Sunday, October 23, 2016

Book Review: Sekapur Sirih Daripada Teja

Tajuk: Sekapur Sirih Daripada Teja

Penulis: Sharifah Aisiah Syed Mahazar

Menariknya Buku Ini: 

Sekapur Sirih Daripada Teja adalah naskah yang mengimpunkan 11 buah cerpen.

Penulis memulakan pengembaraan naskah ini dengan kasih seorang adik yang kurang upaya, Irwan yang tidak berbelah bahagi terhadap ibu dan kakaknya, Erni. Kerana Irwan yang kurang sempurna sifatnya menyebabkan Mak Biah memberi perhatian yang lebih padanya berbanding anak sulungnya, Erni. Namun tindakannya itu menimbulkan rasa kurang senang pada Erni. Beliau menganggap Mak Biah tidak menyayanginya dan mula memberontak. Ditambah lagi dengan sikap Erni yang tidak dapat menerima kekurangan Irwan. Naluri remaja, pemberontakkan mereka sangat keras, kurang ajar dan sering kali menjentik rasa hati orang disekeliling termasuklah ibu tersayang. Adakah Erni akan terus membenci Irwan atau mungkin terbit sedikit sinar buat Irwan untuk merasa secebis kasih sayang dari seseorang yang bergelar kakak?  .. Kasih Adik

Bonda - Aku Mahu Sujud Di Kakimu membawa kita kepada Ayie, seorang anak muda yang merantau demi mencapai cita-cita. Setelah tamat pengajian, Ayie masih lagi menetap di perantauan untuk mencari rezeki. Namun, tindakannya itu sebenarnya mengguris rasa bonda tercinta. Bonda merasakan yang hayatnya sudah tidak lama didunia ini, maka bonda berhasrat untuk menghabiskan sisa-sisa masa yang ada bersama anak tersayang. Dan kini kepulangan Ayie ke kampung hanya disambut oleh rumah kosong bonda. Tiada lagi secangkir senyuman bonda buat penghilang lelah dan kata-kata nasihat bonda buat peneman dijalanan. 

Tatkala ibu dan ayah sudah tiada lagi di dunia ini, hubungan akrab anak-anak adakalanya makin lama makin menjauh. Bukan kerana pertelingkahan tetapi kerana tuntutan kesibukan hidup masing-masing. Alif adalah anak sulung. Setelah beberapa tahun kematian ibu dan ayah, Alif yang bertugas sebagai seorang guru, mengadakan majlis bacaan yasin dan tahlil di rumah pusaka mereka di kampung. Namun, adik-adik Alif tidak pulang menghadiri majlis dek kerana tuntutan kerja dan keluarga masing-masing. Alif bersedih. Adik-adik seolah-olah tidak lagi sudi untuk menjengah ke rumah pusaka itu lagi. Alif masih ingat pesan ibu agar sentiasa memelihara ikatan kekeluargaan walaupun tatkala ibu dan ayah sudah tiada lagi. Adakah begini kesudahan perhubungan Alif adik beradik atau mungkin ada sinar kesedaran pada mereka, untuk kembali ke rumah pusaka, melawat abang sulung yang telah banyak berkorban untuk mereka selama ini? ... Noktah.



Sekali lagi, Patung Beruang rasa sangat puas selesai menatap karya terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Karya yang mempunyai motif yang jelas, ada jalan cerita, gaya bahasa yang cantik dan kisah yang berpijak dibumi nyata.

Kumpulan cerpen Sekapur Sirih Daripada Teja banyak menyentuh isu-isu kekeluargaan dan kehidupan yang kita lalui dan kita lihat setiap hari. Isu yang mungkin pada kita nampak remeh namun ia memberi kesan yang besar pada orang yang mengalaminya. Terima kasih buat penulis kerana menghasilkan karya yang bagus seperti ini. Memang wajar untuk dipilih sebagai salah satu pemenang untuk Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH. 



p/s: Ada orang bertanya, Patung Beruang tidak baca ke novel-novel mainstream yang ceritanya banyak dijadikan drama di TV atau filem di pawagam?  Hm.. Sukar untuk Patung Beruang jawab soalan ini. Bimbang jika ia mengundang rasa kurang senang pada pembaca dan penulis-penulis novel tersebut. 

To be honest, Patung Beruang dibesarkan dengan karya-karya bermutu terbitan Dewan Bahasa & Pustaka. Ingat lagi, setiap bulan ibu ayah akan bawa kami ke Kedai Buku DBP yang terletak di Plaza Kotaraya, Johor Bahru, atau di Badan Bookstore yang terletak di Angsana, Kami akan memilih buku untuk dibeli. Dan ia adalah rutin bulanan yang sangat ditunggu-tunggu oleh Patung Beruang dan adik-adik. Dan sehingga kini, rasa teruja Patung Beruang terhadap kedai buku masih lagi tebal. Malah, ditambah pula dengan jualan secara online. Patung Beruang boleh spend masa berjam-jam hanya untuk shopping buku tidak kira online ataupun physical store. 

Tatkala remaja, ketika di matrikulasi dan degree, Patung Beruang mula membaca karya-karya mainstream yang menjadi kegilaan remaja seusia Patung Beruang. Namun, Patung Beruang rasa kosong sangat. Kerana karya-karya tersebut lebih kepada kisah cinta seperti Cinderella, ada watak baik sangat dan watak jahat sangat, tetapi akhirnya pasangan yang bercinta pasti akan bahagia ke akhir hayat. Oh man!!!!! macam cerita Hindustan.. Ditambah pula dengan bahasa rojak, gaya percakapan yang sangat urban.. Adoi... sakit mata Patung Beruang. 

Dan honestly, ia sangat tidak kena dengan jiwa Patung Beruang. Sebab bila Patung Beruang lihat sekeliling, tiada kisah hidup atau kisah percintaan yang perfect seperti dalam buku. Dan yang pastinya, cinta tidak semestinya bersatu. Malah, banyak saja kes dialam nyata, kerana cinta lah kita rela lepaskan insan yang kita cintai itu. Kerana kita sedar dia akan lebih bahagia bersama orang lain berbanding kita. 

Disebabkan itu, sampai sekarang, bila Patung Beruang dah ada duit sendiri, dah boleh beli buku-buku sendiri banyak-banyak sampai tak muat rak buku, hehe.. Patung Beruang tetap cerewet memilih novel dan cerpen. Dan perkara pertama yang Patung Beruang lihat ketika memilih naskah adalah siapa penerbitnya? Jika DBP, Patung Beruang memang tidak akan ragu-ragu untuk menyambar naskah tersebut dari rak pameran. Dan kini, Patung Beruang tambah lagi satu nama didalam senarai iaitu ITBM... Sekali-sekala Patung Beruang juga memilih PTS, Karya-karya fiction mereka juga bagus dan banyak unsur-unsur Islamik. 

Pada pendapat Patung Beruang, karya yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit ini mempunyai standard yang tinggi dari segi jalan cerita dan gaya bahasa. Dan Patung Beruang lebih serasi dengan cara itu dibandingkan dengan karya-karya popular yang banyak ditayangkan di TV sekarang ini. 

Jadi harapnya, lepas ini janganlah tanya lagi ye adakah Patung Beruang sudah baca novel yang sedang hangat drama nya di TV Astro ke, TV 3 ke, atau apa-apa TV lah.. Sebab besar kemungkinan jawapan Patung Beruang adalah tidak... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...