Monday, February 12, 2018

Book Review: Ceritera Dari Pinggir Taman

Tajuk : Ceritera Dari Pinggir Taman

Penulis : Baharuddin Kahar

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah Ceritera Dari Pinggir Taman ini sebenarnya Patung Beruang beli pada tahun 2016, ketika menghadiri sebuah pesta buku. Pulang ke rumah, seperti kebiasaannya, Patung Beruang akan terus balut buku yang dibeli dengan plastic. Naskah ini juga tidak terkecuali. Dan selepas itu, ia elok terletak di rak buku. 

Tidak berapa lama selepas itu, oleh kerana terlalu banyak buku-buku yang belum dibaca tetapi elok tersusun di rak buku sehingga rak tersebut kehabisan ruang, Patung Beruang decide untuk simpan buku-buku yang belum berusik itu didalam kotak. Dan selepas itu, kotak itu tidak terusik selama beberapa ketika.

Baru-baru ini, ketika Patung Beruang mengemas bilik, Patung Beruang terjumpalah kotak ajaib ini. Perasaan seronoknya berjumpa dengan kotak yang berisi buku-buku baru ini sama seperti perasaan terjumpa harta karun, hehe..

Makanya, ini adalah buku pertama yang Patung Beruang keluarkan dari kotak tersebut untuk Patung Beruang baca. Semoga Patung Beruang dapat habiskan pembacaan semua buku-buku didalam kotak tersebut, pada tahun ini juga, Aamiin... (supaya Patung Beruang tidak akan rasa bersalah jika hendak membeli buku lagi.. 

Naskah Ceritera Dari Pinggir Taman membawa kita kepada watak utama  bernama Rasdi, seorang anak tunggal yang lahir dari keluarga ternama dan kaya-raya. Lahirnya, Rasdi kelihatan sempurna. Berwajah tampan, kaya-raya, mempunyai ibu bapa yang hebat dan ternama. Hakikatnya, hidup Rasdi tidaklah sebahagia yang disangka. Walau mempunyai pelbagai kelebihan, Rasdi diuji dengan kelemahan didalam akademik, mempunyai ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan urusan perniagaan dan persatuan, serta mempunyai ibu yang garang dan tidak bertimbang-rasa. Rasdi lebih banyak menerima perhatian dan kasih sayang dari orang gaji dan tukang kebun. Baginya, itulah keluarganya. Mahligai yang indah tidak mampu menutup kesunyiaan dan kesedihan hati anak muda ini. 

Di sekolah, Rasdi berkenalan dengan Patricia, seorang gadis Serani yang cantik dan lincah. Patricia tinggal bersama ayahnya, Mr Paul, seorang ketua gereja di Ipoh dan ibu tirinya, Mama Tracy. Kehidupan Patricia lebih kepada urusan akademik dan juga minatnya terhadap music. Seperti Rasdi, Patricia juga mempunyai masalah dirumah. Ayahnya, Mr Paul sering kali menjadikan Patricia sebagai sasaran kemarahannya. Semuanya berpunca apabila ibu kandung Patricia nekad untuk meneruskan minatnya didalam dunia hiburan, dan jatuh cinta kepada lelaki lain dan akhirnya keluar dari rumah meninggalkan Mr Paul dan Patricia. Maka, semenjak hari itu, Mr Paul seakan berdendam dengan ibu kandung Patricia sehingga seringkali mengutuk wanita tersebut dihadapan Patricia. 

Persahabatan Rasdi dan Patricia membuahkan bibit-bibit cinta didalam hati dua remaja ini. Namun, kisah cinta mereka berdepan dengan ranjau berduri. Di sebelah Rasdi, ibunya bercadang untuk menjodohkan Rasdi dengan Sharifah Sriwani, anak kenalan rapatnya. Oleh itu, kehadiran Patricia sangat tidak dialu-alukan oleh ibu Rasdi. Sedangkan dalam masa yang sama, Sharifah Sriwani mempunyai agenda jahat terhadap Rasdi dan Patricia. 

Di sebelah Patricia pula, Mr Paul semakin berang tatkala mengetahui perhubungan Patricia dan Rasdi. Ia amat memalukan dirinya apabila anak perempuannya bercinta dengan pemuda Muslim dan sanggup memeluk agama Islam. Dalam masa yang sama, Ricky, seorang lelaki Serani amat meminati Patricia dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan gadis itu walaupun terpaksa menggunakan kekerasan. 

Kemuncak perhubungan mereka apabila pasangan ini melarikan diri dari rumah, dan seterusnya membawa kepada kemalangan sehingga menyebabkan Patricia cedera parah dan Rasdi pula dituduh membunuh Ricky. Namun, setelah beberapa lama berlangsungnya sesi perbicaraan, pihak mahkamah memutuskan Rasdi tidak waras dan harus dihantar ke Rumah Sakit Jiwa. Maka, bermulalah kehidupan Rasdi sebagai pesakit mental. 



Kisah Ceritera Dari Pinggir Taman ini sebenarnya adalah sebuah kisah percintaan yang tragik. Halangan keluarga, perbezaan agama, budaya dan status serta kehadiran orang ketiga mewarnai percintaan Rasdi dan Patricia. 

Selain itu, penulis juga berjaya menonjolkan konflik dan permasalahan yang dihadapi oleh watak-watak didalam naskah ini seperti keluarga kaya namun kurang kasih sayang yang dihadapi oleh Rasdi, penderaan mental dari ibu kandung sendiri, keluarga miskin dan bahagia seperti Aziz dan juga keluarga yang terlalu melindungi anak sendiri seperti Sharifah Sriwani. 

Di hujung-hujung perceritaan, penulis membongkarkan sebab musabab mengapa ibu Rasdi berperangai pelik dan sering naik angin tidak tentu pasal. Ia adalah berpunca dari rasa bersalah dan menyesal terhadap arwah datuk Rasdi, yang disimpan oleh wanita ini berpuluh-puluh tahun lamanya. Benarlah kata orang, hati yang gundah itu hanya akan memakan diri sendiri tanpa disedari oleh tuan punya badan. 

Naskah ini mempunyai pengakhiran yang hebat dimana plot twist yang direka oleh penulis amat menjadi. Jujurnya, sepanjang meneliti naskah ini, Patung Beruang tertanya-tanya apakah pengakhirannya kerana terlalu banyak hint yang diberi sehingga membolehkan ia mempunyai beberapa pengakhiran yang berbeza versi. 

Cuma yang memeningkan Patung Beruang adalah peralihan tempoh masa yang berlaku didalam naskah ini sangat pantas. Adakalanya babak itu berlaku di zaman Rasdi masih bergelar pelajar, adakalanya ketika Rasdi telah tamat belajar, adakalanya ketika Rasdi berkeadaan tidak waras dan hidup didalam dunianya sendiri dan adakalanya pula ketika zaman sekarang dimana Rasdi telah dewasa dan berumur 30-an. Aduh... peningnya Patung Beruang.... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...