Saturday, July 11, 2015

Book Review: Pemburu Mimpi

Tajuk: Pemburu Mimpi

Penulis: Saleha Hussin

Sinopsis Novel Ini:


Novel Pemburu Mimpi ini membariskan beberapa watak utama seperti Hendon, Hamimah, Hayati, Halina dan Ariff.

Hamimah, adalah anak sulung dari 5 adik beradik. Ibunya, Hendon adalah orang kampung yang bermukim di Negeri Sembilan. Suami Hendon, iaitu Johan adalah seorang anggota polis. Perkahwinan Hendon dan Johan tidak direstui keluarga Johan kerana keluarganya mempunyai calon menantu pilihan iaitu Natijah. 

Johan mengimpikan anak lelaki namun kesemua anaknya bersama dengan Hendon adalah perempuan. Lantas, menggunakan alasan tersebut, Johan bernikah dengan Natijah seperti yang didesak keluarganya selama ini. Namun, Johan gagal berlaku adil terhadap kedua-dua isterinya. Natijah dilebihkan dengan alasan isteri ke-2 ini berjaya memberi anak lelaki kepadanya. Akhirnya Johan menceraikan Hendon dan terus melupakan tanggungjawabnya sebagai bekas suami dan juga seorang ayah. 

Hendon berhempas pulas membesarkan anak-anaknya seorang diri. Kehidupan serba daif, dan dipandang hina oleh orang sekeliling tidak pernah mematahkan semangat Hamimah dan adik-adiknya untuk berjaya didalam pelajaran. 

Berbelas tahun selepas itu, Hamimah muncul didada-dada akhbar apabila menjadi gadis Melayu pertama yang menerima Ph.D dalam jurusan kejuruteraan elektrik dengan majoring power generation dari University London. Seterusnya, Hamimah atau Dr. Hamimah menjadi tenaga pengajar di salah sebuah universiti tempatan. Dalam masa yg. sama Dr. Hamimah juga berjinak-jinak didalam bidang politik apabila aktif sebagai setiausaha kerja kepada seorang ahli politik. Dr. Hamimah mempunyai cita-cita yang tinggi didalam politik dimana dia berhasrat untuk menaiktaraf kehidupan kaum wanita terutama golongan isteri dan ibu tunggal. Kepahitan hidupnya sejak kecil membuatkan Dr. Hamimah sangat sensitif dengan nasib kaum wanita. Namun, usia politiknya yang masih setahun jagung ditambah dengan wajah jelita dan status bujangnya itu membuatkan Dr. Hamimah sering terdedah dengan fitnah dari orang disekelilingnya. Adakah Dr. Hamimah akan berjaya didalam mencapai cita-cita politiknya atau nekad untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang akademik? 

Adik-adik Dr. Hamimah yang lain juga berjaya mengikut jejak langkahnya untuk cemerlang didalam akademik dan kerjaya. Hayati, adik keduanya berjaya memperolehi kelulusan professional didalam bidang kejuruteraan serta mempunyai Sarjana dalam Marine Engineering, dari luar negara. Hayati berkhidmat di Azmi, Chan dan Abu Bakar Consultant Firm. Disana, Ariff pelanggan utama mereka telah jatuh hati dengan Hayati dan berusaha keras untuk memilikinya. Namun, pengalaman hidup Hayati yang pahit melihat kehancuran rumahtangga ibu bapanya, membesar didalam keadaan daif ditambah pula dengan latar belakang Ariff, seorang tokoh korporat muda yang berjaya dan disegani, lahir dari keluarga ternama membuatkan Hayati ragu-ragu untuk menerima Ariff didalam hidupnya. Dalam masa yang sama, Razak, seorang jurutera di Firma yang sama juga menyimpan perasaan kepada Hayati. Namun, tidak pernah dibalas oleh Hayati kerana dia menganggap Razak hanya sebagai rakan sekerja. Menjadi seorang perempuan didalam dunia kejuruteraan yang dimonopoli oleh lelaki memberi laluan yang sukar buat Hayati. Hayati mengimpikan diberi projek-projek yang mencabar sesuai dengan ilmu dan kelulusannya. Adakah Ariff dapat menyakinkan Hayati lantas membuatkan Hayati mampu menerimanya ataupun Hayati berjaya direbut oleh Razak? Adakah Hayati akan diberi peluang untuk menunjukkan kebolehannya didalam dunia kejuruteraan ataupun dia hanya tersekat sebagai engineer biasa yang banyak menghabiskan masa di pejabat? 

Halina, gadis lulusan luar negara yang bergelar professional accountant. Halina berkerja di Bank Negara dan sedang menghitung hari untuk bernikah dengan Zambri, lelaki yang dikenalinya semenjak diluar negara lagi. Luaran seperti gadis alim dan bersopan santun, tetapi dalam hatinya menyimpan perasaan marah dan benci kepada ibunya sendiri, Hendon.  Halina menyalahkan Hendon diatas perceraianan Hendon dan Johan. Halina juga merasakan yang Hendon tidak pernah menyayanginya kerana Halina diserahkan kepada Cikgu Amin, adik bongsu Hendon untuk dijaga dan dibesarkan. Halina tidak pernah merasakan suasana kemiskinan dan kedaifan yang ditanggung oleh kakak-kakaknya, Hamimah dan Hayati, serta adik-adiknya iaitu Haliza dan Hadidah.

Halina akhirnya bernikah dengan Zambri, lantas berhenti dari Bank Negara. Zambri seorang guru disekolah kerajaan, namun akhirnya berhenti kerja untuk aktif didalam kegiatan dakwahnya. Perkahwinan mereka tidak membuahkan zuriat, dan Zambri menikahi Siti Atikah, seorang gadis awal 20-an. Bermulalah kehidupan Halina sebagai isteri yang bermadu. Walaupun zahirnya Zambri kelihatan seorang yang alim, namun hakikatnya Zambri bukanlah suami yang baik. Tidak berlaku adil, tidak bertanggungjawab dan menyeksa mental dan psikologi isteri-isterinya. Adakah Halina bahagia dengan pilihannya atau masih ada harapan untuk Halina keluar dari kepompong dunia yang bertopengkan Islam semata-mata demi memuaskan nafsu golongan lelaki didalam dunia tersebut? Adakah Hamimah dan Hayati akan membuat tindakan drastik untuk menyelamatkan Halina? Dapatkan Halina memaafkan Hendon atas segala apa yang berlaku didalam keluarga mereka? 

Menariknya Novel Ini:
Novel ini Patung Beruang beli 2 tahun lepas ketika Pesta Buku Antarabangsa KL, di PWTC. Karya yang mempunyai 1,425  muka surat ini, terlalu tebal untuk sebuah novel Melayu. Oleh sebab tu, selama 2 tahun novel ini elok je duduk di rak buku dalam bilik Patung Beruang ni, hehe.. Cuma masa awal Ramadhan hari tu, barulah Patung Beruang nekad untuk membacanya. 

Novel ini diterbitkan pada tahun 2005 dan mengambil latar belakang tahun 90-an sehingga awal 2000. 

Oleh kerana watak utamanya lebih dari seorang, novel ini banyak ceritanya. Namun, Saleha Hussin seorang penulis yang bijak. Beliau bijak menyusun semua cerita didalam novel ini agar ia mudah difahami, lompat dari satu watak ke satu watak dengan lancar, dan sentiasa memberi kejutan kepada pembaca. 

Kesusahan hidup Hendon dan anak-anaknya berjaya memberi emosi sedih kepada pembaca. Namun kekuatan semangat juang mereka membangkitkan rasa kagum pembaca kepada mereka anak-beranak. Novel ini juga kuat disokong oleh watak-watak sampingan yang memberi rencah kepada setiap cerita. Kelancangan mulut Natijah dan sifat pengecut Johan, membuatkan kita rasa benci dan marah dengan 2 watak ini. Turut diselitkan watak ayah Ariff, iaitu Tan Sri Dato' Yaacob, tokoh korporat ternama tetapi sangat baik hati dan suka mendekatkan diri dengan agama. Amat berbeza dengan isterinya, Pn Sri Datin Faridah Khalidah, wanita elegan tetapi sangat mementingkan status sehingga tergamak menghancurkan kebahagiaan anaknya sendiri dan beliau diibaratkan seperti silent killer didalam novel ini. 

Kesimpulannya, ternyata novel ini sangat sedap dan penuh dengan kejutan. Patung Beruang hanya amik masa 4 hari je untuk habiskan keseluruhan novel ini. Pernah pada satu malam tu, Patung Beruang tengah tido dan tiba-tiba terjaga pada pukul 3 pagi. Puas lah pujuk mata ini untuk lelap semula tapi tak berjaya. Akhirnya, Patung Beruang bangun dan sambung baca novel ini. Sambil baca, sambil tu juga lah makan dan minum, konon-kononnya bersahur lah. Akhirnya, sampai pukul 6 pagi Patung Beruang mengadap novel ini. Lepas Subuh, mata memang sangat berat, tapi tak mampu nak tido. Akhirnya, terus lah bersiap untuk pergi ofis. Kesudahannya sepanjang hari Patung Beruang rasa mengantuk, sakit kepala sebab tak cukup tido, adoiii.... Tapi bila dah habis baca, rasa lega sangat.. Lepas ni, bila terjaga lagi pukul 3 pagi, boleh lah buat solat tahajud atau solat taubat.. Ia lebih baik untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan ini kan?  :)

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...