Sunday, November 26, 2017

Book Review: Islam The Misunderstood Religion

Tajuk : Islam The Misunderstood Religion

Penulis : Dr. Danial Zainal Abidin

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah Islam the Misunderstood Religion ini baru sahaja Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada tengahari tadi. Alhamdulillah, Patung Beruang berjaya juga sudahkan pembacaan naskah ini walaupun sedang bergelut dengan tugasan dan kehidupan yang sentiasa sibuk. 

Pada asalnya, Patung Beruang membeli naskah ini melalui website Bookcafe. Setelah naskah sampai ditangan, ternyata Patung Beruang tidak ditakdirkan untuk memilikinya kerana ia telah menjadi hadiah persahabatan kepada seorang sahabat yang juga ulat buku. 

Maka, Patung Beruang pun membeli naskah yang sama untuk kali ke-2 dan yang inilah baru menjadi rezeki untuk Patung Beruang.  Naskah ini terbahagi kepada 10 buah bab iaitu: 

Bab 1 : Islam is the Divine Template
Bab 2 : Quran the Final Testament
Bab 3 : Muhammad the Final Messenger
Bab 4 : Is Islam Compatible with Science?
Bab 5 : The Special Position of Women in Islam
Bab 6 : Does Islam Condone Terrorism, and War?
Bab 7 : Islam, the Religion of the Future
Bab 8 : These Priests, Missionaries and Elites Chose Islam
Bab 9 : Excerpts from Media
Bab 10 : Epilogue

Dewasa ini agama Islam dan penganutnya seringkali dikaitkan dengan kontroversi sehingga mendapat perhatian dunia. Yang terbaru, tragedi tembakan yang mengorbankan ramai jemaah solat Jumaat di Masjid al-Rawdah, Mesir. 

Selepas tragedi 11 September, Islamophobia dikatakan semakin meningkat. Islam dilabel sebagai agama pengganas. Umatnya dilabel sebagai second class citizen, tidak bertamadun dan cintakan peperangan. Namun, ia hanyalah dakyah atau propaganda musuh-musuh Islam yang sedang berjuang bermatian-matian untuk menghapuskan agama Allah ini, memecah-belahkan sesama umat Islam sendiri. 

Naskah ini ditulis bagi memberi pencerahan kepada salah faham terhadap agama Islam. Dr Danial mengupas Islam bukan sahaja dari sudut ketuhanan, dari sudut Al-Quran dan Nabi Muhammad saw, namun turut mengupas Islam dari sudut cara hidup manusia yang bertamadun, hak seseorang manusia tanpa mengira jantina dan latar belakang, dari sudut kehebatan dan kecemerlangan Islam didalam ilmu sains dan teknologi, tokoh-tokoh ilmuan yang hebat dan masih disanjung sehingga kini serta perdebatan mengenai Islam dan peperangan. 

Islam mengangkat darjat wanita setinggi-tingginya selepas masyarakat jahiliah menganggap wanita adalah manusia kelas rendah, tidak layak untuk hidup dan hanya membawa malang. Namun, amat menyedihkan kerana kini, dizaman serba moden, darjat wanita kembali direndahkan samaada oleh golongan lelaki yang gemar mengambil kesempatan atau juga wanita itu sendiri yang rela maruahnya dipijak. Golongan feminist sering memperjuangkan kesamarataan sesama jantina. Memperjuangkan hak sama rata dengan lelaki. Namun, adakah perjuangan itu selari dengan apa yang ditulis didalam Al-Quran? Kesamarataan atau keadilan bukanlah bermakna setiap orang akan mendapat bahagian atau hak yang sama. Namun, ia lebih kepada maksud, meletakkan sesuatu ditempat yang betul tanpa menganiayai mana-mana pihak. 

Jika diteliti, bukti Al-Quran adalah mukjizat dan bukannya rekaan manusia atau Nabi Muhammad saw seperti yang sering dilaungkan oleh musuh Islam adalah  Al-Quran itu mendahului zaman ia diturunkan. Al-Quran itu mengandungi ilmu yang hanya dapat dibuktikan kebenarannya pada masa kini melalui kecanggihan teknologi dan usaha kajian yang berterusan. Jika Al-Quran itu adalah rekaan manusia, bagaimana perkara yang berlaku di alam semesta, penciptaan galaksi, planet dan sebagainya mampu digambarkan secara terperinci. Jika Al-Quran itu adalah rekaan manusia, bagaimana keadaan ribut di lautan dapat diceritakan dengan sejelasnya sedangkan tiada laut di Tanah Arab dan orang Arab bukanlah mereka menjadikan laut sebagai medan pekerjaan mereka. 

Selain itu, dek kerana Al-Quran mengandungi terlalu banyak ilmu dan rahsia yang tidak terjangkau di minda manusia, mengkaji Al-Quran telah membuatkan ramai golongan intelektual menyedari kebenaran Al-Quran sebagai mukjizat dari Allah swt dan seterusnya beriman kepada agama Islam. Mereka menerima hidayah dengan hati dan minda yang terbuka. Malah, ramai juga para pengkaji yang membuat kajian mengenai perbandingan agama-agama yang ada didunia ini akhirnya mengaku Islam adalah agama yang sebenar dimana apa yang tercatat didalam Al-Quran adalah konsisten tanpa ada cacat celanya. 

Tidak terkecuali juga dicatatkan didalam naskah ini dimana beberapa mubaligh Christian yang mengkaji Al-Quran dengan niat untuk mencari cacat cela atau dengan niat agar mereka lebih mudah mempengaruhi umat Islam bagi menganut agama mereka, namun akhirnya, mereka sendiri yang menolak ajaran agama mereka dan berpegang teguh kepada Islam. Mereka akhirnya menyedari bahawa apa yang dipegang selama ini palsu dan tidak menyakinkan serta tidak mampu menjawab persoalan diminda mereka. Dan persoalan itu terjawab apabila mereka semakin mendalami Islam. 


Ini bukanlah kali pertama Patung Beruang membaca karya Dr Danial. Patung Beruang mengenali beliau melalui naskah yang bertajuk Quran Saintifik. Dari situ, Patung Beruang mula menyukai tulisan beliau kerana beliau menggabungkan Islam dan sains, Islam dan teknologi, naskah yang berat tetapi masih mampu menarik perhatian pembaca kerana penuhnya fakta yang terkandung didalamnya. 

Oleh itu, tatkala Patung Beruang terlihat naskah Islam the Misunderstood Religion ini, Patung Beruang tidak berfikir panjang untuk terus membelinya. Sebagai pembaca, penulis yang menulis naskah mempunyai weightage yang tersendiri dalam menentukan patut atau tidak naskah tersebut dimiliki. 

Kesimpulannya, Patung Beruang menikmati pengembaraan Dr Danial ini dengan sangat teruja. Gaya penyampaian Dr Danial tidak membosankan pembaca walaupun topik yang ditulis adalah berat. Dengan banyak kajian kes yang sebenar diselitkan didalam naskah ini, ia membawa pembaca kesuatu tahap apa yang dinamakan pencerahan. Jika ada sahabat-sahabat yang ingin mengenali agama Islam, naskah ini boleh dijadikan sebagai appetizer atau pembuka selera sebelum meneliti naskah lain yang lebih berat. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...