Monday, November 14, 2016

Book Review: Kunang Pesisir Morten

Tajuk: Kunang Pesisir Morten

Penulis: Raiha Bahaudin

Menariknya Novel Ini:

Baiklah, ini adalah buku yang terbaru Patung Beruang sudahkan pembacaannya. Masih panas lagi dan Patung Beruang tidak sabar untuk kongsikan kehebatan dan magicnya buku ini pada semua orang.

Kunang Pesisir Morten mengangkat latar belakang penduduk di Kampung Morten, Melaka dan setinggan berdekatan pada tahun 1980-an hinggalah penghujung 1990-an. 

Kampung yang terkenal dengan kehebatan seni bina rumah Melaka, terletak ditepi sungai Melaka, dihubungkan dengan sebuah jambatan yang dapat membawa penghuninya keluar ke deretan rumah kedai diseberang dan seterusnya menjelajah ke bandar Melaka, ke Kampung Jawa, Banda Kaba,  Gajah Berang, Kampung Ulu dan sebagainya. 

Watak utama dalam novel ini adalah Dhiya, seorang gadis kecil, anak kepada seorang wanita berketurunan Jawa. Walaupun membesar di perkampungan setinggan, Dhiya dikurniakan bakat dan kecerdasan luar biasa yang tidak pernah dibayangkan oleh anak-anak kampung seusianya. 

Dhiya mempunyai hobi yang hebat iaitu membaca. Ibunya bekerja sebagai pembantu di Tadika Kemas, berusaha membeli buku-buku yang bagus untuk dibaca oleh Dhiya. Dan sudah pastilah buku-buku yang dibeli adalah kisah penyiasatan Nancy Drew yang sangat terkenal itu. 

Selain itu, Dhiya juga adalah seorang artis yang hebat. Bakat seninya telah terlihat semenjak di bangku sekolah rendah lagi dan Dhiya sangat tertarik dengan gaya lukisan Claude Monet, pencipta teknik French Impressionist, yang dilihatnya di sebuah kedai yang menjual peralatan melukis ditengah bandar Melaka. Kenyataannya, pada usianya yang baru berumur 9 tahun, beliau tidak kenal pun siapa Monet itu. Hanya mengagumi teknik lukisan pelukis tersohor itu. 

Dhiya berkawan baik dengan Adi dan Lim. Adi adalah jiran Dhiya dan mereka telah saling mengenali semenjak kecil lagi. Lim pula adalah keturunan Baba Nyonya, tinggal berdua dengan ayahnya yang telah uzur, di sebuah rumah kedai, di seberang Sungai Melaka. 

Kecerdasan Dhiya disedari tatkala beliau menyelesaikan misteri kematian Ooi, seorang kanak-kanak yang mengidap autism, berketurunan Cina, yang mayatnya ditemui terapung di Sungai Melaka pada suatu pagi. 

Tatkala anggota polis bertalu-talu menyoal ibu bapa Ooi seolah-olah mereka yang membunuh anak kecil itu, Dhiya bersama-sama dengan Adi dan Lim pergi ke rumah Ooi bagi untuk melihat sendiri keadaan keluarga malang tersebut. Disana, mereka berkenalan dengan Geok, abang Ooi. Dari pemerhatian yang singkat dirumah tersebut dan seterusnya melihat keadaan mayat Ooi, Dhiya lantas memberi penjelasan punca sebenar kematian kanak-kanak itu. Yang mana, punca kematiannya langsung tiada kaitan dengan unsur-unsur pembunuhan atau pengkhianatan. 

Cerita peristiwa Dhiya menyelesaikan misteri kematian Ooi, mendapat liputan meluas. Dan semenjak itu, masyarakat Cina diseberang sungai sehinggalah ke bandar Melaka, semuanya mengenali Dhiya, Adi dan Lim. Dan bermula lah  pengalaman hidup kanak-kanak berlainan bangsa, yang merasakan betapa manisnya hidup didalam masyarakat majmuk, berbilang bangsa, keturunan dan pegangan agama. 

Dalam masa yang sama, kepintaran Dhiya turut diperhatikan oleh Tam, seorang kanak-kanak berumur 11 tahun, yang tinggal di atas rumah kedai, berdekatan Kampung Jawa. Tam adalah seorang kanak-kanak yang misteri namun mempunyai IQ yang sangat tinggi. Sistem pendidikan pada masa itu sangat membosankan kanak-kanak yang pintar sepertinya dan Dhiya. Namun, Dhiya tetap meneruskan persekolahan seperti biasa cuma hanya akan focus pada subjek yang diminatinya. Berbeza pula dengan Tam. Beliau meninggalkan alam persekolah dan duduk berseorangan diatas rumah kedai. Masa sehariannya dihabiskan dengan bermain seperti kanak-kanak yang lain.

Namun, Tam bukanlah calang-calang kanak-kanak. Tam menyimpan satu rahsia besar yang bakal mengubah kehidupan Dhiya, Adi dan Lim. Rahsia besar yang bakal mencetuskan ketegangan antara dua buah kaum. 


Ok, Patung Beruang tak nak cerita lebih lanjut tentang naskah ini. Kalau nak tahu lebih detail, kenalah menelitinya sendiri. 

Satu perkataan sahaja yang boleh menggambarkan naskah Kunang Pesisir Morten ini iaitu... 

Brilliant!!!

Yes.. Brilliant.

Penulisnya sangat bijak. Watak dalam cerita ini seperti Dhiya dan Tam, adalah sangat bijak. Jalan ceritanya pun sangat bijak.

Menatap naskah ini membawa Patung Beruang ke Kampung Morten, ke Melaka pada tahun 1980-an dan 1990-an. Patung Beruang terbayang segalanya. Keindahan rumah melaka disana. Kesibukan Jalan Bendahara, suasana orang berpusu-pusu membeli belah di pasar Kampung Jawa dan keadaan Bandar Melaka dengan stesen bas lama. Suasana hari raya, tahun baru cina, keriuhan wayang cina, musim cuti sekolah, musim banjir. 

Wow.. Ia seperti menonton filem. 

Patung Beruang benar-benar tenggelam didalam dunia Dhiya. 

Melihat eratnya persahabatan anak Melayu dan Cina, sifat bersatu-padu yang ada dalam sesuatu kaum, kebebasan meraikan perayaan masing-masing, saling menghormati budaya dan warisan yang berbilang kaum membuatkan Patung Beruang bangga menjadi anak Malaysia. Ye, itulah suasana masyarakat majmuk yang dikecapi dan dinikmati pada masa dulu. Dan suasana itu kian terhakis dari masa ke masa. Sedihnya...

Dan novel ini juga menonjolkan betapa anak-anak yang cerdik dan tinggi IQ nya itu tidak semestinya datang dari keluarga elit sahaja. Malah, ramai yang kebanyakkannya hanyalah anak-anak orang biasa. Cuma kehebatan mereka tidak disedari dan tidak digilap dengan sepatutnya.  

Tam dan Dhiya adalah contoh paling dekat. 
Cuma bezanya Dhiya menggunakan kebijaksanaan dan bakatnya untuk perkara yang bermanfaat sedangkan Tam menggunakan kelebihannya untuk menjadi Robin Hood. 
Merompak orang-orang kaya demi membantu orang miskin.

Dan betapa sistem pendidikan kita pada masa itu gagal mengenalpasti dan menarik perhatian anak-anak yang hebat ini. Akhirnya, mereka bosan dan lebih rela meninggalkan sekolah dari terkurung di bilik darjah, mempelajari sesuatu yang mereka memang telah sedia maklum, membuang masa dan hanya dilabel sebagai pelajar biasa-biasa sahaja oleh guru. 
Betapa sayangnya... 
Namun, dalam novel ini juga turut diselitkan watak Cikgu Maimunah, seorang guru yang prihatin dan menyedari kehebatan Dhiya. 
Guru yang mengambil inisiatif sendiri untuk mengasah bakat anak cilik ini. 

Kesimpulannya, novel ini sangat hebat. Sangat bijak. Dan mempunyai magic yang tersendiri. 

Patutlah ia tersenarai dalam 100 Novel Melayu Yang Mesti Dibaca, di laman web Goodreads. Sesiapa yang suka membaca, mesti tahukan Goodreads tu apa, hehe.. Tahniah buat penulis kerana menghasilkan naskah yang sebegini hebat... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...