Sunday, January 17, 2016

Book Review: The Time Keeper

Tajuk: The Time Keeper 

Penulis: Mitch Albom

Menariknya Novel Ini:


The Time Keeper adalah karya Mitch Albom yang ketiga yang Patung Beruang baca setelah For One More Day dan Tuesdays With Morrie

Mitch Albom termasuk dalam senarai penulis kegemaran Patung Beruang bersama-sama dengan Tony Parsons, Jeffrey Archer dan Richard Paul Evans. Setiap mereka ada genre tersendiri, gaya penulisan tersendiri dan juga keunikan yang tersendiri. 

The Time Keeper mengandungi beberapa watak penting, seperti Dor, Alli, Sarah Lemon dan Victor Delamonte.

Di suatu waktu dahulu, dimasa masa belum lagi diukur oleh manusia, jam tidak lagi dicipta, kehidupan dan aktiviti manusia hanya berpandukan kepada terbit dan terbenamnya matahari. Di suatu tempat, terdapat sepasang kanak-kanak lelaki, bernama Dor dan kanak-kanak perempuan yang bernama Alli. Dor seorang kanak-kanak yang pintar dan unik. Dor sangat obses dengan nombor dan baginya nombor adalah sesuatu yang baru dan pelik pada zamannya. 

Selain Dor dan Alli, terdapat juga Nim, seorang kanak-kanak lelaki yang gagah dan tegap hasil dari latihan fizikal yang dialaminya setiap hari apabila membantu ayahnya mengangkut batu-bata. Disebabkan fizikalnya itu, Nim sangat obses dengan kuasa. Baginya, kuasa adalah segala-galanya di muka bumi ini. 

Masa berlalu dan ketiga-tiga kanak-kanak ini membesar. Dor dan Alli berkahwin dan mempunyai 3 orang anak. Obsesi Dor kepada nombor dan masa makin terserlah. Dor telah mencipta ukuran yang boleh digunakan untuk mengukur masa, mencipta jam, menyukat cecair, mencipta kalendar serta banyak lagi ciptaan lain. 

Nim pula telah menjadi kaya-raya dan mempunyai ramai hamba abdi. Nim mula membina sebuah menara yang besar dan tinggi. Tujuan menara tersebut dibina adalah agar Nim boleh berjumpa dengan Tuhan dan berlawan dengan Tuhan dimana Nim berpendapat jika dia menang, dia boleh memerintah seluruh alam ini.

Nim mengajak Dor untuk menyertai pasukannya kerana kebijakkan Dor. Namun, pelawaan tersebut ditolak Dor secara baik. Penolakan tersebut menyebabkan Nim menyuruh Dor keluar dari penempatan mereka bagi mengelakkan dari Dor ditangkap oleh askar-askar Nim dan seterusnya dipaksa bekerja di menara tersebut. 

Dor dan Alli pun keluar dari penempatan mereka dan meninggalkan anak-anak mereka dengan ibu bapa Dor. Mereka mengembara jauh bagi mencari penempatan baru, sesuai dengan pesanan Nim. Tidak berapa lama, Alli jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia. 

Kematian Alli sangat menyedihkan Dor. Dor berlari dan terus berlari sehingga akhirnya dia sampai di menara yang dibina oleh Nim dan orang-orangnya. Target Dor cuma satu. Iaitu panjat menara tersebut dan seterusnya pergi ke Syurga, untuk berjumpa dengan Alli. 

Dor panjat dan terus memanjat menara tersebut sehinggalah dia sampai ke satu tempat yang tinggi dan tiada siapa pernah sampai disana. Dia akhirnya tertidur kepenatan dan hanya tersedar, mendapati dia berada di dalam sebuah gua. 

Didalam gua, kehidupan Dor tidak berpenghujung dan dia keseorangan. Dor mendengar terlalu banyak suara-suara manusia dari pelbagai arah, yang meminta masa sama ada masa yang lebih atau, masa yang pendek. Dan yang menghairankan, sepanjang masa itu, Dor tidak dimamah usia.  Dimanakah Dor sebenarnya pada masa itu???

Di suatu tempat, pada zaman sekarang, Sarah Lemon, pelajar bijak dari jurusan Sains, sedang bersiap-siap untuk keluar berjumpa Ethan, pelajar lelaki yang menjadi rebutan di sekolah mereka. Sarah sudah lama berminat dengan Ethan tetapi tidak pernah mendapat peluang untuk berkenalan. Namun, rupa-rupanya Ethan sering hadir ke Pusat Komuniti yang sama dengan Sarah, untuk memberi makan kepada gelandangan. 

Sering berjumpa di Pusat Komuniti membuatkan mereka mula bertegur-sapa. Dan akhirnya, Ethan mempelawa Sarah untuk keluar bersama pada waktu malam. Pelawaan yang amat Sarah nantikan selama ini. 

Perhubungan Sarah dan Ethan tidak berjalan lancar. Ethan tidak pernah berniat untuk berkawan secara serius dengan Sarah. Malah Ethan berkawan dengannya hanya bagi menyahut cabaran rakan-rakan disekolah. Sedangkan Sarah pula terlalu obses dengan Ethan sehingga sanggup menghabiskan wang sakunya untuk membeli hadiah Krismas buat Ethan. 

Setelah Sarah mengetahui muslihat Ethan yang sebenar, Sarah merasa sangat kecewa. Ditambah dengan tekanan dan buli dari rakan-rakan sekolah mereka. Akhirnya, pada malam tahun baru, Sarah nekad untuk membunuh diri. 

Di suatu tempat yang lain, Victor Delamonte,  orang ke-14 terkaya di dunia, berumur pertengahan 80-an, sedang menghitung hari-hari terakhirnya. Doctor mengesahkan Victor mengalami ketumbuhan dan masa yang ada untuknya terlalu singkat. 

Victor merasakan yang dia perlu mencari jalan untuk membeli nyawanya dengan duit dan harta yang dia ada. Oleh itu, Victor nekad untuk menjalankan proses sejuk beku keatas jasadnya dan seterusnya disimpan didalam tangki yang berisi dengan cecair nitrogen. Jasadnya akan terus tersimpan didalam tangki tersebut sehinggalah pada masa akan datang, apabila teknologi manusia telah maju untuk menghidupkan semula jasad yang disimpan. 

Victor nekad untuk menjalani prosedur tersebut pada malam tahun baru.

Pada masa yang sama, Dor telah berada di bumi. Tugas utama Dor adalah mencari Sarah Lemon dan Victor Delamonte, serta menyedarkan mereka betapa pentingnya masa yang mereka ada. Dan betapa mereka tidak sepatutnya melawan takdir mereka sendiri. 

Dapatkan Dor berjumpa dengan kedua-dua watak ini?

Adakah malam tahun baru yang sepatutnya menjadi malam terakhir buat Sarah dan Victor, akan berakhir dengan sebaliknya? 

Dan, mengapa Dor digelar Time Keeper sedangkan asalnya dia hanyalah manusia biasa, sama seperti Alli, Nim dan lain-lain? 



Ok, Patung Beruang rasa cukup sampai sini dulu coretan berkenaan The Time Keeper ini. Mata pun dah ngantuk. Esok nak kerja. So, better Patung Beruang tidur dulu ye. Good night.... :)

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...