Sunday, February 11, 2018

Book Review: Antologi Cerpen Malaysia - Thailand

Tajuk : Antologi Cerpen Malaysia - Thailand

Penulis: 

  1. E Pian Pro Poul
  2. Hafizah Iszahanid
  3. Jaya Rimba
  4. Nasriah Abdul Salam
  5. Zainal Rashid Ahmad
  6. Ajin Panjapan
  7. Ded Akkhara
  8. Nagga Paksanawin
  9. Nathathee Sasiwimol
  10. Phanuk Traiwet


Menariknya Naskah Ini:

Naskah ini adalah buah tangan dari KL International Book Fair 2017 dari booth ITBM. Jujurnya, perkara yang membuatkan Patung Beruang tertarik untuk memiliki naskah ini adalah kerana Patung Beruang berharap ia mampu memberi serba sedikit gambaran tentang budaya dan kehidupan masyarakat di Thailand kepada pembaca. 

Cerpen bertajuk Tok Raja dijadikan pembuka naskah. Karya E Pian Pro Poul ini mengisahkan Tok Raja, ketua sebuah wat yang menghadapi dilema apabila pihak berkuasa ingin memperbaiki infrastruktur jalan raya dikawasan tersebut. Dilema tercetus apabila kawasan yang dikenalpasti untuk dinaik taraf turut melibatkan kawasan di dalam wat. Tok Raja tersepit antara ingin menyumbang bersama-sama kepada masyarakat demi kesejahteraan hidup mereka ataupun ingin memastikan wat dan persekitarannya kekal utuh seperti dahulu, tidak terpisah-pisah. Kehadiran para pegawai kerajaan ke wat tersebut sedikit sebanyak menggangu ketenangan Tok Raja dan sekalian penghuni wat. Semua tertanya-tanya, apakah kesudahan dilema ini?


Nama saya Ling Mei Ling memperkenalkan kita kepada seorang gadis Cina berasal dari Ipoh namun kini menuntut di Universiti Malaya sebagai pelajar perubatan. Mei Ling mempunyai hasrat untuk lebih mengetahui dan mengenali Islam terutama selepas berlakunya peristiwa World Trade Center di New York, tahun 2001 dan juga kisah pemergian M. Moorthy, pendaki Everest yang akhirnya menyeret kepada kontroversi membabitkan Artikel 121 (1A). Pada Mei Ling, kontroversi itu berlaku semata-mata kerana kita tidak faham pada perlembagaan dan membuat tafsiran sendiri. Di universiti, Mei Ling berkenalan dengan Ismail Danial Tan Sri Mohamad, pelajar jurusan perundangan, akibat dari perlanggaran kecil yang berlaku di perpustakaan. Perkenalan dengan Ismail telah membuka pintu untuk Mei Ling lebih mengenali Islam serta orang Melayu sendiri. Namun, semakin lama mengenali Ismail, Mei Ling merasakan yang Ismail sama seperti kebanyakkan umat Islam yang lain. Lebih banyak mengambil pendekatan mendiamkan diri dari bertindak menghulurkan bantuan tatkala saudara seIslam tersesat jalan. Lebih banyak memikirkan tentang periuk nasi dan masa depan diri sendiri berbanding masa depan dan hala tuju umat Islam keseluruhan. Mei Ling terfikir, Islam tidak pernah mengajar umatnya mementingkan diri sendiri. Namun, mengapa sifat ini begitu menebal didalam diri umat Islam dihadapan matanya???


Ai Plueay adalah seorang tukang penjaga api berpangkat senior yang bekerja di lombong bijih timah di wilayah selatan Thailand. Ai sangat dedikasi terhadap tugasnya kerana menyedari pentingnya dapur api sentiasa terbakar agar dapat membuatkan kapal korek terus berkerja di lombong tersebut. Namun, bulan Ramadhan bakal menjelma. Sebagai seorang Muslim yang baik, Ai seboleh-bolehnya berusaha untuk berpuasa di siang hari. Namun, pekerjaan seharian yang dilakukannya sangat mencabar. Kepanasan yang datang dari dapur api benar-benar menyerap air didalam tubuh Ai maka, menahan dahaga di sepanjang hari adalah suatu perkara yang amat terseksa buat dirinya. Penyelia bercadang menukarkan Ai kepada shift malam agar rutin penjaga api diwaktu siang digalas oleh pekerja yang tidak berpuasa. Namun, rakan sekerja berat untuk melepaskannya kerana Ai adalah tukang penjaga api terbaik mereka. Rakan sekerja berusaha agar Ai sentiasa bersama shift mereka, siang atau malam tanpa perlu menjejaskan ibadah puasanya, kisah Air dan Budi.  



Naskah Antologi Cerpen ini membariskan 5 buah cerpen dari Malaysia dan 5 buah cerpen dari Thailand. Keseluruhannya, ia adalah naskah yang menarik kerana menggambarkan kehidupan masyarakat di kedua-dua buah negara, membawa isu sejagat seperti perebutan harta dikalangan ahli keluarga, isu masyarakat berbilang bangsa dan agama, ikatan persahabatan yang mengatasi perbezaan pangkat, latar belakang dan agama serta konflik politik tempatan. Menariknya, naskah ini banyak menonjolkan watak masyarakat diluar bandar bagi memberi peluang kepada pembaca untuk mengenali sisi unik kehidupan dan budaya mereka.  

Ada beberapa buah cerpen yang menarik hati Patung Beruang seperti nama saya Ling Mei Ling (Malaysia), Bayak Bapa II (Malaysia), Air dan Budi (Thailand)  dan Fenomena Seseorang Yang Hilang Daripada Hidup Seseorang Yang Lain (Thailand). 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...