahsia yang terkandung didalamnya. Rahsia-rahsia ini telah dibuktikan melalui kajian saintifik dan secara tidak langsung sains juga membuktikan mukjizat Al-Quran. Dr. Danial juga menekankan bagaimana Islam menjadi pemangkin sains dimana Al-Quran membuatkan pembacanya mempunyai minda yang progresif dan saintifik. Ia melahirkan generasi manusia yang kuat berfikir, kritikal, mampu menganalisis data dan fakta serta mampu membuat andaian dan rumusan berdasarkan pemerhatian. 

Bahagian 2: Permulaan Alam Semesta Permulaan Segala-galanya pula membawa pembaca kepada teori dan pembuktian kejadian alam semesta ini. Turut diceritakan adalah Big Bang Theory yang menjadi pegangan umum oleh para saintis. Mengikut Big Bang Theory, alam ini pada asalnya bercantum padu, kemudia berlaku suatu letupan yang kuat, sekitar 12 hingga 14 bilion tahun dahulu. Selepas itu berlakulah pengembangan dan penyejukan sehingga akhirnya lahir bintang-bintang, planet-planet, galaksi dan yang seumpamanya. 

Didalam Al-Quran, surah al-Anbiyak ayat 30, Allah SWT ada berkata, 
"Apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup."

Adakah alam semesta ini, apabila ia wujud, terus menjadi seperti sebegini rupa? Seperti keadaan pada hari ini? Dalam surah Fussilat, ayat 11 ada menyatakan yang bermaksud, 
"Kemudian dia menuju ke langit dan langit pada masa itu berbentuk asap lalu dia berkata kepadanya dan bumi, 'Datanglah kamu berdua dengan tunduk atau terpaksa'. Keduanya menjawab, 'Kami datang dengan tunduk.'"

Ayat diatas menunjukkan beberapa konsep kosmologi yang menarik iaitu, pertama, ini menunjukkan Allah menuju ke langit dan langit pada masa itu berbentuk asap. Langit melambangkan kosmos yang luas. Kedua, Allah mengarahkan langit dan bumi supaya keluar menjelma daripada asap yang memenuhi kosmos di peringkat awal kejadian alam. 

Para saintis melaporkan pada tahun 1999, satu penemuan dimana mereka mendapati awan-awan raksasa yang dipenuhi gas memainkan peranan penting dalam melahirkan bintang-bintang dan juga galaksi-galaksi di langit sebelum ini. Disamping itu, sebahagian daripada awan ini menentukan komposisi kimia di galaksi-galaksi dengan menghujaninya dengan gas-gas tertentu dari masa ke semasa. 

Selain itu, NASA pula melaporkan pada tahun 2005 dimana mereka menemui 2 gumpalan awan raksasa yang dipenuhi gas-gas bersuhu tinggi. Kajian pakar-pakar menunjukkan gas-gas seumpama awan ini mampu melahirkan galaksi-galaksi yang mengandungi berbilion bintang.

Berapakah jumlah semua bintang yang berada dalam 1 kosmos? Jawapannya adalah 70 sextilion (iaitu 7 diikuti dengan 22 kosong) bintang-bintang. Allahu Akbar, banyaknya. Dan yang lebih menakjubkan lagi 70 sextilion ini menyamai 10 kali ganda jumlah pasir yang terdapat di semua pantai dan gurun di dunia ini. Malah, sebahagian daripada bintang-bintang ini adalah lebih besar dari matahari, contohnya KW Sagitarii dan KY Cygni yang berukuran 1,500 kali lebih besar dari matahari. 

Jika diteliti, Al-Quran telah menyatakan fenomena kejadian alam ini dengan jelas. Penciptaan galaksi, kosmos, matahari, bumi, Nebula Rose, malah Black Holes sekali pun turut terkandung didalam kitab suci umat Islam ini. Dan segala-galanya dapat dibuktikan melalui sains, melalui teknologi canggih yang dicipta manusia pada masa kini. Masih ragukah kita dengan Al-Quran? 

Bahagian 3: Manusia Dan Asal-Usulnya dimulakan dengan persoalan adakah hidupan berasal daripada air dan bagaimana air menjadi asas kepada kejadian manusia. Dan seterusnya, pembaca dibawa kepada penciptaan Nabi Adam a.s. dan juga Hawa. Dr. Danial turut mengupas Teori Evolusi Darwin yang menyatakan kesemua manusia yang hidup, sama ada manusia ataupun haiwan, berasal daripada keturunan yang sama atau common ancestor. Adakah logik teori ini? Dan bagaimana para saintis yang lain menyanggah teori ini.

Kejadian manusia adalah satu proses yang sangat menarik untuk dibincangkan oleh para saintis. Cabang ilmu ini dinamakan Embriologi iaitu ilmu yang membincangkan mengenai proses kejadian embrio dalam rahim. Secara logiknya, fasa-fasa perubahan embrio dalam rahim tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan tanpa alat-alat yang canggih, manusia tidak dapat mengetahui proses perkembangan bayi dalam rahim secara terperinci. 

Dalam surah al-Haj, ayat 5 Allah ada menjelaskan, 
"Wahai manusia jika kamu meragui hari kebangkitan (maka ingatlah) kami menciptamu daripada tanah, kemudian daripada nuthfah."

Perkataan nuthfah itu dikaitkan dengan proses persenyawaan yang bermaksud percantuman antara benih lelaki iaitu sperma dan benih perempuan iaitu ovum. Dan kenyataan ini dibuktikan oleh sains. 

Selepas percantuman benih atau persenyawaan (fertilisation) berlaku, bermulalah fasa-fasa kejadian bayi daripada satu tahap ke tahap yang lain. Dan ia selari dengan ayat 14 dari surah Nuh iaitu, 
"Padahal dia menciptakan kamu dalam beberapa tingkatan kejadian."

Pada peringkat awal, bayi dikenali sebagai embrio. Selepas benih lelaki dan wanita bercantum, embrio berubah menjadi alaqah yang bermaksud segumpal darah, suatu yang melekat atau lintah. Dan didalam sains, memang terbukti semasa embrio berumur lebih kurang 2 minggu, ia menyamai rupa seekor lintah berukuran lebih kurang 0.6mm yang tergantung di rahim ibunya yang dikenali sebagai endometrium

Selepas embrio menjadi alaqah, ia akan bertukar menjadi mudghah yang bermaksud daging yang sedikit yang sebahagian daripadanya telah dikunyah. Proses ini dinyatakan didalam surah al-Mukminun ayat 14, 
"Kemudian daripada alaqah kami jadikan mudghah."

Seperti yang dibuktikan oleh sains, embrio ketika berumur lebih kurang 4 minggu, berbentuk seperti mudghah. Keadaan ini berpunca daripada sel-sel yang dikenali sebagai somites yang terdapat di atas embrio. Somites akhirnya bertukar menjadi tulang belakang atau vertebrae. Dan selepas itu, embrio ditutupi tulang dan daging dan seterusnya berubah kepada rupa bentuk manusia. Perubahan ini berlaku semasa embrio memasuki tahap umur 6 minggu dan pada masa itu embrio mempunyai sel-sel asas bagi pembentukan organ-organ. Dan pada masa ini, embrio tidak lagi dikenali sebagai embrio, sebaliknya sebagai janin atau human foetus

Dan dalam Bahagian ini, pembaca seterusnya dibawa kepada bagaimana Allah menyempurnakan kejadian manusia dengan memberinya pendengaran, penglihatan, akal dan seterusnya ditiupkan roh. Bahagian ini juga turut menyentuh berkenaan dengan penentuan jantina dan ajaibnya susu ibu seperti yang terkandung didalam al-Quran dan yang dibuktikan oleh sains.  

Bahagian 4: Tujuan Dan Matlamat Hidup Manusia menyentuh berkenaan dengan tujuan sebenar kita hidup ini adalah untuk beribadah kepada Yang Maha Pencipta. Ibadah mempunyai rahsia dan hikmatnya. Sebahagian hikmat itu dapat difahami oleh manusia seperti membersihkan jiwa, menjadikan kita peka dengan waktu, meningkatkan kesihatan dan sebagainya. Tetapi, sebahagian hikmat yang lain, tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali Allah SWT. Namun, yang pasti, ibadah itu tidak membebankan manusia sebaliknya ia menguntungkan manusia di segenap penjuru kehidupan. 

Dalam bahagian ini, turut disentuh hikmat larangan-larangan yang Allah SWT perintahkan seperti maksiat, seks bebas, pengharaman seks semasa haid, pengharaman arak, daging haiwan liar dan babi. 

"Solat itu ringan tetapi berat." 

Itulah ungkapan yang sering kedengaran. Solat itu ringan kerana ia hanya memakan masa beberapa minit sahaja. Pergerakan yang teratur dan tidak menyakitkan. Boleh dilakukan dimana sahaja asalkan kawasan itu bersih dari najis. Tetapi, solat itu berat kerana masih ramai yang memandang remeh akannya, masih ramai yang culas didalam menjaga solat 5 waktu mereka dan masih ramai yang memberi 1001 alasan untuk tidak bersolat. 

Sedarkah kita solat itu banyak hikmatnya? Solat itu membina jati diri seseorang, menguatkan jiwanya, membentuk disiplin dan mendidik kita menjadi pengurus masa yang baik. 

Dari aspek kesihatan pula, solat baik untuk kecergasan otak, dimana otak akan mendapat oksigen ketika kita sujud. Jangan lupa, walaupun otak ini beratnya hanya 3% daripada keseluruhan berat badan kita, tetapi ia menggunakan 25% oksigen yang terdapat didalam badan kita. Jadi, dalam keadaan biasa, sebahagian sel-sel otak tidak mendapat keperluan oksigen yang diperlukan kerana jantung terpaksa mengepam darah ke atas sekaligus ia melawan tekanan graviti. 

Solat juga membantu mengelok dan memantapkan sendi terutamanya bagi mereka yang mengidap penyakit radang sendi seperti osteoarthritis. Kajian pakar membuktikan senaman secara berterusan adalah penting bagi kesihatan sendi disamping mampu mengurangkan sakit. Hal ini disebabkan senaman merangsang pengeluaran hormon endorphin yang berfungsi mengurangkan deria sakit. Maka, aktiviti pergerakan tangan dan kaki secara sederhana ketika solat sangat bermanfaat pada sendi-sendi badan. 

Kesimpulannya, pada pandangan Patung Beruang, naskah Quran Saintifik ini adalah satu naskah yang sangat hebat. Dr. Danial mengupas banyak isu-isu saintifik dengan berpaksikan ayat-ayat Al-Quran serta kajian-kajian sains yang telah dilakukan oleh pakar-pakar yang berkenaan. Naskah ini padat dengan ilmu pengetahuan, disusun dengan teratur dan dijelaskan dengan pendekatan yang mudah difahami. Banyak ilmu pengetahuan baru yang Patung Beruang perolehi dari buku ini. 

Dan sudah semestinyalah bahagian kegemaran Patung Beruang adalah Bahagian ke-2 iaitu berkenaan penciptaan Alam Semesta. Tiba-tiba teringat yang masa sekolah rendah dulu, pernah bercita-cita untuk belajar dalam bidang Astronomy dan menjadi seorang astrophysicist sebab masa tu Patung Beruang sangat taksub dan kagum dengan Dr. Mazlan Othman. I wish I can turn back time, hm... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...