Sunday, July 31, 2016

Book Review: Hatimu Aisyah


Tajuk: Hatimu Aisyah


Penulis: Zurinah Hassan

Sipnosis Novel Ini:

Hatimu Aisyah adalah buah tangan dari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di MAEPS beberapa bulan lepas. 

Novel ini menceritakan perjalanan hidup watak utama iaitu Aisyah dari seorang kanak-kanak perempuan, sehingga meningkat umur menjadi seorang anak gadis, seterusnya dilamar dan berkahwin, kehidupannya sebagai seorang isteri dan ibu dan seterusnya bagaimana beliau meniti hari-harinya sebagai seorang nenek, menghabiskan sisa-sisa hidupnya di muka bumi ini. 

Aisyah adalah anak ke-2 didalam keluarga. Lahir didalam keluarga petani, kehidupannya dikampung tidaklah terlalu senang dan tidak juga terlalu susah. Mempunyai seorang abang, Ahmad, seorang adik perempuan, Lijah dan seorang adik lelaki, Dolah. 

Kehidupan seharian Aisyah akan bermula tatkala menjelangnya waktu Subuh. Oleh kerana Aisyah adalah anak perempuan sulung didalam keluarga, beliau memikul tanggungjawab menjaga adik-adiknya tatkala ibu ayah mereka membanting tulang di bendang. 

Seiring dengan usianya, semakin lama semakin besar tanggungjawab yang digalas oleh Aisyah. Beliau tidak bersekolah secara formal seperti kanak-kanak yang lain. Malah, pada masa itu, perkataan sekolah tidak pernah sampai ke telinga ibu bapanya dan juga orang-orang kampung. Oleh itu, menguruskan rumahtangga dan adik-adiknya dianggap sekolah bagi Aisyah.

Satu hari, rombongan meminang datang ke rumahnya membawa hajat dari sebuah keluarga dari pekan. Maka, bermula saat itu, Aisyah telah menjadi tunangan orang. Dan bermula saat itu juga, ibubapanya dan sanak-saudara mula membuat persiapan untuk majlis perkahwinan Aisyah.

Menjelang hari bersejarah, Aisyah pun dinikahkan dengan Ayub, dengan hantaran RM100. Dan bermulalah kehidupan mereka sebagai sepasang suami isteri. 

Ayub nekad untuk belajar di kelas malam dan seterusnya menduduki peperiksaan bagi mendapatkan sijil. Ayub sedar yang kehidupan sebagai pesawah tidak menjanjikan pendapatan yang lumayan buat menyara keluarganya. 

Rezeki Ayub dan Aisyah sekeluarga bertambah murah apabila Ayub berjaya menjawat jawatan guru Agama disekolah. Dan kehidupan mereka juga diserikan dengan 5 orang anak iaitu Jamilah, Rohani, Hamid, Latifah dan Aziz. 

Kehidupan Aisyah bersama suami dan anak-anaknya sangat berbeza dengan kehidupannya ketika beliau kecil. Kesemua anak-anaknya berpeluang ke sekolah walaupun anak perempuan. Walaupun tindakannya dan Ayub menghantar anak perempuan ke sekolah ditentang keras oleh ibunya dan orang-orang tua dikampung itu, tetapi Aisyah sedar hanya pelajaran sahaja yang boleh menjamin kehidupan anak-anaknya dimasa depan. 

Tetapi, adakah benar pandangan Aisyah itu?

Dapatkah Aisyah berdepan dengan gelombang kemodenan yang melanda keluarganya dan juga masyarakat Melayu pada masa itu? 

Dapatkah Aisyah mengekalkan nilai-nilai murni kekeluargaan dalam masa yang sama mengikut arus kemodenan?



Menariknya Novel Ini:

Hatimu Aisyah adalah novel yang akan membawa pembaca menyelusuri perjalanan kehidupan Aisyah dan juga masyarakat Melayu pada zaman 1930-an dan seterusnya. Dimana bagaimana masyarakat Melayu masih menghuni dikampung-kampung dan menjadikan pertanian dan alam semulajadi sebagai sumber rezeki mereka. 

Perkara yang menarik didalam novel ini adalah cara kehidupan dan adat tradisi yang dipaparkan secara detail sehingga seolah-olah kita yang membacanya ini turut berada dilokasi terbabit. Malah banyak adat tradisi yang mungkin tidak lagi diamalkan pada waktu ini seperti amalan bergotong-royong satu kampung tatkala adanya keramaian, adat mempersiapkan bakal pengantin, adat bersanding, mengandung, bersalin dan tatkala selepas kelahiran bayi.

Turut diselitkan juga bagaimana penerimaan masyarakat Melayu terhadap arus kemodenan. Bagaimana sukarnya sesebuah keluarga yang mempunyai anak perempuan. Untuk dihantar belajar ke sekolah, dianggap seperti perempuan murahan. Untuk dibiarkan duduk terperuk dirumah dan belajar hal-ehwal rumahtangga, dibimbang kelak kehidupannya susah kerana tidak berpelajaran. Tidak mampu bersaing dengan bangsa lain yang berlumba-lumba untuk meningkatkan sosio-ekonomi mereka. 

Basically, novel yang sedap dan sangat sesuai untuk mereka yang ingin belajar adat dan budaya masyarakat Melayu yang kita tidak akan jumpa lagi pada waktu ini. 

Wednesday, July 27, 2016

Percutian Di Hari Raya

Assalamualaikum wbt

Selamat Hari Raya Aidilfitri..

Hari ini dah masuk 22 Syawal.  Wah.. sekejapnya masa berlalu.

Raya Aidilfitri pada tahun ini agak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. This year, Patung Beruang sekeluarga menyambut raya di Sabah. Basically, bukan beraya pun tapi lebih kepada percutian keluarga. 

Setelah hampir 10 bulan, barulah kami sekeluarga dapat berkumpul semula. Bayangkan betapa terseksanya kami ini menanggung rindu antara satu sama lain selama 10 bulan ini. Itu sebabnya, dari awal tahun lagi, kami decide untuk pergi bercuti ketika Hari Raya Aidilfitri, instead of menyambut raya dikampung seperti kebiasaannya. Kami rasa ini adalah peluang yang terbaik untuk kami spend time bersama keluarga. Mengeratkan hubungan. Yelah, bukan senang nak berkumpul begini. 

Basically, kami tiba di Sabah pada hari Selasa, hari terakhir puasa. Waktu tengahari. Sampai sahaja di Kota Kinabalu International Airport, kenderaan yang kami sewa telah pun menunggu. Patung Beruang terus drive ke Homestay di Sepanggar. On the way kesana, kami singgah sebentar di Giant, beli beberapa bahan mentah untuk kami masak sedikit untuk buka puasa nanti. 

Homestay di Sepanggar sangat selesa. Taman V24. Rumah 2 tingkat dan mempunyai 3 bilik tidur, siap dengan kelengkapan rumah dan dapur. Kawasan kejiranan baru yang dilengkapi dengan pengawal keselamatan yang memantau setiap kenderaan keluar masuk di taman tersebut. 

Aktiviti percutian kami bermula dengan makan malam di Todak, yang terletak di tengah bandar KK. Menu kami sudah pastilah seafood. Perjalanan dari rumah ke bandar KK hanya memakan masa lebih kurang 20 - 30 minit sahaja. Seperti yang kami jangka, seafood disini sangat segar dan harga pun sangat murah. Ya, murah lah jika dibandingkan dengan Semenanjung. Memang puas hatilah.

Keesokkan harinya kami pun menjelajah ke tempat-tempat yang menarik. 

Jambatan Tamparuli

Basically, Jambatan Tamparuli adalah destinasi pertama kami. Jambatan yang sangat terkenal sehingga ada lagunya yang tersendiri. Perjalanan dari rumah ke Jambatan Tamparuli hanya memakan masa lebih kurang 20 minit sahaja. Jalan yang dilalui pun lebih kepada jalan bandar/pekan, tersusun dan mempunyai 2 lorong di setiap hala. 

Berdekatan dengan Jambatan Tamparuli adalah pasar. Patung Beruang geram tengok sayur-sayuran seperti cili merah dan tomato yang sangat segar yang dijual dikaki lima pasar. 

Selepas mengambil gambar, kami pun meneruskan perjalanan ke destinasi yang seterusnya. 


Kinabalu National Park

Dari Jambatan Tamparuli, kami meneruskan perjalanan selama 1 jam 30 minit ke Kinabalu National Park, Ranau. Perjalanan ke Kinabalu National Park ini sangatlah mencabarnya kerana kita memanjat kawasan pergunungan, melalui Banjaran Crocker, jalan yang sempit serta selekoh yang sangat tajam. 

Jika di Semenanjung, ada orang cakap memandu di Karak sangat mencabar, jadi mereka patut cuba memandu ke Cameron Highland. Dan jika berjaya, mereka patut cuba memandu di Gerik-Baling. Dan percayalah, memandu di Banjaran Crocker ini berkali-kali ganda lebih mencabar dari Karak, Cameron Highland dan Gerik-Baling. Ok, ini adalah pendapat peribadi Patung Beruang berdasarkan pengalaman Patung Beruang sendiri ye... 


Disepanjang perjalanan itu kita akan nampak Gunung Kinabalu berdiri megah dihadapan ataupun di sebelah kita. 

Subhanaallah, cantik sangat pemandangannya. 





Alhamdulillah, oleh kerana hari tersebut adalah Public Holiday, jadi kenderaan berat seperti lori sangat kurang atau mungkin tiada langsung. Yang ada cuma kenderaan persendirian. Maka, pemanduan dirasakan agak selamat. 





Di Kinabalu National Park, setiap pengunjung akan dikenakan bayaran masuk sebanyak RM3 seorang. Sangat murah kan? 

Setelah membayar tiket, kami membawa kenderaan ke atas sekadar untuk melihat kawasan persekitaran, dan akhirnya berhenti di kawasan perhentian. 

Di sana, terdapat Mountain Garden yang sangat cantik, tetapi tidak boleh dimasuki kenderaan. Setiap pengunjung yang ingin memasuki taman pertanian tersebut, mestilah membayar tiket lain yang berharga RM4 seorang. Kami semua kecuali ayah bersetuju untuk menjelajah Mountain Garden ini. Ayah malas naik ikut sebab kena berjalan kaki, hehe.. So beliau hanya duduk di kawasan hentian tersebut menunggu kami.. 


Apa yang ada di Mountain Garden ini? Basically, ia adalah taman pertanian, yang penuh dengan fauna yang cantik, berusia beratus tahun dan jarang didapati di tempat lain. Patung Beruang kagum dengan barisan orkid liar yang sangat cantik disini. Jarang-jarang dapat kita jumpa spesis orkid-orkid tersebut. Selain itu, disediakan juga bangku-bangku untuk pengunjung duduk berehat melepaskan lelah. Ada anak sungai yang jernih, mengalirkan air dari atas gunung. Malangnya, pengunjung tidak dibenarkan untuk turun ke anak sungai tersebut. Patung Beruang rasa atas faktor keselamatan kerana anak sungai tersebut dikelilingi dengan batu-batu yang nampaknya licin. Malah, di tepi-tepi sungai juga, tumbuhan-tumbuhan renek tumbuh meliar. 

Setelah puas menjelajah Mountain Garden, kami pun kembali semula ke kereta. 


Strawberry Garden Hotel, Ranau 

Setelah itu, kami pun meneruskan perjalanan ke Strawberry Garden Hotel, Ranau yang memakan masa lebih kurang 20 minit dari Kinabalu National Park. Oleh kerana masa ini, kak chik dah penat drive, so Patung Beruang pun ambik alih jawatan driver dari dia, hehe..

Basically, perjalanan dari Kinabalu National Park ke Strawberry Garden Hotel tidaklah terlalu mencabar. Cuma Patung Beruang rasa ngeri bila lalu di selekoh, dimana sebelahnya terus gaung. 

Di Strawberry Garden Hotel, kami ditempatkan di sebuah rumah 2 tingkat. Tingkat 1 menempatkan 1 katil double decker (bawah queen size dan atas single size), sebuah peti sejuk, dan juga living area. Tingkat 2 pula ada dapur, 2 bilik mandi & tandas, sebuah tv, 1 living area yang besar, 1 katil king size dan 2 katil single size. Malah, pihak hotel juga menyediakan katil lipat yang disusun beberapa buah ditepi dinding. Oleh kerana kami hanya 6 orang sahaja, maka abang & Iman selesa duduk tingkat bawah, Patung Beruang, kak chik, ibu & ayah amik katil di tingkat 2. Basically, rumah ini mampu memuatkan 10  orang. Jadi, untuk kami yang ber enam ni, memang terlebih-lebih selesa lah. 

Oh ye, jangan terperanjat ye kerana rumah ini tidak disediakan kipas dan aircond. Tips berguna adalah sila bawa baju panas ataupun stokin yang tebal ye. Cuaca sangat sejuk terutama pukul 6.30 petang keatas. Walaupun kami dah tutup semua tingkap di sekeliling rumah, namun tetap tidak mampu menghalang angin sejuk dari masuk kedalam rumah tersebut. 

Perkara yang paling menyeksakan disini adalah pergi ke bilik air. Rasa nak menangis bila terkena air yang sejuknya macam air batu. Ye, memang ada disediakan heater tapi air tersebut hanya panas untuk tempoh beberapa saat dia keluar dari heater. Tatkala air tersebut mencecah lantai bilik mandi, hm... memang rasa macam pijak air batu lah ye.. 


Ini gambar dari tingkat atas rumah kami. Maaf lah, Patung Beruang lupa nak ambil gambar bahagian hadapan rumah. 

Gambar ini diambil ketika dalam pukul 3 petang macam tu. Boleh nampak awan penuh diatas dan rasa macam dekat saja. Saujana mata memandang, melihat banjaran gunung-ganang dihadapan mata.

Oh ye, lagi satu tips, Strawberry Garden Hotel ini selalu penuh. Jadi, digalakkan untuk menempah penginapan dengan awal. Untuk trip kami, Kak Chik dah tempah penginapan ini sebulan sebelum kami datang. Kalau main terjah walk-in je, memang takde harapan lah. Malah, masa kami sampai hari tu pun, ada beberapa keluarga yang walk-in untuk mencuba nasib mereka. Malangnya, tidak berhasil. 


Desa Cattle Dairy Farm, Kundasang

Kini kami ingin menjelajah ke Desa Cattle Dairy Farm pula. Kali ini abang yang drive. Pemanduan ke Desa Farm agak mencabar sedikit. Kami kena menempuh Pekan Kundasang. Disana kami belok 1st junction di roundabout besar di Pekan Kundasang dan seterusnya menempuh kawasan kampung, naik turun bukit seperti kebiasaannya. 

Perjalanan dari Straberry Garden Hotel ke Desa Farm ini mengambil masa lebih kurang 20 - 25 minit. Desa Farm ini dibuka dari pukul 9 pagi ke 5 petang. 


Tiket masuk adalah RM5 seorang. Kenapa dalam gambar tu ada 3 keping tiket je?

Sebab... tiket yang lain Patung Beruang tersalah letak.. Jadi, abaikan lah ye..

Apa ada kat sini??


Hm.. Namanya pun dairy farm, so mestilah ada lembu... Heheh... Oklah, ini adalah kawasan ternakan lembu yang boleh lah kalau rasa nak feeling-feeling macam di New Zealand  (bukan Switzerland ye, heheh).. 

See... tempat dia betul-betul di kaki gunung. 
Gambar yang Patung beruang ambil tu menunjukkan puncak Gunung Kinabalu. 

Disini, lembu-lembu mereka cantik dan terjaga rapi. Jenis lembu yang tompok-tompok hitam putih tu. Lembu ini diternak untuk mendapatkan susunya. 

Selain melawat lembu-lembu ini, pengunjung juga boleh melihat proses penternakan sehinggalah proses memerah susu. 


Aktiviti yang paling menarik disini adalah bagi lembu makan rumput dan minum susu... Hoorayyyyyyy...

Mereka ada menjual rumput berharga RM1 seikat dan susu berharga RM1.50 sebotol kepada para pengunjung. 

So, Patung Beruang beli seikat rumput dan sebotol susu untuk diberikan kepada anak lembu yang tersedia didalam sangkar. 

Anak lembu ni jinak. Dia tahu je yang kita nak bagi dia makan. Cuma sebab Patung Beruang ni kan jarang jumpa lembu hidup depan-depan macam ni, so, gementar lah juga bila suapkan dia rumput tu.. 

Lagipun anak lembu ini mengunyah cepat sangat. Risau pula kalau-kalau dia tergigit jari Patung Beruang, adoiiiiiii.... Lepas dah bagi dia makan rumput, kita bagilah dia minum susu pula.. Happy tummy, heheh.. 

Selepas itu kami pun pergilah beli susu lembu yang telah siap di pack kan, yogurt dan puding untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan. 

Susu yang diproses disini sangat sedap. Takde rasa muak dan tiada bau lembu langsung. Memang berbeza lah dengan susu yang biasa kita beli di pasaran. So next time kalau datang, boleh borong susu lagi. 


Poring Hot Spring

Waktu subuh di Sabah sangat awal berbanding di Semenanjung. Basically, disini kami solat subuh pukul 4.45 - 5 pagi. Selepas Subuh, kami pun melihat matahari naik perlahan-lahan, dari rumah penginapan ini. 

Betul kata orang, melihat matahari naik di Kundasang adalah moment yang sangat indah. Dan diawal pagi inilah kita dapat lihat puncak Gunung Kinabalu dengan jelas, tanpa ditutupi awan. 

Subhanaallah, cantiknya, tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata. 

Hari ini, destinasi kami adalah ke Poring Hot Spring. 

On the way ke sana, kami singgah di Pekan Ranau untuk bersarapan. 
Basically, Pekan Ranau lebih besar dari Pekan Kundasang. Tempat makan pun lagi banyak pilihan. 

Selepas melalui Pekan Ranau, jalan ke Poring Hot Spring lebih banyak jalan kampung. Pemanduan sangat lancar dan jalan pun cantik.

Akhirnya kami tiba di Poring Hot Spring pada pukul 9 pagi. Disini setiap pengunjung dikenakan bayaran RM3. 

Poring Hot Spring dibawah tanggungjawab pengurusan Kinabalu Park. Sebab itulah tiket masuk mereka sama saja. 

Disini disediakan beberapa kolam air panas yang boleh kita turun berendam sepuas-puas hati. Ada kolam untuk kanak-kanak, ada kolam untuk orang dewasa juga ada kolam-kolam kecil yang dibuat untuk 1 keluarga. Semuanya percuma. 

Selain itu, pihak pengurusan juga menyediakan bilik persendirian, yang dikenakan bayaran mengikut jam iaitu RM15 sejam. 

Oleh kerana kami semua ni dah dewasa, segan rasanya nak mandi di tempat terbuka macam tu. Jadi, kami pun terus amik bilik persendirian untuk digunakan selama 3 jam. Oleh kerana masa masih awal, masih banyak lagi bilik persendirian yang kosong. Bolehlah kami pilih bilik yang kami suka.

Basically, didalam bilik persendirian ini disediakan 2 kolam besar, sebelah menyebelah. Setiap kolam mempunyai 1 paip air panas dan 1 paip air sejuk. Turut disediakan adalah bangku untuk kita duduk dan letak barang, tempat menyangkut baju serta bilik mandi dan tandas. Kiranya, 1 bilik persendirian ni just nice untuk sebuah keluarga 6-8 orang. 

Honestly, kami rasa sangat selesa mandi didalam bilik persendirian ini. Tak perlu nak fikir soal aurat sebab hanya kita sekeluarga sahaja didalam bilik tersebut. Barang-barang peribadi pun ada depan mata. Bila penat mandi, boleh duduk makan dan minum. Lepas tu, sambung lah berendam semula. 

Selain dari kolam air panas, pengunjung juga boleh mandi air terjun. Tetapi kena jalan kaki dan panjat sikit. 

Tips jika pergi ke Poring Hot Spring ini, pastikan kita sampai awal. Bila sampai awal, pengunjung pun belum ramai, boleh lah kita pilih port yang sesuai, sama ada di kolam awam ataupun bilik persendirian. 

p/s: maaflah sebab Patung Beruang hanya kongsikan gambar tiket masuk Poring Hot Spring ni saja. Gambar lain tak boleh nak kongsi disini sebab sangat tidak sesuai, heheh... 


Pulang Semula ke Sepanggar

Selepas puas berendam di dalam kolam air panas, kami pun berkemas untuk beredar. Kali ini, Patung Beruang pula bertugas sebagai driver. Perjalanan dari Poring Hot Spring ke homestay kami di Sepanggar mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit.

Oleh kerana hari tersebut adalah hari bekerja, pemanduan agak mencabar kerana kenderaan berat turut berada diatas jalan. Seperti dijangka skil pemanduan Patung Beruang benar-benar teruji tatkala melalui Banjaran Crocker. 

Bentuk muka bumi yang turun naik dan selekoh yang tajam, menuntut focus yang lebih dari pemandu. 

Tips yang boleh Patung Beruang kongsikan jika memandu disini adalah driver kena pandai main gear. 

Kenderaan yang Patung Beruang guna adalah auto tranmission. Macam biasa ada mode D (gear 1 -4), mode 3 (gear 1-3) dan mode 2 (gear 1-2). Awal pemanduan Patung Beruang hanya guna mode D biasa. Tetapi tatkala melalui banjaran, Patung Beruang main mode 3 dan 2 sahaja. Sebabnya adalah tatkala kita naik bukit terutama yang curam, kita nak kenderaan lebih ringan supaya enjin tak menderam sangat. Bila turun pula, kita nak kurangkan tekan brek, because salah-salah brek, kenderaan boleh terbabas atau tergelincir. Taknak lah jadi turtle atau terjun gaung kan. So, ketika turun, jangan tekan minyak dan jangan tekan brek. Hanya kawal stereng sahaja. Dan tatkala momentum sedang tinggi, tanpa tekan minyak pun, kenderaan masih boleh naik bukit selari dengan teori fizik yang kita belajar di sekolah dulu. Itulah sebabnya kenapa Patung Beruang banyak main gear ketika memandu disitu. 


Penutup

Begitulah serba sedikit perkongsian Patung Beruang untuk percutian kami ketika Hari Raya. 

Patung Beruang focus pada destinasi di luar Kota Kinabalu kerana tidak semua orang berpeluang untuk sampai ke sini. Di Kota Kinabalu, banyak juga tempat menarik yang kami sampai. Seperti bandar besar lain di Semenanjung, KK tidak kurang hebatnya.

Seafood yang segar dan murah, ikan bilis mata biru yang murah, udang kering yang murah, bekalan kopi Tenom yang sangat sedap, mutiara yang cantik-cantik dengan harga yang berpatutan, penduduk yang ramah dan macam-macam lagi. 

Percutian kali ini kami tidak sempat pergi ke pulau kerana masa tidak mengizinkan. In shaa Allah, trip akan datang ke Sabah, kami akan ke pulau pula. Bila??? Rahsia.... 


Alhamdulillah, kami diberi peluang berkumpul satu family, menghabiskan masa bersama walaupun terpaksa berhari raya jauh dari kampung. Menyesal ke? Semestinya tidak. Sebab spend time dengan family itu lebih penting dari sambut hari raya di kampung. 

Raya tahun depan, basically dah ada beberapa destinasi dalam fikiran Patung Beruang. Tetapi destinasi diluar Malaysia lah pula. 

Tahun depan, kemungkinan besar Iman tak dapat balik Malaysia ketika raya. Tetapi jika kami pergi bercuti, Iman akan terus naik flight direct ke tempat percutian kami. Kak chik pula in shaa Allah tidak ada masalah untuk cuti raya sebab di hospital dia, ada je doctor yang non-muslim. So, tak perlulah nak berebut cuti. Patung Beruang pula, in shaa Allah memang tidak ada masalah untuk cuti lama sedikit. Cuma abang saja yang kami susah nak predict. Maklumlah, client dia ramai dari overseas. Orang kat luar negara tak kenal Hari Raya Aidilfitri. Yang pasti raya pertama n kedua, memanglah company dia cuti. Kalau nak lebih, kena pandai manage assignment dan client lah, huhu..

Takpe lah.. kita tinggalkan lah dulu cerita raya tahun hadapan ye. Nanti, bulan December ni, baru Patung Beruang confirm kan semula destinasi raya kami untuk 2017. Bila dah confirm, baru lah boleh nak booking flight ticket ke, hotel ke, susun itinerary ke dan macam-macam lagi. 

Sampai disini dulu.. Bye...  

Sunday, July 3, 2016

Book Review: 7 Days To Midnight

Tajuk: 7 Days To Midnight

Penulis: Tunku Halim

Ceritanya Patung Beruang:

Patung Beruang jarang membaca karya seram. Sebenarnya, bukan tidak minat tetapi tidak mahu ia mengganggu psikologi. Maklumlah, Patung Beruang tinggal seorang. Jadi, susah lah kalau otak ni teringat atau terfikir pasal cerita hantu, pasti semua lampu didalam dan diluar rumah akan terpasang dari malam sampailah ke pagi, sampailah matahari muncul. Kan sayang membazir elektrik? hehehe.. 

Tetapi tidak tahu lah mengapa, ketika shopping buku secara online di MPH Online hari tu, Patung Beruang tertarik dengan buku ini. Mungkin kerana ia karya penulis tempatan. Lebih kepada nak tahu kehebatan si penulis dan juga sebagai support untuk karya tempatan. 

So, secara rekod, ini adalah buku genre seram pertama yang Patung Beruang beli, huhu.. 

Menariknya Buku Ini:

7 Days To Midnight, sesuai dengan namanya, menyajikan pembaca dengan 7 buah kisah seram dan thriller yang disusun mengikut hari bermula dari hari Sabtu hinggalah Jumaat. 

Kisah 1: Shrine memulakan pengembaraan buku ini dengan membawa pembaca mengenali Malik dan Yvonne, wartawan yang bekerja di sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang ternama. Kedua-dua insan ini berada di sebuah kebun, didalam sebuah kampung. Misi mereka hanya satu, mencari cerita sensasi berkenaan "keramat" untuk dimuatkan didalam akhbar mereka. Namun... tatkala mereka sampai ke destinasi tersebut, pelbagai kejadian aneh menimpa. Mereka mendengar suara-suara aneh, melihat mayat-mayat yang bergelimpangan dan tiba-tiba mereka berdua terpisah. Kini, tinggal Malik sahaja yang sedang berusaha untuk menyelamatkan diri tatkala dikejar oleh satu entiti yang menyeramkan. Hanya satu cara sahaja iaitu, Malik mesti keluar dari kawasan itu. Tetapi... tatkala Malik berjaya sampai ke keretanya, yang terletak di pinggir kebun, seseorang sedang menunggunya didalam kereta. 

Siapakah dia???  

Berjayakah Malik keluar dari kawasan itu hidup-hidup???



Sam, seorang eksekutif muda, baru sahaja membeli telefon baru, Samsung Galaxy ST. Didalam telefon tersebut, terdapat satu App yang dipanggil You Lite. Sebaik sahaja Sam mengaktifkan App tersebut, dia mula merasakan yang You Lite tidak sama dengan App yang lain. You Lite sangat menarik, mampu berkomunikasi dengannya dalam apa jua topik dan yang paling memeranjatkan adalah You Lite boleh meramalkan kejadian yang akan berlaku di masa hadapan. 

Maka, Sam dan You Lite tidak dapat dipisahkan.

Kehidupan Sam mula berubah. Sam berjaya memikat gadis idamannya, Louise. Sam juga berjaya membentangkan proposal peluang pelaburan kepada pengurusan atasan di syarikatnya, dimana pelaburan tersebut telah memberi keuntungan yang besar kepada syarikat. Oleh itu, Sam dinaikkan pangkat dengan serta merta. Dalam masa yang sama, rakan sekerja Sam yang cemburu dengannya dan berusaha untuk menjatuhkannya, tiba-tiba terlibat dalam kemalangan jalanraya dan akhirnya meninggal dunia. 

Kehidupan Sam kini berubah secara mendadak. 

Namun.... Tanpa disedari, You Lite adalah pihak disebalik semua yang berlaku kepada Sam...

Dan.. lama-kelamaan, You Lite mula mengambil alih tempat Sam, di alam nyata. 

Kini, Sam yang asal telah tiada..terperangkap selama-lamanya didalam telefon Samsung itu....  
Kisah ke-3: "The App"..


Basically, 7 Days To Midnight menyajikan cerita-cerita seram yang berunsurkan entiti dari dunia lain, serta kisah-kisah triller seperti App telefon yang pelik dan berhasrat untuk menggantikan manusia dialam nyata, kisah mereka yang mengalami halusinasi, kisah peperangan manusia yang pelik, cannibal, golongan harimau jadian di sebuah perkampungan manusia dan sebagainya. 

Buku yang menarik dari seorang penulis tempatan.

My favorite stories are The App, Clear Blue Sky dan In The Village of Setang

Book Review: Maaf Cakap 2 Mengurus Perasaan Agar Tidak Perasan

Tajuk: Maaf Cakap 2    Mengurus Perasaan Agar Tidak Perasan 


Penulis: Norden Mohamed



Menariknya Buku Ini:



Buku ini adalah volume ke-2 untuk Siri Maaf Cakap, Mengurus Perasaan Agar Tidak PerasanUntuk volume ke-2 ini, penulis membariskan 106 cerita yang dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu:


  • Motivasi
  • Sosial
  • Sumber Manusia
  • Bisnes
  • Dunia Akhbar
  • Minda 


Penulis membuka buku ini dengan kisah pertama yang bertajuk "Apa-Apa Yang Ada Pada Nama". Didalam kisah ini penulis membawa kita bagaimana ada pelbagai nama yang digunakan di media sosial, ada yang menggunakan nama sendiri, ada yang nama samaran. Ada juga yang siap dengan pangkat sekali. Ada yang menggandingkan nama mereka dengan hobi mereka serta tidak kurang juga yang menggandingkan nama dengan syarikat atau organisasi mereka. Dari dahulu hingga sekarang, kita sering berjumpa dengan nama yang sama. Maka, bagaimana hendak membezakan antara satu sama lain?? Gelaran pun diberikan. Ada yang digelar kerana kehebatannya dan kelebihannya, ada juga yang digelar kerana kekurangannya. Ada juga yang digelar kerana keunikkan yang dimilikinya. Selain itu, masyarakat sering memandang tinggi pada mereka yang mempunyai pangkat dan gelaran diawal nama seseorang individu itu. Maka, tidak hairanlah ada orang sanggup bermati-matian berusaha untuk memiliki pangkat dan gelaran, hatta ada yang sanggup mendapatkannya dengan cara menipu atau memalsukan pangkat dan gelaran tersebut. Dan setelah dimiliki, mereka berasa sangat berkecil hati jika orang disekeliling tidak memanggil mereka bersama-sama dengan pangkat dan gelaran. Dunia oh dunia... 

Ilmu adalah satu perkataan yang sangat tinggi nilainya. Namun, adakah disebabkan ketinggian nilainya itu, maka wajar untuk ilmu itu disimpan dan hanya menjadi rahsia mutlak kita sahaja? Lalu, apabila kita meninggalkan dunia ini, ilmu itu turut terkubur bersama-sama dengan jasad kita. 

Pada waktu dahulu, sesiapa yang belajar seni silat, pasti sering mendengar kalimah ini, 

"Guru hanya akan mengajar 9 per 10 sahaja gerak langkah kepada muridnya. Baki 1 langkah, akan disimpannya bagi mengelakkan murid melawan guru."

Tetapi, patutkah keadaan ini berterusan?

Dan apabila tiba giliran si murid tadi bergelar guru, tatkala dia hendak mengajar gerak langkah kepada anak muridnya, pasti dia turut menyimpan 1 langkah seperti yang diamalkan oleh gurunya sebelum itu. Dan akhirnya, apabila generasi silih berganti, tiada lagi gerak langkah yang boleh diajar kerana kesemuanya telah disimpan oleh guru-guru sebelum itu. Adil kah perlakuan ini?

Namun kini jika diteliti, banyak sahaja kajian-kajian yang dibuat, artikel-artikel atau buku-buku yang ditulis bagi menyampaikan ilmu. Tidak percaya?

Lihatlah, berapa banyak buku-buku yang terhasil bagi membicarakan tentang kehebatan syarikat automotif terkemuka dunia, Toyota. Begitu juga bagaimana jatuh bangun Jack Ma dan Alibabanya. Bagaimana uniknya Steve Jobs dalam membangunkan Apple sehingga menjadi trend di seluruh dunia. Bagaimana hebatnya pemikiran Tun Dr Mahathir dalam mengemudi pentadbiran negara tetapi dalam masa yang sama, sifat sayangkan bangsa Melayu, begitu menebal. Tidak kurang juga asam garam perjuangan Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela ketika hayat mereka.  Begitulah serba sedikit inti pati kisah ke-2, Sudah Tiada Rahsia Lagi


Hari Rabu ini, in shaa Allah, umat Islam di Malaysia akan meraikan Hari Raya Aidilifitri. Hari pertama di bulan Syawal. Hari kemenangan pada umat Islam. Pada hari ini, pasti ada sesi kunjung-mengunjung ke rumah-rumah sanak-saudara dan handai taulan. Saling bermaafan sesama sendiri, berbual, bergelak ketawa mengeratkan silaturrahim, serta menjamu selera tetamu yang datang. 

Namun...

Dalam kerancakkan kita berbual, bertanya khabar, janganlah komunikasi atau perbualan kita itu disulami atau dipenuhi dengan sesi memakan daging saudara sendiri. 

Kelakar bukan??

Baru sebentar tadi, kita saling menghulurkan tangan, bermaafan.. Kini, elok sahaja kaki ini melangkah keluar dari rumahnya, atau elok sahaja si polan meninggalkan rumah kita, kita pun mula lah mengumpat si polan ini. Mula lah bercerita kisah-kisah yang mengaibkannya, kisah-kisah yang tidak tentu hujung pangkalnya atau bahasa "lembutnya" memfitnah, memaki hamun dan mencarut tak tentu pasal. 

Sudah banyakkah pahala yang kita kumpulkan ketika Ramadhan hari itu, sehingga kita rasa tidak sayang langsung dengan pahala tersebut, dan ia dibazirkan atau dibuang begitu sahaja dengan cara melakukan dosa lidah sewenang-wenangnya? 

Kasihannnnnnnn....
Kita ini tidak ubah seperti si miskin yang suka membazir..
"Pahala Yang Disia-Siakan"....



Kesimpulannya, Patung Beruang rasa lebih puas menikmati karya Norden Mohamed volume 2 ini, berbanding volume 1 dahulu. Penuh dengan cerita-cerita yang berkisar kehidupan seharian kita. Ada yang boleh dijadikan panduan, dan ada juga patut dijadikan sempadan. Seperti biasa, Patung Beruang kedekut untuk berkongsi banyak kisah di blog ini kerana ia tidak adil buat si penulis. Oleh itu, nasihat Patung Beruang, miliki buku ini dan teliti lah sendiri kisah-kisah menarik yang ada disini..

Adios... :) 

Book Review: A Matter of Honour

Tajuk: A Matter of Honor

Penulis: Jeffrey Archer 

Ceritanya Patung Beruang:


Ini adalah karya Archer yang terbaru yang berjaya Patung Beruang selesaikan pembacaannya. Basically, Patung Beruang ambil masa sebulan lebih untuk habiskan novel ini. Bukannya sebab tak menarik tapi kekangan masa yang ada. 

Masa itu, Patung Beruang sedang bergelut untuk menghabiskan saki baki kerja-kerja di ofis lama. Dalam masa yang sama, sedang berusaha cari mood untuk berhijrah ke tempat baru. Bila dah berhijrah pula, Patung Beruang bergelut untuk suaikan diri di tempat baru, biasakan diri dengan tugas-tugas disana. Jadi, masa untuk membaca sangatlah terhad. Weekend pula, dah beberapa minggu berturut-turut Patung Beruang pulang ke kampung. Bila dah sampai kampung, alamatnya buku ini memang simpan kemas lah dalam beg, tak keluar-keluar. 

Alhamdulillah, beberapa minggu lepas, sebelum ikut ibu dan ayah keluar pergi beli makanan untuk juadah berbuka, Patung Beruang dapat duduk sekejap dan habiskan novel ini. Finally..... hehe.. 

Sinopsis Novel Ini:

Captain Adam Scott adalah ahli skuad elit tentera British. Adam baru kematian ayah, Colonel Gerard Scott. Semasa upacara pembacaan wasiat, Adam menyedari yang ayahnya mewariskan satu sampul surat yang tidak diketahui isi kandungannya.

Setelah beberapa ketika, tidak tahan dengan naluri ingin tahu yang membuak-buak, Adam nekad untuk membuka sampul suratnya. Didalamnya terkandung sepucuk surat yang ditulis didalam bahasa German. Ternyata isi kandungan surat tersebut amat memeranjatkan Adam kerana ia menunjukkan yang Adam adalah pemilik kepada Tsar's Icon, secara sah mengikut undang-undang. 

Namun, persoalannya sekarang, apakah itu Tsar's Icon?

Dan dimana perlu Adam menemui Tsar's Icon kerana ternyata Icon tersebut bukan berada di Britain pada masa itu?

Apa sebenarnya kaitan Tsar's Icon dengan keluarga Adam?


Dalam masa yang sama, di Moscow, pasukan KGB Russia sedang menjalankan operasi mencari khazanah negara mereka atau lebih dikenali sebagai Tsar's Icon, yang telah hilang bertahun-tahun lamanya. Kini, tugas utama untuk membawa pulang khazanah tersebut diserahkan kepada Alexandar Petrovich Romanov, antara ahli KGB yang paling handal pada masa itu. 

Romanov sebenarnya lahir dari keturunan hartawan. Moyangnya dikenali sebagai hartawan dan pemilik tanah yang paling kaya di Petrograd. Namun, ayah Romanov tidak berpeluang untuk menikmati kekayaan keluarganya kerana beliau telah dipenjarakan akibat enggan menyertai parti Komunis. Dan kini, dokumen-dokumen penting berkenaan pemilikan harta serta harta fizikal seperti emas dan batu permata kepunyaan keluarganya  disimpan di Bank Bischoff et Cie, Swiss, tanpa diketahui oleh Romanov sendiri. 

Setelah beberapa penyelidikan dijalankan oleh KGB, akhirnya mereka membuat kesimpulan yang terdapat beberapa bank di luar Rusia yang berkemungkinan besar sedang menyimpan Tsar's Icon. Oleh itu, Romanov dan Petrova, seorang gadis muda yang juga penyelidik terkemuka KGB, bersetuju untuk membuat lawatan ke bank-bank tersebut. Mereka memutuskan untuk terbang ke Swis dan memulakan langkah dengan Bank Bischoff et Cie.

Kedatangan Romanov ke Bank Bischoff et Cie telah lama ditunggu oleh pemilik bank tersebut iaitu keluarga Bischoff. Ini adalah kerana mereka menyimpan amanah untuk mewariskan isi kandungan yang telah lama tersimpan didalam 5 buah peti simpanan di bilik kebal mereka kepada Romanov.

Apakah isi kandungan 5 buah peti tersebut?

Memandangkan Romanov sebenarnya adalah dari golongan bangsawan, adakah KGB akan mengesyaki yang Romanov sebenarnya bukanlah berjuang untuk KGB atau Rusia, tetapi lebih kepada kepentingan dirinya sendiri? 

Kini Adam dan Romanov berlumba untuk mendapatkan Tsar's Icon. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Kedua-duanya mempunyai tujuan yang berbeza. Satu demi maruah keluarga dan satu lagi demi maruah negara. 




Karya Archer sangat sinonim dengan kejutan. Begitu juga didalam cerita ini. Kejutan datang silih berganti apabila perlumbaan antara Adam dan Romanov semakin sengit sehingga menyebabkan beberapa nyawa yang tidak berdosa, terkorban seperti Petrova dan beberapa orang lain yang tidak berkenaan. Konflik politik sesama negara, turut memburukkan keadaan apabila tanpa disedari perlumbaan ini bukan setakat melibatkan Adam dan Romanov, tetapi juga kerajaan Britain dan Rusia, serta tidak terkecuali Amerika. Tetapi, kenapa Amerika??

Sebab...

Pemilikan Tsar's Icon bakal mengubah keadaan sosio politik kuasa-kuasa besar dunia. Ini kerana terdapat satu dokumen sulit yang melibatkan perjanjian politik yang dipersetujui sekian lama dahulu. Dan dokumen sulit itu, tersimpan kemas didalam Tsar's Icon.

Kesimpulannya, novel ini mampu membuat pembaca tidak senang duduk terutama apabila detik-detik mencemaskan pemburuan Romanov keatas Adam. Seronoknya membaca novel ini kerana Archer berjaya membuatkan adrenalin kita konsisten laju dari mula sehingga habis novel ini. 

Adakah ini kegemaran Patung Beruang dari koleksi Archer?? 
Hm..... bukan. Tangga teratas masih lagi dihuni oleh Not A Penny More Not A Penny Less dan diikuti dengan The Fourth Estate... :)

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...