Monday, August 7, 2017

Book Review: Meski Jauh Dibatasi Bumi

Tajuk: Meski Jauh Dibatasi Bumi

Penulis: Sutung Umar RS

Menariknya Naskah Ini:

Naskah Meski Jauh Dibatasi Bumi ini bolehlah diibaratkan seperti cerita kehidupan penulis, luahan hati dan perasaan beliau kepada Bonda tercinta yang sudah sekian lama menerima jemputan dari Yang Maha Pencipta. 

Bab pertama, penulis memulakan naskah dengan kisah pemergian Bonda dan pengalaman beliau menjejakkan kaki pertama kali di Kuala Lumpur yang berlaku pada tahun 1969.

Penulis adalah anak sulung yang lahir dan tinggal di Kampung Tunjung, yang berhampiran dengan Sungai Kelantan. Pada usia yang masih muda, beliau telah diamanahkan oleh Arwah Bonda untuk menjaga adik-adiknya yang masih kecil. Amanat yang dituturkan oleh Bonda ketika sedang nazak dipangkuan beliau. 

Penulis juga menceritakan latar belakang diri beliau dan betapa beliau berpendapat beliau lah yang paling banyak menghabiskan wang Ayah dan Bonda dalam urusan persekolahan dan pelajaran berbanding adik-adiknya. Ini adalah kerana selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, beliau tidak dapat menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam dalam sekolah kerajaan. Oleh itu, beliau terpaksa menyambung pelajaran di sekolah swasta iaitu, Institut Pendidikan Kota Bharu demi menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. 

Tanggungjawab sebagai anak sulung dan anak lelaki sangat berat apatah lagi segala beban kewangan keluarga terletak di bahu beliau. Dengan adik-adik yang masih kecil dan bersekolah, tidak sanggup rasanya penulis untuk melihat kesedihan mereka ketika pagi Raya Aidilfitri, yang tidak serupa kanak-kanak lain. Maka, dengan berat hati, beliau nekad untuk pulang semula ke Kuala Lumpur pada petang Raya. Meninggalkan adik-adik di kampung bersama-sama pesan agar mereka menziarahi pusara Bonda di pagi raya esoknya. 

Penulis juga menceritakan kisah adik-adiknya dan ahli keluarga terdekat mereka didalam naskah ini. 

Kisah ayah yang akhirnya berkahwin dengan wanita lain setelah kematian Bonda. Ibu tiri baru seorang yang baik namun sangat naif. Bersama dengan isteri baru ini, penulis memperolehi beberapa orang adik tiri. Namun, perhubungan kedua keluarga ini tidak lah terlalu rapat walaupun berasal dari seorang ayah yang sama. 

Tentang adik-adik pula, Alhamdulillah,bolehlah dikatakan yang adik-adik penulis kesemuanya berjaya menjadi insan yang berguna, tidak membebankan dan menyusahkan keluarga dan masyarakat, dan yang lebih penting, tidak terlibat langsung dengan isu dadah yang sinonim dengan anak muda kampung pada masa itu. Malah ada adik-adik penulis yang sangat berjaya, hidup mewah dan kaya-raya berkat kerja keras mereka. Dan kejayaan generasi pertama ini diwarisi pula oleh generasi kedua dan seterusnya didalam keluarga penulis. 


Kesimpulannya, naskah ini lebih kepada diary atau catatan kehidupan penulis. Cuma ia dibuat dalam bentuk penceritaan. Apa yang dipaparkan didalam naskah ini mencerminkan realiti kehidupan penulis dan juga kita pembaca. Dimana, didalam kehidupan ini tidak selamanya ada cerita indah dan gembira. Malah banyak saja cerita sedih dan duka lara. Keperitan hidup yang ada kalanya tidak sanggup untuk dikongsi walau dengan sesiapa pun kecuali dengan Allah swt sahaja. Penerimaan masyarakat terhadap keluarga miskin, tidak sempurna dan anak-anak yatim pula. Malah bukan kata masyarakat, adakalanya, saudara sendiri juga turut membuang mereka. Pengajaran yang sangat berguna didalam kehidupan ini. Malah turut diceritakan suka duka hidup di perantauan, yang zahirnya, hanya angan-angan indah yang dipertontonkan. Dan dek kerana angan-angan indah inilah, ramai anak muda yang berlumba-lumba menyerahkan diri mereka kepada kehidupan materialistik dan individualistik kotaraya besar. Tegar meninggalkan kampung halaman yang permai dan masih kaya nilai kehidupannya. 

Sekadar untuk pengetahuan, Sutung Umar RS atau nama sebenarnya Wan Omar bin Wan Ahmad adalah seorang penulis dan penyair. Memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya, beliau pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kumpulan Berita Harian. Malah, beliau pernah bertugas sebagai Editor kumpulan majalah terbitan DBP. Satu jawatan yang sangat disegani oleh khalayak yang meminati dunia sastera dan penerbitan.

Oleh kerana latar belakang dan bakat sastera yang ada, naskah Meski Jauh Dibatasi Bumi ini mempunyai gaya penulisan yang sangat cantik dan membawa pembaca jauh tenggelam didalam dunia penulis, seolah-olah seperti kita sedang menonton dokumentari tentang kehidupannya sedari muda sehinggalah sekarang.

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...