Friday, August 12, 2016

Book Review: The Road to Grace

Tajuk: The Road to Grace


Penulis: Richard Paul Evans



Menariknya Novel Ini:



The Road to Grace adalah buku ke-3 dalam The Walk Series. Sebelum ini Patung Beruang pernah ulas buku ke-4 dalam The Walk Series iaitu A Step of Faith. Jika belum berkesempatan untuk membacanya, bolehlah refer di sini.


Untuk siri ke-3 ini, Alan Christoffersen memulakan pengembaraan beliau dari South Dakota. Tatkala Alan baru melangkah keluar dari lobi hotel, beliau disapa oleh seorang wanita bernama Pamela. 

Kehadiran Pamela di South Dakota sangat memeranjatkan Alan. Baginya, Pamela adalah orang terakhir yang ingin beliau temui di dunia ini.

Pamela adalah ibu kandung McKale, isteri Alan yang baru meninggal dunia. Namun, hubungan Pamela dan McKale tidak seerat seperti selayaknya hubungan ibu dan anak perempuan. Pamela nekad meninggalkan suaminya dan McKale tatkala umur McKale masih kanak-kanak lagi. 

Sejak dari itu, McKale dijaga dan dibesarkan oleh ayahnya seorang diri. McKale membesar menjadi seorang anak yang dahagakan kasih sayang seorang ibu, tetapi dalam masa yang sama membenci wanita tersebut. McKale menjadi seorang gadis yang luarannya nampak tabah dan kuat, tetapi sangat fragile apabila berada disamping individu-individu yang rapat dengannya.

Menjadi sahabat karib sejak dari kecil, dan seterusnya mendirikan rumahtangga bersama, Alan melihat bagaimana kecewanya McKale terhadap wanita yang bernama Pamela, bagaimana kuatnya McKale mengharungi proses pembesaran dan kehidupan tanpa seorang ibu, bebanan emosi dan psikologi yang ditanggungnya. Dan oleh kerana itu lah, Alan nekad untuk menjadi pelindung buat McKale, melindunginya dari disakiti oleh sesiapa pun, sehingga ke akhir hayatnya. 

Seperti persahabatan kanak-kanak, musuh saya bermakna musuh awak juga. Begitu juga hubungan Alan dan Pamela. McKale kecewa dengan Pamela, maka, Alan juga merasakan betapa beliau juga mempunyai rasa kecewa yang sama dengan Pamela. 

Setelah berhari-hari Pamela mengekori Alan dan setelah puas merayu, akhirnya Alan setuju untuk mendengar segala luahan Pamela. Bagi Pamela, persetujuan itu adalah satu rahmat yang amat ditunggu-tunggu sekian lama. 

Pamela merasakan beliau berhutang maaf pada McKale. Namun, McKale telah tiada untuk memaafkannya. Maka, kemaafan dipohon melalui Alan. Persoalannya...

Mampukah Alan memaafkan segala perbuatan Pamela yang telah menyebabkan insan kesayangannya kecewa sepanjang hayat?

Apakah punca sebenar Pamela nekad keluar rumah dan meninggalkan keluarganya berpuluh-puluh tahun dahulu?



Selesai urusan Pamela, Alan meneruskan perjalannya. Namun, tatkala sampai di Corn Palace, Alan merasa sangat pening dan tidak mampu berjalan. Keadaannya yang tidak menentu disedari Leszek, seorang lelaki berbangsa Poland, yang bertindak membawa Alan terus ke Avera Queen of Peace Hospital. 

Setelah dirawat dan dibenarkan pulang, Alan menumpang dirumah Leszek selama beberapa hari. Beliau tinggal seorang diri setelah kematian isterinya 9 tahun dahulu. Leszek selesa menghabiskan masa-masa tuanya bersendirian. Sesekali anak dan cucunya akan datang melawatnya. Dalam masa yang sama, Leszek juga sempat bercerita pengalaman beliau membesar sebagai seorang tahanan perang, menjadi mangsa kekejaman Nazi. 

Setelah beberapa hari dan merasakan dirinya cukup kuat untuk meneruskan perjalanan, Alan pun meninggalkan rumah Leszek. Destinasi seterusnya adalah Sidney, Iowa. 

Di Sidney, Iowa Alan berkenalan dengan Analise, seorang pekerja di Grocery Store yang sudi untuk menumpangkan Alan bermalam dirumahnya. Analise adalah seorang ibu tunggal, tinggal bersama dengan 2 orang anaknya yang comel iaitu Christian dan Casey. Suami Analise meninggal dunia akibat kemalangan ditempat kerja. Tragedi tersebut benar-benar mengubah kehidupan Analise dan anak-anaknya, dari segi fizikal serta psikologi. Tambah merumitkan keadaan apabila Analise terikat dengan mertuanya hanya kerana mereka membantu Analise dan anak-anak dari segi kewangan. 

Bagaimana kesudahan hidup Analise dan anak-anaknya?

Adakah perjalanan Alan akan sentiasa lancar agar beliau cepat sampai ke destinasinya?



Untuk siri ke-3 ini, ada beberapa watak penting yang muncul disepanjang pengembaraan Alan. Yang pasti, watak yang paling mengejutkan adalah Pamela. Melalui siri ini, pembaca dibawa mengenal sisi sebenar kehidupan McKale ketika beliau masih hidup. 

Selain watak-watak yang menarik, Patung Beruang tertarik dengan keistimewaan yang ada pada setiap watak-watak tersebut dan bagaimana perjalanan kehidupan setiap orang adalah berbeza. 

Konsep kemaafan sangat ditekankan didalam siri ke-3 ini. 

Seperti yang ditulis, bagaimana teruknya pihak disana menyakiti kita, tidak rugi jika kita bertindak memaafkan mereka. Tanda kita memaafkan adalah apabila kita tidak lagi berdendam pada mereka. Namun, jika kita berdegil untuk tidak memaafkan, selagi itu lah kita akan berdendam dan dendam itu hanya akan memakan diri kita dari dalam, sehari ke sehari. Maka, dengan dendam yang tidak berkesudahan itu, apa bezanya kita dengan pihak disebelah sana???

Kesimpulannya, Richard Paul Evans tidak pernah mengecewakan Patung Beruang. Begitu jugalah dengan siri ke-3 ini. Malah, Patung Beruang hanya mengambil masa lebih kurang 3-4 hari sahaja untuk menghabiskan naskah ini. Perjalanan cerita yang menarik, konsep diari yang diketengahkan, watak-watak sampingan yang memberi impak kepada pengembaraan Alan benar-benar membuatkan Patung Beruang sukar untuk berhenti jika sudah mula menatapnya. Tak sabar rasanya Patung Beruang nak complete kan kesemua 5 buah buku untuk The Walk Series ini... :)

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...