Monday, May 16, 2016

Book Review: Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur

Tajuk: Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur

Penulis: Keris Mas

Menariknya Novel Ini:

Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur ini Patung Beruang berjaya sudahkan pembacaanya pagi semalam. Alhamdulillah.. :)

Novel karya Sasterawan Negara, Keris Mas ini pertama kali dicetak pada tahun 1982. Dan setakat tahun 2015, ia telah dicetak sebanyak 12 kali. 

Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur membawa pembaca mengenali beberapa orang watak utama seperti Encik Muhammad, anak kepada Orangkaya Indera Datuk Idris. Encik Muhammad adalah ahli perniagaan Melayu yang berjaya di Kuala Lumpur. Ketokohan dan kewibawaan beliau disegani rakan dan lawan samaada dalam bidang perniagaan, politik atau kemasyarakatan. 

Encik Muhammad mempunyai rakan kongsi yang akrab iaitu Datuk Tan Cong Seng (Datuk Tan). Bersama-sama dengan Datuk Tan, mereka menubuhkan Syarikat Lombong Lembah Tualang bagi menjalankan aktiviti perlombongan di wilayah Tualang. 

Generasi terdahulu Encik Muhammad adalah orang besar di wilayah Tualang dan mereka juga telah berkerjasama dengan tauke Cina untuk melombong bijih di wilayah tersebut. Namun, zaman berganti, setelah berlakunya pergaduhan orang-orang kongsi gelap yang memeras ugut tauke-tauke lombong, kemasukan Jepun ke Tanah Melayu, dan ketidaktentuan pasaran bijih timah dunia, aktiviti perlombongan tersebut akhirnya dihentikan.

Encik Muhammad adalah 5 beradik dimana yang sulung bernama Mahmud atau lebih dikenali sebagai Penghulu Mahmud. Beliau tidak berpelajaran dan tinggal di kampung, dan hidup dengan hasil kebun dan sawah peninggalan arwah Orangkaya Indera Datuk Idris. 

Seterusnya adalah Yaakub, Halimah dan Maimunah. Namun, ketiga-tiga mereka telah meninggal dunia. Yang tinggal hanyalah waris masing-masing. Namun, mereka semua tidak tinggal di Wilayah Tualang.

Encik Muhammad adalah anak bongsu. Beliau seorang yang berpelajaran tinggi tetapi tidak pernah tinggal di Wilayah Tualang. Sekembalinya beliau dari England, selepas tamat belajar, Encik Muhammad tidak memasuki perkhidmatan kerajaan. Malah, beliau bekerja dengan sebuah syarikat dagang orang Inggeris di Kuala Lumpur. Dari situ lah beliau mula mengasah bakat didalam dunia perniagaan sehingga akhirnya menubuhkan perniagaan perkongsian dengan Datuk Tan.

Perancangan untuk menjalankan kembali aktiviti perlombongan di Wilayah Tualang tidak lah semudah disangkakan. Tentangan utama datang dari Rahim, iaitu anak lelaki En Muhammad yang kini sedang belajar di luar negara. Rahim merasakan yang rancangan En Muhammad ini akan menganiaya penduduk kampung disana dimana tanah-tanah mereka akan dirampas atau dibayar pampasan yang tidak sepadan dengan nilai sebenar tanah itu. Rahim juga merasakan yang ayahnya terlalu mementingkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan perkara-perkara lain seperti masa depan generasi muda Wilayah Tualang, keruntuhan sosial dan ajaran dan cara hidup Islam yang semakin menipis dikalangan penduduk kampung disana. 

Mahani, anak kepada Tan Sri Syed Aris kenalan rapat En Muhammad, kini bekerja sebagai setiausaha En Muhammad. Oleh kerana Mahani dan Rahim rapat semenjak dari kecil lagi, maka kedua-dua keluarga ini bersepakat untuk menjodohkan mereka berdua. Bagi En Muhammad, pertunangan antara Rahim dan Mahani diharapkan agar dapat mengubah Rahim untuk meneliti dan memahami rancangan perniagaannya sedikit demi sedikit terutama sekali yang berkenaan dengan Syarikat Lombong Lembah Tualang. Malah, En Muhammad juga berharap agar Mahani dapat membantunya untuk memulihkan semula hubungannya dengan anak lelakinya itu. Bagi Rahim pula, Mahani diharapkan untuk menjadi penyokong kuatnya, agar dia tetap tegas menentang segala cita-cita En Muhammad yang dirasakannya hanya akan merugikan orang Melayu. 

Adakah Mahani berjaya merapatkan kembali hubungan dua beranak ini atau mungkin dia juga akan sama menentang En Muhammad sebagai tanda cintanya pada Rahim?

Di Wilayah Tualang, perancangan besar En Muhammad mendapat sokongan padu dari ahli politik, iaitu Yang Berhormat Muhd Yusuf, serta anak kampung yang lain seperti Sudin. Pada mulanya YB Muhd Yusuf telah bersetuju untuk bekerjasama dengan seorang Tauke Cina bagi memajukan kawasan Wilayah Tualang terutama Kampung Pulai. Namun, setelah meneliti perancangan En Muhammad dan merasakan yang perancangan itu lebih memihak kepada orang Melayu disana, maka YB Muhd Yusuf membatalkan persetujuannya bersama Tauke Cina, yang telah termeterai terlebih dahulu. 

Sudin pula dipertanggungjawabkan untuk melobi orang-orang kampung bagi menyokong apa sahaja idea dan rancangan En Muhammad dan YB Muhd Yusuf. Namun, ia tidak semudah yang disangka kerana Sudin terpaksa berdepan dengan Mat Akil dan konco-konconya yang lebih dikenali sebagai samseng kampung tersebut. Mat Akil mempunyai dendam lama dengan Sudin dan sanggup membuat apa sahaja untuk menjatuhkan Sudin. 

Adakah permusuhan Mat Akil dan Sudin akan berkekalan? 

Atau mungkin Mat Akil juga sama seperti orang kampung lain yang mudah digula-gulakan dengan wang ringgit yang tidak seberapa?

Dengan rintangan dari orang kampung dan Rahim, anaknya sendiri, dapatkan En Muhammad melihat aktiviti perlombongan di Wilayah Tualang berjalan kembali? 

Mungkinkah ia hanya tinggal cita-cita dan impian sahaja sedangkan banyak wang ringgit telah dileburkan? 



Membaca Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur ini memaparkan persoalan tentang kemunculan saudagar-saudagar Melayu dan giatnya gerakan dakwah Islamiah di kalangan generasi muda. 

Selain itu, watak-watak dan karektar yang ada didalam novel ini mencerminkan sikap sebenar manusia yang tidak berubah walaupun zaman telah berubah. Orang Melayu yang mudah digula-gulakan dengan hiburan, jamuan dan keramaian yang meriah dan token wang ringgit atau hadiah yang tidak seberapa hingga mereka terus menyokong si pemberi dengan membuta tuli, tanpa memikirkan rasional disebalik tindakan si pemberi. Anak-anak muda yang malas bekerja, malas meningkatkan kualiti diri tetapi hanya ingin berhibur semata-mata. Anak-anak muda yang lebih senang berhijrah ke bandar walaupun hanya bekerja sebagai kuli, sedangkan peluang untuk bekerja sendiri terbuka luas di kampung halaman. Sikap berpura-pura dan dengki khianat walau sesama bangsa, sehingga tidak senang dengan kelebihan dan keistimewaan yang dimiliki oleh orang lain. Juga sifat mementingkan diri yang ada pada ahli perniagaan sehingga mereka terlupa tanggungjawab sosial. 

Pada pendapat Patung Beruang, walaupun novel ini ditulis berpuluh-puluh tahun dahulu, tetapi jalan ceritanya dan mesej yang disampaikan masih lagi relevan sehingga kini. Sebuah karya yang hebat dari seorang Sasterawan Negara :)

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...