Monday, December 26, 2016

Berdating Dengan Serigala Besar Yang Jahat

Assalamualaikum wbt

Tinggal 4 hari sahaja lagi untuk kita meninggalkan 2016. Allah.. Cepat sungguh masa berlalu. 

Minggu lepas, seperti yang dirancang, Patung Beruang berdating dengan Serigala Besar Yang Jahat. Dan nampaknya ini adalah dating kami yang terakhir pada tahun 2016 ini. 

Untuk sesi yang terbaru ini, seperti biasa Encik Serigala membuka pintunya selama 24 jam. 

Dan kebiasaannya, jika berlangsung sesi 24 jam, Patung Beruang akan berdating lepas Subuh. Biasanya dalam pukul 7 pagi tu, Patung Beruang dah terpacak di Mines Convention Centre dan bersedia untuk berdating. Selalunya, perjumpaan kami hanya akan habis dalam pukul 11 pagi atau 12 tengahari. Lapar? Dahaga? Oh.. Itu tiada masalah kerana Patung Beruang memang akan bawa bekal botol air dan roti siap2, simpan dalam bag. So bila rasa dahaga atau lapar, Patung Beruang akan duduk kejap dimana-mana sudut, dan mengisi perut seketika. 

Tetapi kali ini rutin Patung Beruang sangat berbeza. 

Patung Beruang melawat Encik Serigala pada pukul 3 petang. Nasib baik hari biasa. Jadi, parking senang dan pengunjung pun tidak terlalu ramai. Tetapi sebenarnya Patung Beruang dah terlalu penat masa tu. Yelah, pagi tu Patung Beruang keluar rumah pukul 7 pagi dan terus memandu sejauh beratus-ratus kilometer. Patung Beruang berhenti untuk makan sarapan dan lunch (brunch) pada pukul 12.30 tengahari. Dan itulah makanan berat pertama yang masuk dalam perut Patung Beruang untuk hari itu. 

Selepas itu, Patung Beruang sambung perjalanan sehingga akhirnya tiba di Mines Convention Centre pada pukul 3 petang. Penat... Allah sahaja yang tahu. Ikutkan hati tak larat rasanya nak berdating dengan Encik Serigala ini. Tetapi Patung Beruang kenangkan yang Patung Beruang tidak akan ada masa lagi untuk berdating kecuali pada masa ini. Jadi, kuatkan semangat dan teruskan melangkah.

Kali ini Encik Serigala kurang menarik berbanding sesi-sesi sebelum ini. Pilihan buku banyak tapi tidak banyak yang menepati citarasa Patung Beruang. Banyak buku yang Patung Beruang cari, tidak terdapat pada sesi kali ini. 

Agak kecewa juga sebenarnya...

Akhirnya, tepat pukul 5.30 petang, Patung Beruang pun ucapkanlah selamat tinggal pada Encik Serigala. 

Kali ini, hanya 20 buah buku sahaja yang Patung Beruang bawa balik. Dan kebanyakkan buku-buku itu adalah untuk anak-anak angkat Patung Beruang. Untuk Patung Beruang sendiri, banyaknya adalah karya Jeffrey Archer, my favorite author, hehe.. 

Oklah Encik Serigala, harapnya 2017 nanti anda lebih menariklah ye. Sedih juga dengan dating terakhir ini kerana jauh dari expectation. Sabar je lah. 

Baiklah, hari pun dah lewat malam ini (opss... sebenarnya awal pagi). Mata Patung Beruang pun dah tak larat nak buka besar-besar. Nampaknya, cukuplah sampai disini. In shaa Allah, nanti Patung Beruang menulis lagi ye. Bye... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...