Monday, June 19, 2017

Book Review: Ketika Malaikat Tidak Bersayap

Tajuk: Ketika Malaikat Tidak Bersayap

Penulis: Anas Al-Hazimi

Menariknya Naskah Ini:

Alhamdulillah, ini adalah Book Review yang ketiga untuk bulan Jun ini. Sebenarnya, ada banyak buku yang Patung Beruang berjaya sudahkan pembacaannya. Namun, rasa malas saja apabila hendak menulis Book Review. Bila tengok deretan buku-buku yang pending Book Review, rasa stress pula, hehe.. Jadi, biarlah Patung Beruang tulis sedikit demi sedikit sehinggalah habis ye... 

Naskah Ketika Malaikat Bersayap menghimpunkan 83 buah cerita menarik yang dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu:

Bahagian 1: Moral-Moral Kebijaksanaan
Bahagian 2: Insaf Diri ke Arah Kualiti Diri
Bahagian 3: Kubur, Bencana Akhir Zaman dan Tanda-Tanda Kematian
Bahagian 4: Jiwa-Jiwa Yang Gagah
Bahagian 5: Unik, Lucu, Alam Bertasbih dan Sejarah

Penulis memberikan permulaan pengembaraan kepada pembaca dengan kisah pertama yang bertajuk Taubat Di Akhir Hayat. Kisah ini membawa kita kepada kisah seorang Syaikh yang dalam perjalanan ke kota Mekah bagi menunaikan ibadah haji. Kemudiannya, beliau berniat untuk pergi ke Madinah bagi menziarahi makam Rasulullah s.a.w. Malangnya, ketika dalam perjalanan, beliau telah dihadang oleh seorang Arab Badwi dan ditangannya sedang memegang sebilah pedang yang besar. Arab Badwi bertanya tentang tujuan perjalanan Syaikh ini dan apakah pekerjaan Syaikh tersebut. Apabila beliau menyatakan yang beliau adalah guru yang mengajar Al-Quran kepada kanak-kanak, Arab Badwi tersebut meminta beliau membacakan sepotong ayat Al-Quran. Syaikh tersebut membaca ayat ke-2 dari Surah Az-Zariyat yang bermaksud;

"Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu."

Selesai ayat tersebut dibacakan, Arab Badwi itu terus mencampakkan senjatanya dan menangis. Arab Badwi menangisi dirinya sendiri yang selama ini hidup sebagai perompak dan merampas harta orang lain. Dia merasakan yang dia telah mengkhianati rezekinya yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Ternyata Arab Badwi itu sangat menyesal dengan kelakuannya selama ini dan mahu bertaubat dengan bersungguh-sungguh. 

Pada tahun berikutnya, Syaikh tersebut datang sekali lagi ke Mekah. Ketika sedang bertawaf, beliau terjumpa dengan Arab Badwi yang ingin merompaknya pada tahun sebelumnya. Perjumpaan yang tidak disangka dan watak Arab Badwi itu juga sudah berbeza dari sebelumnya. Seperti biasa Arab Badwi tersebut meminta Syaikh membacakan lagi sepotong ayat Al-Quran. Setelah mendengar bacaan ayat Al-Quran, Arab Badwi menangis tersedu-sedu dan akhirnya pengsan. Tidak lama selepas itu Arab Badwi tersebut pergi menemui Penciptanya. 

Ternyata Allah telah memberi hidayah kepada Arab Badwi itu melalui Syaikh tersebut. Hanya dengan sepotong ayat Al-Quran, Arab Badwi tersebut tidak jadi untuk merompak malah terus insaf atas kesalahan lalunya. Dan yang penting, Arab Badwi diberi kesempatan untuk bertaubat dan memohon keampunan dari-Nya sebelum hayatnya didunia ini berakhir...



Istanaku Didalam Hati membawa kita kepada Khalifah Umar al-Khattab yang sangat mencintai akhirat sehingga jawatannya sebagai Khalifah tidak pernah membutakan mata dan hatinya. 

Pada suatu hari, seorang Yahudi Mesir telah tiba di Madinah dan beliau berhasrat untuk berjumpa dengan Khalifah Umar. Pada pemikirannya, Khalifah Umar pasti menghuni sebuah istana yang indah dan mewah, sesuai dengan statusnya sebagai seorang pemimpin masyarakat. 

Namun, Yahudi Mesir ini terperanjat apabila mendapati Khalifah Umar adalah seorang lelaki yang memakai jubah kusam dan sedang bersandar di bawah sebatang pokok kurma. Tatkala ditanya oleh Yahudi Mesir, dimanakah istana Khalifah Umar, beliau mengatakan yang beliau hanya mempunyai kediaman iaitu sebuah bangunan kecil dan kusam yang berada di sudut jalan. Beliau juga menyatakan istananya berada didalam hati yang tenteram dengan beribadah kepada Allah s.w.t. 

Sifat zuhud Khalifah Umar ini telah memikat hati Yahudi Mesir sehingga dia melafazkan kalimah syahadah dan nekad untuk bersama Islam sehingga ke akhir hayat. 

Betapa hebatnya pemimpin yang bernama Khalifah Umar al-Khattab ini.. 


Pada zaman Nabi Daud a.s., terdapat 2 orang wanita yang datang mengadu kepada beliau dengan mengatakan seekor serigala telah membawa lari seorang anak daripada kedua-dua wanita ini. Dan kini wanita-wanita ini berebut untuk mendapatkan anak yang terselamat. Masing-masing mengaku yang kanak-kanak itu adalah anak mereka. 

Nabi Daud a.s. memeriksa anak ini dan juga kedua-dua wanita itu, seorang wanita tua dan seorang wanita muda. Setelah pemeriksaan, Nabi Daud a.s. memutuskan yang anak itu adalah milik wanita tua. 

Ketika kedua-dua wanita dan anak itu keluar meninggalkan Nabi Daud a.s., mereka melintas di hadapan Nabi Sulaiman a.s.. Tanpa diketahui, Nabi Sulaiman a.s. telah mendengar persoalan yang dibangkitkan oleh wanita-wanita itu dan merasakan yang beliau ada cara yang lebih baik bagi menyelesaikan permasalahan tersebut. 

Nabi Sulaiman a.s. meminta pisau daripada orang disekelilingnya untuk membelah tubuh anak itu menjadi 2 bahagian. Masing-masing akan mendapat separuh bahagian dan ia terlihat adil. Kedua-dua wanita itu menyangka yang Nabi Sulaiman a.s. benar-benar akan melaksanakan tindakan tersebut. 

Wanita muda berasa sedih kerana merasakan tindakan tersebut akan membunuh anaknya. Maka, dia merelakan anaknya itu diambil oleh wanita tua. 

Si wanita tua pula bersetuju dengan tindakan Nabi Sulaiman a.s. dan dia merelakan tubuh anak itu dibelah dua. 

Melihatkan reaksi yang berbeza dari kedua-dua wanita ini, Nabi Sulaiman a.s. mengetahui siapa sebenarnya ibu kepada anak tersebut. Maka, Nabi Sulaiman a.s. memutuskan yang anak tersebut adalah milik wanita muda kerana seorang ibu lebih rela menyerahkan anaknya kepada musuhnya dari melihat anak tersebut mati. Kisah, Naluri Nabi Sulaiman a.s....



Naskah Ketika Malaikat Tidak Bersayap ini banyak menyajikan kisah-kisah yang menarik dan memberi pengajaran kepada kita. Ada kisah yang berlaku sebelum zaman Rasulullah s.a.w., ketika zaman Baginda, zaman para Sahabat serta zaman-zaman selepas itu. 

Banyak kisah-kisah yang jarang-jarang diketahui atau dibaca, dapat dijumpai didalam naskah ini. Tidak hairanlah Bibliografi untuk naskah ini mencapai sehingga 3 mukasurat penuh. 

Secara keseluruhan, boleh dikatakan yang hampir kesemua kisah didalam naskah ini sangat menarik. Selain itu, gaya bahasa yang simple tetapi tetap maksudnya membuatkan momentum pembaca laju saja. Tahu-tahu sudah banyak kisah yang berjaya dihadam didalam tempoh satu malam, ketika hendak menunggu waktu tidur. Alhamdulillah.... 

Sunday, June 18, 2017

Ramadhan Tahun Ini Dan Perasaan Patung Beruang...

Hari ini 18 June 2017, hari Ahad. Tinggal seminggu sahaja lagi untuk Ramadhan berakhir. Betapa cepat masa berlalu...

Untuk Ramadhan kali ini, Patung Beruang menyambutnya dengan pelbagai perasaan.


Pertama, Patung Beruang rasa teruja sangat kerana sedar yang pada bulan ini Allah swt bagi bonus besar pada para hamba-Nya. Rasa teruja untuk menjadi hamba yang lebih baik, membuat kebaikan sebanyak yang boleh dan menjauhi perkara-perkara yang tidak disukai-Nya.



Kedua, rasa sayu dan sebak kerana inilah Ramadhan pertama tanpa kehadiran Nenek. 2 hb February 2017, hari Khamis, Nenek kembali pulang menemui Penciptanya. Nenek memulakan episod rehatnya sebelum dibangkitkan semula bersama-sama kita semua. 

Seperti tidak percaya yang Nenek sudah tiada lagi. Kepulangan ke kampung tidak sama seperti dulu. Setiap kali Patung Beruang datang ke rumah Atuk, Patung Beruang akan melihat sofa kegemaran Nenek. Kerusi yang sering Nenek duduki. Dan sofa itu kosong. Sekosong rumah itu. Sekosong hati dan jiwa penghuninya. 

Kini sudah hampir 5 bulan Nenek pergi. Selama 5 bulan, pelbagai peristiwa berlaku kepada Atuk dan anak-anak Nenek. Turut terpalit, kami cucu-cucu yang sedaya-upaya cuba untuk menyelamatkan keadaan. Emosi bercampur-baur. Ada sedih, kecewa, marah dan sakit hati. Tidak kurang juga ada yang mendiamkan diri seribu bahasa seolah-olah diri sudah tidak wujud dialam nyata. 

Kasihan Atuk. Kasihan juga anak-anak dan cucu-cucu. Perubahan yang datang mendadak menekan perasaan, minda dan kesabaran. Sampai bila??? Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. 

Setiap kali ada yang mengadu, Patung Beruang hanya mampu memberi air. Menyabarkan dan menenangkan segala gelodak di jiwa. Jika hendak menangis, nangis sahajalah. Diri ini akan memujuk. Jika hendak bercerita, cerita sahajalah. Telinga ini akan sudi mendengarnya. Keluarga kecil yang bergolak adalah seperti air didalam cawan. Tunggulah sehingga pusaran didalam cawan itu berhenti, barulah kita melangkah ke seterusnya. Jangan dilawan pusaran yang sedang giat, kerana cawan akan jatuh dan air akan tumpah. Cawan pecah, air pun berselerakkan. Tiada siapa pun yang untung kerana semuanya kerugian... 



Yang ketiga, Patung Beruang rasa sangat gembira kerana hadiah besar yang Patung Beruang sediakan untuk keluarga telah sempurna dan selesa untuk didiami. Alhamdulillah. Hari pertama Ramadhan, kami berpeluang berbuka puasa dan seterusnya bermalam di kediaman ini. 

Tiada apa yang lebih membahagiakan pada diri ini selain melihat Ibu Ayah gembira dan bahagia, selain melihat senyuman dan tawa adik-adik. Patung Beruang tidak mempunyai keluarga yang besar. Inilah dunia Patung Beruang. Inilah penyokong kuat Patung Beruang. Sebab itu, jika seluruh dunia memusuhi Patung Beruang, Patung Beruang masih boleh bangkit dan melangkah terus selagi mereka ada. Namun, jika ditarik walau seorang dari mereka, pasti Patung Beruang akan rebah.

Seperti anak yang lain diluar sana, Patung Beruang hanya ingin melindungi Ibu Ayah dari apa pun atau siapa pun yang menyakiti mereka, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. 

Pelik bukan?? Hidup Ibu Ayah hanya berkisar tentang rumah, pokok-pokok di kebun, pelanggan – pelanggan hasil pertanian mereka serta peniaga-peniaga yang berada didalam industry yang sama dengan mereka. Itulah dunia mereka. Disaat orang diluar sana galak bercerita tentang Ibu Ayah, mereka tetap tekun dengan dunia mereka. Namun, mereka juga manusia biasa. Punya hati dan perasaan. Sesiapa sahaja yang berada di tempat mereka, lambat-laun pasti akan terasa dengan segala ungkapan yang sampai ke telinga.

Dari satu segi, orang diluar sana berjaya. Mereka berjaya mengocak ketenangan hati dan fikiran Ibu Ayah. Mereka berjaya menjentik hati Ibu Ayah.

Namun, dari satu segi, orang diluar sana sebenarnya kalah. Ye, kalah. Mereka di pihak yang tewas. Kerana secara psikologinya manusia akan bercerita tentang manusia yang lain disebabkan oleh beberapa perkara iaitu:

1. Mereka ada banyak masa lapang sehingga berpeluang untuk berfikir dan bercerita tentang kita. Kasihan sungguh kerana akhirnya mereka menjadi manusia yang rugi akibat pembaziran masa yang dilakukan secara besar-besaran. Sangatlah rugi sehingga duit yang berjuta juga tidak mampu menebus kerugian mereka.


2. Mereka kecewa dan cemburu kerana mereka tidak berpeluang berada ditempat / keadaan / status yang sama seperti kita. Kasihan kerana cemburu itu dikategorikan sebagai cemburu yang negative. Ye, cemburu negative menyebabkan mereka berusaha untuk menjatuhkan kita. Sedangkan, jika mereka adalah insan-insan yang bijak, cemburu negative itu boleh ditukar menjadi cemburu positive dimana dek kerana cemburu, mereka berusaha, berkerja keras untuk berjaya, meningkatkan kualiti hidup agar lebih baik dari kita atau mungkin sama seperti kita. 


3. Mereka adalah golongan yang tidak percaya pada qada’ dan qadar Allah, tidak percaya pada rezeki itu dari Allah, bukan dari manusia, bukan dari sesiapa. Jika kita melihat kembali kepada firman Allah swt didalam Al-Quran, Allah tidak akan mengubah nasib seseorang jika dia tidak berusaha. 

Dan lihat juga kisah semut dan Nabi Sulaiman a.s.. Betapa, sebelum ini semut mampu menghabiskan makanannya seperti rutin kerana sedar Allah yang memberinya rezeki. Namun, tatkala beliau diletakkan didalam balang oleh Nabi Sulaiman a.s., beliau hanya memakan separuh dari rutin makanannya kerana bimbang Nabi Sulaiman a.s. terlupa untuk memberinya makan seperti yang dijanjikan. 

Sedangkan semut pun tahu dan sedar yang rezeki itu adalah urusan Allah swt, adalah perancangan Allah swt, mengapa mereka ini, hamba Allah yang bergelar manusia, yang dikurniakan akal dan fikiran, tidak mampu menerima hakikat konsep yang sama seperti semut? 

Janganlah mereka mempertikaikan rezeki yang Allah bagi pada kita kerana ia seolah-olah mereka mempertikaikan kualiti perancangan Allah swt. 

Layakkah mereka sedangkan Allah swt adalah Yang Maha Sempurna? Layakkah mereka menyoal keputusan-Nya sedangkan mereka ini hamba-Nya. Ye, hamba... Sangat hina taraf mereka jika dibandingkan dengan-Nya. 


4. Mereka adalah manusia-manusia yang sakit rohaninya. Sakit rohani ini lukanya tidak nampak berdarah tetapi jika dibelah jiwanya pasti akan terlihat betapa hati itu bernanah. 

Sakit rohani ini sangat bahaya, ia seperti cancer, boleh merebak ke seluruh anggota seperti mata, lidah, otak, kaki dan tangan. Selain itu ia juga boleh merebak dan menjangkiti orang lain. Bahaya sungguh. Dasyat kesan dari sakit rohani ini. 

Kenapa Patung Beruang mengatakan yang sakit rohani ini boleh merebak ke seluruh anggota? Ini sebabnya... 

  • Apabila rohani mereka mula sakit, ia bermula dari hati, dari jiwa mereka. Selepas itu, mata mereka akan mula mencari segala cacat-cela, rongga-rongga kelemahan dan kesalahan kita. Mata mereka berusaha mencari, mencari dan mencari, sehingga pergerakan kita diteropong dan diteliti.
  • Apabila mata mula bekerja, dalam masa yang sama, otak mereka juga mula merangka skrip, mereka-reka cerita bagi membenarkan apa yang ada didalam hati dan jiwa mereka. Akal fikiran yang sepatutnya digunakan untuk perkara yang bermanfaat sayangnya dicemari oleh angan-angan jahat dan cerita-cerita rekaan yang tidak tentu hujung pangkalnya. 
  • Tangan pula melakukan kerosakan samaada sengaja atau tidak sengaja. Tangan-tangan ini mula gatal mengganggu kita, harta benda kita atau mencapai telefon dan menyebarkan angan-angan jahat dan cerita-cerita rekaan. 
  • Kaki pula melangkah ke tempat-tempat untuk kita bercerita dan menyebarkan cerita dan fitnah. Sudah puas tangan memegang telefon, kini kaki mula memainkan peranannya dengan berjalan atau menekan pedal minyak agar cepat sampai ke destinasi yang dituju. Jadi, kaki juga ada sahamnya dalam aktiviti yang keji ini. 
  • Akhir sekali lidah. Lidah ini sangat besar peranannya. Dan lidah ini juga boleh menjadi sebaik-baik anggota untuk beberapa saat, dan kemudiannya menjadi sejahat-jahat anggota untuk detik kemudiannya. Lidah ini tidak bertulang. Jadi yang mengawalnya adalah hati dan akal mereka. Oleh kerana hati telah dihinggapi penyakit rohani, dan akal pula telah rancak mereka cerita dan script, maka lidahlah yang dipertanggungjawabkan untuk menyebarkan fitnah secara meluas, secara besar-besaran. Lidah juga dipertanggungjawabkan untuk mengumpat, mengadu domba, memaki hamun, mengeji dan menyebarkan segala aib. Hebat lidah mereka ini. Dan hebat juga script rekaan mereka. Ibarat menonton wayang, siapa yang mendengar pasti akan terpukau dan percaya dengan segala biji butir lahir dari lidah mereka tanpa memikirkan cerita itu adalah betul atau rekaan, rasional atau gila. Dan lidah ini juga lagi galak mereka bercerita, lagilah lidah mereka berasa seronok. Kerana mereka boleh bercerita apa sahaja, berkata apa sahaja, tanpa menggunakan akal fikiran dan kewarasan yang ada. Sayang sungguh.... Akhirnya akal fikiran mereka yang bijak dan waras itu tewas kepada lidah yang tidak bertulang. Akhirnya, mereka sendiri yang menjatuhkan martabat akal fikiran mereka yang sepatutnya berada di kepala, tetapi kini telah berada dihujung bibir mereka. Tempat yang sangat rendah dan hina untuk manusia yang diciptakan Allah swt sebagai khalifah di muka bumi ini.  

Lihat.. Betapa dasyatnya kesan dari sakit rohani ini. Dan sudah pastilah, sakit rohani ini selalunya akan berjangkit pada orang yang bersekongkol dengan mereka, orang yang mendengar dan menonton cerita dan script mereka, tetapi orang-orang ini akal warasnya sama taraf dengan mereka. 

Jadilah mereka manusia-manusia yang rugi kerana menggunakan anggota badan dan akal fikiran yang dipinjam ini untuk tujuan melakukan kerosakan diatas muka bumi, melakukan kerosakan keatas orang lain. Sangatlah ruginya mereka... 

Dan bertambah lagi kerugian kepada mereka apabila tanpa segan-silu mereka sanggup melakukan kerosakan di bulan Ramadhan, bulan yang mulia untuk umat Islam. 



Untuk Ramadhan kali ini, Patung Beruang berharap agar Patung Beruang dapat menjadi hamba Allah yang lebih baik, anak yang lebih baik buat Ibu Ayah dan kakak yang lebih baik buat adik-adik. 

Dengan adanya hadiah besar yang telah Patung Beruang sediakan ini, Patung Beruang rasa lega kerana sekurang-kurangnya jika ada apa-apa berlaku pada Patung Beruang selepas ini, atau andai Patung Beruang dipanggil pulang oleh Yang Maha Pencipta, Patung Beruang redha. Redha kerana yakin Ibu Ayah akan tenang dan sentiasa dilindungi. Tiada siapa lagi yang berhak mengganggu mereka. Tiada siapa yang berhak mempertikaikan apa yang mereka ada. 

Kehidupan selama hampir 35 tahun banyak mengajar Patung Beruang tentang sikap manusia yang sering berubah-ubah dan tidak semuanya indah dan ikhlas seperti disangka. 

Kita ini hamba Allah. Sangat lemah dan jahil. Jadi, jangan sombong dan bangga diri. Jangan ada sifat dengki dan iri hati. Kerana sebagai hamba, kita tidak berdaya dan tiada apa-apa jika tanpa bantuan dan keredhaan Allah swt. 

Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dan moga kita diberi kesempatan untuk berjumpa dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Aamiin...  

Book Review: Hujan Dinihari

Tajuk: Hujan Dinihari

Penulis: S.M. Noor

Menariknya Naskah Ini:

Pertama kali Patung Beruang menatap karya penulis S.M.Noor adalah melalui naskah bertajuk Pasir Lintang. Book reviewnya ada disini: 
https://patungberuang.blogspot.my/pasir+lintang


Dan semenjak itulah, Patung Beruang nekad jika terjumpa dengan mana-mana naskah karya S.M.Noor, Patung Beruang akan berusaha untuk memilikinya. 

Hujan Dinihari mengisahkan Adibah, anak sulung kepada Pak Husin, seorang pengukir kayu yang terkenal. Adibah mempunyai 2 orang adik iaitu Masitah dan Muin, adik bongsunya yang kelainan upaya. 

Adibah bekerja dirumah Nurul Ain, sebagai orang gaji di Kuala Terengganu. Nurul Ain adalah seorang mualaf, berkerja sebagai guru, berkahwin dengan Zaman, seorang pengurus dana / pelaburan yang terkenal di Kuala Lumpur. Walaupun Zaman sering sibuk, sedaya-upaya beliau cuba untuk pulang ke Kuala Terengganu bagi melawat keluarganya sekerap mungkin. 

Kehidupan Adibah diduga apabila anaknya meninggal dunia akibat demam panas. Kematian anaknya menyebabkan Adibah dipersalahkan oleh suaminya, Kalil, sehingga Kalil tergamak menceraikan Adibah. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Adibah merasakan yang tiada gunanya beliau tinggal di kampung. Walau sudah habis tangisannya, walau beribu kemaafan dipohon dari Kalil, tidak diendahkan oleh lelaki itu. 

Maka, Adibah nekad untuk berhijrah bagi mengubah nasib keluarganya. 

Kedatangan Adibah ke rumah Nurul Ain ibarat membawa cahaya kepada keluarga itu. Nurul Ain yang jarang mengamalkan suruhan agama Islam mula terdetik untuk belajar mengenali Allah swt melalui Adibah. Tertarik dengan budi pekerti serta tingginya sifat sabar Adibah menjadikan hubungan kedua-dua wanita ini bukan setakat majikan dan orang gaji, namun seperti adik dan kakak. 

Malah, Adibah juga berusaha merapatkan hubungan Nurul Ain bersama Izzati, anak tirinya. Izzati membesar tanpa ibu apabila isteri Zaman meninggal dunia ketika dia masih kecil. Kehadiran Nurul Ain dirasakan seperti ingin merampas kasih sayang dan perhatian Zaman darinya. Nurul Ain tersepit antara ingin menjadi ibu tiri yang penyayang dan juga tanggungjawab mendidik Izzati agar masa depannya tidak mengecewakan. 

Masitah yang tinggal dikampung, mula berjinak-jinak dengan kerja-kerja ukiran Pak Husin. Masitah sedar walaupun tugas itu sepatutnya digalas oleh lelaki, tetapi siapalah lelaki didalam keluarganya yang boleh diharap? Pak Husin semakin uzur dari hari ke hari, Muin pula kelainan upaya. Maka, Masitah nekad untuk mewarisi seni ukiran kayu dari Pak Husin dan seterusnya mempertahankan bengkel ukiran kayu tersebut. 

Hasrat Masitah disokong oleh Adibah. Malah Adibah berazam untuk membantu dari segi kewangan semampu yang boleh. Adibah sedar Masitah amat berbakat didalam seni ukiran cuma perlu digilap sahaja. 

Tanpa diduga, Kalil, bekas suami Adibah kembali menemui Pak Husin dan Masitah. Kalil menyesal diatas tindakannya yang melulu menceraikan Adibah. Kalil sedar Adibah adalah wanita dan isteri yang baik. Dan Adibah tidak sepatutnya dipersalahkan sepenuhnya diatas kematian anak mereka. Yelah, ibu mana yang sanggup melihat anaknya menderita sakit dan meninggal dunia. Namun, hati Adibah seolah-olah seperti tertutup buat Kalil. Adibah terlalu kecewa dengan sikap kurang sabar bekas suaminya itu. 

Semakin hari kemahiran Masitah didalam seni ukiran semakin terserlah. Cuma yang menjadi kekangannya adalah modal bagi membesarkan bengkel ukiran dan juga membeli peralatan moden bagi menggantikan kerja-kerja manual yang dijalankan. Kemahiran Masitah disedari oleh Kalil. Dan akhirnya Kalil bersama-sama sepupunya, Dahiman bersedia untuk berkerjasama dengan Masitah dari segi modal dan tenaga kerja bagi membangunkan bengkel ukiran kayu itu. Malah, mereka juga bersedia untuk menyertai pameran perniagaan bagi meluaskan pasaran. 



Hujan Dinihari membawa kita kepada sebuah keluarga Melayu di sebuah kampung di Terengganu. Kehidupan yang pada mulanya nampak indah, akhirnya mula diuji satu persatu sehingga menyebabkan Adibah nekad untuk berhijrah ke bandar bagi mencari kehidupan yang lebih baik buat dirinya dan juga keluarga. 

Patung Beruang tertarik dengan watak Adibah yang digambarkan sebagai wanita yang jatuh tersungkur namun bangkit perlahan-lahan dan meneruskan langkah tanpa menoleh ke belakang. 

Selain itu, watak Masitah, adik kepada Adibah juga sangat menarik. Masitah sanggup melawan arus dengan menceburkan diri didalam bidang pekerjaan yang dimonopoli oleh lelaki atas alasan mempertahankan seni ukiran kayu serta bengkel yang didirikan oleh Pak Husin. Malah, Masitah sanggup mengambil kursus bagi memantapkan lagi kemahiran seni ukirnya. Dek kerana desakan hidup, Masitah berusaha keras bagi meningkatkan hasil pendapatan bengkel ukiran kayu dan sentiasa terbuka dengan idea dari luar, terutamanya dari Dahiman, seorang kontraktor yang berjaya. Bagi Masitah, perniagaan yang dijalankan secara perkongsian dan usahasama lebih baik dan berdaya saing berbanding bersendirian. 

Kesimpulannya, novel ini ceritanya sangat simple. Kisah kehidupan keluarga Melayu yang sederhana di kampung, namun berusaha keras mengubah nasib mereka. Mereka tidak meminta-minta atau meraih simpati tetapi berusaha menunjukkan bakat dan kebolehan agar mampu berdikari. Sangat menarik dan membuatkan Patung Beruang tidak sabar untuk menghabiskan karya ini sesegera mungkin..

Book Review: 303 Soal Jawab Fikah Kematian

Tajuk: 303 Soal Jawab Fikah Kematian

Penulis: 
1. Mohd Kamel Haji Mat Salleh
2. Mohd Hariri Haji Mohamad Daud

Cerita Patung Beruang:

Ini adalah Book Review pertama yang Patung Beruang catatkan untuk bulan Jun ini. Basically, selepas berdepan dengan kematian ahli keluarga pada awal tahun hari itu, Patung Beruang mula sedar yang banyak perkara berkenaan kematian dari suduh Fikah yang tidak Patung Beruang ketahui. 

Selama ini, jika berlaku kematian, Patung Beruang hanya datang menziarahi jenazah, hadiahkan ayat-ayat suci Al-Quran. Namun, pada awal tahun hari itu, Patung Beruang turut sama mengambil peluang untuk membantu menguruskan jenazah. Dari situ, banyak perkara yang Patung Beruang belajar dalam tempoh beberapa jam. 

Menariknya Naskah Ini:

Naskah 303 Soal Jawab Fikah Kematian mengandungi 6 Bab seperti berikut:

  1. Perihal Kematian
  2. Memandikan Mayat
  3. Mengkafankan Mayat
  4. Solat Jenazah
  5. Mengebumikan Jenazah
  6. Fatwa Pengurusan Jenazah 
Bab 1: Perihal Kematian menceritakan tentang maklumat asas berkaitan kematian seperti hukum menziarahi kematian, galakan mengingati mati, membantu mereka yang sedang nazak, tanda-tanda seseorang itu sudah meninggal dunia, husnul katimah atau pengakhiran yang baik, hukum menguruskan dan mengendalikan jenazah serta tanggungjawab waris si mati. 

Bab 2: Memandikan Mayat dan Bab 3: Mengkafankan Mayat membawa pembaca kepada cara terperinci bagi melakukan kedua-dua perkara tersebut. Penulis memulakan dengan hukum memandikan mayat, tujuan serta syarat-syarat memandikan mayat. Selain itu, penulis turut menyatakan yang tempat memandikan mayat perlu terlindung dari pandangan mata manusia kecuali orang yang memandikan mayat, para pembantu dan warisnya. 

Selain itu, turut dinyatakan apakah dibenarkan didalam Islam perbuatan meletakkan wangian seperti minyak wangi dan kapur barus ke atas badan mayat, serta hukum berwuduk kepada mayat. Yang menariknya, penulis turut berkongsi cara untuk mengurus mayat yang berpenyakit AIDS / HIV dan adakah ahli keluarga boleh mencium jenazah yang mengidap penyakit AIDS / HIV ini. 



Secara kesimpulannya, walaupun topik Fikah kematian ini dianggap topik yang berat namun penulis berjaya menyusun isi kandungan buku ini sehingga Patung Beruang yang membacanya dapat memperolehi banyak ilmu baru disamping memahaminya dengan lebih jelas. 

Cara penyampaian yang bercorak persoalan dan jawapan ini memudahkan pembaca untuk memahami sesuatu topik itu dengan lebih mendalam. Selain itu penulis juga memberi contoh-contoh kepada situasi yang sering berlaku pada masa kini seperti cara menguruskan jenazah yang berpenyakit AIDS / HIV, cara pengurusan jenazah untuk mangsa mati lemas, mereka yang mayatnya tidak sempurna seperti mangsa nahas kapal terbang atau mangsa kemalangan. 

Penulis juga turut menyelitkan amalan-amalan masyarakat Melayu dan mengulasnya sama ada amalan-amalan tersebut dibenarkan atau tidak dari sudut Islam. Contoh amalan yang diulas adalah amalan mencium atau mengucup mayat, petua meletakkan cermin di atas kepala mayat bagi menghalang makhluk halus seperti jin mengganggu mayat, amalan membakar setanggi berdekatan dengan mayat, amalan mengkafankan mayat menggunakan pakaian yang biasa dipakai contohnya pakaian solat jumaat, amalan mengucup dan mengelilingi kubur dan sebagainya. 

Semoga naskah ini dapat membantu kita untuk lebih memahami Fikah kematian kerana setiap yang hidup pasti akan mati. Sekurang-kurangnya dengan ilmu yang ada, dapatlah kita membantu menguruskan jenazah ahli keluarga atau saudara sesama Islam dengan lebih baik lagi.

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...