Saturday, May 13, 2017

Book Review: Budak Beca

Tajuk : Budak Beca

Penulis : Ishak Haji Muhammad (Pak Sako)

Menariknya Naskah Ini: 

Alhamdulillah, setelah beberapa lama mencari, akhirnya Patung Beruang berjaya juga memiliki karya Pak Sako, salah seorang penulis hebat didalam dunia kesusasteraan Melayu. 

Tatkala memilikinya, hati ini rasa tak sabar untuk meneliti naskah beliau. Patung Beruang berjaya memiliki 2 naskah iaitu Budak Beca dan Anak Mat Lela Gila. Naskah Budak Beca ini Patung Beruang berjaya habiskan dalam tempoh 3 hari. Apabila mula membaca, amat sukar rasanya untuk berhenti kerana jika boleh, Patung Beruang hendak membaca terus menerus sehinggalah selesai. 

Budak Beca mengisahkan kehidupan masyarakat Melayu di Kuala Terengganu ketika zaman sebelum merdeka. Mengangkat Mamat Merdeka sebagai watak utama, Mamat digambarkan sebagai seorang pemuda yang pernah bekerja sebagai mata-mata khas selama 7 tujuh. Setelah berhenti dari mata-mata khas, Mamat pulang ke kampungnya di Bukit Bayas, dengan membawa wang simpanan sebanyak seribu dua. Satu jumlah yang besar pada waktu itu.

Mengapa Mamat digelar Mamat Merdeka? 

Mamat merasakan dirinya sudah merdeka apabila dia tidak lagi perlu bekerja. Baginya, tinggal bersama orang tua, rumah sudah disediakan. Makan minum sudah tersedia. Kebun-kebun ayahnya ada. Lembu-lembu ternakan ayahnya juga ada. Jadi, wang simpanan hasil dari pekerjaannya selama 7 tahun itu cukuplah untuk menyara dirinya sendiri, cukuplah untuk belanja hiburan sehari-hari. Maka, mengapa mesti bersusah payah untuk bekerja lagi? Mesti menepati masa. Disuruh-suruh dan dimarah oleh pihak atasan. Hidup yang penuh jadual dan peraturan. 

Tetapi Mamat terlupa. Dirinya bukan semakin muda, namun semakin tua. Maka sepatutnya, dia yang harus bertanggungjawab kepada kedua ibu bapa yang makin uzur dari hari ke hari. Dan bukannya menumpang kehidupan mereka yang tidaklah terlalu senang dan tidak juga terlalu susah. Dan selain itu, Mamat juga mudah tergoda dengan hiburan dan tarikan perempuan-perempuan yang tidak baik. Mamat benar-benar memuaskan kehendak diri yang masih muda, tanpa memikirkan keadaan di masa akan datang.

Kini duit simpanan Mamat telah habis. Hangus. Lesap semuanya. Apakah yang dapat dilihat hasil dari duit simpanan tersebut? Hanya penyakit kelamin yang dihidapinya akibat dari pergaulan dengan perempuan-perempuan yang tidak baik. 

Maka, Mamat mula membawa beca bagi mencari sesuap nasi sehari-hari. Dirinya bertuah kerana berjumpa dan akhirnya berkawan dengan Mustapha. Mustapha adalah orang luar yang datang ke Terengganu bagi membuat kajian berkenaan cara hidup, keadaan sosial dan ekonomi masyarakat Melayu di Terengganu. 

Persahabatan Mamat dan Mustapha semakin akrab sehingga akhirnya mereka tinggal serumah. Mustapha banyak membantu Mamat dari segi kewangan sehingga akhirnya Mamat pulih dari sakit, dan mampu membawa beca dengan lebih gigih. Selain itu Mustapha juga banyak menyedarkan Mamat tentang pentingnya berkerja keras, mengumpul duit, merancang kewangan dan masa depan dengan baik. Bagi Mustapha, tiada apa yang lebih penting dalam hidupnya selain dari menyedarkan bangsa Melayu terutama anak muda agar jangan leka dan berusaha keras demi menghadapi masa depan yang kian mencabar. 



Naskah Budak Beca ini membawa Patung Beruang ke zaman hampir merdeka dimana orang Melayu pada masa itu terhimpit dengan kemiskinan walau dimana sahaja. Kurang pendidikan dan kurang kesedaran untuk memajukan diri menyebabkan mereka semakin terkebelakang. Duit yang diperolehi dari usaha keras habis sia-sia di wayang, di kedai-kedai makan atau kepada perempuan-perempuan pelayan. Selain itu, sifat malas dan mudah berpuas hati dengan apa yang dimiliki amat menebal di kalangan orang Melayu pada masa itu, tidak kira tua atau muda. 

Mereka tidak sabar untuk Tanah Melayu merdeka kerana beranggapan selepas merdeka kehidupan mereka akan lebih senang dan mewah. Tetapi mereka terlupa, tanpa usaha keras kehidupan mereka tidak akan berubah malah mungkin menjadi lebih teruk. Merdeka atau tidak, sama saja keadaannya dek sifat malas mereka. 

Selain itu, Patung Beruang tertarik dengan tulisan-tulisan Pak Sako didalam naskah ini. Beliau menyindir orang Melayu secara terang-terang, menegur sikap dan pemikiran orang Melayu pada masa itu, dan malang sekali apabila dilihat dan diteliti, sikap dan pemikiran yang sama masih ada juga pada orang Melayu di zaman sekarang. Patung Beruang tampilkan beberapa contoh petikan dibawah ini:

"Kita kaum Melayu di negeri Melayu ini pada hakikatnya tidak ada yang kaya. Kita semuanya miskin, bukan pada tentang harta benda. Tetapi pada serba-serbi. Kita yang sebenarnya sudah bankrap; harta tidak ada, budi bahasa tidak ada, kasih sayang antara satu dengan lain tidak ada, amanah tidak ada, ilmu kepandaian tidak ada, hemah dan cita-cita mulia tidak ada. Yang ada pada kita hanyalah aksi, tunjuk gaya, tunjuk lawa." 

"Patutlah orang-orang Melayu kita jadi papa miskin! Bini tak cukup satu, dan sudah dua mahu tiga pula. Dan itu bukan hanya punca-punca papa miskin tetapi sebab-sebab akan membawa pecah amanah, makan suap, kerja tak betul dan sebagainya. Dan yang perempuan pula tidak sedarkan diri! Kalau mahu pakai loket mesti yang berharga 1,000. Loket seperti itu, pada hakikatnya, ialah tali gantung bagi si lelaki yang membelikannya."


Kesimpulannya, naskah Pak Sako ini walau telah ditulis berpuluh-puluh tahun dahulu, namun tetap masih relevan untuk dibaca pada masa kini. Meneliti naskah ini seperti menjentik batang hidung sendiri betapa orang-orang Melayu, walau kini ramai yang sudah berjaya dan hebat-hebat belaka, namun tidak dinafikan masih ada lagi segelintir yang masih leka, masih lena bermimpi sehingga tidak sedar apa yang sedang dialaminya, tidak sedar yang diri semakin terkebelakang, tidak sedar yang kita semakin kehilangan apa yang menjadi milik kita suatu masa dahulu. Naskah yang sangat sedap dan sangat bagus untuk diteliti. Terima kasih ITBM kerana menerbitkan semula naskah ini :) 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...