Monday, August 7, 2017

Book Review: Soya Ais Peneram Madu


Tajuk: Soya Ais Peneram Madu


Penulis: Shahkang

Menariknya Naskah Ini: 

Pertama kali Patung Beruang bersua dengan naskah ini adalah ketika Kuala Lumpur International Book Fair, yang berlangsung di PWTC pada pertengahan tahun hari itu. Masa itu, Patung Beruang di booth ITBM. Patung Beruang sudah berkira-kira untuk membeli naskah ini tetapi bajet terhad pula masa itu. Dan ada naskah lain pula yang lebih menarik perhatian Patung Beruang. Jadi, nak tak nak, terpaksalah Patung Beruang lepaskan naskah ini. 

Kemudian, ketika bulan Ramadhan hari itu, Patung Beruang telah pergi ke Pejabat ITBM untuk membeli buku-buku untuk anak-anak buah Patung Beruang. Kebetulan ITBM sedang mengadakan jualan murah untuk beberapa genre buku terbitan mereka. Sedang ralit membelek buku-buku disana, Patung Beruang ternampak naskah ini dan kebetulan naskah ini juga termasuk didalam jualan murah tersebut. Jadi, tanpa berlengah, Patung Beruang pun cepat-cepatlah masukkan naskah ini ke dalam bakul pembelian, hehe.. 

Soya Ais Peneram Madu adalah himpunan 11 buah cerpen karya Shahkang yang mempunyai pelbagai latar belakang dan penceritaan yang menarik. Penulis membuka pengembaraan naskah ini dengan Dialog Kota yang membawa pembaca kepada dialog dan monolog yang berlaku antara Putarajaya, New York dan London. Putrajaya terasa dirinya kerdil jika dibandingkan dengan kotaraya lain yang lebih gah dan lebih metropolitan. Namun, untuk London dan New York, Putrajaya walaupun umurnya masih muda, namun kehebatannya amat dikagumi. Bermula dari keunikan seni binanya yang kukuh dengan jatidiri ditambah pula keperibadian masyarakat yang mendiaminya, yang masih kaya dengan nilai-nilai kemanusiaan, pegangan agama yang masih kukuh paksinya, sedikit pun tidak pernah merendahkan keintelektualan masyarakat yang mendiami Putrajaya. Itulah Putrajaya dimata New York dan London. 

Kuih peneram madu adalah kuih tradisi masyarakat Melayu yang rasanya sangat manis tetapi rangup. Kerangupannya terutama ketika masih panas baru sahaja diangkat dari kuali, menjadi buruan pengunjung Pasar Malam yang tidak putus-putus singgah di gerai Mak Limah. 

Disebelah gerai Mak Limah, berdiri pula gerai Pak Ismail yang menjual air soya. Air soya manis yang segar dan berais, adalah penyejuk tekak yang paling sedap kepada pengunjung terutamanya tatkala cuaca panas. 

Tanpa diduga, rupa-rupanya hidangan makanan dan minuman ini saling bermusuhan. Mereka merasakan kehadiran pihak disebelah sana sebagai petanda untuk merampas takhta sebagai pemanis tekak yang paling unggul buat pengunjung Pasar Malam. Kemuncak kepada permusuhan ini adalah apabila beberapa biji kuih peneram melompat masuk ke dalam balang air soya, dan mencemarinya dengan minyak yang ada dari kuih peneram. Dan air soya juga tidak ketinggalan apabila sengaja membasahi deretan kuih peneram yang masih panas dan rangup didalam dulang. Akhirnya, kuih peneram basah dan turut rosak. Sama rosaknya seperti air soya didalam balang. Agak menyedihkan tragedi dua hidangan ini kerana kesudahannya, takhta mereka dirampas oleh Marshmallow, hidangan barat yang baru diperkenalkan di Pasar Malam tersebut.  Soya Ais Peneram Madu


Baiklah, cukuplah Patung Beruang kongsikan 2 buah cerpen sahaja disini. Selebihnya kenalah menatap sendiri di dalam naskah ini ye. 

Perkara menarik tentang naskah ini adalah watak-watak yang ditonjolkan didalam cerpen-cerpen ini bukanlah watak manusia. Sebagai contoh, ada watak kotaraya ternama (Dialog Kota), watak kucing berkeliaran di Hagia Sophia demi mencari pewaris al-Fatih (Seekor Penunggu Bernama Tombul), hidangan manisan atau pemanis mulut dan minuman (Soya Ais Peneram Madu), tiang di dalam LRT, tepian lebuhraya dan juga pusat membeli belah (Suara-Suara Tiang). 

Walau watak utamanya bukan manusia, namun cerita yang dipaparkan  masih lagi berkisar kepada manusia. Pemerhatian, kritikan, pandangan dan sindiran mereka terhadap perilaku manusia yang jelek dan tidak sepadan dengan taraf sebagai khalifah dimuka bumi ini. Sebuah naskah yang menarik dan seronok untuk dibaca. Seperti biasa, terbitan ITBM memang tidak pernah mengecewakan Patung Beruang.. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...