Wednesday, October 26, 2016

Alam Turut Menangis Di Senjakala

Assalamualaikum wbt

Pernah tak Allah gerakkan hati kita untuk pergi ke suatu tempat atau untuk berjumpa dengan seseorang yang kita kenal, secara tiba-tiba? 

Desakan hati yang sangat kuat sehingga kita tertanya-tanya mengapa ye.. Dan tatkala kita berjumpa seseorang itu, bertanya khabar dan berbual seketika, hati kita berkata-kata, 

"Oh patutlah Allah gerakkan hati ini untuk berjumpa si polan ini, pada hari ini juga. Rupanya ada hikmah disebaliknya..."


Semalam, ketika di pejabat, seharian hati Patung Beruang ini kuat sangat mendesak untuk singgah di Giant yang berdekatan rumah, semata-mata untuk beli supplement dari penjual yang biasa. Memang kebetulan supplement itu telah habis pada malam sebelumnya, namun tidaklah terlalu mendesak sehingga tidak boleh terputus bekalan langsung. 

Maka, ketika perjalanan pulang ke rumah, Patung Beruang pun singgahlah di Giant. Dari jauh terpandang seorang wanita yang Patung Beruang panggil kakak, sedang menunggu di ruang niaganya seperti biasa. 

Bila kakak terpandang saja Patung Beruang, dia terus tersenyum. Patung Beruang hampir dan kami bersalam serta bertanya khabar berita. 

Patung Beruang maklumkan yang 2 minggu lepas Patung Beruang singgah dikedainya untuk beli barang, namun orang lain yang jaga. 

Kakak terus membuka cerita. Rupanya hari ini adalah hari pertama dia kembali menjaga perniagaannya ini. Sudah sebulan dia berulang-alik dari Seri Kembangan ke hospital di negeri sebelah selatan bagi melawat abangnya yang sakit. Disepanjang ketiadaannya, perniagaannya dijaga oleh anak menantunya atau pembantunya. 

Kakak bercerita panjang lebar keadaan abangnya yang koma di ICU. Tidak sedarkan diri, hanya mampu bernafas melalui peralatan sokongan dan menunggu masa untuk pergi dengan aman. 

Ahli keluarga terdekat sentiasa ada disisi. Dan jika ada ahli keluarga yang menyetuh atau berinteraksi dengan si pesakit, hanya air mata sahaja yang kelihatan gugur dari mata si pesakit. Itu sahajalah tindak balas yang mampu diberikan oleh si pesakit. 

Patung Beruang hanya diam dan tekun mendengar cerita kakak. Ya, raut wajahnya nampak penat dan sedih. Apatah lagi itu adalah satu-satunya abang yang dia ada. 

Tiba-tiba kakak berkata yang doctor ada pesan supaya jangan dibebankan emosi si pesakit. Ini kerana apabila si pesakit sedih atau emosinya terganggu, tekanan darahnya akan semakin menurun dan ia adalah keadaan yang berbahaya buat si pesakit. Maka, jika ada ahli keluarga yang hendak membacakan surah Yasin, doctor menyarankan agar dibaca jauh sedikit dari pesakit. Kerana tidak mahu si pesakit rasa sedih memandangkan Yasin sinonim dengan situasi seseorang yang sedang nazak dan ada kematian. 

Bila mendengar cerita kakak, Patung Beruang teringat kisah Bisikan Kata-Kata Syurga yang dipetik dari buku Cerita Dari Syurga. Ia adalah kisah perbualan Adam dan ayahnya di hospital. Oleh kerana ayah hanya memejamkan mata dan tidak berinteraksi dengan sesiapa pun, maka Adam hanya duduk disisi dan membacakan Al-Quran bersama dengan terjemahannya buat ayah. Namun, cara pembacaan Adam agak berbeza. Jika berjumpa dengan kisah dan keindahan di Syurga, Adam akan membaca ayat Al-Quran tersebut berserta terjemahannya dengan jelas. Namun, tatkala berjumpa dengan ayat berkenaan neraka, Adam hanya membacakan ayat Al-Quran sahaja tanpa terjemahannya. Kerana Adam ingin ayah membayangkan perkara yang indah-indah sahaja. Moga tatkala ayah membuka mata, Syurga berada dihadapannya. Dan itulah yang dilakukan oleh Adam sehinggalah akhirnya ayah pergi mengadap Ilahi dengan tenang. 

Lantas Patung Beruang berkongsi kisah Adam dan ayahnya pada kakak. Dan mencadangkan agar kakak dan ahli keluarganya juga melakukan perkara yang sama. Kita tidak tahu apa yang ditanggung dan dirasa oleh si pesakit  pada masa ini. Maka, diharapnya dengan ayat-ayat Al-Quran yang menenangkan, yang memperihalkan keindahan alam yang kekal, dapatlah kiranya meringankan serba sedikit beban si pesakit.

Sebelum beredar, kakak sempat mengucapkan terima kasih kerana Patung Beruang sudi meluangkan masa bertanya khabarnya dan mendengar luahannya. Ya, tiada apa yang Patung Beruang mampu lakukan kecuali menjadi pendengar yang baik dan mengucapkan kata-kata yang baik. Dia hanya seorang peniaga dan Patung Beruang adalah salah seorang dari ratusan dan mungkin ribuan pelanggannya. 

Keluar sahaja dari Giant untuk menuju ke kereta, azan Maghrib pun berkumandang. Dan hujan renyai-renyai membasahi jalan. Alam juga turut menangis seolah mengerti beban jiwa manusia diatas muka bumi ini. 






Sebenarnya Patung Beruang berhasrat untuk berkongsi kisah ini malam semalam. Malangnya, rasa lelah sangat. Sehingga Patung Beruang tertidur ketika membaca buku. Jadi malam ini lah baru Patung Beruang berkesempatan untuk menulis. 

Malam ini malam terakhir Patung Beruang dirumah. Esok lepas kerja, Patung Beruang akan travel dan I'll have a longggggg weekend this week. Tak sabar rasanya hati ini.

Dalam beberapa hari ini emosi Patung Beruang bercampur-aduk. Kisah kakak adalah satu dari beberapa kisah sedih yang Patung Beruang temui. Itulah hakikat kehidupan. Tidak semuanya indah belaka dan tidak semuanya pahit belaka. 

Buat kakak dan keluarga, semoga terus tabah dan sabar menghadapi ujian Allah. Yakinlah, apa pun yang berlaku, itulah yang terbaik kerana Allah tidak pernah salah mengatur kehidupan hamba-Nya. 

Selamat malam....

Monday, October 24, 2016

Dentist, Rak Buku, Buku Dan Soalan Accounting

Assalamualaikum wbt

Sekejap je kan kita dah masuk 24hb.. Ya Allah.. tak lama lagi dah hujung bulan October.. Lepas tu, hujung tahun 2016.. Cepatnya masa berlalu.

Weekend yang baru ini Patung Beruang rasa puas sangat sebab banyak benda Patung Beruang berjaya selesaikan. 

Sabtu pagi Patung Beruang pergi dentist. Hajat dihati nak buat check up dan scaling. Lagipun Patung Beruang perasan sejak akhir-akhir ini bila Patung Beruang makan makanan manis, gigi sebelah kiri akan rasa sakit sangat untuk tempoh beberapa saat. Jadi, dari tunggu dia sampai melarat, baiklah kita jumpa dentist cepat-cepat. 

Patung Beruang dah set appointment pukul 11 pagi di Klinik Pergigian Qistina. Basically, ini 1st time Patung Beruang pergi dentist sini. Biasanya Patung Beruang pergi Klinik Pergigian Haliza, di Bandar Baru Bangi. Tapi memandangkan Qistina ini sangat dekat dengan rumah, jadi Patung Beruang plan nak cuba dulu. Kalau ok dan serasi, lepas ini terus pergi Qistina je lah. 

Patung Beruang sampai tepat pukul 10.55. Lepas register, duduk sekejap je terus nurse panggil masuk dalam bilik rawatan. Masuk-masuk je tengok dentist lelaki. Oh man!!!!! Patung Beruang ada bad experience dengan dentist lelaki. Dan sejak itu Patung Beruang akan pastikan dentist yang merawat semuanya adalah perempuan. Adoi.... nak patah balik tak boleh.. Hm.. teruskan je lah. 

Masa buat check up tu, dentist discover memang ada lubang di gigi sebelah kiri atas. Oh... patutlah Patung Beruang rasa sakit setiap kali makan benda manis. 

So lepas tampal dan buat scaling, akhirnya selesailah urusan Patung Beruang di Qistina.

Alhamdulillah, dentist lelaki yang entertain Patung Beruang tu sangat professional dan gentle. Tidak menyakitkan dan sangat cekap. Beliau banyak berkongsi berkenaan keadaan gigi Patung Beruang dan apa langkah yang terbaik untuk menjaganya serta memastikan ia sentiasa sihat. Nurse yang membantu pun sangat cekap. Sentiasa ada disisi dentist dan patient. 

Jadi lepas ini, Patung Beruang buat check up disini je lah. Tak perlu nak susah-susah cari dentist lain. Dekat dengan rumah, dentist yang professional, harga pun reasonable. Ok lah kan..


Petang tu ketika di rumah Patung Beruang terfikir untuk assemble rak buku yang Patung Beruang beli di Ikea hari tu. Ikut plan, nak minta tolong abang assemble last weekend masa dia balik rumah Patung Beruang. Tapi tak sampai hati pula sebab tahu bukan senang abang nak dapat peluang rehat puas-puas. Lagipun masa yang abang spend dirumah pun sangat terhad. Yelah, pagi Sabtu tu, kami semua ke KLIA untuk hantar Kak Chik balik. Balik dari KLIA, abang pergi Shah Alam pula. Tengahari baru beliau balik rumah Patung Beruang. Then Ahad pagi dia dah kena pergi ofis, settle kan kerja dan terus balik  ke rumah dia. So tak sampai 24 jam pun dia spend masa di rumah Patung Beruang. 

Takpelah, Patung Beruang cubalah assemble pelan-pelan rak buku tersebut. Lagipun, Ikea kan ada provide manual. Jadi, tengok je lah manual tu..

Sedang Patung Beruang leka assemble rak buku tersebut, Patung Beruang dapat FB mesej dari rakan lama. Rupa-rupanya this girl minta tolong Patung Beruang untuk selesaikan soalan accounting untuk manufacturing. 

Oh man!!!!.... Lamanya Patung Beruang tak mengadap soalan accounting ini. 

Tapi bila girl ini beria minta tolong sampai merayu-rayu, jadi Patung Beruang pun tinggalkan rak buku yang separuh assemble ni untuk menyelesaikan soalan accounting ini. 

Jadi, jomlah kita keluarkan calculator, kertas dan pen ye.. hehe..

Lepas selesaikan soalan accounting ini, Patung Beruang refer jawapan dengan that girl. Tapi malangnya jawapan Patung Beruang berbeza dengan skema. Alamak.... Takpe kita cuba lagi.

Cuba, cuba dan cuba.. Tapi tetap Patung Beruang tak dapat figure yang sama dengan skema. Patung Beruang ada tanya Mr Google berkenaan jalan kerjanya, tapi jawapan yang ada tidak memuaskan hati ini. 

Last resort, Patung Beruang pun whatsapp this question pada Iman. Takut juga kalau2 menggangu dia sebab perbezaan waktu disana dan di Malaysia. Iman ada bagi cadangan, macam kena cari COGS dulu, lepas tu dapatkan Net Profit/(Loss) then baru boleh buat double entry. Yes, Patung Beruang dah try tapi still tak sama juga jawapannya, huhu.. 

Finally, Patung Beruang surrender.. Nak refer accounting book pun tak boleh juga sebab accounting books Patung Beruang mostly Patung Beruang simpan di Melaka. Buku rujukan yang ada dirumah ini kebanyakkannya area Strategic Management, Corporate Finance, Economy dan Audit. Sedangkan soalan ini lebih kepada Management Accounting & Costing. Patung Beruang yakin mesti ada steps yang Patung Beruang tertinggal. Tu sebab Patung Beruang tak dapat jawapan yang sepatutnya. Kecewa sangat, huhu...


So lepas tu Patung Beruang pun sambung lah assemble rak buku. Dan Alhamdulillah, finally siap juga.. Total masa yang Patung Beruang ambil untuk assemble rak buku ini lebih kurang 2 jam lebih, setelah ditolak masa yang Patung Beruang gunakan untuk selesaikan soalan accounting. Not bad untuk seorang gadis yang baru pertama kali assemble rak buku, hehe.. 

Bila dah siap assemble, rasa tak sabar pula nak susun buku-buku disitu. Tapi dalam masa yang sama Patung Beruang masih belum dapat idea cara terbaik untuk susun buku-buku tersebut serta yang penting, ia dapat membezakan buku-buku yang Patung Beruang belum baca dan sudah baca. 


Malam itu,sebelum tidur, sambil-sambil Patung Beruang berfikir cara terbaik untuk susun buku, tiba-tiba Patung Beruang ternampak buku terakhir dalam The Walk Series iaitu Walking on Water yang masih belum Patung Beruang baca. Jadi, Patung Beruang pun terus lah duduk mula membaca Walking on Water ini untuk mengetahui kesudahan pengembaraan Alan Christoffersen. 

Kesudahannya, buku tersebut Patung Beruang berjaya habiskan pada keesokkan harinya, waktu petang. Ini menjadikan ia buku ke-2 yang Patung Beruang berjaya habiskan pembacaannya sepanjang weekend selepas Cerita Dari Syurga (buku ini Patung Beruang sudahkan pembacaanya pada hari Sabtu siang). Hooorayyyyy!!!!


Kesimpulannya, weekend baru ini Patung Berjaya berjaya menyelesaikan misi-misi penting, hehe.. Pergi jumpa dentist, assemble rak buku, dan habiskan 2 buah buku. Seronoknya, hehe.. Takpelah.. bukan selalu Patung Beruang dapat macam ini. Next weekend, Patung Beruang akan ada long weekend dan tiada di sini. Jadi, ini adalah weekend terakhir di rumah. So, manfaat kan lah dengan sebaiknya...

Oklah, dah lama pula Patung Beruang menulis ni... Hari ini ada parcel buku yang baru sampai tau. Buku-buku ini Patung Beruang beli hari Khamis lepas. Tak sabar rasanya nak membelek buku-buku baru ini. Malam ini Patung Beruang akan mula membaca buku baru. Buku yang mana satu, hm.. tak pasti lagi.. 

Book Review: Walking On Water

Tajuk : Walking On Water

Penulis : Richard Paul Evans

Menariknya Buku Ini:

Ini adalah buku ke-5 dan terakhir dalam The Walk Series, kisah pengembaraan Alan Christoffersen dari Seattle ke Key West. 

Sebelum ini, Patung Beruang ada kongsikan buku ke-4 iaitu A Step of Faith dan buku ke-3 iaitu The Road to Grace .  

Untuk buku terakhir ini, Alan terpaksa pulang ke Pasadena kerana ayahnya, Mr Christoffersen sedang sakit tenat akibat masalah jantung. Sampai di Pasadena, Alan terus bergegas ke hospital. 

Di hospital, Mr Christoffersen ditemani oleh Nicole. Pertemuan antara Nicole dan Alan pada kali ini dalam suasana yang agak janggal. Ini adalah pertemuan pertama mereka selepas Alan berterus terang menolak cinta Nicole. 

Dari sehari ke sehari Alan menyedari betapa Nicole melayan Mr Christoffersen bukan seperti seorang client melayan chartered accountant nya, namun seperti seorang anak perempuan melayan ayahnya. Dan Mr Christoffersen juga menerima Nicole bukan sekadar client beliau, namun sebagai anak perempuan yang tidak pernah beliau miliki.  

Tatkala sampai dirumah, Alan menyedari yang ayahnya sedang menyiapkan jurnal berkenaan sejarah keluarga mereka. Ia bermula dari generasi pertama iaitu Jon Kristoffersen, generasi ke-2 Finn Christoffersen, generasi ke-3 Peter Christoffersen, generasi ke-4 Robert Christoffersen dan Alan sebagai generasi ke-5.

Semua catatan didalam jurnal tersebut sangat detail dan menyentuh perasaan. Malah ada yang tidak pernah langsung diketahui oleh Alan seperti kisah generasi-generasi terdahulu sebelum ayahnya, pembabitan dan kecemerlangan ayahnya didalam pasukan tentera Amerika, berperang di Vietnam sebelum beliau melanjutkan pelajaran di Universiti dan seterusnya menjadi chartered accountant. 

Turut dicatat didalam jurnal tersebut adalah detik-detik perkenalan ibu dan ayah Alan, bagaimana mereka berkahwin, kelahiran Alan,  apabila ibunya disahkan mengidap kanser dan seterusnya meninggal dunia tatkala umur Alan mencecah 8 tahun. 

Dan tanpa Alan sedari, Key West adalah tempat yang paling bermakna buat ibu dan ayahnya kerana disitulah Mr Christoffersen melamar. Dan kini, Alan pula bernekad untuk berjalan ke Key West sebagai satu pengembaraan bagi mencari dirinya, memulihkan jiwa dan semangatnya setelah kematian McKale. 

Seperti dijangka oleh doctor, kesihatan Mr Christoffersen semakin merosot dan akhirnya meninggal dunia. Pemergian Mr Christoffersen benar-benar menyentap Alan kerana akhirnya, pada saat ini, beliau tinggal sebatang kara tanpa ahli keluarga didunia ini. 

Pengebumian Mr Christoffersen dihadiri oleh ramai kenalan dan juga client beliau. Malah, Falene, bekas staff Alan yang kini menjadi model di New York juga turut hadir. 

Kehadiran Falene menceriakan sebentar hati Alan. Alan menyedari yang beliau juga menyintai Falene setelah Falene pergi menghilangkan diri, apabila Alan menolak luahan perasaanya dulu. Oleh itu, untuk pertemuan kali ini Alan nekad untuk meluahkan perasaannya pada Falene. 

Namun, tanpa diketahui, Falene sebenarnya bakal berkahwin dengan salah seorang pemilik agency model tempat beliau bekerja. Dan luahan perasaan Alan hanya membuatkan Falene sangat terluka. 


Dapatkah Alan memujuk Falene agar menerima dirinya? 

Atau mungkin memang ditakdirkan Alan akan kekal bersendirian setelah kematian McKale? 

Adakah Alan akan menyambung pengembaraanya sehingga sampai ke Key West, seperti apa yang dihajati nya?

Atau mungkin pengembaraan Alan terhenti dek kerana kematian Mr Christoffersen dan penolakan cinta dari Falene?  



Untuk buku terakhir ini, Richard Paul Evans banyak bermain dengan emosi pembaca. 

Banyak babak-babak yang menyentuh perasaan terutama ketika Alan membaca jurnal susur galur keluarganya, babak ibunya bertarung dengan kanser dan akhirnya meninggal dunia, bagaimana Mr Christoffersen dan Alan mengharungi hari-hari yang memeritkan selepas kematian isteri dan ibu, babak kematian Mr Christoffersen dan keadaan Alan setelah pemergian ayahnya dan Falene. 

Dan to be honest, Patung Beruang menangis ketika membaca babak-babak tersebut. Rasa macam tengok filem pula sebab Richard Paul Evans berjaya menceritakan setiap babak tersebut dengan detail sehingga kita yang membaca ini pun terbayang-bayang suasananya. 

Selama ini Patung Beruang terfikir adakah kisah Alan Christoffersen ini rekaan semata-mata atau ia berdasarkan cerita sebenar. Ini kerana gaya penceritaannya sangat detail dan real. Akhirnya, didalam buku ini, di bahagian terakhir sekali, Richard Paul Evans berkongsi rahsianya. Watak yang bernama Alan Christoffersen memang wujud. Dan pengembaraan Alan pula memang dilakukan sendiri oleh Richard, anak perempuannya dan seorang pembantunya, sehingga ke destinasi utama mereka iaitu Key West. Bezanya adalah Alan berjalan kaki namun mereka mengembara dengan kereta. Dan setiap tempat yang Richard coretkan didalam buku ini, suasana, lokasi, cara kehidupan, semuanya sama seperti apa yang mereka alami.  Malah ada antara watak-watak sampingan didalam The Walk Series adalah watak yang memang wujud disana. 

Oklah, now dah tamatlah pengembaraan Alan. Namun, pengembaraan Patung Beruang belum tamat lagi. Ini kerana Patung Beruang masih belum berjumpa lagi dengan buku pertama dan ke-2 dalam The Walk Series ini. So, target lepas ini adalah untuk memiliki kedua-dua buah buku ini bagi melengkapkan koleksi Patung Beruang. 

Kesimpulannya, cerita yang sangat menarik dan membuka mata pembaca. Banyak pengajaran dan pengalaman kehidupan yang Patung Beruang kutip sepanjang membaca 3 buah buku The Walk Series ini. Malah ia juga memberi pengajaran dimana walau betapa sukarnya hidup kita didunia ini, kita tidak boleh berputus asa. Disaat kita hilang segala-galanya, disitu lah terserlah kekuatan diri kita yang sebenar. Dengan duduk meratap dan murung, hanya akan merosakkan diri dan jiwa kita. Tiada orang yang boleh memaksa kita untuk bangun dan berjalan kembali, kecuali diri kita sendiri. Tidak hairanlah mengapa The Walk Series ini mendapat sambutan yang hebat di seluruh dunia kerana ia memang memulihkan jiwa pembaca sebagaimana ia memulihkan jiwa Alan Christoffersen......

Sunday, October 23, 2016

Book Review: Cerita Dari Syurga

Tajuk: Cerita Dari Syurga

Penulis: 
1. Zamri Mohamad
2. Yusry Yusopp
3. Haeqal Zulqarnain 

Menariknya Buku Ini:

Ok, buku ini masih panas ye hehe..  Ini adalah buku terkini yang Patung Beruang selesaikan pembacaan. Patung Beruang mula menatap naskah ini, Jumaat malam sebelum tidur. Dan akhirnya semalam tengahari, before Zuhur, selesailah menatap setiap kisah dalam naskah ini.

Cerita Dari Syurga menghimpunkan 30 buah cerita yang sangat sedap dan menyentuh perasaan. 

Penulis membuka naskah ini dengan Teh Pengaruh, Semakin Diteguk Semakin Diingati, mengisahkan seorang wanita yang bertandang kerumah jirannya. Kedatangannya disambut mesra oleh tuan rumah, dan tuan rumah hanya menghidangkan segelas air suam. Walaupun pelik namun, wanita ini tetap meneguk air suam tersebut setelah dipelawa bersungguh-sungguh oleh tuan rumah. Kemudian, tuan rumah bertanya jika beliau menghendaki teh. Wanita ini mengangguk. Maka, tuan rumah menyediakan secawan teh tanpa gula buat wanita ini. Setelah diteguk, tuan rumah bertanya lagi, mahu gula kah? Dan wanita ini membalas cukup dengan sesudu sahaja. Teh bergula itu dihirup dengan nikmat oleh wanita itu. Dan tuan rumah pula berkata lagi, jika mahu enak, campurkan sedikit susu cair. Lantas disuakan susu cair kepada tetamu ini. Nampak pelik namun tuan rumah ini adalah seorang yang bijaksana. Beliau bijak menerangkan soal kehidupan kepada tetamunya itu hanya dengan segelas air suam, yang kemudiannya menjadi segelas teh, teh bergula dan akhirnya teh susu. 

Anak-anak yang membesar di rumah anak yatim biasanya sangat akrab antara satu sama lain. Itulah keluarga besar mereka. Namun, disebalik keakraban itu, pasti ada seorang yang ditugaskan untuk mengawal dan menegur tingkah laku adik-adik yang kecil. Tuk!Tuk! Abang Bisu Bercakap membawa kita kepada seorang anak yatim yang sangat meminati dunia fotografi. Dan beliau juga sangat akrab dengan Abang Bisu, anak kepada Ummi, pemilik rumah anak yatim. Abang Bisu menjaga anak yatim ini seperti seorang abang yang menjaga adik dengan penuh kasih sayang namun masih lagi tegas demi memastikan adik ini menjadi orang yang berguna dikemudian hari. Jika ada yang tidak kena, Abang Bisu pasti akan menulis nota teguran dan menyelitkan nota tersebut didalam kocek baju si adik ini. Jika adik terlihat bersedih atau kurang bersemangat, Abang Bisu sentiasa memujuk dan memberi galakan lewat tulisan-tulisan di poster atau nota yang dititipkan.  Kegembiraan Abang Bisu memuncak apabila adik yang dikasihi berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Walau tidak mampu berkata-kata, namun air muka dan tingkah laku Abang Bisu mencerminkan perasaan dan isi hatinya. Dan Abang Bisu masih  kekal di rumah anak yatim itu, sehingga dewasa, menggantikan Ummi setelah dipanggil pulang Ilahi. Jadilah Abang Bisu, abang yang tegas tetapi penyayang untuk semua adik-adik disana. 

Bisikan Kata-Kata Syurga membawa kita mengenali Adam, yang menemani ayah di hospital. Ayah tidak mampu bergerak dan berkata-kata, hanya terbaring menutup mata. Bagi mengisi masa, Adam membacakan Al-Quran bersama terjemahannya di sisi ayah. Adam melakukannya supaya dirinya yang berasa jahil dan ayah yang diam itu sama-sama faham isi kandungan kitab suci ini. Apabila membaca teks Al-Quran yang bercerita tentang syurga, Adam bacakan dengan jelas bersama terjemahan. Jika teks Al-Quran yang bercerita perihal azab dan api neraka, Adam hanya membaca teks Al-Quran tanpa terjemahannya. Adam akan terus melompat ke teks seterusnya. Sehari demi sehari Adam disitu, rutin yang sama disisi ayah. Dan akhirnya sampailah masa ayah dipanggil pulang oleh Ilahi. Perbualan Adam dan ayah adalah perbualan syurga dan neraka. Perbualan harapan diterjemah kata oleh Adam, supaya pejam mata ayah, nampaklah syurga. 



Karya Cerita Dari Syurga ini sangat menyentuh perasaan Patung Beruang. Hampir semua cerita didalam ini sedap-sedap belaka. Pelbagai tema yang diutarakan namun motifnya hanya satu, bagaimana kita hendak diingati setelah kita tiada. Ada hubungan ibu ayah dan anak, hubungan majikan dan pekerja, hubungan suami dan isteri, hubungan jiran tetangga, hubungan guru dan murid, serta hubungan sesama ahli masyarakat. Ada yang diingati kerana kata-katanya, ada yang kerana tingkah-lakunya, tunjuk ajarnya, nasihat dan tindakan spontan. 

Malah ada beberapa cerita yang berjaya mengalirkan air mata Patung Beruang seperti Bisikan Kata-Kata Syurga, Ayah Kami Harimau Jadian, Hidup Dalam Kedewasaan Cinta, Lihatlah Syurga di Jendelamu, Jiran Selang 40 Pintu, Tudung Merah Jambu

Dan yang paling Patung Beruang terkesan adalah gaya bahasa didalam naskah ini sangat cantik. Pemilihan perkataan dan susunan ayat sangat indah. Bacaan santai namun melekat kuat di hati. Naskah yang sangat sesuai untuk dihadiahkan kepada ahli keluarga atau sahabat handai. 

Book Review: Sekapur Sirih Daripada Teja

Tajuk: Sekapur Sirih Daripada Teja

Penulis: Sharifah Aisiah Syed Mahazar

Menariknya Buku Ini: 

Sekapur Sirih Daripada Teja adalah naskah yang mengimpunkan 11 buah cerpen.

Penulis memulakan pengembaraan naskah ini dengan kasih seorang adik yang kurang upaya, Irwan yang tidak berbelah bahagi terhadap ibu dan kakaknya, Erni. Kerana Irwan yang kurang sempurna sifatnya menyebabkan Mak Biah memberi perhatian yang lebih padanya berbanding anak sulungnya, Erni. Namun tindakannya itu menimbulkan rasa kurang senang pada Erni. Beliau menganggap Mak Biah tidak menyayanginya dan mula memberontak. Ditambah lagi dengan sikap Erni yang tidak dapat menerima kekurangan Irwan. Naluri remaja, pemberontakkan mereka sangat keras, kurang ajar dan sering kali menjentik rasa hati orang disekeliling termasuklah ibu tersayang. Adakah Erni akan terus membenci Irwan atau mungkin terbit sedikit sinar buat Irwan untuk merasa secebis kasih sayang dari seseorang yang bergelar kakak?  .. Kasih Adik

Bonda - Aku Mahu Sujud Di Kakimu membawa kita kepada Ayie, seorang anak muda yang merantau demi mencapai cita-cita. Setelah tamat pengajian, Ayie masih lagi menetap di perantauan untuk mencari rezeki. Namun, tindakannya itu sebenarnya mengguris rasa bonda tercinta. Bonda merasakan yang hayatnya sudah tidak lama didunia ini, maka bonda berhasrat untuk menghabiskan sisa-sisa masa yang ada bersama anak tersayang. Dan kini kepulangan Ayie ke kampung hanya disambut oleh rumah kosong bonda. Tiada lagi secangkir senyuman bonda buat penghilang lelah dan kata-kata nasihat bonda buat peneman dijalanan. 

Tatkala ibu dan ayah sudah tiada lagi di dunia ini, hubungan akrab anak-anak adakalanya makin lama makin menjauh. Bukan kerana pertelingkahan tetapi kerana tuntutan kesibukan hidup masing-masing. Alif adalah anak sulung. Setelah beberapa tahun kematian ibu dan ayah, Alif yang bertugas sebagai seorang guru, mengadakan majlis bacaan yasin dan tahlil di rumah pusaka mereka di kampung. Namun, adik-adik Alif tidak pulang menghadiri majlis dek kerana tuntutan kerja dan keluarga masing-masing. Alif bersedih. Adik-adik seolah-olah tidak lagi sudi untuk menjengah ke rumah pusaka itu lagi. Alif masih ingat pesan ibu agar sentiasa memelihara ikatan kekeluargaan walaupun tatkala ibu dan ayah sudah tiada lagi. Adakah begini kesudahan perhubungan Alif adik beradik atau mungkin ada sinar kesedaran pada mereka, untuk kembali ke rumah pusaka, melawat abang sulung yang telah banyak berkorban untuk mereka selama ini? ... Noktah.



Sekali lagi, Patung Beruang rasa sangat puas selesai menatap karya terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Karya yang mempunyai motif yang jelas, ada jalan cerita, gaya bahasa yang cantik dan kisah yang berpijak dibumi nyata.

Kumpulan cerpen Sekapur Sirih Daripada Teja banyak menyentuh isu-isu kekeluargaan dan kehidupan yang kita lalui dan kita lihat setiap hari. Isu yang mungkin pada kita nampak remeh namun ia memberi kesan yang besar pada orang yang mengalaminya. Terima kasih buat penulis kerana menghasilkan karya yang bagus seperti ini. Memang wajar untuk dipilih sebagai salah satu pemenang untuk Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH. 



p/s: Ada orang bertanya, Patung Beruang tidak baca ke novel-novel mainstream yang ceritanya banyak dijadikan drama di TV atau filem di pawagam?  Hm.. Sukar untuk Patung Beruang jawab soalan ini. Bimbang jika ia mengundang rasa kurang senang pada pembaca dan penulis-penulis novel tersebut. 

To be honest, Patung Beruang dibesarkan dengan karya-karya bermutu terbitan Dewan Bahasa & Pustaka. Ingat lagi, setiap bulan ibu ayah akan bawa kami ke Kedai Buku DBP yang terletak di Plaza Kotaraya, Johor Bahru, atau di Badan Bookstore yang terletak di Angsana, Kami akan memilih buku untuk dibeli. Dan ia adalah rutin bulanan yang sangat ditunggu-tunggu oleh Patung Beruang dan adik-adik. Dan sehingga kini, rasa teruja Patung Beruang terhadap kedai buku masih lagi tebal. Malah, ditambah pula dengan jualan secara online. Patung Beruang boleh spend masa berjam-jam hanya untuk shopping buku tidak kira online ataupun physical store. 

Tatkala remaja, ketika di matrikulasi dan degree, Patung Beruang mula membaca karya-karya mainstream yang menjadi kegilaan remaja seusia Patung Beruang. Namun, Patung Beruang rasa kosong sangat. Kerana karya-karya tersebut lebih kepada kisah cinta seperti Cinderella, ada watak baik sangat dan watak jahat sangat, tetapi akhirnya pasangan yang bercinta pasti akan bahagia ke akhir hayat. Oh man!!!!! macam cerita Hindustan.. Ditambah pula dengan bahasa rojak, gaya percakapan yang sangat urban.. Adoi... sakit mata Patung Beruang. 

Dan honestly, ia sangat tidak kena dengan jiwa Patung Beruang. Sebab bila Patung Beruang lihat sekeliling, tiada kisah hidup atau kisah percintaan yang perfect seperti dalam buku. Dan yang pastinya, cinta tidak semestinya bersatu. Malah, banyak saja kes dialam nyata, kerana cinta lah kita rela lepaskan insan yang kita cintai itu. Kerana kita sedar dia akan lebih bahagia bersama orang lain berbanding kita. 

Disebabkan itu, sampai sekarang, bila Patung Beruang dah ada duit sendiri, dah boleh beli buku-buku sendiri banyak-banyak sampai tak muat rak buku, hehe.. Patung Beruang tetap cerewet memilih novel dan cerpen. Dan perkara pertama yang Patung Beruang lihat ketika memilih naskah adalah siapa penerbitnya? Jika DBP, Patung Beruang memang tidak akan ragu-ragu untuk menyambar naskah tersebut dari rak pameran. Dan kini, Patung Beruang tambah lagi satu nama didalam senarai iaitu ITBM... Sekali-sekala Patung Beruang juga memilih PTS, Karya-karya fiction mereka juga bagus dan banyak unsur-unsur Islamik. 

Pada pendapat Patung Beruang, karya yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit ini mempunyai standard yang tinggi dari segi jalan cerita dan gaya bahasa. Dan Patung Beruang lebih serasi dengan cara itu dibandingkan dengan karya-karya popular yang banyak ditayangkan di TV sekarang ini. 

Jadi harapnya, lepas ini janganlah tanya lagi ye adakah Patung Beruang sudah baca novel yang sedang hangat drama nya di TV Astro ke, TV 3 ke, atau apa-apa TV lah.. Sebab besar kemungkinan jawapan Patung Beruang adalah tidak... 

Thursday, October 20, 2016

Book Review: Anatomi Rupert

Tajuk: Anatomi Rupert

Penulis: Ruhaini Matdarin

Sinopsis Novel Ini:

Anatomi Rupert mengisahkan kehidupan masyarakat di Pekan Rupert, Sabah. Penulis memulakan karya ini dengan mengenalkan pembaca kepada Pak Ali. 

Pak Ali adalah seorang tukang gunting. Beliau mempunyai kedai gunting rambut yang terletak di tengah-tengah Pekan Rupert. Sebaris dengan kedainya adalah deretan kedai-kedai lama yang telah didirikan sejak puluhan tahun dahulu. 

Logiknya lokasi yang strategik boleh mendatangkan keuntungan kepada kedai gunting rambut Pak Ali. Namun, ia tidak berlaku. Ini adalah kerana kedai gunting rambutnya hanya menawarkan 2 jenis gaya potongan iaitu potongan rambut ala Hitler dan ala cendawan. Disebabkan itu, bilangan pelanggan yang datang ke kedai Pak Ali semakin hari semakin berkurangan. Manakan tidak, generasi muda mendambakan potongan ala K-Pop. Paling tidak pun, ala Justin Bieber. Akhirnya, mereka lebih selesa untuk pergi ke salon gunting rambut yang terdapat didalam kompleks membeli belah. Ada air-cond dan pelbagai gaya rambut ditawarkan juga. Perniagaan yang makin hari makin merosot menyebabkan keluarganya sering kali mendesak agar Pak Ali berhenti berniaga. Namun, desakan itu dipandang sepi kerana Pak Ali merasakan perniagaan itu sangat bermakna dalam sejarah hidupnya. 

Tok Mun pula adalah abang kepada Pak Ali. Seorang lelaki tua yang sangat uzur. Beliau terpaksa menggunakan tongkat dan alat bantu pendengaran serta kaca mata dalam menjalani kehidupan sehariannya. Walaupun sudah lanjut usia, Tok Mun bercita-cita untuk bertanding didalam pilihanraya. Dan jika beliau menang, beliau berhasrat untuk menukarkan nama Pekan "Rupert" kepada nama yang lebih bercirikan tempatan. Baginya, nama "Rupert" sangat berbau penjajah. 

Salim adalah pemuda yang datang merantau di Pekan Rupert. Beliau berasal dari kawasan pendalaman, beranggapan dengan berhijrah ke pekan luar, beliau akan mampu untuk mengubah ekonomi keluarganya. Namun, dengan pendapatan sebagai pembantu di kedai gunting rambut Pak Ali, tidak mampu menjadikan impian Salim itu satu kenyataan. Lantas, beliau nekad untuk kembali semula ke kampungnya dan mengusahakan tanah keluarga. Baginya, itu sahajalah jalan terbaik untuk beliau membuktikan kehebatan dirinya. 

Selain 3 watak ini, ada beberapa watak penting yang diketengahkan didalam novel ini iaitu Sumarni, Arif, Salihin dan Razak. 


Menariknya Novel Ini:

Anatomi Rupert memaparkan kehidupan masyarakat Pekan Rupert yang pelbagai ragam, baik lelaki atau wanita, tua atau muda. Ada yang bercita-cita tinggi tetapi malas, ada juga yang sudah diberi peluang untuk membuktikan diri namun disia-siakan, ada yang berusaha keras namun keadaan sekeliling tidak membantu dan ada juga yang berusaha keras dan berwawasan sehingga akhirnya mampu membuka mata masyarakat sekeliling. 

Membaca karya ini seperti kita melihat pelbagai tingkah-laku, pemikiran dan cara kehidupan masyarakat Melayu sebenarnya. 

Sumarni digambarkan sebagai seorang wanita, yang bergelar janda, merantau ke Pekan Rupert dengan niat mencari rezeki yang halal. Sebagai seorang peniaga yang bagus, Sumarni bijak mengambil peluang bagi membesarkan warung perniagaannya. 

Arif pula digambarkan sebagai seorang anak muda yang bercita-cita tinggi tetapi tidak nampak hala tuju. Malah, boleh juga dikatakan malas. Ingin menjadi kaya raya namun tidak sanggup bersusah payah. Namun, tatkala beliau dikhianati Razak, kawan baiknya dalam proses menjual makanan kesihatan, Arif mula sedar kelemahan dirinya. Pertelingkahan yang berlaku antaranya dan Razak menjadi titik tolak untuk Arif berubah. Beliau nekad menjadi nelayan, turun ke laut demi mencari rezeki yang halal. Dalam masa yang sama, Arif juga mula belajar meniaga hasil tangkapannya dari juragan kapal. Arif sedar, jika orang asing atau orang luar boleh berusaha keras sehingga dapat hidup dengan selesa, mengapa anak tempatan tidak boleh?

Salihin pula adalah anak Pak Ali. Seorang yang berpelajaran tinggi, usahawan berjaya dan mempunyai perancangan untuk memajukan Pekan Rupert. Salihin merasakan beliau mempunyai tanggungjawab yang besar bagi membantu anak-anak tempatan meningkatkan ekonomi masing-masing. 


Pada pendapat Patung Beruang, meneliti Anatomi Rupert ini adakalanya kita akan rasa sentap. Sentap kerana penulis menyentuh perkara yang sebenar. Mentaliti dan perilaku sebenar masyarakat Melayu. Pemalas, kuat berangan, tidak jujur, gemar tikam belakang, tidak suka melihat orang lebih dari dia dan macam-macam lagi perangai yang negatif. Namun itulah hakikatnya. Generasi muda Melayu sangat leka sehingga bangsa asing mengambil kesempatan dan akhirnya mereka lebih berjaya dari anak tempatan. Sedih namun itulah hakikatnya.

Namun, Patung Beruang yakin penulis ini mempunyai niat yang baik tatkala beliau menghasilkan karya ini. Satu karya yang bagus dan sangat berkualiti. Dan jujurnya, bila Patung Beruang mula membacanya, sukar untuk Patung Beruang lepaskan novel ini selagi tidak habis. Jalan cerita yang jelas, tidak membosankan dan gaya bahasa yang simple namun pembaca masih dapat menjiwainya. Hai.... betapa Patung Beruang rindu untuk membaca lebih banyak novel yang bagus seperti ini... 

Monday, October 17, 2016

Book Review: Abdul Rahman bin Auf, Tokoh Jutawan Islam Yang Dermawan Dan Disegani

Tajuk: Abdul Rahman bin Auf, Tokoh Jutawan Islam Yang Dermawan Dan Disegani



Penulis: Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri


Menariknya Buku Ini:

Buku Abdul Rahman bin Auf ini membariskan 4 buah bab untuk diteliti iaitu:

Bab 1: Biografi Abdul Rahman bin Auf
Bab 2: Sumbangan Abdul Rahman bin Auf Kepada Islam
Bab 3: Kelebihan Abdul Rahman bin Auf
Bab 4: Strategi Abdul Rahman Sebagai Tokoh Jutawan Islam
Bab 5: Status Hadis Abdul Rahman bin Auf Merangkak ke Syurga


Untuk Bab 1: Biografi Abdul Rahman bin Auf, Dr Zulkifli membuka kisahnya dengan menerangkan kedudukan beliau sebagai antara 10 Sahabat yang dijanjikan Syurga. Selain itu penulis juga menceritakan bentuk fizikal beliau, kehidupan beliau di Madinah, bagaimana beliau menceburi bidang perniagaan serta kisah perkahwinan beliau. 

Abdul Rahman bin Auf memang dikenali sebagai tokoh perniagaan Islam yang paling hebat sepanjang zaman. Kehebatannya kekal disebut sehingga kini. Perniagaan dan pertanian menyebabkan kehidupan beliau menjadi sibuk. Namun itu bukanlah penghalang untuk beliau sentiasa berjuang bersama-sama Rasulullah SAW bagi menyebarkan syiar Islam. 

Didalam Bab 2, Penulis menerangkan sumbangan yang dilakukan oleh Abdul Rahman bin Auf dalam menyebarkan Islam antaranya :

  1. Berkenaan wasiat Nabi Muhammad SAW dalam misi Abdul Rahman bin Auf untuk berdakwah ke Dumatul Jandal, iaitu satu wilayah yang terletak bersempadanan antara Jazirah dan Syam. 
  2. Sifat dermawan beliau yang banyak membantu umat Islam dari dahulu hinggalah kini. 
  3. Sahabat karib Umayyah bin Khalaf walaupun mereka berlainan pegangan agama. 
  4. Dipersaudarakan dengan Sa'd bin Al-Rabi dalam program persaudaraan Muhajirin dan Ansar. 
  5. Sumbangan dalam peperangan dimana beliau adalah penyumbang tetap dalam kebanyakkan peperangan bersama Rasulullah SAW. 
  6. Imam solat dan Baginda SAW menjadi makmumnya. 
  7. Sifat tawaduk yang tinggi walaupun beliau sangat berharta. 
  8. Ahli Majlis Syura bagi menentukan khalifah setelah kewafatan Rasulullah SAW. Beliau pernah dicalonkan untuk menjadi khalifah namun beliau menolaknya dan akhirnya membai'ah Uthman.
Patung Beruang paling tertarik dengan Bab 4 iaitu Starategi Abdul Rahman sebagai Tokoh Jutawan Islam. Dr. Zulkifli menggariskan 11 Strategi yang dipraktikkan oleh tokoh Islam ini iaitu antaranya adalah: 
  • Fokus dalam menjalani perniagaan dan aktiviti kehidupan, 
  • Berdikari, 
  • Memupuk sifar sabar, 
  • Perniagaan yang patuh Syariah, 
  • Produk yang berkualiti dan mempunyai nilai tambah
  • Kaya dengan bersedekah, 
Dan banyak lagi strategi yang bagus untuk kita teliti. 



Sebenarnya, banyak lagi kisah menarik berkenaan Abdul Rahman bin Auf yang dikongsi oleh Dr Zulkifli didalam buku ini. Namun tidak adil untuk Patung Beruang kongsikan semuanya disini kan? 

Walaupun buku ini nampak simple sahaja namun ia padat dengan fakta. Gaya bahasa yang mudah membuatkan pembacaan buku ini sangat lancar. Buku yang patut dimiliki oleh semua agar kita lebih mengenali tokoh Islam yang sangat berjasa ini. 

Kembali Seperti Asal.. Au Revoir Iman dan Kak Chik...

Assalamualaikum wbt

Sekejap sahaja masa berlalu sekarang ini. Hari ini dah 17 October 2016.

Hari Sabtu lepas, Patung Beruang dan family hantar Kak Chik di KLIA. Kak Chik cuti 2 minggu dan kini cuti beliau sudah tamat. 

Rasa macam baru semalam je Kak Chik sampai Semenanjung. 

Hari ini Kak Chik dah kembali ke hospital seperti biasa. Dan hari ini juga Kak Chik ada on call. Bertabahlah ye Kak Chik. Life as a doctor tidak seindah yang terlihat di kaca tv atau di bibir-bibir manusia. Namun, Patung Beruang percaya jika kita minat sesuatu, kita pasti akan buat sehabis baik, dan sanggup berkorban apa sahaja asalkan kepuasan kerja tercapai. 

2 minggu lepas, 6 October, Iman pula berangkat pulang. Tapi masa itu Patung Beruang tak dapat hantar di KLIA kerana sedang outstation. Hanya mampu kirimkan doa agar Iman selamat sampai disana. Hari ini Isnin, masuk minggu ke-2 Iman start kuliah. Belajar rajin-rajin ye Iman. Focus on your dreams. Jangan risau jika impian itu terlihat seperti melawan arus. Buat sahaja sehabis baik. Teruskan melangkah dengan yakin. Jika terjatuh, bangunlah dan sambung semula perjalanan awak. Ibu, ayah, kakak, abang dan kak chik akan sentiasa bersama awak, susah atau senang. Dan kami akan sentiasa sokong impian awak kerana kami yakin awak lebih tahu apa yang awak nak. Gambate my dear!!!  

Kini tinggallah Patung Beruang dan abang sahaja untuk jaga dan tengok-tengokkan ibu dan ayah. 

Kembali seperti asal. 

Rumah di Melaka sunyi kembali. Hanya akan riuh jika Patung Beruang atau abang pulang. 

Walaupun ibu ayah dah terbiasa berpisah dengan kami semenjak kami di bangku sekolah, namun, jauh disudut hati mereka tetap mengharapkan agar kami berada di hadapan mata mereka. 

Nampak hebat dimata orang namun tiada siapa sedar, ibu ayah menanggung beban hilang peluang melihat kami membesar dan beban rindu dengan gelak tawa anak-anak. Sedar-sedar sahaja, kami sudah membesar, meniti dunia kerjaya satu demi satu dan mengembara melihat kehidupan luar. 

Patung Beruang selalu membayangkan ibu ayah seperti atuk dan nenek yang Patung Beruang kenali dan sayangi semenjak dari kecil lagi. 

Setiap kali Patung Beruang pulang ke Melaka, sedaya upaya Patung Beruang akan melawat atuk dan nenek. Dan setiap kali melihat mereka, Patung Beruang nampak masa yang Allah pinjamkan pada kami untuk bersama, makin lama makin singkat. Cuma Patung Beruang tidak tahu bilakah deadline nya.. 

Melihat mereka menghabiskan sisa-sisa kehidupan berdua sahaja, tanpa gangguan anak-anak dan cucu-cucu, melihat mereka lebih selesa hidup berdua, cinta dan kasih mereka lebih erat sehingga kemana pergi pasti bersama. Hidup seadanya, saling menjaga satu sama lain. 

Patung Beruang ada satu impian...

Untuk tinggal berdekatan dengan ibu ayah. Supaya senang untuk Patung Beruang melawat mereka tidak kira masa. Supaya jika ada apa-apa berlaku, Patung Beruang lah orang pertama yang akan sampai pada mereka. Supaya Patung Beruang sentiasa dapat melindungi mereka dari semua yang menyakitkan mereka. 

Dan... Semoga ia benar-benar menjadi kenyataan. Aamiin.. Bila pun masanya, Patung Beruang akan tetap sabar menunggu.  

Buat Iman dan Kak Chik, Au Revoir... in shaa Allah, kita jumpa lagi di lain hari. Lots of love and hugs for both of you... 

Wednesday, October 12, 2016

Book Review: Politik Kandang

Tajuk: Politik Kandang (The Animal Farm)

Penulis: George Orwell

Menariknya Buku Ini:

The Animal Farm adalah buku yang diterbitkan di England pada tahun 1945. Penulis asal adalah George Orwell. Kini buku ini diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Politik Kandang ini membawa pembaca kepada haiwan-haiwan yang menghuni di Ladang Manor, kepunyaan Tuan Jones. 

Ladang Manor dihuni oleh Tuan Jones dan isterinya, Pn Jones. Haiwan-haiwan yang ada pula terdiri daripada babi, kuda pedati, anjing, biri-biri, sapi, kambing, keldai, itik, kucing dan banyak lagi. 

Haiwan-haiwan ini merancang untuk melancarkan pemberontakkan dan mengusir semua manusia keluar dari Ladang Manor. Matlamat mereka hanya satu iaitu mereka ingin menguasai Ladang Manor, berusaha untuk mencari makanan mereka sendiri tanpa perlu berkongsi hasil dengan manusia. 

Dan akhirnya, pemberontakan mereka berjaya. Semua manusia berjaya diusir keluar dari Ladang Manor. Dan Ladang Manor juga telah ditukarkan namanya kepada Ladang Binatang. 

Haiwan-haiwan semua bersepakat untuk melantik Snowball, seekor babi sebagai ketua mereka. Perkara pertama yang Snowball lakukan setelah menjadi ketua Ladang Binatang adalah dengan memperkenalkan Rukun Tujuh kepada semua penghuni Ladang. Rukun Tujuh tersebut adalah:
  1. Apa saja makhluk yang berjalan dengan dua kaki adalah musuh.
  2. Apa saja makhluk yang berjalan dengan empat kaki, atau mempunyai sayap, adalah kawan.
  3. Binatang sama sekali tidak boleh memakai baju.
  4. Binatang sama sekali tidak boleh tidur di atas katil.
  5. Binatang sama sekali tidak boleh minum arak. 
  6. Binatang sama sekali tidak boleh membunuh binatang lain.
  7. Semua binatang adalah setara.
Maka, bermula pada hari tu, kesemua haiwan tersebut berusaha keras untuk mencari rezeki dengan hasil pertanian Ladang tersebut. Dan mereka berusaha untuk memberi makanan/hasil pertanian sama rata kepada semua haiwan didalam Ladang. 

Namun, keamanan dan kedamaian Ladang Binatang tidak bertahan lama. Sedikit demi sedikit haiwan-haiwan tersebut menyedari bahawa ada sesetengah makanan mewah seperti susu mula hilang atau ditarik secara perlahan-lahan dari dinikmati oleh semua haiwan. 

Dan sedikit demi sedikit, mereka menyedari wujudnya kelompok haiwan elit yang dianggotai oleh semua babi-babi didalam Ladang tersebut. Babi-babi ini dikecualikan dari pekerjaan Ladang dengan alasan tugas mereka adalah memerah otak, mencari jalan bagi memajukan dan memakmurkan Ladang. Oleh itu, mereka perlu tinggal didalam rumah Tuan Jones, dan bukannya di kandang seperti haiwan-haiwan lain. Malah anak-anak mereka juga dihantar ke sekolah untuk menimba ilmu bagi memastikan kelangsungan kuasa babi di Ladang Binatang. 

Tanpa diduga, perlantikan Snowball sebagai ketua Ladang Haiwan rupanya tidak disenangi oleh Napolean, seekor babi yang lain. Dalam diam, Napolean telah mengumpul bala tenteranya sendiri iaitu anjing-anjing yang dipelihara sejak dari kecil lagi. Anjing-anjing ini bertugas sebagai pengawal peribadi Napolean. 

Dan bila tiba masa yang sesuai, Napolean melakukan rampasan kuasa dari Snowball dengan dibantu oleh anjing-anjing ini. Maka, bermulalah era pemerintahan Napolean. 

Napolean diibaratkan sebagai seorang diktator. Beliau sanggup membuat apa sahaja asalkan beliau kekal berkuasa diatas, walaupun membunuh haiwan lain yang sama-sama menghuni Ladang Binatang. Malah Rukun Tujuh juga diubah sesuka hati bagi menyesuaikan keadaan, kehendak dan keperluan beliau. Dan ternyata, haiwan-haiwan lain makin terseksa kehidupan mereka namun mereka tiada pilihan kerana takut dengan Napolean dan konco-konconya.

Adakah Napolean akan bertahan sebagai pemimpin Ladang Binatang? 

Atau mungkin wujudnya pemborantakan dikalangan haiwan-haiwan terhadap kepimpinan dan kekejaman beliau?

Adakah Ladang Binatang akan terus dikuasai oleh haiwan untuk selama-lamanya atau mungkin Napolean sudi membuka pintu untuk berkerjasama dengan manusia?



Politik Kandang, sesuai dengan namanya memaparkan pergolakan kehidupan masyarakat haiwan di dalam Ladang. Namun kehidupan didalam Ladang tersebut bolehlah diibaratkan sebagai kehidupan masyarakat didalam sebuah negara. 

Tatkala menatap naskah Politik Kandang ini, George Orwell membawa kita kepada senario politik dan kehidupan yang berlaku disekeliling kita. Dimana pasti akan ada pemimpin dan pengikut. Pemimpin pula pasti ada yang baik dan mempunyai niat dan matlamat yang jelas untuk membantu masyarakat yang dipimpinnya. Namun, pasti ada juga pemimpin yang tamak dan mempunyai agenda tersendiri. Pemimpin yang sanggup membuat apa sahaja demi mengekalkan kuasa mereka. Pemimpin yang hanya menjaga kaum kerabat mereka. Pemimpin yang sanggup memanipulasi undang-undang dan peraturan demi kepentingan diri mereka sendiri. 

Dalam masa yang sama, kita akan jumpa juga dengan golongan penjilat atau pengampu. Kerja mereka hanya membenarkan sahaja kata-kata dan tindakan pemimpin. Mereka dilihat sebagai penyokong kuat tetapi sebenarnya sokongan mereka bersebab. Mereka hanya nak jaga periuk nasi masing-masing. Bila pemimpin tersebut mula jatuh, mereka akan lari beramai-ramai meninggalkan pemimpin itu. 

Dan jangan dilupa ada juga sekumpulan lagi yang terlalu mempercayai pemimpin mereka. Percaya bulat-bulat setiap kata dan perbuatan sehingga tidak mampu berfikir secara rasional. Dalam bahasa kasarnya golongan pemakan dedak, heheh.. Puaslah ditunjukkan kebenaran tetapi otak masih lagi tidak mampu menerima hakikat yang pemimpin mereka tidaklah sebaik yang disangka. 

Dan akhir sekali, terdapat golongan atas pagar. Golongan ini lebih rasional. Mereka nampak sisi baik dan jahat setiap pemimpin. Cuma golongan ini lebih senang mendiamkan diri. Mereka tidak suka memberontak, tidak suka kecoh-kecoh dan hanya menjalani kehidupan seadanya. Pada mereka, as long as kehidupan mereka tidak terjejas, peduli lah siapa pun yang jadi pemimpin.

Membaca Politik Kandang membawa kita mengenali setiap golongan diatas dengan lebih dekat. 

Komen Patung Beruang, Patung Beruang bukanlah seorang yang suka membaca tentang politik. Sebab bagi Patung Beruang politik itu hanya memeningkan kepala. Dari cerita politik, Patung Beruang prefer cerita kehidupan, cerita ekonomi dan cerita motivasi. Tetapi novel ini benar-benar membuatkan Patung Beruang terpaku. Novel politik yang sangat hebat dan kebanyakkan masanya Patung Beruang tidak sedar yang watak-watak utama didalam novel ini adalah haiwan. Ini kerana tindak tanduk mereka, pemikiran mereka menggambarkan perwatakan manusia di alam nyata, manusia yang wujud disekeliling kita. 

Novel ini sangat sedap, sangat memukau dan tidak hairanlah walaupun ia diterbitkan pada tahun 1945, namun ia masih lagi relevant sehingga sekarang, selepas 71 tahun. Dan Patung Beruang percaya, ia akan tetap relevant pada masa hadapan kerana sifat manusia itu tidak akan pernah berubah. Sampai bila-bila pun pasti ada wujud manusia yang baik hati, tamak haloba, pengambil kesempatan, selfish, berpandangan jauh dan sebagainya. 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...