Sunday, November 26, 2017

Book Review: Bermalam Di Rumah Tuhan

Tajuk : Bermalam Di Rumah Tuhan

Penulis : Jaafar Hasny 

Menariknya Naskah Ini:

Bermalam Di Rumah Tuhan ini adalah buku yang terbaru yang Patung Beruang habiskan pembacaannya sebelum tidur malam tadi. Naskah ini adalah buah tangan dari gerai Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) ketika Patung Beruang mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 yang berlangsung pada pertengahan tahun hari itu. 

Basically, naskah ini membawa pembaca kepada seorang lelaki tua yang kakinya tempang dan hidup sebatang kara. Lelaki yang tidak bernama ini kematian isteri dan tidak mempunyai anak. Hidup menumpang di sebuah pondok di sebuah kampung di Terengganu, selama berpuluh-puluh tahun. Pekerjaan sehariannya adalah menggali kubur serta mengambil upah membuat kerja-kerja kampung. Tidak mewah namun cukuplah rezekinya sekadar memberi makan kepada diri sendiri. 

Pada suatu hari, lelaki tua ini diberitahu yang tuan tanah tapak pondoknya, berkeinginan untuk mengambil semula tanah tersebut untuk tujuan pembangunan. Menyedari kedudukan diri yang tidak mempunyai hak walau secebis pun diatas tanah tersebut, lelaki tua ini nekad untuk meninggalkan pondok tempatnya berteduh dan mengembara diatas bumi Allah ini. 

Diawal pagi, beliau memulakan langkahnya. Mujur ada pengguna jalanraya yang sudi untuk menumpangkannya. Lelaki tua ini mengembara sehingga berjumpa dengan surau atau masjid di kawasan kampung, lalu berhenti untuk menunaikan solat dan seterusnya berehat. 

Berhenti sebentar di rumah-rumah Allah telah memberikan 1001 pengalaman kehidupan yang menarik kepada lelaki tua ini. Rutin hariannya kebiasaannya sama sahaja. Menjejakkan kaki di rumah Allah tatkala waktu solat Maghrib. Bersolat jemaah untuk Maghrib dan Isyak. Mengikuti kuliah Isyak sebagai salah satu peluang untuk dirinya menimba ilmu. Usai kuliah, berbual dan bertegur-sapa dengan jemaah yang merupakan sahabat barunya, sekaligus meminta izin untuk menumpang bermalam di rumah Allah itu. Dan keesokannya, sebelum fajar lagi, lelaki tua ini telah bangkit. Memulakan hari dengan membersihkan tandas, kawasan wudhu serta persekitaran masjid atau surau yang ditumpanginya. Seterusnya, menunaikan solat Subuh berjemaah dan selepas itu, menyambung semula baktinya dengan membersihkan kawasan perkuburan yang berada berdekatan masjid atau surau tersebut. Jika berlaku kematian, lelaki tua ini tidak kedekut untuk menyumbangkan kudrat bagi membantu menggali liang lahad untuk kegunaan jenazah. 

Tutur kata dan tingkah-lakunya amat disenangi oleh para jemaah, bilal dan imam di rumah Allah yang ditumpanginya. Rumah Allah dan persekitarannya terjaga bersih selari dengan tuntutan Islam yang amat mementingkan kebersihan. Dan setelah beberapa hari, lelaki tua ini akan keluar untuk menyambung pengembaraannya. Berjalan sejauh yang mampu sehingga berjumpa dengan masjid atau surau lain yang menarik hatinya untuk tumpang berteduh walau sehari dua. 

Didalam pengembaraan ini, lelaki tua berjumpa dengan pelbagai ragam dan kerenah manusia. Ada yang cantik, ada yang jelik. Ada yang sedih, ada yang gembira. Ada yang waras, ada yang gila. 

Pernah suatu malam, tatkala sedang berteduh diwakaf, lelaki tua ini mendengar sayup-sayup suara dari kawasan kubur berdekatan. Naluri ingin tahu membawa lelaki tua ini kepada suara-suara tersebut. Bukannya orang yang sudah mati hidup semula, namun orang yang hidup sedang memuja orang yang sudah mati demi mendapatkan nombor ekor. Sedih sekali. Manalah ada manusia yang kaya dengan berjudi. Semakin papa kedana adalah. Tanpa membuang masa, lelaki tua mencampakkan sebatang kayu kearah orang-orang yang sedang melakukan upacara pemujaan itu. Kayu yang betul-betul jatuh dihadapan mata mereka menyebabkan mereka terkejut dan membuka langkah seribu, meninggalkan pusara dan segala alat pemujaan. Manusia yang rugi kerana sanggup menyekutukan Allah demi mencari harta kekayaan. 

Di suatu tempat, bilangan jemaah terlalu sedikit sedangkan jika dilihat, banyak sahaja rumah-rumah di kawasan kampung tersebut. Akhirnya lelaki tua diberitahu yang terdapat sebuah lagi masjid, tidak sampai beberapa kilometer dari masjid itu. Hairan, mengapa 2 masjid didirikan didalam jarak yang dekat. Rupa-rupanya masyarakat kampung telah berpecah dua akibat dari perselisihan faham dua buah keluarga. Maka, ikatan kekeluargaan yang kukuh asalnya, semakin longgar dan bakal terlerai. Perselisihan yang tercetus telah menjangkiti masyarakat kampung dan hasilnya, kampung yang sama namun jemaahnya berbeza. Kampung yang sama namun penduduknya saling bermasam muka. Kampung yang sama, namun tidak bertegur sapa. Kampung yang sama dimana semuanya menganuti agama yang sama. Sayang sekali...

Semua orang ingin masuk Syurga. Hatta, mereka yang jahat pun tetap berkeinginan untuk masuk Syurga. Maka, berduyun-duyun manusia mencari siapakah tok guru yang patut mereka ikuti, agar dapat menjamin tempat mereka di Syurga. Didalam keghairahan mencari tok guru, mereka meletakkan syarat, hendak masuk Syurga mestilah taat pada tok guru, tidak perlu bersembahyang, tidak perlu berpuasa, cukup sekadar niat untuk melakukan ibadah itu dan seterusnya berzikirlah dengan sepuas-puasnya. Jika tok guru gembira, mereka pasti dapat masuk Syurga. Tidak sempat untuk menunaikan haji atau umrah? Oh.. tidak mengapa. Tok guru sudah bina monumen kaabah dihadapan markas. Buat sahaja haji dan umrah disitu. Sudah pasti dapat pahala. 

Ajaran sesat yang berlaku dihadapan mata lelaki tua benar-benar menguji kesabarannya. Bagaimana mereka boleh terpengaruh dengan tok guru sesat ini?  Mujur selang beberapa hari, pihak berkuasa menyerbu markas tersebut setelah mendapat laporan dari orang kampung. Ramai yang ditangkap dan dibawa ke pusat tahanan. Mereka ini akan diberi kaunseling bagi menyedarkan kekhilafan yang telah dilakukan dan seterusnya didedahkan dengan ajaran Islam yang sebenar. Syurga Allah itu mahal harganya. Berhati-hatilah dalam memilih kerana takut bukan kebenaran yang ditemui, malah terus terjerumus didalam kesesatan yang nyata. 



Secara kesimpulannya, naskah Bermalam di Rumah Tuhan ini banyak mencerminkan keadaan semasa yang berlaku didalam masyarakat Islam di Malaysia. 

Anak-anak yang bebas tidak terkawal kerana ibu bapa sangat mempercayai mereka. Ibu bapa yang ghairah menyanjung dan memuja anak-anak sedangkan perangai jelik anak-anak ini sudah tersebar merata-rata. Berpuak-puak atas nama politik sehingga agama dan perpaduan masyarakat tergadai. Ingin hidup senang didunia dan akhirat namun malas berusaha dan lebih gemar kepada jalan singkat. Golongan yang bertopengkan agama demi memuaskan nafsu sendiri. Golongan pendakwah yang ghairah untuk berdakwah kepada orang luar sedangkan tanggungjawab terhadap keluarga diabaikan secara terang-terangan, dikhianati hak isteri dan anak-anak dengan alasan keluar berdakwah itu lebih penting dari segala-galanya yang ada didunia ini. Golongan yang rakus mengumpul harta demi kelangsungan keturunannya sendiri sehingga terlupa halal haram, terlupa hak dan batil. Anak-anak yatim yang terbiar sepi tanpa sedikit pun dipedulikan oleh masyarakat setempat. Generasi muda yang leka berhibur seawal kecil sehingga mengabaikan pelajaran dan adab bersama orang tua serta banyak lagi kepincangan yang berlaku didalam kehidupan ini. 

Naskah yang simple pada pandangan Patung Beruang tetapi banyak membuatkan kita tersenyum sinis tatkala menatapnya. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...