Sunday, February 12, 2017

Book Review: Nenek

Tajuk: Nenek

Penulis: Razali Endun

Menariknya Naskah Ini:

Naskah Nenek ini Patung Beruang sudahkan pembacaannya pada minggu lepas. Namun, kesibukan dengan urusan kerja, peribadi, keluarga ditambah pula dengan keadaan diri yang kurang sihat ini, menyebabkan Patung Beruang lambat menulis Book Review disini. 

Nenek mengisahkan Mak Som, seorang wanita tua yang tinggal di Kampung Bertam Malim, Melaka. Setelah kematian suaminya, Haji Kiran, Mak Som tinggal bersama dengan anak sulungnya, Mahfus. Mak Som menghabiskan seharian masanya dengan mengajar anak-anak mengaji serta menganyam tikar mengkuang. Baginya, tikar mengkuang adalah warisan bangsa Melayu yang tidak seharusnya dilupakan. 

Mahfus, anak sulungnya, pada asalnya adalah seorang kerani di Pejabat Tanah. Namun, dek kerana tenggelam dengan godaan wang ringgit, Mahfus terjebak dengan rasuah yang akhirnya menggadaikan tanah penduduk Kampung Bertam Malim dengan cara yang tidak sepatutnya. 

Mahfus meletakkan jawatan dari perkhidmatan kerajaan dan dilantik sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Padu Menang Sdn Bhd, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dahan. Selain itu, atas saranan Tan Sri Dahan, Mahfus juga mewujudkan syarikatnya sendiri iaitu Syarikat Mahfus Jaya Enterprise bagi mendapatkan kontrak-kontrak kerajaan. 

Kini Mahfus digelar Dato' Mahfus, atas usaha lobi Tan Sri Dahan. Kehidupan Dato' Mahfus berubah sekelip mata dan ia juga mengubah pendirian dan pemikirannya. 

Mak Som mula melihat kerakusan anaknya, Dato' Mahfus. Kerakusan terhadap pangkat, wang ringgit dan kemewahan sehingga tanpa segan silu memanipulasi orang kampung agar mereka bersetuju menjual tanah mereka kepada Syarikat Padu Menang untuk dibangunkan bandar baru. 

Selain ghairah mengumpul harta, Dato' Mahfus juga ghairah didalam bidang politik. Berusaha keras agar kedudukan politiknya terjamin walau tanggungjawab pada rakyat sering kali dilupakan. 

Mak Som tanpa jemu sering kali menasihati penduduk kampung agar mempertahankan hak milik mereka. Malangnya, didalam kekalutan penduduk Kampung Bertam Malim berusaha mempertahankan tanah mereka, datang pula arahan dari Pejabat Tanah yang menyatakan bahawa tanah mereka akan diambil oleh kerajaan atas alasan pembangunan. Penduduk kampung makin tertekan. Namun mereka dapat bernafas lega sebentar apabila pampasan yang dijanjikan oleh kerajaan jauh lebih masuk dek akal berbanding dengan harga yang ditawarkan oleh Syarikat Padu Menang. 

Namun, tidak semua penduduk kampung bakal menikmati pampasan tersebut. Ini kerana terdapat sebilangan yang sudah pun menandatangani perjanjian untuk menyerahkan tanah mereka dengan Syarikat Padu Menang dek kerana dikaburi dengan gula-gula yang ditaburkan oleh syarikat tersebut. 

Bagaimanakah kesudahan penduduk Kampung Bertam Malim?

Adakah usaha Mak Som dan penduduk kampung akan berhasil dalam menghentikan kerakusan Dato' Mahfus serta konco-konconya?



Meneliti naskah Nenek ini membawa Patung Beruang kepada senario yang berlaku pada masa kini. Tanah-tanah penduduk diambil dengan alasan pembangunan. Kampung-kampung melayu akhirnya hilang dan digantikan dengan kawasan perumahan mewah yang mana terlalu sedikit bangsa melayu yang mampu untuk memilikinya. Kesudahannya, bangsa asing mula membanjiri kawasan tersebut sedikit demi sedikit. Bangsa asing semakin kaya dengan pemilikan hartanah mewah namun bangsa melayu semakin terpinggir dan hilang segala-galanya. 

Watak Dato' Mahfus adalah watak tipikal melayu, yang sanggup menggadaikan maruah diri dan bangsa, sanggup mengkhianati bangsa hanya kerana kemewahan dan kuasa. Baginya, peduli apa rakyat kampung merempat atau tertindas. Yang penting, beliau mempunyai banglow yang mewah, duit yang berkepuk dan tidak habis dipakai. Tidak pernah segan silu untuk mengambil rasuah. Watak Dato' Mahfus ini berjaya menimbulkan rasa marah dan benci Patung Beruang padanya. 

Yang pasti, ending naskah Nenek sangat berpijak di bumi nyata. Patung Beruang tidak mengharapkan keajaiban berlaku kerana sedar ini bukannya naskah Harry Potter yang segalanya boleh terjadi. Ini adalah naskah yang mencerminkan keadaan sebenar di negara kita. Sikap dan penindasan yang berlaku atas alasan undang-undang dan kemodenan. Syabas pada penulis kerana mengakhiri naskah ini dengan realistik. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...